Dia menerima data terkini dari dua buah satelit Grace yang menjejak setiap taburan simpanan air atas planet bumi. Sebagai ahli hidrologi, Dr. Jimmy Teoh meneliti data dari satelit Grace yang membuat sensor graviti itu dengan perasaan gementar.
Sepenuh perhatian. Fokus dan konsentrasi.
Data yang baharu diedarkan untuk para saintis tertentu dalam kalangan mereka yang bertanggungjawab dengan sumber air itu menunjukkan tanah semenanjung di ambang kemarau paling teruk. Epik. Sistem sandaran dari simpanan air bawah tanah semakin kering. Sehingga kehilangan sumber air dapat dikesan oleh satelit Grace dalam orbit setinggi 400 kilometer di angkasa.
Bukan lagi satu mitos mengenai bencana kemarau di bumi bertuah.
Ia berlaku tanpa amaran.
Dr. Jimmy Teoh menghela nafas panjang. Terkejut dan terkedu dalam menatap data yang semakin merampas kewarasan sebagai saintis, penghuni kota dan warganegara yang patriotik.
“Air bawah tanah adalah simpanan strategik. Sandaran negara kita yang penting. Ke mana kita mesti pergi apabila sandaran turut kering? Mengapa tiada pelan B?”
Pertanyaan untuk memancing komen dan hujah. Dihantar melalui Whatsapp kepada dua grup. Grup staf sejabatan. Dan grup alumni sekolah yang melahirkan pelbagai taraf dan peringkat anggota masyarakat. Untuk mendapat maklum balas dan komen yang lebih seimbang. Harapan yang sering sekadar harapan.
Untuk Dr. Jimmy Teoh, hari itu seakan-akan satu petanda tidak baik dan igauan yang menggerikan. Dia rasa bersalah dan bertanggungjawab. Walau baharu sahaja bertugas di institusi pengajian tinggi yang bertaraf universiti apex dan dalam ranking 500 dunia. Tugas semakin mencabar dengan situasi yang tiba-tiba menjadi kritikal.
Setelah mendapat maklumat, menteri besar segera mengumumkan krisis air akibat kemarau di beberapa kawasan. Merayu agar penduduk negeri termaju itu menjimatkan penggunaan air sehingga dua puluh peratus. Keadaan terus meruncing.
“Setiap hari berlanjutannya kemarau, kita terpaksa mengetatkan peraturan dan memantapkan penguatkuasaan untuk memastikan tidak berlaku musibah lebih besar apabila tiada air bersih untuk semua rakyat!”
Kata-kata menteri besar dihantar ke Whatsapp grup alumninya menambah kerunsingan dan kebimbangan Dr. Jimmy Teoh. Dua puluh kampung dan taman dalam bandar raya berkeadaan kritikal tanpa setitik air dalam masa 40 hari. Terpaksa dihantar lori bekalan air dari negeri jiran. Jumlah rakyat yang terlibat pasti meningkat apabila pihak syarikat penyelenggaraan air mengumumkan tidak mempunyai bekalan yang cukup. Paras air di tasik dan empangan terus turun mendadak ke tahap berbahaya.
Semuanya sesuatu yang boleh menjadikan kacau bilau. Bencana alam membawa bencana negara. Tiada kehidupan yang boleh hidup tanpa air bersih. Air adalah dua pertiga dari bumi. Air adalah komposisi terbesar setiap tubuh.
“Mustahil sebuah negara yang banyak hujan, sungai, hutan belantara, hutan hujan malar hijau tropika dan simpanan air bawah tanah boleh dilanda kemarau teruk!”
Sepatah kata Datuk Ibrahim, menyambung perbahasan teks atas talian grup alumni. Datuk Ibrahim pernah menjadi wakil rakyat sebelum digugurkan kerana ada skandal peribadi. Masih beretorik dan bercita-cita untuk kembali bergelar YB. Azam semakin kuat dengan krisis melanda partinya.
“Negara-negara Arab yang kontang tidak pernah mengalami keadaan bekalan air terputus!” Celah Ustaz Yusuf.
“Mereka gunakan air sulingan dari air laut! Kos yang besar!” Celah Zaidi yang sedang bekerja dengan syarikat petroleum di Timur Tengah.
“Yang terbaharu, ada negara Arab yang sudah tidak memberi bekalan air percuma kepada warganegara kerana pembaziran terlampau. Subsidi air tidak mengajar mereka untuk berjimat cermat!”
Dr. Jimmy Teoh sesekali membaca komen dan hujah yang terus berpanjangan dari dua grup berbeza. Tumpuannya masih kepada data dari satelit Grace.
Ada momen yang lebih mengejutkan sedang menanti, bukan sekadar negeri tumpangannya, malah di seluruh dunia, bekalan air bersih semakin berkurangan. Disebabkan oleh permintaan daripada sektor pertanian, pertambahan pendudukan, produksi tenaga dan perubahan cuaca.
Maklumat itu boleh membawa huru-hara!
“Apakah kamu tahu seramai satu bilion manusia, atau seorang dari tujuh orang atas planet ini tidak dapat akses kepada air minuman yang selamat?”
Pertanyaan dan maklumat dari seorang rakan wartawan, Mosab itu tidak mengejutkan Dr. Jimmy Teoh. Setelah lama bermastautin di Britain, Dr. Jimmy Teoh juga tahu yang Britain berada dalam keadaan ekstrem berlawanan.
Muka bumi Britain juga sedang tenggelam penuh kesengsaraan selepas siri ribut Atlantik menghentak pesisiran barat daya. Sebahagian daripada gambaran yang semakin menajam fokus rekod satelit Grace sepanjang dua belas tahun. Negara di latitud utara dan kawasan tropik semakin lembab. Tetapi negara-negara di latitud pertengahan mengalami kekurangan air yang teruk!
Itu termasuk tanah tumpah darahnya, tanah yang melahirkan dia dan memberikan kehidupan, pendidikan dan kesejahteraan. Dia berhijrah ke Britain atas sebab ekonomi. Dia kembali ke tanah air untuk membalas budi walau gaji dan kemudahan yang diterima jauh berkurangan daripada apa yang didapati sebagai ekspatriat. Semangat patriotismenya dalam perjuangan untuk negara yang lebih baik melebihi hujan emas di perantauan.
Dua jam kemudian
“Inilah kepelikan yang terjadi. Imej-imej satelit memaparkan kawasan-kawasan lembab bumi semakin lembab. Itu terletak di latitud tinggi seperti Artik dan latitud rendah seperti kawasan tropika. Manakala latitud pertengahan antaranya, kawasan-kawasan yang sudah kering kontang dan separuh kontang bumi semakin gersang!”
Dr. Jimmy Teoh berkata dengan wajah tenang. Menyembunyikan kerisauan. Dia memberi laporan segera kepada tiga staf utama jabatannya. Terpampang di papan putih, imejan satelit. Terpancar dari projektor.
“Lihat di sini, dari imej-imej satelit ini, kehilangan besar ditandakan oleh hotspot merah. Sungguh menakutkan kerana hotspot merah itu bertepatan dengan lokasi simpanan air bawah tanah!”
Suasana menjadi agak tegang dalam bilik mesyuarat kecil. Masing-masing fokus dengan imejan satelit yang semakin memamah perasaan.
“Hampir semua hotspot merah berpadanan dengan akuifer bumi. Apa yang ditunjukkan oleh satelit Grace ialah penyusutan air bawah tanah sedang berlaku dengan kadar pantas, deras hampir di semua akuifer di kawasan kontang dan separuh kontang bumi. Ini boleh membawa bencana besar kemanusiaan!”
Dr. Jimmy Teoh menghela nafas. Dia mempunyai misi peribadi. Setelah melihat pembaziran air yang berleluasa di semua peringkat pengguna semenjak pulang ke tanah air, dia mahu membetulkan keadaan dengan pendekatan lebih mesra pengguna. Bermula daripada peringkat awal. Peringkat kanak-kanak abad ini yang hidup tanpa mengalami kesusahan tanpa bekalan yang pernah dilaluinya, Menjadikan dia begitu menghargai air dan alam sekitar.
“Kita mesti belajar daripada apa yang berlaku di Timur Tengah, Afrika utara dan selatan Asia yang diramalkan akan mengalami kekurangan air teruk dalam waktu terdekat setelah berdekad pembaziran oleh pengurusan yang buruk dan penggunaan melampaui keperluan!”
Terlalu banyak yang mahu diperkatakan oleh Dr. Jimmy Teoh. Sebab itu dia telah memulakan secara berdikit tetapi berterusan melalui grup-grup Whatsapp, Facebook dan blognya. Walau masih ramai yang belum dapat memahami, apalagi menyedari kesan jangka pendek dan jangka panjang akibat daripada krisis air yang baru bermula. Setelah sekian lama mengambil mudah, enteng dan sikap tidak peduli selagi air paip menitis setiap hari.
Bagi Dr. Jimmy Teoh, ramai tidak nampak yang penyiraman tanaman, pemeroian kedahagaan penduduk di kota-kota yang membesar tanpa batasan, loji-loji tenaga untuk penyaman udara, penggalian telaga minyak dan gas, kesemuanya mengambil air daripada punca bekalan yang terus berkurangan. Selain pelupusan air tasik dan sungai ke udara. Apalagi dengan perubahan cuaca, pemanasan global yang dijangka meningkat suhu dan melipat gandakan musim kontang pada tahun-tahun mendatang.
Ini semua sepatutnya menyedarkan manusia untuk lebih berfikir mengenai air, menghargai air sebagai komponen penting kehidupan dengan lebih logikal, rasional dan kritikal!
Dalam pemerhatian Dr. Jimmy Teoh, majoriti tidak menyedari sikap dan kebiasaan mengambil mudah dalam kemakmuran negara boleh mengundang bahaya. Kalaulah mereka tahu kehilangan simpanan air begitu menakutkan, tentu ramai tidak membazirkan setitik air pun, termasuk ketika berwuduk.
Sesuatu yang menjadi perhatian Dr. Jimmy Teoh walau dia tahu ada sensitiviti kalau ditegur mengenai pembaziran dalam berwuduk. Dia percaya semua tahu pembaziran dalam apa sahaja adalah haram kerana itu mengikut perangai syaitan.
Tetapi dia juga tahu, ramai dalam kalangan kawan Muslimnya, tidak mengambil endah bab pembaziran air dalam berwuduk kerana perkara kecil bagi mereka.
“Kalaulah para pengguna air kita tahu, selama tujuh tahun, bermula daripada tahun 2003, sebahagian daripada Turki, Syria, Iraq dan Iran sepanjang Sungai Tigris dan Sungai Eufrat kehilangan simpanan air bersih sebanyak 144 kubik kilometer. Atau sama banyak amaun air di Laut Mati dan perkara sama terjadi di tanah bertuah ini walau tidak seteruk itu. Apakah kalian tahu fakta ini?”
Kata-kata Dr. Jimmy Teoh itu memang mengejutkan staf yang terlopong. Mereka memandang terus ke layar di dinding.
Bila azan kedengaran, Dr. Jimmy Teoh memberhentikan diskusi. Menghormati waktu solat untuk staf yang beragama Islam. Sempat berpesan, “Jimatkan penggunaan air sewaktu wuduk, mungkin itu amalan yang diberkati!”
Pesanan yang menyebabkan stafnya terasa disindir walau itu bukan tujuan Dr. Jimmy Teoh. Dia ikhlas kerana percaya yang pengambilan wuduk berlebihan bukan rukun dan syarat sah wuduk. Itulah yang difahaminya semenjak sama belajar mengambil wuduk pada zaman persekolahan. Perasaan ingin tahu dan ikut-ikutan dalam memahami budaya dan agama sesama warganegara.
Melihat kepada skrin Whatsapp dua grupnya, ternyata tiada sambungan dan reaksi terhadap data dari satelit Grace. Perbualan grup alumni terus mengenai politik semasa dan pelbagai spekulasi, gosip berkaitan politikus. Merapu bagai perbualan di kedai kopi. Mengecewakan Dr. Jimmy Teoh.
Segera meninjau perkembangan dunia melalui laman sesawang berita yang diikutinya. Dia lebih suka mengikuti laman alternatif anti-Barat kerana bahan yang lebih bermaklumat mengenai apa sahaja isu dan trending semasa. Sudah muak juga dengan media gergasi Barat yang membawa agenda pemilik masing-masing. Berita mengikut strategi dan matlamat tuan-tuan punya yang berpaksikan order dunia baru.
Tiba-tiba dia bagai terpegun. Mengamati laporan yang tertera di skrin laptopnya. ‘Pihak berkuasa keselamatan Amerika memberi amaran krisis air berpotensi membuat konflik baru dunia, termasuk serangan teroris!’
Dr. Jimmy Teoh seakan-akan tidak percaya apa yang dibacanya. Begitu sekali Amerika menjadi polis dan tentera dunia! Mahu menguasai, memantau dan mengawal apa sahaja, termasuk sumber air dunia.
Laporan itu menyebut, ketua perisikan Amerika memberi amaran yang pembaziran air seperti di India, Timur Tengah, Asia selatan adalah sumber konflik yang berpontensi menkrompomi keselamatan negara Amerika.
Terbungkam seketika Dr. Jimmy Teoh.
“Ini sudah gila, apa lagi yang Amerika mahu. Pengaruhnya di mana-mana. Sudahlah minyak di Timur Tengah bagai pam minyak sendiri, berperang dan musnahkan banyak negara Arab kerana minyak, bekalan air negara lain pun mahu dijadikan konflik?”
Pertanyaan secara mesej Dr. Jimmy Teoh itu bagai ledakan bom untuk rakan seuniversitinya, Shaun di Iowa. Awal pagi. Masih belum tidur kerana mengikuti kempen pemilihan presiden.
“Gila? Apa yang tidak gila mengenai Amerika? Pemilihan presiden kali ini lebih gila kerana calon-calon paling gila yang mungkin boleh menang! Semakin hari semakin gila negara gila ini!”
Dr. Jimmy Teoh ketawa. LOL.
“Kau tahu apa yang paling gilanya. Lembangan air yang dianggap kritikal oleh regim Amerika, Nil, Tigris-Eufrat, Mekong, Jordan, Indus, Brahmaputra dan Amu Darya, kalau ada krisis air di situ dikatakan boleh menyebabkan serangan teroris di bumi Amerika!”
Sean ketawa. LOL. ROTFL. Terguling-guling ketawa.
“Kau jangan tidak tahu, krisis air di Amerika memang meruncing. Air akan lebih berharga dari minyak yang semakin melimpah dan harga pasaran dunia terus turun. Siapa yang ada simpanan air yang banyak boleh menentukan kuasa dunia!”
Kata-kata Sean itu menganjak pradigma Dr. Jimmy Teoh.
“Leonardo Di Vinci pernah berkata, air adalah kekuatan semua yang semula jadi,” sambung Sean.
Dalam berfikir dan merenung jauh ke arah persekitaran kampus yang menghijau, Dr. Jimmy Teoh merasakan ada kebenaran perisikan Amerika mengenai serangan teroris kerana krisis air. Air boleh menjadi senjata. Boleh juga menyebabkan negara terjajah, seperti Mesir yang memberikan amaran perang kalau Sudan membuat ampangan di sempadan dan memotong bekalan air Sungai Nil yang menjadi tulang belakang Mesir.
Dia memahami dengan masalah kemarau dan kekurangan air terus memuncak dalam sedekad ini, air yang dikongsi dalam lembangan akan digunakan sebagai keumpilan, penggunaan air sebagai senjata atau objektif terorisme bukan perkara mustahil.
Bukan idea gila. Mungkin presiden baru Amerika yang lebih gila akan memastikan ada serangan terorisme disebabkan konflik air.
Dr. Jimmy Teoh terus berpolemik sendirian.
Kekurangan air boleh menyebabkan pengeluaran makanan terbantut, mengancam bekalan tenaga, menambahkan ketegangan dan stres rakyat yang terbeban oleh pelbagai impak ekonomi. Terutama di negara miskin dan dalam krisis, perang dan konflik berpanjangan.
Seketika, Dr. Jimmy Teoh termenung.
Mengerling ke arah skrin Whatsapp. Sembang ahli grup berterusan. Dia hanya mengimbas kerana malas membaca banyak mesej politik dan jenaka merapu.
Tiba-tiba ada mesej yang dikirim Hazrin, dalam grup alumninya menerojah keintelektuannya. Dr. Jimmy Teoh membaca dengan sepenuh konsentrasi. Seakan-akan jawaban yang memberi pencerahan. Bagaikan magis menerpa ke buana pemikiran. Sedetik terasa fana.
Dia membaca catatan ringkas Hazrin dengan imbasan warna-warna kemilau air dari akuarium kecil biliknya. Warna-warna yang mencetus realiti dari serakan imaginasi. Membentuk pelangi di pandangan setiap ayat dibaca berulang. Bagai hujan lebat turun dalam dirinya yang gersang. Merentas kemerdekaan saujana keterbatasan logikal.
“Kalau belum faham mengenai kehidupan alam, bacalah surah al-Anbiya ayat 30 Allah berfirman, “Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu kemudian kami pisahkan antara keduanya. Daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup!”