Sunday, November 29, 2015

Sajak: Apa kabar Tanahair?

Di pelusuk-pelusuk pedalaman
belantara dan pergunungan
ke kota-kota hutan batu-bata
masih mengalir semangat
dikalangan yang insaf
sedar dan bertanggungjawab
untuk bangkit dan merubah
kepincangan dan kebobrokan
legasi kepimpinan bangsat
yang terus berwajah keparat
biar dimekap dengan warna-warna
wasatiyyah, islamik atau 1Malaysia
kerana kebusukan telah menjadi
sinonim dengan identiti korup.

Apa kabar tanahair
apa kabar lelaki dan perempuan
marhaen dan elitis
siapa pun kamu warganegara
yang dalam cermin berhias
apakah terlihat imej-imej
refleksi seribu realiti dipermukaan
masihkah ada patriotisme
atau tinggal gegar vaganza
riuh rendah macam bangkai
menjejak hari ini dan esok
untuk hidup hanya sekali
dan untuk mati berkali-kali
bukan sekadar makan minum
berak kencing tidur beranak pinak
melaungkan kemerdekaan
menyanyikan lagu-lagu propaganda
kerana lembu dan ayam itik
juga hidup dan mati
mengikut syariat alam
tetapi lebih berjasa sebagai hamba
disembelih sebagai juadah
yang tidak punya dosa pahala!
Fudzail

No comments: