Sunday, September 20, 2015

Sajak: Bersilat Pulut Satu Planet



Para hulubalang dan pahlawan
berbaju merah dengan slogan
maruah bangsa dan agama
sudah bersiap sedia
untuk bersilat pulut
dan menampar sesiapa sahaja
berdemonstrasi dimana-mana
termasuk gagah berani
menentang yahudi dan zionis
di bumi Palestin.

Mereka juga mahu singgah
di mana-mana rasisme
maruah terancam
menjadi konflik dan perang
dari Myanmar ke eropah
menyeberang ke benua Amerika
yang dipenuhi diskriminasi
prejudis dan kezaliman
terhadap umat Islam
tetapi di Hollywood
sekejap bersilat tanpa pakaian
menampar diri sendiri
sebagai persembahan pembukaan
sebelum Obama dan rakannya
penaung silat pulut dunia
sang pahlawan Bugis wasatiyyah
bermain golf diplomasi
sambil membincangkan
masalah rasisme di muka bumi.

Kata mereka yang bersongkok
dengan pakaian silat hitam
rasisme itu halal
menampar itu senjata
selagi dibawah keagamaan
bukan mengikut setan
seperti mana silat pulut
menjadi benteng terakhir
dalam mempertahankan maruah
memperkasakan kekuatan bangsa
yang tak hilang di dunia
amanat Tok Tuah yang keramat
walau semakin tergadai
tanah dan warisan
moral dan keimanan
oleh politikus yang sakan merompak
selagi berkuasa 
dan disokong sampai mati
oleh mereka yang bersilat pulut

Jom kita bersilat pulut
menampar dan menerajang
setiap yang berkata tidak
kepada kepimpinan bangsat
kerana konspirasi Barat
bersama Yahudi, kristian dan Cina
media sosial dan media dunia
terus menggugat akidah
sehingga kepimpinan bangsa
menjadi bahan ketawa
memalukan
dipijak-pijak kredibiliti
bersama maruah keturunan
oleh kebobrokan
bagai bangkai gajah
yang tidak dapat ditutup
oleh jutaan baju merah
bersilat pulut!

No comments: