Friday, August 02, 2013

Cerpen : Apa Lagi Yang Kamu Mahu? (Berita Harian Ahad 23 Jun 2013)


Oleh : Fudzail

Fudzail berkelulusan sains komputer & matematik dari University of Waikato, Hamilton, New Zealand. 
Beliau pernah menjadi pengurus IT  di TV3 sebelum berhijrah sebagai ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak tahun 2000. Terlibat dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City, Palm Jumeirah, Masdar, Dubailand dan pengurus Yusuf Islam.
Kini beliau menjadi pengarah syarikat  di UAE dan Malaysia. Aktif sebagai sukarelawan yang pernah ke Gaza, Palestin.
Pernah memenangi hadiah sastera Utusan,  Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Antologi puisi "Waikato' (DBP 2001) kumpulan cerpen'Dotkomania' (DBP 2009) dan trilogi ‘Aotearoa’ (Karangkraf 2010) serta kumpulan cerpen terbaru yang bakal diterbitkan oleh DBP.




(Satu)

Di paparan skrin telefon pintar, kalimat dari dinding Facebook seorang kawan sekuliahnya itu menganggu minda Rania.

“Apakah kamu yakin ada kerja selepas graduasi? Apakah kamu akan suka dengan karier yang dipilih? Apapun secara amnya, ada berita buruk untuk generasi selepas kita, teknologi masa kini akan melupuskan keperluan menggaji manusia dari akitiviti ekonomi seluruhnya!”
Menjelang konvokesyen, Rania masih belum mendapat apa-apa tawaran kerja. Bukan dia tidak mencuba, malah untuk menjadi guru sementara pun tiada kekosongan.

“Krisis pengangguran siswazah bukan kerana pendatang luar yang semakin ramai atau kelemahan siswazah dalam Bahasa Inggeris. Yang pastinya, kerja semakin kurang!”
Begitulah yang selalu difikirkan. Walau dalam media banyak berita mengenai projek pembangunan di sana sini. Yang ramai diambil kerja adalah buruh pendatang luar yang bukan sahaja tidak boleh berbahasa Melayu, tetapi bahasa Inggeris juga. Sudah jutaan mereka menjadi pekerja, sama secara sah atau haram.

“Para pakar sedang bercakap mengenai robot-pembantu dan  dron....fikirkan apa yang bakal terjadi kepada jutaan manusia, termasuk pendatang yang akan digantikan oleh dron dan robot? Mereka menjadi hamba abdi yang tidak perlu dibayar dan bercakap, bekerja 24 jam sehari!”

Suara kasar Profesor Kam terngiang-ngiang lagi. Salah satu sesi perbincangan yang memberikan perspektif berbeda dan terlontar dalam benak fikiran Rania, apakah dia mengambil jurusan yang salah? Sesuatu yang sedikit sebanyak, menimbulkan kesalan. Keputusan yang diambil empat tahun dahulu menjadi igauan.

“Apa kamu boleh buat dengan jurusan Bahasa Melayu? Selain guru atau sambung buat sarjana dan Phd, jadi pensyarah dan profesor? Mungkin pakar Linguistik? Tidak mungkin boleh jadi CEO atau perdana menteri, malah menteri, bukan jurusan profesional yang dalam permintaan tinggi. Orang tidak pandang jurusan bahasa Melayu, tiada dalam agenda pendidikan dan wawasan negara maju pun!”

Begitu kata-kata seorang guru Bahasa Melayu yang menyarankan Rania lebih baik ambil jurusan kejururawatan dan boleh bekerja luar negara dengan gaji yang tinggi.

Ketika itu memang bidang kejururawatan menjadi pilihan dengan banyak kolej swasta menawarkan kursus itu, dan lima kemudiannya masalah lepasan kejururawatan yang melambak menyebabkan pengangguran meningkat. Apalagi dikatakan pihak kolej swasta mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan kualiti dan latihan secukupnya. Yang menjadi mangsa adalah graduan yang tentunya sukar mencari pekerjaan lain dengan diploma kejururawatan.

Fenomena graduan menganggur terus menjadi mimpi ngeri kepada pelbagai graduan jurusan lain, sudah mencapai puluhan ribu. Masalah banyak negara dunia yang boleh membawa huru-hara dengan jumlah penganggur berijazah yang tinggi. Dengan perlanjutan usia persaraan, seakan menghukum bukan sahaja graduan, malah mereka yang tidak boleh naik-naik pangkat sehingga pencen.

“Mereka tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris!”

Begitu kata lapuran akhbar dari soal selidik dan penyelidikan yang dibuat. Tiada yang positif. Mengharu-birukan perasaan Rania. Apalagi mengenangkan pinjaman PTPTN yang mesti dibayar. Selain, mahu berdikari dan melepaskan bebanan ayah dan ibu yang bakal bersara.
Dan sewaktu kembali ke paparan skrin telefon pintar, satu komen dari abangnya merumuskan segalanya.

“Kalau kau ambil ijazah Bahasa Inggeris, tentu kau sudah ada kerja sekarang!”

(Dua)
“Bahasa Melayu boleh buat duit apa?”

Jamal seakan memperli sambil menghulurkan sebuah novel. Dia suka membaca novel cinta dan mempunyai koleksi besar. Graduan dalam bidang IT yang romantis dan kerap bertukar kekasih, seperti mana watak romeo dalam novel-novel kegemarannya. Lelaki lembut, lelaki metro yang pandai mengorat. Bergaya dengan jenama-jenama.

“Kamu tengok novel-novel terlaris di pasaran tempatan, semua novel Bahasa Melayu! Kabarnya ramai penulis novel cinta sudah menjadi jutawan dan selebriti!”

Rania hanya tersenyum. Melihat ke arah poster filem Melayu yang terpampang di restoran mamak. Sebuah filem seram dengan wajah-wajah pelakun popular. Memecah kotak pawagam berkali-kali.

“Filem Melayu juga sudah banyak capai jualan tiket jutaan ringgit. Artis-artis kita yang bertaraf selebriti pun kaya raya. Tengok dalam majalah ini!”

Sambung Zulkarnain menunjukkan sebuah majalah hiburan yang dipenuhi aksi-aksi seksi selebriti. Seakan artis-artis Hollywood dengan pelbagai gosip, skandal dan pendedahan memalukan. Semuanya bertaraf sampah bagi Rania tetapi tidak ramai kawan-kawan sebaya. Mereka bukan sahaja mengikuti dari majalah, malah ke Facebook sebagai peminat setia yang mahu tahu apa sahaja, termasuk kisah-kisah dalam kain dan seluar.

Ketika itu, Rania pun melontar gurauan kepada Zulkarnain, graduan kejuruteraan awam yang juga masih menganggur.

“Kau sepatutnya jadi artis, atau jadi ustaz glamour, ustaz selebriti. Kau tengok ustaz yang popuar dalam Youtube itu, cakap bahasa Melayu pun tidak betul, dengan loghat kelakar, peminatnya jutaan orang. Kaya raya dan boleh kahwin tiga!”

“Artis pun ada kahwin empat!” Celah Jamal sambil membetulkan rambut yang dijaga rapi.
“Artis? Ahli politik pun....asal ada duit dan rupa macam aku!”

Rania dan Zulkarnain tergelak. Melupakan sebentar lara graduan menganggur yang tentunya tidak lebih berhasil ilmu dari pendatang yang menjadi pelayan di restoran mamak tersebut. Pendatang yang semakin baik berbahasa Melayu dan menghantar wang ke kampung halaman, dan merasakan berada dalam sebuah syurga dunia, berbanding tanahair mereka!

(Tiga)

Mendengar seorang menteri bercakap bahasa Inggeris di kaca TV, walau lintang pukang sebutan, nahu dan tatabahasa, Rania tergelak. Menteri itu dikenalnya kerana salah seorang super senior universiti. Graduan dalam ekonomi dan selalu ke kampus untuk memberi ceramah motivasi. Berlagak kerana hanya mahu bercakap dalam bahasa Inggeris, kerana katanya, itulah bahasa dunia, bahasa yang membawa kemajuan dan taraf intelektual.

“Kau ada baca Twitter menteri itu?”

Tanya Rania kepada Jamal. Mereka di kantin, menanti panggilan untuk masuk ke bilik temuduga, untuk jawatan guru sementara di sebuah sekolah pinggiran bandar. Ada tiga jawatan kosong, yang memohon seramai lebih seribu orang.

Jamal menggeleng. Tidak pernah peduli dengan Twitter, sekadar Facebook.

“Dia banyak guna bahasa SMS. Ringkas sebab ada had perkataan dalam Twitter. Sehingga terbawa-bawa dalam penulisannya. Kelakar bila baca orang-orang tua berbahasa dengan ejaan SMS!”

“Apa salahnya?” Tanya Jamal. “Tidak semua orang macam kau, kalau hantar SMS pun menggunakan ejaan penuh, tiada akronim dan perkataan rengkas. Buang masa, sekarang semua orang tulis pendek-pendek!”

Rania ketawa kecil. Selalu diperli kawan-kawan kerana tidak bertolak ansur dalam soal bahasa. Bukan sahaja kerana dia graduan Bahasa Melayu, lebih dari itu, Rania mahu menjadi benteng terakhir dalam penggunaan bahasa yang betul. Sesuatu yang pelik dan janggal bagi rakan-rakan.. Komen-komennya dalam Facebook juga sama, tiada pendekan perkataan.

“Banyak salahnya, dan yang paling salah, menghina bahasa sendiri!”

“Itulah kau, bahasa tidak bawa kita ke mana-mana pun diperingkat global. Aku pun menyesal tidak rajin belajar bahasa Inggeris. Kalau tak, boleh kerja dengan GLC atau  multi-nasional dengan gaji besar!”

“Itu memang salah kau, siapa suruh buang bahasa Inggeris. Aku ambil pengajian bahasa Melayu, tetapi bahasa Inggeris pun aku dalami. Aku tidak baca novel-novel cinta cipisan macam Zulkarnain. Aku baca novel-novel Inggeris!”

“Habis itu, kenapa kau masih menganggur?”

Rania terdiam. Pertanyaan yang sedikit menghina kerana lebih banyak iklan pekerjaan menyatakan, mahu calun yang boleh berbahasa Mandarin/Tionghua. Tiada yang mahu calun fasih berbahasa Melayu. Satu agenda rasisme yang tersembunyi.

(Empat)

Pagi selepas konvokesyen. Santai di sebuah kopitiam yang pekerjanya dari Tanah Besar Cina. Di TV, lapuran demonstrasi menuntut hak-hak samarata dalam demokrasi di sebuah negara maju yang mempunyai banyak universiti terkemuka. Ratusan ribu berhimpun secara aman.

“Apakah kamu percaya bahawa pendidikan tinggi akan menyelamatkan kita, atau anak-anak kita nanti? Secara realitinya, tidak semua berpendidikan tinggi akan mendapat pekerjaan baik, malah ada yang mungkin akan menganggur selamanya. Sedangkan kos pengajian universiti semakin meningkat. Aku rasa kita dalam gelembung, bukan gelembung teknoloji atau Internet, tetapi gelembung pendidikan tinggi!”

Terdiam seketika kumpulan graduan menganggur mendengar lontaran hujah Rania yang baharu sahaja mendapat tawaran kerja. Mereka mahu meraikan ‘kejayaan’ Rania yang tidak disangka. Walau sebagai pembantu khas kepada seorang CEO Barat sebuah multi-nasional yang mahu menguasai bahasa Melayu setelah menelan banyak biji durian. Terutama untuk menulis surat-surat rasmi, seperti syarat yang diminta untuk berurusan dengan sebuah kerajaan negeri tempat mereka beroperasi. Rezeki yang datang dari Facebook, melalui kawan kepada kawan.

“Ada kemungkinan universiti akan menjadi seperti kasino, hebat untuk para penjudi yang menang, tetapi kita sebenarnya lebih baik tidak masuk universiti daripada membayar harga mahal untuk masuk dan gagal untuk menang sebagai pekerja dengan gaji besar! Tentunya, graduan kejuruteraan dan komputer lebih laku dari graduan bahasa Melayu seperti aku, tetapi tidak semua orang boleh jadi pekerja teknologi dan hanya masa menentukan apabila teknologi akan membaham kerja-kerja berkaitan teknologi juga, maka semuanya akan jadi mangsa teknologi!”

Terlongo kawan-kawannya, terutama Zulkarnain yang tidak sangka sama sekali Rania mempunyai hujah sebegitu jauh untuk digapai minda. Seorang graduan pengajian Bahasa Melayu memperkatakan sesuatu yang diluar kotak pemikiran. Bagi mereka, prioriti adalah untuk mendapatkan kerja, tidak lagi mahu memilih, biar sebagai pelayan kedai mamak atau bagi Zulkarnain, pembantu artis selebriti, boleh menumpang glamor.

Melihat semuanya terdiam, Rania yang tidak sabar untuk bekerja, dan terlalu gembira, ketawa. Dia tahu, apa yang diperkatakan memang berat dan dia pun membaca mengenainya sebelum temuduga, sesuatu untuk memberikan kelebihan sebagai graduan serba boleh dan banyak membaca yang tahu banyak perkara secara global.

Akhirnya, Rania melontar satu pertanyaan sinis yang tidak perlu dijawab dalam dunia mengalami masalah pengangguran, termasuk negara China yang menjadi kayu pengukur ekonomi semasa.

“Maka kalian, sebagai graduan bidang teknologi canggih, apa lagi yang kamu mahu?”

(Tamat)


No comments: