Sunday, April 27, 2014

Cerpen Berita Harian Ahad 27 April 2014 - Coronavirus



Cerpen :  Coronavirus 
Oleh : Fudzail


(1)
Hujan terus mencurah.Berselang seli kilat dan guruh berdentum.
Saujana padang pasir, curahan hujan seakan fragmen imaginasi. Luar biasa. Ruang yang seakan sureal. Pertama kali buat Naim, pertama kali yang menguja. Menyentuh sanubari dalam menggamit nostalgia.
“Seakan musim tengkujuh di tanahair!”
Menghantar SMS kepada isteri. Matanya masih melekat pada titis-titis hujan. Menderap bagai lagu keroncong. Menjamah hati sang perantau. Tiba-tiba dijamah seribu musim yang telah menjauh. Bayangan datang bersama muzik-muzik latarbelakang.
Naim tersenyum sendirian. Terkenang musim tengkujuh di pantai timur, musim yang seringkali membawa banjir dan terpaksa berpindah ke penempatan sementara. Dalam keadaan serba kekurangan, kadang-kadang di penempatan itu, rezeki melimpah-limpah. Para pemimpin, selain banyak pertubuhan dan agensi kerajaan, selalunya datang membawa pelbagai bantuan. Selain muncul di dada akhbar dan kaca TV sebagai mangsa banjir.
Dari GPS, lokasinya tidak jauh dari kota Sharjah, yang menjadi tempat tinggal bersama keluarga. Dalam perjalanan pulang dari Emiriyah Fujairah.  Setelah bermesyuarat dengan sebuah syarikat minyak dan gas berpengkalan di situ.
Sudah beberapa kali berulang alik. Kali pertama cuba melalui off-road. Tidak melalui Lebuhraya Dhaid seperti biasa, mahukan sedikit advencer. Lebuhraya moden sepanjang 45 km sudah dirasakan begitu monotonous dan menjemukan.
Kali pertama juga, cuba melalui off-road berpandukan GPS. Lantas erperangkap dalam hujan lebat dalam musim dingin yang sudah tiba di penghujung. Keadaan cuaca sepanjang tahun juga berubah. Suhu sejuk yang membawa salji di beberapa tempat untuk pertama kali semenjak puluhan tahun. Ada mengatakan, dunia sudah sampai ke punghujung kerana salji turun di padang pasir!
Perubahan cuaca cukup ketara kerana dalam musim dingin kerana semakin kerap hujan turun, sesuatu yang jarang-jarang berlaku sebelum itu, semenjak tiga tahun menetap di Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Ramai memberitahu yang semenjak lama, hujan hanya dua atau tiga kali setahun, sebab itulah hampir semua negara-negara Arab tiada sistam perparitan dan longkang. Tidak perlu.
Naim memberhentikan kenderaan pacuan empat rodanya. Hujan yang semakin lebat menyebabkan pandangan semakin berbalam dan sukar  memandu tanpa mengetahui apa yang di depan. Berdebaran pula. Terasa kenderaannya bergoyang-goyang oleh angin yang juga semakin kuat. Dari cermin tingkap depan, ternampak titisan hujan air batu yang mula menutup pandangan.
Dia cuba menelefon isterinya.
Setelah beberapa kali, dia gagal. Apabila melihat di skrin telefon bimbitnya, tiada signal talian! Bermakna hubungan telekomunikasi terputus. Naim menghembus nafas perlahan-lahan, mengurangkan degupan jantung, entah kenapa, pertama kali juga, dia merasa gementar dan panik. Lebih panik daripada berdepan dengan kenaikan air banjir setiap musim tengkujuh di kampung.
Panik dan ketakutan, berseorangan dalam cuba mengenal pasti lokasi, menghubungi sesiapa sahaja dalam kecemasan di saujana padang pasir yang kegelapan, berselang seli kilat sabung menyabung, diikuti siri guruh menggegarkan ke serata tubuh dan denyut nadi!
(2)
Di kaca TV, berita mengenai keadaan cuaca terkini sedikit menyentap hati Samiyyah. Di semua emiriyah dalam UAE, hujan lebat dan angin kuat. Keadaan yang sama di Saudi Arabia, Oman dan Qatar. Banjir mendadak menyebabkan kesesakan trafik di semua bandar besar. Seakan kelam kabut, haru biru kerana para pekerja berebut mahu pulang ke rumah masing-masing.
Malah sudah ada lapuran kemalangan jalan raya yang mengorbankan jiwa. Kebanyakan pemandu mungkin tidak biasa mengendali kenderaan dalam hujan lebat, angin kuat dan banjir kerana sentiasa panas dan kering  hampir sepanjang tahun.
Dia terus cuba menelefon suaminya, Naim. Berdebaran dalam memastikan ada ruang untuk bertenang kerana dia yakin, Naim masih selamat berada di Fujairah.
Setiap kali panggilan, hanya masuk ke mesej suara, bermakna gagal menghubungi. Hanya pesanan SMS terakhir yang diterima. Berkali juga menghantar SMS dan whatsapp.
Samiyyah sempat menjenguk ke dalam bilik kedua anak ramajanya, tidur keletihan selepas pulang dari sekolah. Apalagi dalam suhu yang sejuk dan hujan yang turun, memang melenakan.
“Kita selalu mendengar bencana dari perubahan cuaca dan iklim, pemanasan global yang akan mengurangkan kadar hasil pertanian, menambahkan gelombang panas dan menenggelamkan banyak komuniti, seakan semuanya akan memusnahkan, hanya apokalips semata-mata!”
Terdengar seorang saintis muda mengulas di satu program TV antarabangsa. Kebetulan, isu perubahan cuaca dan pemanasan global menarik minat Sumayyah sebagai pendidik dalam Geografi. Menjadi bahan untuk mengajar.
“Perubahan cuaca juga membawa kebaikan dalam banyak hal lain. Kalau suhu semakin naik, bermakna akan berkurangan tempoh sejuk dan mengurangkan kematian disebabkan oleh kesejukan. Hampir semua kawasan di muka bumi, hawa sejuk membunuh lebih ramai manusia dari hawa panas, pastinya perubahan cuaca bererti semakin kurang manusia mati disebabkan suhu terlampau!”
Apa yang diulas oleh saintis muda dari sebuah negara Afrika itu menyentap pemahaman Samiyyah selama itu. Perubahan cuaca dan pemanasan global sering bermakna kehancuran dan kemusnahan alam sejagat.
Lantas cuba menfokus kepada isu yang dibicarakan, daripada memikirkan keselamatan suaminya, yang mungkin terputus hubungan telekomunikasi oleh gangguan elektrik di pemancar gelombang mikro.
“Jangan hanya mendengar pendapat sehala kerana ahli ekonomi juga ada yang cuba menyanggah dengan melihat kesan perubahan cuaca dari kedua sudut positif dan negatif. Contohnya, suhu lebih panas akan memusnahkan tumbuhan di banyak kawasan iklim panas, tetapi juga menyebabkan pengeluaran hasil pertanian lebih baik di negara-negara sejuk. Dan, karbon dioksid menjadi baja, rumah-rumah hijau komersil akan mengepam tambahan karbon dioksid untuk membesarkan tomato misalnya. Secara purata, kita boleh menjangka hasil pertanian mendapat untung jangka pendek dan sederhana!”
Sumayyah mengangguk, memahami apa yang diperkatakan. Fikirannya kembali kepada apa yang masih merisaukan.
Jarinya segera menekan alat kawalan jauh TV, menukar ke rangkaian TV Dubai.
Berita terakhir mengenai keadaan cuaca.
“Laluan lebuhraya Fujairah ke Dubai dan Sharjah terputus oleh tanah runtuh di kawasan perbukitan berhampiran Dhaid. Beberapa kawasan sekitar juga terputus hubungan telekomunikasi disebabkan gangguan elektrik di banyak pencawang!”
Seketika itu juga, Sumayyah menyambar telefon dan mendail.
(Tiga)
Naim pasti, waktu maghrib telah masuk. Dengan talian telekomunikasi dan Internet terputus, dan hujan masih lebat turun, dia tidak pasti bagaimana untuk bersolat dalam kenderaan pacuan empat roda.
Dia bertawakal, solat duduk walau tanpa berwuduk. Ironi, hujan lebat mencurah, air di mana-mana saujana padang pasir, dia tidak berwuduk kerana darurat. Solat jamak maghrib dan isyak.
Kemudian kembali cuba menghubungi isteri dan sesiapa sahaja yang nombornya ada dalam memori telefon. Terus gagal.
Matanya jauh ke ruang berbalam, ada nampa pokok-pokok gurun.
“Kau tahu, semenjak merdeka, kerajaan dibawah Sheikh Zayed telah menanam lebih seratus juta pokok di UAE, sebab itu kehijauan menghiasi di merata tempat!”
Teringat perbualan dengan seorang sahabat Emirati, Maktoum yang sering kali berkata, sudah ada perubahan ekologi di bumi UAE kerana pokok-pokok bukan sahaja mengubah landskap, bahkan cuaca juga. Pusingan air dari hemisfera menambahkan hujan apabila pokok-pokok yang semakin banyak menyerap air dan mengalirkan semula lebih kerap.
“Air adalah nadi kehidupan, bayangkan tiada air, berapa lama manusia boleh hidup, ianya disebut dalam Quran, tahukah kamu air disebut 53 kali dalam 50 ayat Quran?” tergiang-giang pertanyaan Maktoum.
Memang ironi, keseorangan dalam air yang melimpah tiba-tiba di gurun yang beribu tahun kering kontang, Naim disambar kesyukuran yang mendalam. Di UAE, bekalan air bersih datang dari sulingan air laur yang menelan bilion dirham setahun kerana tiada sumber air bumi. Masih tiada bekalan air terputus atau catuan, tidak seperti banyak negara tropika, pembangunan pesat, kemusnahan hutan dan pembaziran air menyebabkan semakin kurang simpanan air.
Maktoum pernah menghantar melalui whatsapp ayat 99 surah Al An’am:
Dia yang turunkan dari langit, air; dan dengannya Kami keluarkan tunas segala tumbuh-tumbuhan, dan kemudian Kami keluarkan daun-daun hijau, dan keluarkan daripadanya biji-bijian yang bersusun rapat, dan keluar daripada pohon palma, daripada seludangnya, kurma-kurma bertandan lebat yang boleh dicapai, dan kebun-kebun (jannah) anggur, dan zaitun, dan delima, yang serupa sesamanya dan tidak mutasyabihat (serupa) sesamanya. Perhatikanlah pada buah-buahnya apabila mereka berbuah, dan masak. Sesungguhnya pada semua ini adalah ayat-ayat bagi kaum yang percayai.
 Ayat yang sedikit sebanyak mengambarkan pentingnya air dalam kehidupan. Sesuatu yang di tidak ambil endah, ambil mudah kerana sentiasa melimpah dengan air.
Sambil matanya masih pada skrin telefon, dalam hujan nampak sedikit reda, Naim membuka pintu dan cuba keluar. Memastikan keadaan laluan untuk berpatah balik ke Fujairah yang lebih hampir dari Sharjah menurut GPS.
Dalam kesuraman malam, terbeliak mata Naim melihat ke serata arah. Air melimpah di mana-mana. Kenderaannya menjadi pulau jadian ditengah lautan air hujan yang tiga jam sebelum itu adalah padang pasir. Tiba-tiba juga, terasa sukar untuk bernafas!
(5)
“Perubahan cuaca memang turut membawa strain dan variant baharu virus, sebab itu penularan wabak Novel coronavirus atau Middle East Respiratory Syndrom Coronavirus (MERS-CoV) sukar dikawal dan dibendung!”
Dr. Kausar menerangkan kepada Sumayyah, sambil matanya meninjau ke arah Naim yang terbaring di katil dalam wad ICU hospital Universiti Sharjah. Dia masih kelihatan cemas setelah diselamatkan oleh sekumpulan tentera UAE yang kebetulan melalui padang pasir tempat Naim terperangkap dalam banjir. Mereka pulang dari latihan ketenteraan yang tergendala oleh cuaca buruk dan terserempak Naim dalam kenderaan dengan tidak sedarkan diri. Terus dibawa dengan helikopter tentera ke hospital.
“Pihak Kementerian Kesihatan sedang memantau situasi terkini jangkitan yang boleh menyebabkan jangkitan respiratori secara akut dan serius iaitu demam dan kesukaran bernafas!”
Sumayyah terus mendengar dengan serius, dalam hatinya fokus pada keadaan Naim. Suaminya disyaki dijangkiti MERS, mungkin ada strain dikutip dari atmosfera pelabuhan Fujairah. Mumgkin dari pekerja-pekerja kapal yang berlabuh atau burung-burung yang berhenti dari pelayaran migrasi. Masih ditahap awal dan terkawal, kata Dr. Kausar yang berasal dari Palestin. Sememangnya, tetap membimbangkan apabila perubahan cuaca dan pemanasan global semakin real.
Dan diluar, hujan lebat kembali turun untuk sekian kali di padang pasir yang tiba-tiba semakin hijau, saujana mata memandang di kampus Universiti Sharjah!

No comments: