Sunday, September 29, 2013

Berita Harian Ahad 29 Sept 2013: Rektor No 4



Cerpen : Rektor No.4
Oleh : Fudzail

(Satu)
“Amerika mahu serang Syria!”

Besar tajuk berita itu di mana-mana. Tetapi lagi besar berita sensasi mengenai persembahan tarian terlucah Mylie Cyrus sehingga riuh rendah satu dunia. Menggelapkan dan menenggelamkan berita lain seperti tsunami.

Seketika juga Marissa Ooi, tersintak dengan pelbagai kiriman melalui WhatsApp mengenai Mylie Cyrus. Tidak sangka artis kegemaran sebagai Hanna Montana, ikon sewaktu remajanya itu bertukar perangai begitu teruk sekali. Seakan penari bogel yang tiada maruah. Dan pelbagai komen serta ulasan membayangkan, dunia terhenti berpusing seketika dengan kelucahan seorang selebriti tidak siuman. Selebriti Amerika yang mengekspot Hollywood, makanan segera, kebebasan suara, hak asasi, LGBT, jenama-jenama sperti Apple dan demokrasi ke serata dunia.

Marissa Ooi sama terpaku sebagaimana sebahagian dunia dengan kelucahan terlampau selebriti yang menyanyi dengan hanya bercoli dan berseluar dalam. Riuh rendah. Gamat terutama di dunia siber. Walhal ketika itu, rakyat Palestin terus dibantai dan dibunuh rejim Zionis. Juga Mesir semakin bergolak selepas kudeta yang menjatuhkan seorang presiden pertama terpilih melalui demokrasi selepas 30 tahun dibawah diktator. Dan dunia diambang perang dunia ketiga.

“Ada krisis lain yang tidak menjadi berita sensasi dan seakan mahu digelapkan terus!”

Masuk pesanan WhatsApp dari Miyu, kawan dari Jepun yang tiba-tiba muncul kembali. Kawan dari perkenalan disebuah majlis persidangan pelajar antarabangsa di kota Hong Kong. 
Bersama pelajar sekolah menengah dari dua puluh negara lain dalam membincangkan demokrasi masa hadapan. Ironi kerana Hong Kong sebahagian dari negara China yang tidak mengamalkan demokrasi secara rasmi selepas diserahkan kembali oleh Britain.

“Tragedi nuklear yang boleh menjahanamkan kemanusiaan dan muka bumi!”

“Apa krisis itu?

“Fukushima!”


Sekali lagi Marissa Ooi terasa diketuk kepalanya. Bukan dia tidak tahu atau tidak cakna, tetapi tidak begitu serius dengan apa yang pernah dibaca. Akibat gempabumi dan tsunami dua tahun lalu, rektor nuklear Fukushima kebocoran. Hampir dua puluh ribu terbunuh oleh malapetaka alam.

Selepas persitiwa itu banyak tragedi lain yang berlaku dan Miyu juga tidak menghubungi, katanya sibuk sebagai sukarelawan muda membantu mangsa yang terselamat. Dari klip video yang banyak di youtube, Marissa Ooi dapat mengukur sejauh mana kemusnahan. Dan dari maklumat terkini Miyu, segalanya seakan satu bencana yang bukan sahaja melibatkan Fukushima. Dengan lebih 400 tan air tercemar mengalir ke laut setiap hari, membawa sisa radioaktif yang boleh sahaja memenuhi setiap lautan di planet!

“Sejak tiga hari lalu, tahap cesum radioaktif meningkat mendadak sehingga sembilan ribu peratus! Dan bukan kenyataan terlampau yang diada-adakan kata seorang bekas duta, Mitsuhei Murata bahawa nasib Jepun dan dunia seluruhnya bergantung kepada rektor nombor 4!”

Miyu mengakhiri sembang WhatsApp dengan foto terbaru rektor yang semakin berhantu, lantas melontar keresahan ke jiwa Marissa Ooi. Dia mahu melanjutkan pengajian ke Jepun, sebuah negara termaju yang sejak kecil, dari polisi pandang ke timur, menjadi aspirasi. Semenjak kecil juga, kartun-kartun animasi dan kemudian ilustrasi manga Jepun menjadi bahan tontonan dan bacaan.

Maka menjelang SPM, Marissa Ooi yang berazam mahu meneroka dalam bidang sains nuklear dan mahu menjadi saintis nuklear tiba-tiba terasa terkeliru dalam mencari jawaban dalam suasana meriah bulan syawal dan kemerdekaan!

(Dua)

Marissa Ooi membaca lagi maklumat dari pelbagai sumber yang bertalu dihantar Miyu melalui WhatsApp. Dia semakin keliru dalam cuba menafsir apakah yang sebenarnya berlaku.

“Apakah ada disebut tanda-tanda akhir zaman yang berkaitan dari krisis Fukushima?”

Pertanyaan Marissa Ooi kepada sahabat baiknya, Amira sewaktu bersantai selepas tuisyen.
Amira memandang jauh ke arah lebuhraya yang masih kesesakan. Apartmen mewah mereka memang strategik.

“Tidak pasti, boleh sahaja kita bertanya Google atau melalui Facebook atau WhatsApp!”
“Saya sudah mencari dalam Google, tetapi belum ketemu berkaitan nuklear, radioaktif dan bencana dari laut!”

Amira segera menaip di skrin telefon pintarnya. Kemudian membacakan apa yang tertera.
“Dari laman web ini, antara tanda-tanda besar akhir zaman ialah, orang yang hina mendapat kedudukan terhormat, banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita, banyak pembunuhan, banyak gempabumi banyak saksi palsu & menyimpan kesaksian yang benar, perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar, LGBT, zina dan riba berleluasa!”

“Itulah, malah tanda-tanda besar kiamat tiada sebut pencemaran radioaktif ke laut juga!”

Mereka berpandangan.

“Krisis Fukushima bermula dari gempabumi bukan? Kemudian tsunami menyebabkan rektor nuklear meletup dan bocor. Maka, tandanya dari gempabumi, dan rektor nuklear memangkinkan kerosakan dan pencemaran radioaktif kepada alam sekitar!”

Amira melontarkan pendapat, Marissa Ooi sekadar mendengar, dalam terus berfikir. Kaitan dari gempabumi mungkin itu tanda, tetapi Marissa Ooi masih tidak berpuas hati.

“Kalau dari lapuran terkini, Lautan Pasifik akan dipenuhi radioaktif. Sebarang pembocoran radioaktif adalah sepuluh kali ganda dari tragidi Chernobyl! Ini adalah malapetaka kerana ketika ini, ada peningkatan cesum radiokatif sembilan ribu peratus, mencepatkan penyebaran. Ini adalah tanda besar yang memungkinkan kemusnahan besar melalui air dan udara!”

Kedua remaja itu berpandangan. Sambil bertanya-tanya, sempatkah mereka menduduki SPM sebelum apokalips meregut keamanan sejagat. Sempatkah menjadi graduan juga.

Mereka termenung bersama lagu raya terus berkemundang di akhir bulan Syawal. Dari rumah terbuka jiran yang berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, lebih besar dan lebih ramai tetamu dari jiran yang lain, seakan dunia tidak akan kiamat dan pembaziran adalah budaya ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi!

(Tiga)

Marissa Ooi dan Amira menatap klip dokumentari lapuran terkini Fukushima melalui Youtube di skrin iPad. Lapuran yang tidak disiarkan mana-mana media arus perdana dunia, begitu kata Miyu yang sama menonton di pinggiran kota Nagasaki, kota yang pernah musnah oleh ledakan bom nuklear Amerika. 

Kerana itu, Miyu begitu aktif dalam menentang apa sahaja penggunaan nuklear. Nenek moyangnya telah menjadi korban dan kemungkinan generasinya juga sedang berhadapan dengan tragedi lebih dahsyat, bukan sahaja kepulauan Jepun dan sekelilingnya, malah seluruh dunia.

Mereka menonton sambil serentak bersembang melalui Skype. Bertukar pendapat dan saling memberi komen berdasarkan maklumat yang ternyata, menakutkan.

“Rektor nombor 4 setinggi 100 kaki dari tanah dan mengalami kerosakan struktur, terdedah kepada elemen-elemen asing. Gempabumi yang berlaku telah menyebabkan kebakaran radiologikal yang dahsyat, 10 kali lebih dahsyat dari Cesium-137 yang terbocor dalam kejadian Chernobyl!”

Begitu ulasan seorang pakar nuklear dalam dokumentari, Arnie Gundersen yang begitu aktif menyampaikan maklumat krisis Fukushima, walau secara persendirian.

“1,535 rod-rod bahan api yang terpakai telah terdedah ke udara dan menyebabkan kebakaran. Haba yang terlalu tinggi suhunya menyalakan bahan bakar lama dalam kolam penyejuk, mengakibatkan kebakaran radiologikal gergasi yang membaham oksigen dan tidak boleh dipadamkan oleh air. Lebih menggerikan kerana seterusnya membakar keseluruhan rektor dan akibatnya adalah epidemik kesihatan yang melampaui apa yang pernah sains ketahui!”

Miyu menambah sambil menahan sebak, “Isotop radioaktif tinggi cesium dan strontium akan bebas ke udara dan menjadi wap dan bergerak bersama angin, berpotensi bergerak ribuan kilometer dari Fukushima, ke serata muka bumi. 

Malah melalui lautan sudah menjejak ke Amerika, memusnahkan kehidupan laut. Secara dasarnya, Jepun sedang duduk kepanasan diatas sebuah bom jangka, dan kestabilan dunia bergnatung kepada kerangka rektor 4 yang terhoyong hayang!”

(Empat)

Apakah ini satu yang melodramatik? Tidak mengapa kalau ketakutan mengenai kehancuran sekadar sebuah igauan anak remaja. Bagi Miyu, Marissa Ooi dan Amira, semuanya adalah real sekali dan mempengaruhi emosi serta mood. 

Lebih menakutkan dari perang dunia ketiga, tentunya  lebih dahsyat dari apa sahaja yang digambarkan oleh filem-filem Hollywood apabila, gempa bumi, tsunami, bahan radioaktif dan ledakan nuklear serta bom-bom memusnahkan setiap yang hidup dalam sekelip mata ke serata planet. Seperti mana gambaran dalam Quran mengenai hari kiamat.

Marissa Ooi menarik nafas dan memandang ke arah tingkap, kerlipan neon-neon kotaraya menghiasi landskap. Kesibukan terus memanjang, kotaraya seakan tidak tidur dan tidak pernah terhenti dengan pelbagai aktiviti mencari wang dan kepuasan zahir batin.

“Mengapa jauh termenung?”

Pantas Marissa Ooi berpusing ke arah ayahnya, Abdul Rahim Ooi yang menutup pintu. 

Seorang naib presiden bank Islam yang baharu pulang dari seminar kewangan di Tokyo.

Memang eksekutif yang sibuk dan jarang sekali berada di rumah sebelum lewat malam.
Marissa Ooi segera memeluk ayahnya yang terkejut. Apalagi melihat perubahan anak perempuan bongsunya yang sudah memakai tudung. Sesuatu yang drastik.

“Alhamdulilah, ayah selamat. Harap ayah tidak terkena sisa bahan radioaktif dari Fukushima!”
Abdul Rahim Ooi terasa janggal untuk ketawa. Dia ada membelikan satu cenderahati istimewa sebagai kejutan untuk Marissa yang menjadi segalanya semenjak isterinya, Jawaher meninggal dunia akibat kanser setahun lalu. Kedua anak lelaki berada di luar negara menyambung pengajian.

“Oh! Tiada apa-apa yang berlaku! Semua 35 juta selamat di Tokyo!”

“Ayah tidak bimbang apa-apakah. Malah bida Tokyo untuk hos sukan olimpik 2020 pun mungkin gagal oleh kerana kebimbangan dunia terhadap kesan dari sisa radioaktif dan kadar radiasi yang mungkin sudah mula mencemarkan udara Tokyo!”

Marissa Ooi bercakap dengan penuh semangat.

“Ketika ini, ada perkara lain yang ayah lebih bimbang!”

Marissa Ooi menatap wajah ayahnya yang semakin pucat, mungkin kerana keletihan dan kurang sihat. Semenjak kematian ibunya, Marissa menjadi tempat mengadu.

“Lebih membimbangkan? Perang keatas Syria?”

Abdul Rahim Ooi menggeleng. Marissa Ooi pun terus meneka.

“Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik? Kadar hutang negara? Kenaikan harga minyak?”

Abdul Rahim Ooi tergelak, tidak menyangka anaknya begitu ambil tahu mengenai perkembangan ekonomi walau mahu jadi saintis nuklear. Soalan sebegitu memang tidak terduga. Tetapi jawabannya juga berkaitan ekonomi, sesuatu yang perlu juga diketahui oleh anaknya.

“Ayah sudah jatuh cinta dengan wanita Jepun?”

Kali ini, Abdul Rahim Ooi tidak dapat menahan ketawa. Dia duduk di sofa dan mengambil lapuran sebuah majalah kewangan terkemuka, menyorong kepada anaknya.

“Kejatuhan matawang asia, peningkatan jenayah, korupsi dan kesannya pada ekonomi!”

Marissa Ooi lantas membaca walau di fikirannya, semua itu masalah kemanusian yang tidak sama dengan ancaman kemusnahan alam dari rektor nombor 4 di Fukushima!

-          Tamat –

1 comment:

MARSLI N.O said...

Tahniah Sdr Fudzail. Pengarang yang rajin. Tahniah.
-MARSLI N.O