Sunday, November 01, 2015

Dewan Sastera Nov 2015 - Cerpen 'Pulau Ikonik' oleh Fudzail




Begitu cepat menjadi viral. Berterbangan dan bertaburan di media sosial. Keluar masuk merentas denyutan elektronik dan jangkauan rangkaian jalur lebar.
“Pulau Ikonik semakin tenggelam!”
Sebaik membuka mata dari tidur panjang, terpandang tajuk kutipan berita sensasi dari grup Whatsapp di skrin telefon pintarnya. Tajuk itu sudah cukup menarik perhatian Ameera. Jantungnya berdenyut laju.
Segera menelefon ibunya.
“Mana dapat berita itu?”
Terdengar ibunya ketawa kecil.
“Dari grup Whatsapp!”
“Jangan mudah percaya berita yang tersebar tanpa sumber sahih. Tiada apa-apa yang dahsyat atau darurat sedang berlaku di sini. Hanya ada paip besar yang pecah dan air melimpah membanjiri satu kawasan apartmen!”
Ameera menarik nafas lega. Pulau Ikonik yang terletak di Teluk Arabia itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan ekspatriatnya. Sudah tujuh tahun menghuni pulau buatan yang berbentuk pelepah pokok kurma itu. Semenjak usia sebelas tahun dan kini menjadi seorang siswi di sebuah universiti di Eropah.
Pulau yang dianggap antara yang ajaib di dunia itu jugalah yang sudah dianggap kampungnya sendiri.
Perbualan dengan ibunya terhenti di situ. Ameera segera meninjau keluar dari tingkap flet. Ruang pagi yang menyinari memberikan kelegaan selepas hujan ribut dengan panah petir menemani malam. Sesuatu yang ganjil kerana musim panas selalunya tanpa hujan. Malah lebih pelik ada tempat-tempat di kawasan berhampiran, salji turun. Tidak pernah berlaku di musim panas yang membahang.
Musim panas kali kedua Ameera berada jauh dari Pulau Ikonik. Musim panas yang terasa semakin membahang luar biasa sehingga ramai yang mati kepanasan di hemisfera Utara. Udara berbahang dengan kelembapan tinggi menyesakkan pernafasan.
Perubahan  cuaca ekstrem yang dikatakan berpunca daripada fenomena pemanasan global. Melanda tanpa dijangka begitu teruk walau sistem ramalan cuaca daripada satelit semakin canggih dan sentiasa mengawasi. Banjir, taufan, kemarau, selain kekerapan gempa bumi dan tanah jerlus yang semakin menjadi sebahagian dari berita biasa. Semuanya membawa angka-angka kematian dan statistik kemusnahan mengatasi rekod sebelumnya.
Itu belum masuk pencemaran alam oleh pelbagai kegiatan melombong, perladangan, pembangunan pesat, pelancungan, letupan bom, pembunuhan massa dan kebocoran loji nuklear.
Itulah yang bermain difikiran Ameera. Siswi pengajian alam sekitar  yang tiba-tiba merangsang keprihatinan. Ada asakan menghimpit naluri. Walau sebagai siswi dalam bidang yang sepatutnya memberikan banyak kesedaran terhadap apa yang sedang melanda dunia. Tetapi bagi Ameera, dia hanya mahu menghabiskan pengajian dan bekerja. Mahu berumahtangga dan membesarkan keluarga seperti ibunya. Surirumah sepenuh masa walau mempunyai ijazah.
“Sebenarnya, Pulau Ikonik itu memang sedang tenggelam!”
Audrey, rakan satu alumni sekolah menyambung sembang di grup Whatsapp selepas Ameera menghantar mesej membetulkan berita palsu yang tersebar.
“Mana kamu tahu?” Tanya Ameera jengkel.
Memang dikalangan rakan-rakan dalam grup Whatsapl alumni kelas GCSEnya itu, Audrey sering mengirim pelbagai berita yang tidak menjadi berita media perdana. Berita alternatif daripada pelbagai sumber yang dikutip dari blog dan laman sesawang suara bawah tanah.
Mesej yang dihantar Audrey selalunya tidak dilayan atau mendapat komen apa-apa. Yang lain lebih berminat dengan pelbagai berita hiburan sensasi mengenai artis dan selebriti. Memanjangkan pelbagai gosip dan skandal. Merayakan perzinaan sebagai gaya hidup moden.
Memeriahkan kelahiran anak luar nikah sesama selebriti yang terus menghiasai tabloid dan ruang siber. Melariskan majalah hiburan dan turun muat lagu serta  filem terhangat. Putaran setan yang lebih diberikan perhatian oleh bilion manusia dari pelbagai ancaman ekologi.
Termasuk Ameera yang tidak lekang dari menghantar apa sahaja bahan mengenai cerita-cerita aneh dan mistik. Kegemaran semenjak kecil.
“Kalau kamu tahu bagaimana mereka membina pulau jadian itu, kamu tidak akan terkejut apa yang sedang berlaku dan  tiada siapa boleh melawan alam semulajadi. Proses pembinaan Pulau Ikonik walau secanggih mana tidak mungkin sehebat kejadian yang dicipta Tuhan. Malah Pulau Ikonik menjadi perlambangan mengenai ketakburan, keegoaan dan kesombongan manusia mahu melawan alam dan Tuhan!”
Kata-kata Audrey, anak kelahiran London itu seakan lontaran peluru yang menghunus minda Ameera. Memang Ameera cukup bangga dibesarkan di sebuah pulau yang menjadi tempat permainan orang-orang kaya dan ternama, selebriti dan tokoh-tokoh politik pelbagai negara. Alamat dan poskod Pulau Ikonik melambangkan satu yang eksklusif.
Khas untuk mereka yang layak dalam senarai Forbes sahaja.
Harga hartanah Pulau Ikonik dianggap antara yang tertinggi di dunia. Malah setiap inci tanah bernilai lebih tinggi daripada kebanyakan tanah di mana-mana muka bumi, kecuali Makkah. Dikatakan Pulau Ikonik juga antara binaan manusia yang dapat dilihat dari bulan, walau tiada siapa mengesahkannya kerana sudah lama manusia tidak menjejak kaki ke bulan.
“Ameera, pergi kaji semula bagaimana Pulau Ikonik dibina dan kembali ke sini untuk berhujah. Cari fakta yang tepat, sahih, bukan Wikipedia, propaganda kerajaan atau blog entah apa-apa dan jangan terlalu emosional. Kita boleh belajar dengan minda terbuka, bukan terlalu lemas dalam gelombang hiburan melulu. Realitinya, pulau kampung kesayangan kamu sedang tenggelam dan ini bukan fitnah, berita palsu atau konspirasi mahu menjatuhkan kepimpinan negara tumpangan kebanggaan kamu itu!”
Sekali lagi Ameera seakan dipalu oleh dentuman halilintar yang menggegarkan.
Terkedu seketika. Berat sekali cabaran dari Audrey yang satu-satunya rakan sekelas tidak menjejak kaki ke universiti, terus bekerja untuk menampung kehidupan. Katanya, kalau masuk ke universiti belum  tentu habis belajar dan mendapat kerja. Lebih baik untuk dia terus bekerja dan simpan duit untuk berniaga.
Audrey walau mendakwa tidak rasis dan hidung tinggi, selalu mengkritik apa sahaja yang dilakukan oleh orang Islam. Mengecilkan. Menghina. Menyindiri. Menyalahkan. Seakan peradaban empayar Britainnya terlalu gah dan terus menjadi empayar dunia.
Sesuatu yang ada benarnya untuk Ameera, dari apa yang diketahuinya, Pulau Ikonik itu sendiri direkabentuk, dibina dan dimajukan oleh warga asing dan imigran ekonomi sepenuhnya, dikepalai oleh mereka yang berkulit putih. Dari Pulau Britain. Mereka yang semuanya dianggap hebat dan berkebolehan dengan gaji lumayan.
Cabaran Audrey dalam grup Whatsapp yang aktif dengan sembang kosong dan hiburan melulu itu tiba-tiba menjadi satu perkara besar untuk Ameera. Apalagi semester baharu masih belum bermula. Banyak masa terluang selain dengan Facebook dan Whatsapp.
Cabaran keras yang tidak boleh ditolak kerana melibatkan maruah sebuah pulau berprestij timggi. Maruah yang mesti dipertahankan.
“OK! Saya akan cari fakta pembinaan Pulau Ikonik dan sahkan pulau istimewa itu tidak mungkin tenggelam sehingga kiamat!”
Jawaban yang ditunggu-tunggu Audrey. Dan lain-lain yang kurang senang dengan Audrey. Masing-masing malas mahu melayan Audrey yang sering keluar dari tempurung pemikiran dan kebiasaan. Sering bertentangan dengan arus perdana dunia dan apa yang dianggap normal. Kadang-kadang membawa teori konspirasi yang dianggap mengarut oleh kawan-kawan. Kadang-kadang seperti fiksyen dogengan skrip pelbagai filem Hollywood.
“Jadikan kajian itu sebahagian dari tesis pengajian ijazah kamu!” Sambung Audrey.
Ameera menarik nafas. Selintas difikiran Ameera, Google menjadi sumber rujukan utama. Tanya apa sahaja kepada Google. Pasti ribuan pautan untuk jawaban yang muncul.
Tidak dapat dibayangkan kalau Google tidak ujud dalam kehidupan anak-anak Generasi Y atau Milinneal, mereka yang lahir dan dibesarkan di abad ke dua puluh satu.
Seperti dijangkakan, ratusan senarai yang keluar dari carian ‘pembinaan Pulau Ikonik.’
Semuanya maklumat yang Ameera tahu semenjak menghuni pulau itu. Asas pulau dari bahan-bahan semula jadi, pasir dan batu batan. 95 juta kubik meter pasir dan 8 juta kubik meter batu batan diperlukan untuk membina dinding setinggi 3 meter diatas paras air laut.
Lapisan pasir bawah laut sedalam 12 meter dipadukan dengan 16 vibrocompactors, membuat 250,000 lubang ke bawah permukaan laut, menggegarkan permukaan untuk memberikan kepaduan. Melekatkan batu batan dengan kukuh. Tidak mungkin bergerak walau satu milimeter pun.
Pembinaan selama dua tahun secara kaedah pelangi dan teknologi GPS yang tercanggih ketika itu. Semuanya tepat mengikut rekabentuk dan pelan perancangan. Tepat sehingga ke milimeter.
Kos pembinaan sebanyak RM42 bilion. Semuanya dari hutang yang menyebabkan krisis kewangan berlaku empat tahun lalu apabila syarikat yang membina Pulau Ikonik gagal membayar faedah dari tanggungan hutang. Hanya setelah mendapat bail-out dari negara jiran, krisis ekonomi dipulihkan walau banyak pembangunan tergendala dan ramai ekspatriat balik kampung kerana dibuang kerja atau syarikat menjadi muflis tidak mendapat pembayaran.
Cantik molek fakta-fakta rasmi yang menjadi lagu tema Pulau Ikonik, semuanya boleh, tiada yang mustahil. Ajaib dan unik. Sempurna seperti alam semulajadi.
Lapuran terkini mengenai Pulau Ikonik yang tersebar merata dunia terus menjadi sensasi. Terus viral. Walau secara rasmi yang evakuasi penghuni bangunan apartment tepi laut hanyalah disebabkan oleh paip yang pecah. Bukan ada apartmen yang jerlus. Bukan kerana pulau tenggelam.
Menurut pelbagai mesej dari Twitter dan Facebook, penghuni terpaksa bergegas keluar dari rumah masing-masing ke jalan raya, menyebabkan kesesakan jalanraya paling teruk sehingga enam jam. Apalagi ada satu-satunya jalan akses menyambung ke bahagian utara tersekat.
“Tiada siapa yang tahu apa yang sedang berlaku termasuk pihak polis dan bomba. Nasib baik ada monorail untuk evakuasi!”
Twitter daripada salah seorang penghuni Pulau Ikonik itu membuatkan Ameera berfikir. Kejadian paip pecah bukan perkara luar biasa, yang luar biasa paip itu pecah akibat tekanan tidak sama diantara paip. Semakin mendalam Ameera membaca, semakin terasa ada kebenaran kata-kata Audrey.
Sambil meneguk air kopi panas, Ameera merenung jauh ke arah gunung ganang yang menjadi lanskap bandar kampus universitinya. Kegagahan gunung ganang merentas permukaan. Tersergam. Menggerunkan dari perspektif kekecilan diri dan kebesaran Pencipta.
Mengingatkan kepada pembacaannya mengenai pembinaan Pulau Ikonik. Dikatakan dua buah bukit besar menjadi rata kerana batu bata yang ditoreh dan diambil untuk menjadi asas pulau. Memusnahkan pelbagai tumbuhan dan haiwan yang hidup di perbukitan. Mengubah ekologi dan ekosistem.
Dia membaca nota seorang penduduk pribumi bandar Pulau Ikonik dari blog protesnya.
“Apabila Pulau Ikonik dibina, ekologi dan ekosistem dalam laut dilokasi juga musnah. Pelbagai haiwan dan tumbuhan dalam laut musnah untuk selamanya. Pulau Ikonik akan menjadi ikonik sebagai pemusnah alam mega abad ke 21!”
Keras sekali kata-kata penulis tanpa nama. Hanya nama samaran sebagai Ikan Sherry, ikan popular yang hanya terdapat di Teluk Arabia dan mungkin boleh pupus dengn penangkapan tanpa had.
Ramai para penulis blog yang menggunakan nama samaran untuk mengelakkan dijejaki walaupun boleh dijejak dari identiti IPnya. Pelbagai akta drakonian mengokong suara-suara dan pembocor rahsia untuk memberi maklumat mengenai pelbagai penyelewengan dan kebobrokan yang berlaku. Meluaskan korupsi dalam pelbagai peringkat dan kuasa.
“Sepatutnya pengukuhan dan pemampatan tanah yang ditambak mengambil masa panjang untuk lebih kukuh. Tetapi perintah dari pihak yang berkuasa yang mahu pembinaan dicepatkan, proses pengukuhan hanya dibuat selama enam bulan. Sebab itu tanah pasir yang ditambak segera terhakis, kembali masuk dalam laut kerana tidak sempat untuk dimampatkan. Menyelenggara hakisan tentunya tinggi untuk pulau jadian sebesar Pulau Ikonik. Dikatakan Pulau Ikonik akan tenggelam satu sentimeter setahun, tetapi itu hanyalah teori dari penyelidikan yang tidak tepat!”

Sambung nota Ikan Sherry yang membuatkan Ameera bersiap, mencapai basikal dan berkayuh ke kampus. Dia perlu bertemu dengan pensyarah untuk tesis kajian pengajian dan daripada cabaran Audrey, dia sudah mengenal pasti apa yang perlu difokuskan.

Sila beli majalah Dewan Sastera bulan November 2015 untuk sambungan seterusnya

No comments: