Friday, September 11, 2015

Sajak: Kemunculan Hang Tuah



Mungkinkah pahlawan mitos
dianggap ikon kesetiaan
yang bukan keturunan Bugis
atau keturunan Jawa
tetapi Melayu asal Melaka
tiba-tiba muncul
diseru oleh semangat mistik
akan turun berdemonstrasi
memakai semua merah
dari seluar dalam
baju, seluar, songkok
hingga keris taming sari
mahu mempertahankan
seorang politikus korup
demi survival parti kebangsaan
yang konon-konon terancam
dan kepupusan menjelang PRU
biar masih majoriti di parlimen
berkuasa memerintah
secara demokrasi terpimpin
merdeka selama enam dekad


Atau mungkinkah Hang Tuah
menangis dan melolong
reaksi spontan penuh tragis
melihat tiada perubahan
pada nilai dan minda 
anak-anak buah keturunan
malah menjunam jatuh
seperti ringgit
ke taraf negara dunia ketiga
menjelang wawasan negara maju
di abad ke 21
masih terus  diperbodohkan
terus dibangangkan
oleh propaganda dan pembohongan
sedangkan para politikus
buncit, gendut dan jalang
hebat bersongkok dan bersampin
solat lima waktu
yang mengaku pejuang
hanyalah perompak dan penyamun
perasuah dan pemboros
seperti era sezaman sejarah Melaka.


Maka Hang Tuah
berbaju merah
atau tidak berbaju
hari itu di Kuala Lumpur
membuat lapuran polis
tidak mengaku 
yang kononnya pernah bersabda
tak hilang Melayu di dunia
dalam mabuk teh tarik tongkat ali
setelah  keliru dan bercelaru
melihat suasana 1Malaysia
hanyalah drama Korea
kisah cinta tanpa moral
dia pun rela ghaib kembali
hilang tanpa kesan
tanpa kubur 
dulu, kini dan selamanya!

No comments: