Tuesday, July 15, 2014

Majalah i Julai 2014 : Fajar Arabia - Dubai Terus Mara ke Hadapan




Kolum : Fajar Arabia
Oleh: Mohd Fudzail bin Mohd Nor
Penulis adalah ekspatriat Malaysia yang sudah 15 tahun menetap di UAE. Pernah bekerja dengan tiga GLC Dubai dan terlibat secara langsung dengan pelbagai projek pembangunan mega seperti Dubai Internet City, Dubai Media City, Palm Jumeirah dan 10 projek lain. Kini seorang usahawan, perunding bisnes dan pengarah beberapa syarikat. Juga penulis profilik, dengan 7 buah buku, puluhan cerpen, sajak dan banyak memenangi hadiah sastera termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia

Tajuk: Dubai Terus Mara ke Hadapan.
Sebagai seorang ekspatriat yang sudah lima belas tahun menjadi penghuni UAE, semenjak dari permulaan pembangunan dalam tahun 2000 dan melalui krisis ekonomi dalam tahun 2009 yang menelanjangkan banyak perkara disebalik tirai, ternyata Dubai tidak pernah berhenti dari mencorak warna dan wajah baru Arabia.
Kejaiban Dubai dalam masa sedekad menjadi satu jenama global dengan pembangunan pesat dalam pelbagai bidang dan mengembangkan sayap ke merata planet memang menakjubkan. Walau apa pun ukurannya, Dubai telah melonjak ke persada dunia.
Oleh kerana itu, saya begitu bertuah kerana diberikan rezeki untuk menjadi salah seorang yang terlibat mempelopori projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah.
Dengan pengalaman dari peringkat perancangan, perlaksanaan hingga siap sepenuhnya lebih kurang 15 projek mega, dan melihat perubahan mendadak sekeliling sebuah gurun, ternyata kejayaan Dubai bukan sesuatu yang mustahil untuk sebuah negara Arab dan Islam yang tidak mengamalkan demokrasi.
15 tahun lalu, sewaktu menyertai projek Dubai Internet City antara yang terus menjadi inspirsi, adalah kegigihan Putera Mahkota yang kini menjadi Emir Dubai, juga memegang jawatan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, iaitu Sheikh Mohammad in Rashid Al Maktoum.
Baginda seorang yang sentiasa mengikut projek secara peribadi dan ‘hands on’. Tidak mengherankan baginda selalu muncul bersendirian bila-bila masa sahaja untuk meninjau secara dekat. Baginda dikenali umum kerana sentiasa memandu kenderaannya sendiri tanpa pemandu dan pengawal keselamatan.
Pernah baginda muncul di tapak projek Dubai Media City hampir jam 12 malam tanpa memberitahu atau pun membawa pengawal. Sewaktu itu saya menjaga pemindahan sebuah syarikat penyiaran terbesar dunia Arab iaitu MBC dari London ke Dubai.
Saya terus dihubungi kerana baginda mahu bertanya beberapa soalan, ketika itu juga saya terpaksa bangun dari tidur dan bergegas ke tapak pembinaan. Rutin baginda adalah untuk mendengar sendiri daripada mereka yang berada di bawah, bukan sekadar mendengar dan membaca lapuran semata-mata.
Baginda mempunyai wawasan yang bernas, jelas dan fokus. Pemikirannya juga tajam dan soalan-soalan yang ditanya selalunya boleh membawa ‘maut’ kerana kalau tersilap jawab, boleh sahaja kehilangan kerja. Baginda tahu apa yang penting, tidak suka dibodek dan akan membuat keputusan segera sekiranya perlu.
Kerana itu tidak heran, Dubai dalam masa sedekad berjaya membangun secara komprehensif dalam pelbagai bidang. Mengubah wajah gurun kepada sebuah kosmopolitan bertaraf global dan negara maju.
Dari prasana utama seperti lapangan terbang, jalanraya, pelabuhan, pengangkutan, pelancungan kepada kemudahan awam, Dubai telah jauh kehadapan berbanding mana-mana kota lain di Arabia.
Dengan pemerintahan yang mesra bisnes, baginda yang dikenali sebagai Sheikh Mo meletakkan anak-anak tempatan yang berbakat di tempat sewajarnya. Baginda cukup bijak  dalam memilih siapa diantara anak-anak muda Emirati yang sesuai untuk peranan berbeda dalam pelbagai bidang.
Hari ini jenama global kelahiran Dubai seperti penerbangan Emirates dan syarikat hartanah Emaar, selain syarikat hospitaliti Jumeirah, pengusaha sukan kuda Godolphin  dan Dubai Port berjaya berkembang dari hasil kerja kuat dan pengurusan agresif baginda sendiri.
Setelah krisis kewangan dunia yang telah melanda dan turut merudumkan ekonomi Dubai dalam tahun 2009, ternyata tidak mematahkan semangat Sheikh Mo.
Beliau pernah berkata, “Failure is not falling to the ground; it is remaining there once you have fallen and the greatest failure is when you decide not to stand up again.”
Apa yang telah terjadi memberikan pengajaran dimana baginda segera membuat perstrukturan semula kerajaan Dubai. Pelbagai perancangan dikaji semula dengan lebih terperinci. Banyak projek mega yang kemudiannya dihentikan, pemimpin korporat ditukar dengan tenaga baharu dan dalam masa tiga tahun selepas itu, Dubai kembali bangkit semula.
Hari ini menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang siap sepenuhnya dalam tahun2010 menjadi tanda aras kemuncak pembangunan Dubai dan tarikan utama pelancungan. Sheikh Mo melonjakkan nama Dubai sekelip mata biar krisis ekonomi turut memberikan persepsi negatif. Banyak lapuran negatif seperti penindasan terhadap pekerja buruh yang pada keseluruhannya disebabkan oleh ketamakan dan kebobrokan majikan.
Pada tahun 2012, Dubai melangkah berani untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah Ekspo Dunia 2020. Proses pembidaan diletakkan dibawah seorang wanita Emirati muda, Reem Al Hashimi akhirnya berjaya dengan penawaran yang berani dan terkehadapan.
Ekspo itu bertemakan, “Menjalinkan minda dan Men cipta Masa Depan”
Ini adalah satu strategi Sheikh Mo untuk terus merancakkan aktiviti ekonomi dan pembangunan yang memerlukan katalis baharu. Kerajaan Dubai dengan segera mengumumkan pelan induk tapak ekspo dan bajet keseluruhan ekspo sebanyak Dhs31 bilion. Ini termasuk kos penambahan pelbagai prasana awam seperti peningkatan laluan keretapi Metro.
Ekspo 2020 juga dijangkakan menerima kunjungan seramai 25 juta pelawat dan akan membawa pulangan kepada Dubai sebanyak Dhs89 bilion dari pelbagai kegiatan ekonomi selain menaikkan hasil kasar UAE dan pendapatan rakyat seluruhnya.
Sebanyak 277,000 pekerjaan baharu akan diujudkan dan tentunya memberi impak ekonomi yang positif dan komprehensif untuk  SKS.
Semua ini turut memberi peluang baharu kepada produk, syarikat, usahawan dan tenaga pekerja dari Malaysia dalam pelbagai bidang dan industri. Tenaga pekerja mahir dan separa mahir sentiasa diperlukan kerana warga tempatan UAE adalah kecil jumlahnya, hanya 10 peratus dari penduduk. Manakala kerajaan UAE juga dalam usaha mahu mengimbangi jumlah warga ekspatriat dari  negara tertentu untuk keselamatan dan mengelakkan masalah sosio-ekonomi serta pencemaran budaya apabila sesuatu bangsa luar menjadi majoriti. Kerana itu ada sebuah bandar di barat Abu Dhabi yang mempunyai penduduk dari nusantara yang ramai.
Dengan konsep hijau, mesra alam dan sustainablity, Ekspo ini memerlukan produk dan teknologi berasaskan hijau sepenuhnya. Peluang adalah terbuka kepada mana-mana syarikat untuk turut serta sebagai pembekal, kontraktor, dan perunding. Dengan hubungan baik yang terjalin antara kerajaan Malaysia dan UAE melalui pemimpin negara, memberi banyak kelebihan.
Dalam masa yang sama, Dubai telah mengumumkan untuk menjadi ibukota global untuk  kewangan, industri dan ekonomi Islam. Antara inisitif adalah majlis shura Shariah untuk kewangan Islam, pusat arbitrari untuk menyelesaikan permasalahan kontrak Islam,  dan pembinaan dua kluster industri produk yang besar.
Permintaan untuk barangan halal sedunia meningkat kepada USD2 trillion menjelang 2020. Sekiranya syarikat Malaysia dengan produk menepati Shariah memandang jauh, Dubai adalah  satu lokasi terbaik untuk mengembangkan bisnes untuk pasaran Timur Tengah, Afrika dan Eropah timur.
Setelah berjaya sebagai  destinasi pelancungan dan bisness paling popular, termasuk lapangan terbangnya yang kedua tersibuk di dunia dengan lebih 100 juta pelancung setahun, Dubai tidak berpaling lagi dengan Ekspo 2020 dan ibukota global Islam.
Prasana yang sedia ada dan pelbagai projek baharu akan meneruskan legasi Sheikh Mo yang antara kata-kata popularnya, baginda mahukan rakyatnya menikmati pelbagai kemudahan dan prasana terbaik pada hari ini, bukan 10 atau 20 tahun lagi, sebab itu baginda bekerja keras untuk menrealisasikan semua wawasannya secepat mungkin!

Kolum ini akan terus menyampaikan dan berkongsi maklumat dan berita terkini untuk para pembaca melihat dan mengambil peluang yang sesuai.

 

No comments: