Sunday, January 08, 2017

Aku Hanyalah Penghutang PTPTN

Image result for hutang PTPTN


Dari kecil bercita-cita tinggi
mahu jadi orang pandai
masuk kolej atau universiti
punya ijazah dengan minima GCPA 3.8
untuk membantu ayah ibu
untuk menyumbang kepakaran
demi agama, bangsa dan negara
bersama transformasi 2050
setidaknya keluar dari kampung
berhijrah ke kotaraya
dengan kilauan neo-neon
dengan segala kemeriahan
pembangunan melimpah
merempuh kesesakan jalanraya
simbol kejayaan ketuanan.
Kini berijazah ke sana sini
mencari kerja atas talian
mengetuk pintu2 pejabat
walau media perdana
tidak habis mencanang
ekonomi ditahap terbaik
ratus bilion projek di mana-mana
sedangkan para pendatang
halal dan haram tanpa apa-apa
dibawa masuk berjuta-juta
Bangla, Nepali, Myanmar, Indian
dan kini Cina Tanah Besar
semakin ramai dan mudah
mendapat kerja
dari kami anak-anak bumiputera
hanya layak sebagai penganggur
di tanahair sendiri.
Tidak juga kami bebas
berniaga ditepi jalan
tanpa modal
apalagi tersekat di airport
kalau mahu keluar negara
nama pun tersenarai hitam
tidak boleh itu ini
walau kami bukan PEROMPAK
bukan KORUP dan RASUAH
bukan banduan Sirul
bukan anak-anak politikus Umno
ada yang kaya raya
tayang aksi di Instagram
berlagak dengan kereta mewah
melancung ke sana sini
atau anak ketua wanita
dapat biasiswa berjuta untuk ke Harvard
kerana kami hanyalah
golongan miskin bandar
dan penghutang PTPTN!
Fudzail

No comments: