Wednesday, September 16, 2015

Sajak: Melayu Tanpa Baju dan Payung Merah


Kami tidak berarak dan berhimpun
atas nama bangsa dan agama
menyatakan sokongan padu
setia biar mati katak
pada individu atau parti atau NGO
kerana kami tanpa baju
tanpa payung merah
sekadar marhaen terbiar
kais pagi makan malam
bekerja untuk bayar cukai
menanggung segala bebanan
hutang peribadi dan negara
hanya menjadi raja dipujuk rayu
setiap pilihanraya 5 tahun sekali
barulah dianggap penting
proses demokrasi terpimpin
dibawah penjajahan minda
para politikus yang berkuasa
mempertahankan kebobrokan
dengan pelbagai cara haram
menghalalkan matlamat.

Jangan guna dan jaja
kami Melayu tanpa baju
dan payung merah
dijalanraya
begitu hipokrit dan bangsat
setelah tergadai ketuanan
maruah dan warisan
mengisi enam dekad kemerdekaan
masih kami statistik
majoriti yang kemaluan
kemunduran dan ketinggalan
dalam pelbagai bidang
kecuali kebobrokan
dibawah kepimpinan haprak
transformasi dan wasatiyyah
dengan bilion bilion mengisi
akaun dan kantung peribadi
atas nama perjuangan rakyat.

Kami tidak perlu baju
dan payung merah
kerana kepedulian dan keprihatinan
tidak perlu bermusim
semeriah sandiwara politik
pecah dan perintah
propaganda dan pembohongan
hanya berikan kami
peluang sama rata
keadilan dalam mencari rezeki
di bumi makmur ini
tanpa prejudis dan diskriminasi
mengikut darjat, kroni dan parti
sebagai manusia yang berdikari
bekerja kuat dan amanah
bermaruah dan berintegriti
jatidiri mencapai wawasan
menuju destinasi mimpi
dunia dan alam abadi!

No comments: