Sunday, November 12, 2017

Cerpen Hari Ini - Zuckerberg


Image may contain: 1 person


Cerpen:  Zuckerberg
Oleh: Fudzail
Bagi Awang, tiada kebetulan dalam kehidupan. Dia tidak perlu berfikir panjang. Hanya keyakinan kepada Tuhan. Sebagai manusia yang biasa biasa, dia sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
Dia tidak tinggal solat lima waktu. Tidak pernah ponteng berpuasa sebulan Ramadan. Membayar zakat tepat waktunya. Pernah mengerjakan umrah, belum lagi ada rezeki mendapat seruan untuk naik haji.
Dia cukup yakin yang dia seorang muslim yang baik.
Kerana itu dia tidak tahu kenapa tindakan itu menjadi isu besar. Apa ada pada nama di era globalisasi. Nama sudah menjadi jenama, komiditi dan produk bernilai tinggi.
"Zuckerberg?"
Itulah pertanyaan pertama sebaik mereka mendengar nama anak sulungnya. Ramai terlopong. Muka berubah. Seakan melihat gergasi yang muncul. Menakutkan.
Awang tersenyum bangga. Begitu juga isterinya, Mahsuri. Mereka mempunyai hak untuk menamakan anak mereka mengikut pilihan yang ada.
"Bukan itu nama Yahudi?"
Awang dan Mahsuri tergelak.
"Tiadakah nama-nama lain yang lebih membawa makna? Lebih islamik?"
Adik beradik juga sama naik. Semuanya keributan. Apa lagi ayah ibu yang terus menyangka mereka mahu menyahudikan cucu mereka.
Lebih gempar seakan tidak siuman adalah kawan-kawan yang banyak mendengar ceramah melalui Youtube. Mereka semua tidak bersetuju seratus peratus. Terus mengeluarkan pelbagai ayat Quran dan hadis. Ada yang sampai mengkafirkan.
Sehingga tular media sosial. Memang menggemparkan.
"Biarkan lah mereka. Masih terperangkap dalam tempurung. Masih melihat sesuatu berdasarkan prasangka dan sekadar permukaan!"
Mahsuri memahami dan sama memilih nama Zuckerberg.
"Ini kurun ke dua puluh satu! Apa lagi yang boleh memajukan kita?"
Begitulah permulaan satu diskusi antara sepasang suami isteri muda. Graduan yang sebaik menamatkan pengajian, berhutang RM30,000 seorang kerana pinjaman membiayai sehelai ijazah untuk masa hadapan.
Nasib baik dapat bekerja secara kontrak dengan syarikat kecil yang membangunkan aplikasi untuk telefon pintar. Gaji masih dibawah kemiskinan bandar. Untuk memastikan pendapatan mencukupi keperluan, mereka juga bekerja sambilan dan menjual produk secara atas talian. Selain bertatih sebagai wakil takaful.
Semuanya atas talian. Bisnes atas talian. e-Dagang.
Mereka juga bertemu secara atas talian. Cinta pandang pertama melalui Facebook. Bersembang melalui WhatsApp. Ruang yang membuahkan kasih sayang. Ruang yang mengeratkan pertalian teruna dan dara.
"Inilah masa depan, atas talian. Dunia bestari!"
Awang dan Mahsuri berbangga sebagai anak Melayu di sebuah negara merdeka yang bekerja keras. Mereka tidak suka melepak dan membuang masa berpeleseran. Mereka fokus dengan objektif dan matlamat mahu berjaya.
Pekahwinan mereka juga begitu mengejutkan. Selepas puas memujuk kedua ayah ibu, Awang dan Mahsuri membuat pekahwinan ringkas. Konsep 'drive through'. Para jemputan datang dan mengambil makanan yang sudah siap dibungkus. Seperti membeli di kedai makanan segera.
Pertama kali juga, perkahwinan dibuat secara langsung melalui Facebook untuk mereka yang tidak dijemput. Awang dan Mahsuri juga mensyaratkan kalau mahu memberi sumbangan, hanya menerima wang tunai melalui PayPal atau Bitcoin.
Itulah kegemparan pertama yang menyebabkan Awang dan Mahsuri begitu tular seketika.
Sehingga Mahsuri melahirkan anak sulung sembilan bulan kemudian.
"Kalau tidak kerana Mark Zuckerberg, tiadalah ujudnya Facebook dan kalau tiada Facebook, kita tidak jatuh cinta pandang pertama, inilah Zuckerberg yang bakal menjadi ikon bangsa Melayu!"
Mahsuri tersenyum bangga mendengar kata-kata Awang sebaik melaungkan azan didalam wad bersalin kelas tiga hospital kerajaan. Wad yang bersesakan dengan para ibu termasuk pendatang dan imigran.

Sekali lagi kelahiran diawal Syawal itu, Awang dan Mahsuri menularkan apa yang dianggap sebagai tindakan menyahudikan bangsa Melayu.
Staf Jabatan Pendaftaran yang mencatat nama untuk sijil kelahiran terus terkejut.
"Ini bukan nama pengasas Facebook?"
Awang mengangguk.
"Juga tuan punya Whatsapp dan antara lelaki terkaya di dunia sewaktu awal dua puluhan!"
"Tetapi dia Yahudi!"
"Namanya sahaja Yahudi, ramai nabi-nabi yang kita ada pun Yahudi. Mereka semua nama Yahudi kecuali Nabi Muhammad!"
Staf yang dalam terkejut itu menaik muat sijil kelahiran ke status Facebook, Instagram dan Whatsapp. Segera menular ke serata skrin dimuka bumi. Dari jumlah 'like' dan komen menjadikan anak sulung bernama Zuckerberg itu lebih popular dari mana-mana politikus dan penceramah bebas.
Sesuatu yang Awang dan Mahsuri sudah jangka dan tidak ambil kisah. Biarlah staf jabatan pendaftaran itu sama mendapat pengikut yang ramai sehingga puluhan ribu hanya kerana membawa berita sensasi terus dari pejabatnya.
Sekelip mata anaknya bernama Zuckerberg menjadi isu, polemik, perbahasan dan gosip bertaraf antarabangsa dikalangan warga siber yang semakin banyak membuang masa dengan pelbagai hujah.
Bagi Awang, dia berterima kasih kepada ibu bapanya kerana berani menamakan dia sebagai Awang, Nama klasik orang Melayu yang sudah pupus. Kalau dipanggil Awang, tentu memalukan.
Begitu juga Mahsuri, dia cukup bangga dengan nama itu. Begitu unik dikalangan kawan-kawan yang semuanya mempunyai nama-nama dari perkataan Arab. Tiada seorang pun kawan-kawan sebayanya mempunyai nama berakar umbi Melayu.
Itulah antara sebab mereka jatuh cinta pandang pertama. Hanya kerana nama yang berlainan dan begitu asing.
"Kau tengok nama-nama moden yang semakin berjela dengan mencuplik Bahasa Arab. Kadang lebih Arab dari Arab. Kalau kau pergi ke negara-negara Arab, mereka tiada pula nama-nama yang kita impot itu kecuali nama-nama asal sejak zaman berzaman!"
Awang berhujah dalam grup Whatsapp alumni universitinya.
"Apalagi, apakah dengan nama-nama yang kita ada, terutama yang dikatakan Islamik kerana kutip perkataan Arab, kita menjadi lebih Islamik, lebih baik dari generasi sebelum kita?"
Sambung Mahsuri dalam pantang masih bersemangat untuk menegakkan motif disebalik nama.
"Apakah kita telah maju juga? Telah mencapai taraf peringkat dunia dalam pelbagai bidang? Kau lihat sahaja bolasepak, semakin jatuh ranking walau hampir semua main bola dan semua gila bola. Apalagi dalam sains dan teknologi yang pernah menjadi sasaran menuju sebuah negara maju. Kita terus menjadi pengikut dan pengguna semata-mata. Telefon pintar pun kita tidak dapat keluarkan sendiri, kereta nasional pun sudah menjadi milik asing. Lagipun ramai yang percaya Melayu itu suku ketigabelas bangsa Yahudi yang hilang!"
Komen Awang segera dijawab dengan pelbagai hujah dan maki hamun.
"Kau mahu yahudikan anak kau?"
"Kau mesti ingat yang yahudi terutama Zionis itu musuh utama Islam!"
"Kau mahu publisiti murahan. Nama itu doa! Mesti nama yang bermaksud baik-baik!"
Masng-masing yang tidak bersetuju terus menghentam kiri kanan atas bawah.
Membuat Awang dan Mahsuri seronok. Ada kelucuan. Ada kebodohan.
Kedua anak Melayu yang bercampur pelbagai suku, ada Bugis, ada Jawa, ada Mamak, ada Minang itu yakin Zuckerberg sudah mula membawa perubahan, sekurangnya, anak sulung itu sudah terkenal tanpa perlu bercakap apa-apa. Apalagi tidak perlu berbohong.
"Ada beda Zionis dan Yahudi! Cakap, apa yang tidak yahudi dalam kehidupan kita? Apa pengaruh yahudi yang kita tidak suburkan? Yang kau orang guna Facebook dan Whatsapp itu bukan milik Yahudi? Apalagi pelbagai teknologi, perubatan, hiburan dan sukan yang menjadi budaya seharian? Jangan lupa yang hutang kad kredit, kereta, rumah dari bank konvensional yang kalian semuanya riba dari Yahudi!"
Awang suka melayan kawan-kawan 'wira papan kekunci' yang cepat menghukum dan cepat menyebarkan apa sahaja, sama ada berita palsu atau fitnah secepat mungkin untuk tular dan menjadi sensasi.
"Kalian tahu, kami pun sudah ada nama untuk nama anak kedua lelaki kalau ada rezeki!" Komen Mahsuri segera mendapat balas berderet. Mencurah bagai empangan pecah dan banjir kilat.
Awang terus menjawab pertanyaan dengan ringkas, sebagai penutup komen sebelum keluar dari grup alumni Whatsapp yang semakin mengarut, merapu dan membuang masa dengan pertikaman lidah. Semakin mundur dari segi pemikiran dan wawasan walau semua sudah bertaraf graduan. Taraf mentaliti yang diperkudakan Yahudi melalui sosial media.
"Nama bakal anak lelaki kedua kami ialah Jack Ma!"

- Tamat -