Sunday, June 08, 2014

Dari Mingguan Malaysia 8 jun 2014 - Cerpen Psiko




(1)
Namanya Baba Joy. Seorang alim bertaraf ulama dari Pakistan. Itulah yang diberitahu oleh Mehboob. Ada ribuan anak murid serata dunia. Termasuk ramai bertaraf pemimpin negara. Kalau pergi ke mana-mana sahaja, pasti ada pengikutnya, hatta di Amerika Syarikat. Walau dia hanya berbahasa Urdu, pengikutnya berbilang bangsa dan bahasa.
Hebat sekali dan Bahaman terasa pelik kenapa Baba Joy, lelaki tua berjubah putih itu mahu bertemunya. Dikatakan oleh Mehboob, Baba Joy bermimpi bertemu Bahaman sejak berapa lama. Hanya apabila dia singgah di Dubai, terasa Bahaman mahu bertemu setelah Mehboob memberitahu tentang ceramah Baba Joy di sebuah pusat perkumpulan warga Pakistan.
Bahaman dipanggil oleh Baba Joy yang tidak berserban atau berkopiah sebaik ternampak dari ribuan berpakaian taliban yang hadir. Rambutnya dan janggutnya masih lebat tetapi uban sepenuhnya. Seakan Sai Baba. Wajahnya nampak tenang. Memandang dengan sepenuh perhatian. Tidak langsung mengerdip mata.
Berpaling ke arah dinding. Mengangguk-angguk.
Kemudian berkata sesuatu. Mengangguk dan berpaling kembali.
Dengan suara yang bergema dalam bilik tetamu pusat itu, dia berkata dalam bahasa Urdu dengan perlahan.
Mehboob, anak Pakistan dan kawan sekerja Bahaman yang duduk disebelahnya lantas menterjemah ke dalam bahasa Inggeris.
“Siapa nama ibu kamu!”
Bahaman menarik nafas.
“Aishah binti Jamal!
Baba Joy berkata sesuatu lagi, kemudian terdiam seakan mendengar dari dinding. Terus memandang Bahaman secara sipi. Memastikan Bahaman dalam pandangannya.
Sekali lagi, Mehboob menjadi penterjemah.
“Kamu hanya ada seorang bapa saudara sebelah ibu yang masih hidup. Dia sedang sakit kuat sekarang!”
Bahaman terkejut. Tidak semena-mena berdebaran. Jantung berdenyut.
“Untuk pastikannya, kamu boleh hubungi keluarga di Kuala Lumpur!” Ujar Mehboob.
Bahaman segera menelefon ibunya. Yang terdengar bersuara gementar.
“Ya, Pak Uda baharu dimasukkan ke hospital, baharu sangat, masih tidak sedar diri kerana diserang strok! Mana kamu dapat tahu? Kami baharu juga mahu menghubungi kamu di sana!”
Tergamam Bahaman. Seakan dalam sebuah filem fiksyen seram. Sungguh menyeramkan.
Sebaik menutup telefon pintarnya, bercerita apa yang dimaklumi kepada Mehboob yang terus memberitahu Baba Joy dalam bahasa Urdu.
“Bapa saudara kamu itu tidak panjang usianya. Lebih baik kamu balik sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya!”
Bahaman menelan air liur. Ilmu mistik dan ghaib apakah yang dimiliki oleh orang tua yang seperti dirinya, tidak berkahwin ini? Pelik. Ganjil. Absurd. Ada unsur metafizik yang menyeramkan, menakutkan dan menggerikan. Seakan lontaran imaginasi yang menjadikan situasi kejutan Bahaman begitu sureal di pinggiran kotaraya kosmopolitan Dubai.

(2)
Masjid Bangsar selepas Isha. Tunggu di tempat duduk di bawah pokok. Begitu pesan Nahmar. Pesan yang sedikit sebanyak menganggu fikiran Bahaman. Mengapa lokasi itu yang dipilih. Bukan di kafe atau restoran mamak tempat biasa kalau mahu bersembang dan melepak. Lagipun dia tidak suka pergi ke Bangsar malam minggu dengan kesesakan jalan dan kegamatan manusia.
Sebaik tiba di bawah pokok, Nahmar sedang menanti. Tidak pula Bahaman ternampak Nahmar sewaktu berjemaah Isyak yang hanya dua baris saf jemaah. Ada dua orang lain yang tidak dikenali. Wajah-wajah yang kelihatan berseri.
“Dr Hasni dan Juhari adalah kumpulan kita yang aku ceritakan kepada kau semalam!”
Mereka bersalaman dn berpelukan seperti  kumpulan Tabligh.
Bahaman hanya kenal Nahmar dua hari lalu, selepas pulang dari tanah perkuburan Kota Damansara dan menghantar ibu dan kakak-kakaknya ke rumah aruah Pak Uda di Shah Alam. Singgah di sebuah restoran mamak untuk mengisi perut. Kelaparan.
Tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali datang dan menghulur tangan, sebaik mengenggam tangan lelaki itu, terasa ada adrenalin yang menyentap degupan jantung.
“Apakah kamu rasakan kejutan elektrik itu?”
Bahaman mengangguk. Jantungnya berdenyut kencang.
“Kamulah antara ahli yang dicari-cari! Kalau bacaan bismillah saya menyentap jantung kamu. Tidak silap lagi!”
Terfana Bahaman seketika.
“Saya Nahmar! Kita antara rijal yang terpilih!”
Begitulah pertemuan ringkas tetapi kompleks yang membawa Bahaman ke Masjid Bangsar. Yang memperkenalkan perkataan ‘rijal’ dalam kamus perbendaharan kata Bahaman.
“Masjid Bangsar ini antara masjid yang paling banyak kekuatan kerohanian kerana dikelilingi banyak tempat maksiat. Ada banyak malaikat yang menjaga, sebab dikelilingi setan dan iblis. Lokasi terbaik untuk bertemu dalam kerohanian!”
Suara deruan dan kekadang hon kereta, helai ketawa manusia dan bingit muzik, selain bau alkohol dari pub serta restoran berhampiran menjadi penata latarbelakang yang sedikit merimaskan.
“Dr Hasni dahulu CEO sebuah syarikat awam besar, dia tinggalkan semuanya setelah menerima panggilan jihad untuk bekerja dengan Tuhan. Juhari pula pegawai tinggi sebuah jabatan kerajaan, masih kerja tetapi bila-bila masa akan bersama sebaik lengkap pasukan rijal!”
Bahaman mengangguk. Seperti yang diberitahu, Nahmar sendiri pernah menjadi ahli perniagaan yang berjaya dan kaya raya. Sekelip mata Nahmar membuang semuanya kerana diberitahu oleh suara membisik, ada palitan riba dan perkara-perkara haram dalam urusan bisnesnya. Kini dia menjadi usahawan kecilan, menjual takaful dan tinggal disebuah flet, berpisah dengan isterinya dan  anak-anak yang tidak dapat menerima hakikat untuk hilang kemewahan. Hidup sederhana tetapi tiada hutang, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Tiba-tiba angin menderu. Bergoyang pokok. Nahmar mendongak, dan mengangguk. Dr Hasni dan Juhari tunduk diam.
Bahaman terasa telinganya berdegung.
“Kau dengar itu?” Tanya Nahmar.
Bahaman menggeleng. Dia tidak mendengar apa-apa selain deruan angin dan asakan gegendang yang menusuk.
“Deruan angin itu adalah suara Rijalulghaib, dia memberi salam dan menegur kamu!”
Berderau darah Bahaman. Pucat muka dan tubuh menggeletar. Naik bulu roma satu tubuh.
“Kata Rijalulghaib, kaulah rijal yang dicari-cari untuk melengkapkan kumpulan jihad kita!”
Kata-kata Nahmar seakan panah yang menembusi jantung.
“Kata Rijalulghaib, kau ada simpan rahsia yang besar. Sesuatu mengenai seorang kawan!”
Ah! Bahaman mahu menjerit. Rahsia yang disimpan sekian lama. Cerita kawan baiknya, Lamin yang telah berkahwin dua di negara jiran dan tidak pernah memberitahu isterinya.
“Rijalulghaib bertanya, sebagai seorang rijal yang terpilih, apakah kau telah bersedia untuk menyertai kumpulan yang bekerja, berjihad hanya dengan Tuhan ini?”
Bahaman masih gementar. Menarik nafas dan memandang ke arah pokok. Tiba-tiba terasa fana, suasana sunyi dan masa seakan terhenti.

(3)
“Kamu ini dalam halunisasi kah? Mengarut, merapu dan tidak masuk akal!”
Mehboob tidak percaya cerita Bahaman. Beriya-iya Bahaman meyakinkan Mehboob mengenai peristiwa di Masjid Bangsar.
Dia memandang ke arah Baba Joy yang sedang berbual dengan seorang anak muridnya yang terbang dari Australia. Semata-mata mahu bertemu Baba Joy yang datang melancung di Kuala Lumpur, kebetulan sewaktu Bahaman masih bercuti kerana menziarah aruah bapa saudaranya yang terakhir.
“Tidak perlu cerita pada Baba Joy. Pasti dia sudah tahu!” Bisik Mehboob yang menjadi setiausaha peribadi tanpa gaji kepada Baba Joy. Baba Joy boleh tahu semua, itulah mantra Mehboob yang fanatik sepenuhnya. Walau dari pengamatan Bahaman, Baba Joy tidak juga solat, mungkin seperti kata Nahmar, ada peringkat manusia yang solatnya dalam bentuk berbeda, hanya dengan niat sudah cukup.
Ada ketukan di pintu bilik suite hotel lima bintang yang di diami Baba Joy. Kabarnya segala perbelanjaan dibayar oleh jutawan Cina terkenal dari Singapura yang juga anak murid Baba Joy.
Mehboob membuka pintu. Muncul seorang tauke Cina dan seorang Melayu yang keduanya amat dikenali wajah oleh Bahaman. Terutama lelaki Melayu sebagai  salah seorang tokoh politik dan korporat  terkenal. Selalu muncul di media, sama ada dipuji atau dikutuk.
“Selamat datang Tan Sri Vito dan Tan Sri Teuku Aliman!”
Mehbob segera bersalaman dan membawa keduanya ke ruang tamu.
Bahaman terkejut besar melihat Tan Sri Vito, yang terkenal sebagai tauke judi dan usahawan kelab malam yang kontroversial dengan pelbagai skandal, memeluk dan mencium tangan Baba Joy seperti anak murid mencium tangan seorang tok guru.
“Dia juga pengikut Baba Joy? Cina tauke judi dan kepala gangster?”
Bisik Bahaman kepada Mehboob yang hanya tersenyum.
Kemudian Tan Sri Teuku Aliman sama memeluk dan mencium tangan Baba Joy, kali ini lebih lama.Seperti menyedut-nyedut semua darah dari tangan Baba Joy.
Terlopong mulut Bahaman. Sungguh-sungguh dia terasa dalam satu dunia selari seperti mana dakwaan Nahmar, bahawa ada planet lain yang manusia ujud tetapi dalam dimensi berlainan. Berlawanan dari karektor kepada untung rugi kehidupan. Kalau di bumi jahat, di planet itu dia baik.
Begitulah mungkin, apabila Bahaman melihat ahli politik panas baran, samseng, mulut celupar yang banyak skandal rasuah, penyelewengan dan seks luar tabie itu seakan begitu tawaduk, zuhud dan rendah diri apabila bercakap dengan Baba Joy!
Bak kata orang, pijak semut pun semut tak mati.

(4)
Bahaman keliru.
Semuanya berlaku dalam masa seminggu. Dari Dubai ke Kuala Lumpur, rentetan peristiwa aneh dan ganjil menyentap kedamaian lelaki bujang yang selama itu, penuh keseronokan. Makan. Minum. Tidur. Buang air. Menunggang Harley Davidson. Melepak di Starbucks. Berhiburan di kelab malam. Menjelajah tempat-tempt eksotik.
Pendapatan besar sebagai penggodam profesional dan penganalisa sekuriti sistem menjamin simpanan hari tua. Seharian, dia sentiasa di atas talian dan hadapan skrin komputer, iPad, dan telefon-telefon pintar yang bersilih ganti mengikut model terkini.
Di mana kehidupan maya dan realiti bertindih. Lebih kepada layar yang screensavernya mengikut mood dalam penggodaman. Turun naik keberhasilan membolos tembok pertahanan sistem dan mengebom dengan ledakan bait-bait nuklear dan virus.
“Aku rasa kau sudah psiko!”
Terburai ketawa Mat Jenin, nama samaran, Wan Jamak, penggodam antarabangsa, mentor Bahaman yang nama penggodamnya Badang. Seperti Badang, Mat Jenin ada di mana-mana. Dia menjadi penggodam upahan mana-mana syarikat untuk menguji sekuriti sistem komputer sendiri atau merisik kehebatan sistem pesaing korporat. Sudah bertaraf jutawan tetapi reklusif sebagai pelarian protokol Internet (IP). Hidup nomad berpindah randah mengikut nilai upah yang ditawarkan. Apa sahaja boleh, asal berganda duit yang masuk. Matlamat menghalalkan cara.
Sebenarnya, mereka berdua seakan tebusan dengan kemahiran yang semakin hari, menjadi bom jangka. Dijejak oleh badan-badan perisikan negara besar dan mafia ganas yang sama ada mahu khidmat atau melupuskan daripada menjadi ancaman agenda masing-masing
“Dari semua karektor yang kau ceritakan, Baba Joy, kumpulan Rijalghaib, malah Mehboob sendiri, ada satu persamaan terserlah!”
Suara Mat Jenin bergema dalam set pendengaran telinga Bahaman.
“Apa yang sama?”
Mat Jenin ketawa sekuatnya. Bagai dirasuk. Lebih kuat dari ketawa apabila Bahaman memberitahu, kumpulan Rijalulghaib bergurukan Nabi Khaidir. Sama kuat apabila Bahaman percaya yang Baba Joy adalah ketua ramai jin Islam.
“Mereka adalah kumpulan gay! Membawa kau ke dunia LGBT dan liberalisme!”
Tersintak Bahaman yang rajin ke gym untuk bertubuh sasa seperti Badang dalam imaginasi kanak-kanaknya dahulu. Kebetulan Bahaman sedang juga membaca pelbagai gosip para selebriti lelaki Melayu popular, glamour, kaya raya yang bergaya lembut dari whatsapp. Yang juga kebetulan dan suratan, dibawah sedar, diminatinya dengan penuh selera.

 (5)
Semuanya tidak dijawab Bahaman. Apa sahaja yang datang dari Nahmar dan Mehboob
Panggilan, mesej, whatsapp, Facebook dan emel. Malah dia telah menukar identitinya  buat kesian kali. Memadamkan apa sahaja dari jejak IP.
Tidak mahu lagi menggunakan Badang yang semakin terasa unsur gay seperti dakwaan Mat Jenin. Maka Bahaman kini adalah Tok Bahaman, pahlawan Melayu yang nama asalnya Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh. Pahlawan hebat dari negeri kelahirannya. Entah mengapa dia tiba-tiba bersemangat untuk menjadi diri sendiri, anak Melayu yang sudah lama tidak menjadi Melayu dengan identiti mitos semata-mata. Bukan seorang Melayu yang mengamalkan cara hidup dan budaya Melayu seperti dalam perlembagaan negara.
Tok Bahaman tidak peduli yang Nahmar banyak kali meghantar mesej, permintaan dari Rijalulghaib untuk bertemu kumpulan rijal terpilih di Bogor. Manakala Mehboob, membawa pesan Baba Joy untuk memperkenalkan Bahaman kepada kumpulan tarikat Ya Banana di Karachi.
“Jangan layan mereka, semua itu konspirasi. Aku sudah dapat bukti setelah berjaya menggodam dan mengakses maklumat dari pengkalan data perisikan Mossad!”
Itulah pesan terakhir dalam komunikasi secara tindihan kod dengan Mat Jenin yang membawa Tok Bahaman dalam penerbangan ke St Petersburg.
“Kau sedang diperdaya oleh cabang Zionis dan Illuminati jahanam, para dajjal yang membawa yakjuj makjuj untuk memusnahkan penggodam seperti kita kerana kita boleh pecahkan tembok rahsia agenda celaka mereka dalam mencaturkan kerosakan dunia!”
Teringat kata-kata Mat Jenin yang sedang menanti di kota kedua terbesar Russia itu yang kebetulan pusat KGB. Tergiang-giang suaranya amat serius hingga terasa bergetar. Malah nada marah Mat Jenin yang tiba-tiba membuatkan Tok Bahaman terlontar ke dalam seribu cermin yang retak.
“Kita akan bertemu Edward Snowden di sana!”
Entah mengapa Bahaman sungguh teruja apabila mendengar nama itu. Terus membeli tiket penerbangan pertama ke St Petersburg. Kelas bisnes seperti biasa.
Nama Edward Snowden seperti nama mahaguru dan hero penggodam yang boleh dicium tangannya kerana hebat melawan gergasi dunia, Amerika Syarikat demi kebebasan rakyat dan warga siber seluruh alam. Menjadi ikon anak muda seperti Tok Bahaman.
Bertemu dengan Edward Snowdon sama bertemu Ghandi dan Martin Luther King yang terkenal dengan petikan, “I have a dream!” Tok Bahaman juga ada mimpi yang mahu direalisasikan walau masih tidak pasti sama ada mimpi itu berasas atau sekadar dari jiwa yang keliru. Keliru oleh asakan propaganda dan keliru oleh sentimen kebencian daripada ilmu yang kurang.
“Tetapi kau mesti bersedia, mungkin itu penerbangan terakhir kamu, tiada jalan kembali!”
Dan kata-kata yang terus menghantui Tok Bahaman dalam penerbangan yang agak bergelora oleh gangguan cuaca. Sentiasa terpasang lampu kecemasan. Sesekali ada kebimbangan kalau penerbangan itu tiba-tiba hilang, menjadi misteri dengan pelbagai teori konspirasi.
“Tiada jalan kembali, hanya satu jalan yang lurus!”
Berpeluh Tok Bahaman yang tiba-tiba rasa ketakutan, hilang segala semangat kepahlawanan Melayu yang sanggup syahid untuk mempertahankan tanahair. Apakah ini jalan yang lurus?
Lantas bertanya pada kewarasan yang dilambung kapalterbang, dia mahu mempertahankan apa? Dan apakah musuh itu benar-benar ujud?
Imej-imej Rijalulghaib dan Baba Joy memenuhi pandangan dan ruang yang semakin berbalam oleh kemabukan udara. Suara-suara kanak-kanak menangis dan para orang tua berdoa membingitkan. Keributan menambah ketegangan minda.
Ketika itu, dalam sedar dan tidak sedar, tertanya dalam diri Tok Bahaman, siapakah yang psiko? Apakah dia sudah jadi seorang psiko?
Dan dalam kapalterbang yang terhoyong-hayang, wajah Mat Jenin tiba-tiba bertukar menjadi setan merah bertanduk dan berekor panjang yang berdekah-dekah ketawa!

No comments: