Tuesday, November 28, 2017

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 APIS DORSATA Dewan Sastera, Oktober 2016


Cerpen: Apis Dorsata
Oleh: Fudzail
Dewan Sastera, Oktober 2016


Biasanya begitulah. Awal musim kemarau hingga awal musim hujan, daerah Tenggara dipenuhi koloni Apis Dorsata. Lebah hutan yang setia dengan daerah hutan berbukitan. Dalam bulan-bulan yang ramah itu, ruang dipenuhi dengan dengungan kepak sayap lebah. Bagai irama yang melatar kehidupan meriah sebuah kampung Orang Asal yang kekal dengan tanah adat dan budaya warisan.
Tiba-tiba keadaan berubah. Sekelip mata. Tidak semena-mena. Mengejutkan.
Perubahan persekitaran yang membatas langkah. Kekagetan. Kebingungan jadinya. Terkedu.
Tiada lagi dengungan kepak sayap Apis Dorsata. Hilang begitu sahaja. Lenyap dan lesap. menjadikan suasana kurang siuman untuk makhluk lain yang tercari-cari, ternanti-nanti kemunculan irama hutan yang klasikal. Segalanya meresahkan. Mengelirukan.
Amit Joyo  pun melihat satu peristiwa yang tidak pernah terjadi sebelumnya. Irama alam kacau bilau di pandangan nuraninya. Banyak tanaman kelihatan tidak berbunga di perkebunan. Ratusan ribu lebah dari lima puluh koloni yang biasanya muncul serempak dan pergi bersama-sama seakan merajuk dan tidak muncul-muncul.
Ghaib.
Seakan satu berita sedih dari alam sejagat. Ketiadaan Apis Dorsata yang tidak membawa ruang seindah puluhan musim lalu. Kabar kematian diluar kebiasaan. Tidak pernah berlaku. Mustahil boleh berlaku. Tidak terjangka boleh berlaku.
"Ini bukan satu kebetulan!"
Suara anaknya, Hayati di telefon menyambar emosi Amit Joyo. Hayati yang menelefon dari asrama universiti itu sering kali membawa pelbagai kejutan. Kali ini, sama-sama dengan kejutan. Satu-satunya anak kampung di kawasannnya yang berjaya ke universiti. Hayatilah tempat Amit Joyo bertanya dan mengadu hal dalam banyak perkara.
Apalagi anak kesayangannya itu mengambil jurusan alam sekitar, kerana katanya mahu menjaga alam yang semakin huru hara oleh pembangunan dan kerakusan manusia dalam mengejar kebahagian material. Merosakkan alam terutama hutan, dari pembalakan tanpa had kepada pertanian beribu ekar, penggunaan buruh asing yang terlampau, semuanya untuk keuntungan jangka pendek syarikat-syarikat besar  tanpa menghiraukan kesan jangka panjang.
"Di mana-mana ada kacau bilau. Lautan Pasifik dan Atlantik menghumban ikan-ikan mati ke pesisiran. Tanah jerlus di benua Amerika dan Afrika menelan sungai dan kenderaan. Gempa di Jepun, Indonesia menelan ramai manusia. Hujan turun selebatnya di Peru, banjir besar di Rio de Janeiro. Bunyi berdegung kuat tanpa ketahui asal muncul menggegarkan rumah di banyak tempat secara tiba-tiba. Meteor semakin kerap menyalakan api di malam tanpa jangkaan. Malah, hujan lebat sekali dalam seribu tahun membanjiri Amerika tengah dan selatan. Salji lebat di Mexico dan Timur Tengah. Hujan lebat dengan kadar melebihi turun setahun membanjiri negara-negara Arab. Kepanasan membahang di sini. Pemanasan global. Fenomena alam tunggang terbalik yang semakin gila!"
Amit Joyo hanya mendengar percakapan Hayati dengan serius. Dia tidak pasti sama ada memahami semuanya. Tidak menjangkau minda orang biasa sepertinya yang jarang keluar dari kampung. Tidak juga menonton TV, membaca akhbar, melayari Internet. Hidupnya mudah. Selagi ada kederat, sihat, dia bangun untuk bekerja. Isterinya, Munah juga begitu. Semua yang ada di kampung sudah cukup untuk kehidupan mudah sekeluarga mereka. Mereka tidak kaya dari segi material. Cukup mewah dari segala yang diperlukan. Sesekali mendapat bonus dari pelbagai lawatan pmbesar dan kempen pilihanraya.
"Alam semakin memberontak dan semua makhluk menjadi mangsa!" Kata-kata terakhir Hayati menambah kegusaran.
Terngiang El Nino,  antara yang disebut Hayati. Perubahan cuaca dan iklim dunia mengubah tabie alam. Bersedia untuk pelbagai bencana yang datang tanpa amaran.
Mengapa? Dia bertanya sendiri dan fikirannya buntu. Keliru. Bertambah gawat mendengar cerita Hayati yang melontar seribu pertanyaan tanpa jawaban segera. Membalun saraf otak lelaki berusia lima puluh tahun yang hanya mahu mencari rezeki seadanya. Tidak pernah mengambil serius dengan pelbagai masalah.
Apakah dunia sudah mahu kiamat?
Dia bertanya sendiri ke arah ruang perkebunan. Kosong. Tiada pembalikan dari imej-imej monotonous. Puluhan tahun landskap yang sama. Tidak pernah menjemukan. Perubahan tidak pernah perlahan atau cepat. Hanya seadanya.
Amit Joyo mengeluh sambil menghisap rokok. Membuang asap ke setiap arah. Tidak fokus kerana terkedu yang Apis Dorsata tidak pulang dengan koloni. Kebiasaan yang sudah menyimpang. Janggal tidak mendengar degungan kepak Apis Dorsata. Hanya kicauan burung-burung, tupai dan ayam itik  yang mengisi pendengaran.
Bagi Amit Joyo, Apis Dorsata itu penting bukan sahaja kerana madunya yang boleh dijual. Itu perkara kedua. Paling penting kehadiran Apis Dorsata pada tiap musim adalah petanda segalanya masih baik. Masih OK. Masih biasa biasa. Normal. Tiada musibah dan bencana yang datang. Alam masih mesra seperti selalu. Irama kepak sayap Apis Dorsata adalah muzik penata yang terus indah dipendengaran.
Dalam berkecamuk, dia teringat sesuatu.
Segera mengambil kapcai dan menunggang ke arah jalan raya. Dia mahu bertemu Mihat di kampung berdekatan. Asakan dari tragedi Apis Dorsata yang hilang membuatkan dia terasa tidak senang duduk.
Sudah lama juga Amit Joyo tidak bertemu Mihat. Nombor telefon pun sudah berganti. Kabar terakhir dari kawan-kawan, Mihat telah menternak lebah sebagai pencarian pendapatan. Tidak lagi mengambil upah menebang balak dan mengutip kelapa sawit. Katanya, dia mahu menjadi usahawan hasil dari simpanan yang ada. Berniaga mengikut kawan-kawan berbangsa Cina.
Tidak sukar untuk mencari Mihat, rakan sekolah yang sama-sama membesar semenjak kecil. Rumahnya tidak jauh dari sungai diantara perkampungan Orang Asal dan perladangan kelapa sawit. Tidak sibuk. Masih damai. Tenang.
Mihat tidak terkejut melihat kedatangan Amit Joyo. Dia seakan terbau semenjak seminggu lalu. Entah mengapa, ada ingatan melintas terhadap Amit Toyo.
" Apis Dorsata dan semua koloni tiba-tiba ghaib!"
Sepatah perkataan Amit Joyo sudah memadai untuk Mihat memahami. Suara mendesak Amit Joyo menyebabkan Mihat sekadar mendengus. Tersenyum nipis.
Sememangnya dia tahu Amit Joyo tidak mungkin bertanya mengenai lebah ternakannya yang sama menghilang semenjak sebulan. Koloni yang sebanyak sepuluh  itu hanya tinggal lima. Mengurangkan pendapatan separuh dalam masa sebulan dan terus berkurangan.
Tentu juga Amit Joyo tidak bertanya mengenai khasiat hasil dari lebah dengan bahan baku nektar bunga. Dengan komponen glukosa dan fruktosa. Selain asam amino, protein, enzim, mineral, asam organik, maltose dan masih banyak khasiat lainnya.
Tidak perlu juga Mihat bercerita yang madu hasil ternakan lebahnya memang sedap. Sebab  terhasil menerusi kerajinan lebah mencari manisan daripada pokok gelam, akasia , nenas dan belimbing, mempunyai bau yang lebih kuat. Campuran asli dari khazanah hutan simpan yang tersisa.
"Ajaib! Sama dengan koloni lebah ternak di sini. Menghilang!"
Amit Joyo terlopong. Memandang ke arah kawasan ternakan koloni lebah yang dengungannya seakan bisikan tanpa semangat. Tidak meriah seperti dengungan Apis Dorsata.
"Apa sudah jadi?" Pertanyaan Amit Joyo merentas perkebunan ditengah tengahari membahang.
Terlalu panjang untuk menjawab, detikan hati Mihat. Sama terasa bersedih. Sama dalam gelombang yang tidak ketentuan. Seakan dihempap koloni-koloni dan lemas dalam lautan madu.
Semenjak menjadi penternak lebah, banyak yang dipelajari mengenai lebah dan setiap yang berkaitan. Dari jumlah 20,000 spesis lebah yang ada, dia hanya tahu lebah kelulut peliharaannya. Itu pun sudah cukup memadai untuk merasa keajaiban makhuk kecil yang menjadi penting untuk kehidupan. Bukan sekadar madunya sahaja. Fungsi lebah jauh kritikal daripada apa yang diketahui ramai.
Dari pelanggan-pelangan yang majoritinya beragama Islam, Mihat tahu yang madu mempunyai manfaat yang banyak untuk kesehatan tubuh manusia dan menjadi ubat semulajadi untuk menyembuhkan penyakit manusia.Sebelum ubat antibiotik ditemukan, madu digunakan sebagai ubat paling mujarab di zaman silam di mana-mana adanya lebah.
Malah dari pelbagai pembacaan di Internet, Mihat tahu dari kata-kata Albert Einstein yang kalau lebah menghilang dari permukaan bumi, manusia hanya punya sisa waktu hidup selama empat tahun. Tiada lagi lebah, tiada lagi pendebungaan, tiada ada lagi tumbuhan, tiada lagi haiwan, tiada lagi manusia. Semuanya lupus!
Selama setahun, Mihat melayari laman-laman web, Facebook dan belajar mengenai lebah menerusi video YouTube selain melawat beberapa ladang lebah madu ditempat lain. Dengan kegigihan, usahawan Orang Asal  itu mampu meraih pendapatan purata RM8,000 sebulan melalui lima kotak atau koloni lebah yang dihuni oleh 70,000 ekor lebah bagi setiap kotak.
Rezekinya melimpah ruah, jauh lebih tinggi dari menjadi kuli pembalak dan peneroka kelapa sawit. Malah, dia tidak perlu ke mana-mana, hanya bekerja santai di kebun kawasan  rumah. Mempunyai masa untuk mengail dan berkebun sayur. Dan melayari Internet.
"Kita minum dahulu!"
Bukan mudah untuk Mihat menjelaskan kepada Amit Joyo,  mengenai ekosistem alam semulajadi yang melibatkan lebah. Tidak mudah menghuraikan yang lebah madu mendebungakan 90% dari semua tanaman berbunga di Amerika Syarikat dan paling minima 30% dari seluruh tanaman di dunia. Setidaknya sepertiga dari makanan di dunia tergantung pada pendebungaan oleh berbilion lebah yang bekerja siang malam tanpa ganjaran. Semuanya teratur mengikut peranan masing-masing, lebah ratu, lebah jantan dan lebah pekerja berkerjasama daalam keharmonian. Saling melengkapi dalam satu pasukan yang tidak pernah membawa kerosakan dan peperangan yang memusnahkan.
Tidak seperti manusia yang mengambil mudah keujudan lebah.
Mihat yakin tentu sukar untuk Amit Joyo memahami yang pendebungaan oleh lebah diperlukan untuk banyak tanaman. Buahan seperti epal, ceri, kacang almond, dan limau.
Mihat tidak mahu menambahkan kekeliruan Amit Joyo dengan memberitahu yang lebih dari 100 tanaman asas memerlukan pendebungaan. Tanaman seperti pohon almond, akan tumbuh buah hanya jika bunga mereka mendebunga silang, membuat pertukaran genetik antara dua variasi yang berbeda. Hanya lebah yang mampu melakukannya.
Kalau dia menghuraikan pun, Amit Joyo tidak perlu maklumat semua itu.
"Banyak lebah mati dan ghaib di merata dunia. Malah terus pupus di beberapa tempat di Amerika dengan kadar tinggi, sehingga 30%. Akibat colony collapse disorder , gejala kemusnahan koloni dan antara sebab utama ialah racun serangga, yang sama digunakan di perladangan di sini!"
Senafas kata Mahit yang menyebabkan Amit Joyo hampir tersembur.
Dia tidak menyangka yang Mahit boleh bercakap sesuatu yang didengarnya begitu bijak. Mana mungkin Mahit yang sama-sama tidak lulus SPM itu boleh mengungkap maklumat sebegitu cerdik.
Mihat dapat merasakan apa yang berada di fikiran Amit Joyo.
"Sejak aku mula menternak lebah, aku belajar banyak perkara. Semuanya melalui Internet. Bukan sahaja mengenai lebah, malah apa sahaja yang menarik minat, yang selama ini aku tidak tahu!"
Tiba-tiba Amit Joyo disambar sesuatu yang merentap jiwa. Didepannya itu bukan lagi Mihat yang dikenalinya sebagai kawan yang tidak peduli apa-apa. Selain bekerja untuk mencari nafkah dan berliburan. Tunggang langgang dengan todi dan arak.
Ternyata dari wajah Mihat sendiri, ada kelainan. Nampak lebih tua dari kali terakhir mereka bertemu. Tua yang menyerlah sebagai lebih berilmu.
"Perkara yang nampak mudah seperti lebah ini pun kompleks untuk kehidupan. Haiwan sekecil lebah yang kita pandang ringan ini menjadi sebahagian daripada komponen kehidupan yang penting. Tentu kau masih ingat subjek sains masa sekolah mengenai pendebungaan!"
Amit Joyo ketawa. Dia tidak ingat apa-apa. Terlalu lama sudah meninggalkan sekolah dan banyak yang telah berlaku.
"Ya! Kita gagal dalam sains!"
Mihat sama ketawa. Tiada penyesalan kerana mereka berpuas hati dengan apa sahaja. Akademik bukan kekuatan mereka. Perspektif kehidupan bukan untuk mengejar sijil. Ada prioriti lain yang merangsang keremajaan.
"Dan kita semua subjek kantoi!"
Hilaian bergema bersama deruan angin kering yang menyimbah. Bahang suhu terasa menembusi kulit. Sudah lama hujan tidak turun. Musim kemarau yang gersang dan kontang.
Ada sedikit nostalgia masa lalu yang menyelubungi ruang tepi sungai. Aliran air berlalu pergi seperti masa, tidak akan berundur dan berulang. Semuanya telah banyak berubah. Yang tidak berubah adalah perspektif Amit Joyo mengenai kehidupan di kampung tanah adat.
Seketika, mereka kembali dalam ruang yang pernah mengisi jejak perjalanan. Seketika, melupakan masalah besar didepan mata.
Ketawa mengingati kisah-kisah lucu yang terjadi. Setiap yang masih dalam memori.
Amit Joyo kembali bertanya mengenai tragedi kehilangan Apis Dorsata. Membuatkan Mihat bersemangat untuk menjadi Pak Google dengan pelbagai jawaban mengenai lebah.
Di depan skrin komputer, Mihat membawa Amit Joyo ke pelbagai laman web. Seakan mahu mencurahkan semuanya sekali gus. Segala yang terbuku dan tersimpan tanpa kesempatan untuk dikongsikan dengan sesiapa.
"Runtuhnya koloni lebah telah berlangsung selama lebih dari satu dekad, tidak semua orang tahu bahawa pada tahun dari tahun 1972 ke 2006, ada penurunan dramatik dalam jumlah lebah madu liar di Amerika Syarikat sendiri, dan penurunan bertahap dalam koloni secara keseluruhan!"
Amit Joyo mengangguk. Matanya sesekali ke arah koloni lebah ternakan Mihat. Ada kerinduan kepada Apis Dorsata. Tetapi teruja dengan segala maklumat dari laman web menyebabkan dia terus fokus.
"Kerugian terus stabil sejak 1990-an di sekitar 22% hingga 35 % setiap tahun yang disebabkan oleh berbagai faktor, seperti tungau, virus, penyakit dan stres. Tahun 2007, sindrom gangguan runtuhan koloni  secara rasmi telah dikesan dengan hilangnya semua lebah madu dewasa dalam koloni lebah, sementara larva lebah masih belum matang, dan madu pun tidak ada!”
Mihat terdiam apabila ada deringan telefon. Segera menjawab.
"Banyak pesanan yang tidak dapat ditunaikan. Bekalan madu tidak mencukupi. Di mana-mana tidak mencukupi. Harga pasaran boleh naik kerana semakin ramai mahu madu untuk kesihatan!"
Mereka kembali menatap skrin komputer.
"Hal ini diyakini bahawa racun serangga yang menjadi sebab, pada tahun 2012 beberapa kajian bebas  menunjukkan racun serangga bahwa neo-nicotinoids memiliki suntikan campuran yang sebelumnya tidak dikesan seperti debu, serbuk sari, nektar yang mempengaruhi lebah dan kesihatan mereka. Toksin sub-nanogram mengakibatkan lebah gagal untuk kembali ke koloni, inilah gejala utama gangguan runtuhan koloni  Akibatnya, banyak negara melarang racun serangga neo-nicotinoid kerana fakta bahwa mungkin zat tersebut yang bertanggung jawab atas runtuh koloni lebah secara terus-menerus!"
Amit Joyo mendengar tekun. Teringat racun serangga yang digunakan. Tidak pasti jenama kerana dia hanya membeli tanpa bertanya apa-apa. Telah lama menggunakan racun yang memang berkesan. Racun serangga yang kata penjualnya, terbaik di dunia dan buatan Amerika Syarikat itu.
"Dan racun itu membunuh semua lebah termasuk Apis Dorsata?"
Mihat mengangguk.
"Bukan sahaja racun itu efisien membunuh serangga, malah lebah! Lebih daripada itu, limpahan air membawa sisa racun ke parit dan sungai, juga membunuh ikan-ikan dan kehidupan lain. Inilah petaka dari ketamakan, kerakusan kapitalis!"
Dalam beberapa jam, Amit Joyo teruja dengan Mihat, kawan yang dalam usia lima puluhan menunjukan anjakan pradigma.  Begitu semangat Mihat, dari tentang lebah, dia menunjukkan pelbagai maklumat tumbuhan dan tanaman dipersekitaran kampung yang selama itu tidak diketahui nama dan keujudan. Semuanya ada di Internet. Klik dan baca.
"Kau tahu, ramai manusia di luar sana yang mahu kembali ke kehidupan seperti kita. Bukan sekadar untuk bercuti dan menikmati segala yang mereka hilang oleh kemajuan dan pembangunan tanpa kerohanian, malah menjadi sebahagian dari alam yang masih tersisa tanpa pencemaran dan kerosakan!!"
Mihat terus bercakap dengan kepuasan.
Walau masih tersentuh oleh kehilangan Apis Dorsata dari ruang perkebunan, dan terus kebingunan dengan maklumat yang terlalu banyak untuk dimamah minda, Amit Joyo terasa semuanya bukan kebetulan.
"Aku bertambah mengerti mengenai lebah, racun dan alam sekitar!"
Amit Joyo berkata dengan wajah sedikit ceria. Dia tidak pernah tahu yang lebah daripada koloni yang sama akan melawat 225,000 kuntum bunga setiap hari. Tidak tahu yang seekor lebah biasanya melawat lima puluh hingga seratus kuntum bunga sehari kekadang boleh mencecah sehingga beberapa ribu sehari.  Tidak tahu yang dua belas ekor lebah diperlukan untuk menghasilkan satu sudu teh madu sepanjang hayatnya.
Memang banyak yang dia tahu mengenai Apis Dorsata selain kehadiran lebah itu menyerikan ruang musim dan membawa rezeki seadanya. Apis Dorsata adalah rakan perjuangan dalam perkebunan dan mencari rezeki.
Semua maklumat dari Mihat, kutipan dari Internet itu seakan menjadikan dia sendiri lebih cerdik dari sebelum histeria dengan kehilangan Apis Dorsata. Memang bukan kebetulan walau ada terdengar yang bukan semua maklumat dari Internet boleh dipercayai dan banyak maklumat palsu serta fitnah.
"Dan tentunya, tidak terlambat juga untuk berkawan dengan Internet?"
Seketika, pertanyaan Mihat itu seakan lontaran imaginasi yang berdengung kuat seperti irama kepak sayap Apis Dorsata mendatangi ruang musim kemarau!

- Tamat -

Nota:
Apis Dorsata - nama saintifik Lebah Hutan

No comments: