Sunday, November 17, 2013

Cerpen Dari Berita Harian Ahad 17 Nov 2013 - MALALA


Cerpen : Malala
Oleh : Fudzail

(1)
Sarojini melihat di skrin TV. Wajah Malala Yousafzai begitu menonjol dalam berita dunia.
Malala sebaya dengan kamu. Sudah jauh perjalanan dan pengalaman hidupnya!”

Maniam memandang ke arah anak perempuannya yang nampak kagum dengan Malala. Remaja Pakistan yang pernah ditembak di kepala oleh Taliban itu menjadi selebriti dunia. Mengelilingi dunia, dari kampung Mangora di daerah Swat Pakistan, menjadi tetamu PBB ke istana Buckingham ke Rumah Putih. Sehingga mendapat pencalunan Hadiah Kedamaian Nobel dan menerima pelbagai anugerah berprestij lain.

Sarojini mengangguk. Memang jauh bedanya antara dia dan Malala. Yang sama adalah semangat, tekad, iltizam dan cita-cita untuk mendapatkan ilmu, mahu belajar bersungguh-sungguh. Mahu mengubah kehidupan. Mahu berjaya sebagai peguam satu hari nanti.

“Di tanahair tercinta ini, tiada halangan untuk kamu ke sekolah, hingga ke universiti, jangan lepaskan peluang kerana semuanya tersedia!”

Sambung Maniam dan Sarojini mengangguk. Memahami apa yang sering diperkatakan ayahnya, pekerja estet yang hanya setakat sekolah rendah atas desakan hidup. Sesuatu yang menjadikan Maniam memberi apa sahaja peluang kepada Sarojini biar sentiasa dalam kesempitan. Semuanya bukan halangan berbanding apa yang dilalui ramai anak-anak remaja di Afghanistan, Pakistan, juga banyak negara di Afrika dan negara-negara yang dilanda perang.

Sarojini juga faham, ayahnya tidak mahu nasibnya sama dengan apa yang telah dilalui. Lagipun, ayahnya kecewa dengan apa yang terjadi kepada dua abangnya. Walau dia tidak menyalahkan seratus peratus kepada keduanya yang menjadi mangsa keadaan. Lantas harapan menggunung kepada Sarojini.

Dalam menonton berita, berdebaran pula Sarojini membaca skrol di skrin.

“Dua ahli kongsi gelap terbunuh petang tadi dalam insiden tembak menembak.”

(2)

Samy bergegas masuk ke rumah. Mengejutkan Sarojini yang tekun menelaah sebaik pulang dari sekolah. Persiapan menduduki peperiksaan akhir tahun.
“Lama tidak nampak?”

Samy hanya tersenyum. Memang dia jarang pulang. Kalau pulang pun dikala ayah dan ibunya tiada di rumah. Dia tahu setiap petang ayah dan ibunya membuat kerja sambilan di sebuah kilang, mencuci tandas pejabat dan membersihkan kawasan kilang, atau ke kuil untuk bersembahyang dan bersembang dengan rakan-rakan.
“Pulang kerana rindukan adik yang semakin manis!”

Sarojini mencemik, tahu abang sulung kesayangannya itu suka mengusik dan menganggu. Walau jarang bertemu, merka sering berkomunikasi melalui telefon dan Facebook.

“Bagaimana dengan sekolah?”

“Biasa sahaja!”

“Tahun depan SPM. Tidak boleh main-main lagi, kurangkan Facebook, ok?”

“Abang dari mana?”

“Dari tempat kerja!”


“Kerja baru atau lama?”

“Kerja apa lagi dengan kelulusan abang ini. Tiada ijazah dan tiada status bumiputera!”

Sarojini terdiam. Tidak mahu meneruskan apa yang tersirat dalam hati. Dia bangun dan menyediakan air kopi kegemaran Samy yang seperti biasa, mencari surat-surat yang selalunya pelbagai bil.

“Abang dah makan?”

Samy mengangguk. Wajahnya nampak banyak kesan calar. Menunjukkan kehidupan keras yang dilaluinya. Begitupun, sentiasa kemas walau berpakaian rengkas. Terutama rambut yang disikat rapi seperti seorang bintang filem Tamil.
Mereka terus berbual. Apa sahaja isu. Sarojini tidak bosan kerana perbualan intelektual yang jarang dapat dimanafaatkan kalau dengan kawan-kawan sebaya, yang lebih banyak bersembang mengenai K-Pop dan artis-artis, selain gosip cinta sesama sendiri.

Sesekali ingatan Sarojini melayang. Teringat peristiwa abangnya berangkat ke Kuala Lumpur untuk temuduga kemasukan ke sebuah kolej swasta, setelah gagal memasuki universiti awam biarpun kelulusan SPMnya antara terbaik.

Peristiwa hitam yang mengubah arah haluan seorang anak muda. Juga mengubah sebuah keluarga estet ke haluan gerhana. Terus terperangkap dalam stigma dan persepsi suram.
Seperti diceritakan Samy, sewaktu menanti bas di Kuala Lumpur, ada kejadian ragut berlaku dan Samy yang kebetulan berada di situ terus mengejar peragut. Mahu membantu mangsa, seorang wanita Cina yang sarat mengandung.

Samy berjaya untuk menangkap peragut tersebut, yang pastinya sama warna kulit, dan dalam pergelutan, orang ramai tersalah sangka yang Samy adalah peragut. Lantas dipukul dan dibawa ke balai polis, manakala peragut terlepas begitu sahaja.

Salah sangka dari persepsi yang berbau perkauman, prejudis, hanya kerana dia seorang berbangsa India yang miskin. Dan tidak kenal sesiapa dan tiada siapa mahu mempercayai versinya mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Nasib malang dan dari detik itu, segalanya menjadi sejarah hitam yang berpanjangan.

(3)
Sarojini sebenarnya lebih rapat dengan abang keduanya, Krishnan. Sama seperti Samy, Krishnan terus keluar rumah selepas SPM. Dia tidak mahu belajar lagi, mahu bekerja kerana tidak mahu menyusahkan ayah dan ibunya. Lebih dari itu, dia mahu bebas dari cengkaman sebuah kesempitan ruang estet yang semakin membantutkan kehidupan anak muda.

Tetapi tidak seperti Samy, Krishnan sering pulang ke rumah.Walau sering dileter oleh ibunya, Krishnan selamba sahaja mendengar dan selalunya, ibunya, ayahnya seperti juga Sarojini tidak pernah menolak wang pemberian Walau mereka tahu, Krishnan terlibat dalam pelbagai aktiviti haram. Pemberian Krishnan meringankan beban ekonomi dalam keadaan kewangan terus tertekan dengan kenaikan harga barang selepas kenaikan harga minyak.

Sarojini juga tidak pernah marahkan Krishnan kerana abangnya itu selalu memberi dorongan kuat dan melakukan apa sahaja untuk membantu pelajaran, termasuk membeli peralatan komputer dan memasang wifi di rumah. Sesuatu yang memang dihargai Sarojini. Lebih dari itu, Krishnan sering berbincang isu-isu global, selain isu-isu tempatan yang memberi kefahaman, pencerahan untuk Sarojini dari perspektif diluar media perdana.
Malala diperbesarkan, hanyalah propaganda Barat, menutup jenayah perang, pembunuhan ratusan kanak-kanak tidak berdosa melalui dron. Berapa juta kanak-kanak telah dibunuh oleh perang tajaanBarat? Mereka terkorban, tanpa nama dan tanpa siapa peduli!”

Sarojini mendengar pendapat Krishnan sambil sama menatap klip video di Youtube, mengenai surat yang dihantar oleh seorang komanden Taliban kepada Malala.

“Seperti kata komanden Taliban ini dua kanak-kanak lain, Shazia Ramzan dan Kainat Riaz turut ditembak, tetapi media dan ahli politik melupakan nasib malang keduanya. Begitu juga Abeer Qassim Hamza al-Janabi, berapa ramai wartawan dan ahli politik Barat, juga ahli politik Arab tahu nama dan siapa dia? Kau tahu siapa Abeer?”
Sarojini berfikir, cuba mengaitkan nama dengan peristiwa atau berita yang dibacanya. Kemudian menggeleng perlahan. Tidak pernah mendengar nama itu.

“Abeer adalah gadis 14 tahun yang dirogol oleh lima tentera Amerika, kemudian dibunuh bersama keluarga, termasuk adik perempuannya yang berusia enam tahun. Tiada apa-apa memorial, hari istimewa sempena namanya, tiada disebut di PBB dan semuanya seakan perkara biasa seperti mana jutaan lain terkorban oleh peluru dan bom Amerika! Itulah hipokrasi tertinggi!”

Krishnan memberi jawaban dan kemudian perlahan berkata, “Sama sahaja dengan keadaan kita. Yang disebut adalah mereka yang mati dalam tahanan polis, bagaimana yang lain, yang menjadi mangsa keadaan, mangsa kepada ramai pemimpin bangsa yang lebih ramai menjadi penyangak? Siapa yang mahu jadi samseng kalau ada pilihan lebih baik?”

Seperti biasa, Krishnan tidak akan lupa menyelitkan realiti semasa yang menjengkelkan, apalagi dia sering menganggap dia dan abangnya adalah mangsa kepada penindasan mereka yang berkuasa, yang tidak melihat kemanusiaan dari perbedaan warna kulit dan keperluan hak asasi, terutama hak untuk mendapatkan pelajaran dan pencarian rezeki halal. Lebih menyakitkan hati, pemimpin bangsa sendiri yang menindas dan mengkayakan diri, keluarga, kroni diatas hak dan penderitaan pengikut yang setia memberi sokongan, berkorban tahun demi tahun.

“Kau jauh lebih bernasib baik dari Malala dan keadaan remaja lain di merata dunia, tetapi jangan lupa, kita bukan Malala yang istimewa kerana Barat mengiktirafnya, tiada siapa akan membantu kalau kita tidak mahu berusaha dan cepat mengaku kalah kepada keadaan, hanya kita boleh mengubah nasib dan masa hadapan dengan berusaha lebih kuat!”

Krishnan terhenti, apabila terasa ada ironi disebalik kata-kata yang memancarkan semangat kepada adik kesayangan. Pastinya, Krishnan yakin, apa yang dilakukannya, biar tidak selari dengan undang-undang, adalah terbaik kerana kalau dia terus belajar pun, dia tidak mungkin dapat pencarian yang lumayan untuk membantu keluarganya setiap bulan!

(4)
Pulang dari sekolah, Sarojini terdengar ada berita tembak menembak berlaku di kawasan estet berhampiran. Sesuatu yang tidak lagi mengejutkan kerana pernah berlaku beberapa kali. Tiada maklumat lain, dan entah mengapa dia teringat keadaan Malala ketika ditembak. Sesugguhnya memang berani gadis muda itu berhadapan dengan Taliban yang bersenjata dan mahu membunuh sesiapa yang berani melawan.

Kalau dia berada dalam situasi Malala, tentunya dia tidak mungkin seberani dan seyakin itu. Kerana itu, Sarojini juga semakin mengkagumi Malala apabila melihat klip Malala dalam program wawancara bersama Jon Stewart di Amerika Syarikat.

Jawaban Malala apabila ditanya kalau diserang sekali lagi oleh pihak Taliban cukup menguja, “Jika saya menyerang Taliban kembali, maka tiada bedanya antara saya dan Taliban, kita jangan sekali menzalimi orang lain, kita mesti melawan musuh melalui jalan damai, dialog, dan juga pendidikan!”

Jawaban yang melekat dalam ingatan. Kerana itu pagi sewaktu di sekolah, Sarojini tidak lagi terasa geram apabila diejek oleh beberapa rakan kerana serba kekurangan. Tidak lagi menangis terasa terhina kerana tidak mampu pergi ke tuisyen seperti rakan-rakan lain.

Dia terasa jauh lebih dewasa dan berhemah,  dari kekentalan jiwa yang dipelajari melalui pengalaman Malala. Dia juga bertambah yakin, dia tidak perlu salahkan sesiapa, tidak seperti abang-abangnya yang sudah berpatah arang dengan prasangka melebar mengenai keadilan. Sudah tidak mahu menerima hakikat tiada keadilan sejati di dunia.

Sambil berjalan menghirup udara persekitaran yang terasa segar, Sarojin mengalamun jauh di awangan, seakan-akan dia adalah Malala. Memberi ucapan di merata universiti, wawancara program TV dan bertemu pemimpin-pimimpin dunia. Aktif dan terkenal sebagai aktivis pendidikan global untuk memberi peluang sama rata kepada kanak-kanak dan remaja perempuan miskin serata muka bumi.

Tiba-tiba terdengar ada siren polis yang memecahkan lamunan. Begitu dekat bunyinya. Menerojah pendengaran. Menakutkan pula.

Sarojini juga tiba-tiba disambar debaran kencang apabila melihat sebuah kereta polis berkejaran masuk ke lorong estet.  Matanya penuh tumpuan melihat arah kereta polis yang menuju terus ke rumahnya. Dalam waktu yang sama, ramai kelihatan sama berkekaran ke arah yang sama. Seakan ada satu tragedi yang baru terjadi.
Dengan secara automatik, Sarojini teringat mengenai kejadian tembak menembak, lantas dia segera berlarian sambil menyebut-nyebut nama dua abang kesayangannya. Wajah-wajah yang memenuhi setiap ruang pandangan bersama bayangan ngeri memuncak ke setiap urat nadi, ke setiap rongga kemanusiaan yang tercalar!
-          Tamat -

No comments: