Friday, November 27, 2015

Sajak: Angguk-Angguk, Geleng-Geleng




Diperhimpunan kali ini
istimewa sekali 
hanya lembu dan kambing
ayam kampung dan itik serati
menghadiri dan mendengar
ulangan retorik berapi-api
para hero ladang haiwan
buaya, ular dan musang berbulu ayam
segak bersongkok dan bersampin
menghunus keris keramat
simbol kuasa politik keparat
demokrasi main wayang
dulu, kini dan selamanya
matlamat menghalalkan cara.

Masyuk kiri kanan
tidak muat poket
penuh seluar dalam
rezeki melimpah dari langit GST
maka sebulat suara perwakilan
berikrar taat setia hingga mati
mempertahankan kepimpinan 1MDB
biar dana derma hanya masuk
akaun peribadi shariah-compliance
dan projek bilion-bilion atas kertas
untuk para kroni yang pagi petang
menghitung keuntungan atas angin
sambil berjoli sakan
sesekali menderma sana sini
sebagai hartawan korporat
bertaraf idola.

Lembu dan kambing
ayam kampung dan itik serati
angguk-angguk
geleng-geleng
tepuk bersorak
terpesona dengan pembohongan
walau sama-sama tahu
hanya menanti masa
untuk disembelih sebagai lauk
hidangan para kapitalis
cukong dan politikus
yang terus kenyang curi makan
atas nama ketuanan haiwan pribumi!

Fudzail

No comments: