Sunday, June 09, 2013

Cerpen: Lain Kalilah (Mingguan Malaysia Ahad 9 Jun 2013)



Cerpen : Lain Kalilah
Oleh : Fudzail

(Satu)
Ada banyak perkara yang melintas di fikiran Edy. Pelbagai isu yang merentas setiap poster, kain rentang, sepanduk pelbagai wajah, lambang, logo, moto dan manifesto. Bendera-bendera parti berkibaran, bersaing di mana-mana. Semuanya seakan berkata-kata, kekadang menjerit-jerit meminta perhatian. Memutarkan janji-janji.

Bersama bingit suara-suara kempen dari ceramah, berita TV, radio, akhbar ke paparan siber dan Facebook. Suara-suara protagonis, antagonis yang bercampur baur dengan makian, kejian dan carutan. Semuanya seakan dibolehkan dalam memanjangkan aspirasi bakal-bakal yang berhormat.

Sememangnya meriah suasana musim pilihanraya. Ruang membawa warna-warna sentimen dan emosi ke setia pelusuk. Masing-masing dalam kelompok berlainan melontar hujah untuk menyokong dan menyanggah. Semuanya mahukan kuasa dalam medan demokrasi. Kuasa bererti amanah dan tanggungjawab, sesuatu yang tidak pasti sebagai azimat apabila berjaya memenangi kerusi dan dipanggil YB.

Dari skrin telefon pintarnya, Edy sempat juga menjengah berita dari serata dunia. Pembunuhan. Gempa bumi. Banjir. Kemarau. Bom. Dron. Masalah alam sekitar. Kekacauan. Tragedi. Palestin. Afghanistan. Syria. Mali. Kongo. Rohingya. Kemiskinan. Kebuluran. Rasuah. Zina. Anak haram. LGBT. Rasisme.

“Dunia akhir zaman.......tanda-tanda telah banyak di mana-mana. Kembalilah kepada islam agar kita selamat dan terus beramal!”

Begitu sepatah kata dari seorang ustaz yang sering diikutinya melalui Youtube. Ustaz yang popular melalui Facebook dan Youtube sehingga menjadi ikutan jutaan anak-anak muda generasi abad ke21. Lucu bersahaja dengan loghat daerah. Fenomena akhir zaman juga, begitu fikir Edy juga kerana lebih ramai yang mendengar ceramah agama melalui Internet dari ke masjid-masjid, yang tentunya terus dipenuhi oleh orang-orang tua yang sudah pencen. 

Sedangkan pihak Yahudi tidak takut mengganas, membunuh dengan kejam orang Palestin selagi masjid-masjid tidak melimpah dengan makmum dari solat subuh. Baitulmuqadis akan tetap dibawah jajahan Zionis yang menguasai perbankan, media, hiburan, emas dan bisnes di muka bumi.

Dan dalam bas ekspres yang merentas lima negeri untuk pulang ke kampung, untuk mengundi, semenjak mendarat di lapangan terbang lagi, Edy terasa dalam gelombang majoriti. Penumpang-penumpang lain memang begitu bersemangat dengan baju-t melambangkan parti yang disokong. Membawa bendera dan pelekat kepala. Terang-terang menunjukkan sokongan, walau tentunya undi adalah rahsia.

Tiba-tiba Edy teringat kata-kata Mark Twain yang pernah tertulis di sebuah dinding Facebook seorang rakan, “Setiap kali anda terasa berada dipihak majoriti, itulah masa untuk sejenak menarik nafas dan membuat refleksi!”

Dari tingkap bas, Edy melihat saujana ladang kelapa sawit. Paparan muka bumi sebuah alam yang menghijau. Membawa nostalgia pada seorang anak kampung yang telah lama merantau di beberapa negara. Pertama kali, semenjak sekian lama, Edy menaiki bas ekspres. 

Sememangnya sengaja, mahu melalui semula era remaja dan mengenal tanahair dari perspektif berbeda, bukan lagi dari layar siber dan kerusi empuk di perantauan. Dengan misi membuat perubahan sebagai rakyat dan pengundi!

(Dua)

“Mereka semua bertanding semula. Apa perubahannya?” Tanya Edy. “Sudah lima kali YB Jojo ini bertanding. Begitu juga YB Kak Ton Botoks, YB Jenderal Sepuluh Peratus. Apakah daerah kita tiada calun setanding dan layak sebagai wakil ke parlimen? Macam kau, yang berjuang semenjak muda, ke hulur ke hilir membantu orang kampung, setia berkhidmat walau terus hanya dianggap layak sebagai pak pacak, hang kebun!”

Sememangnya Edy sangat kritikal dengan pencalunan dari parti yang mempertahankan kerusi. Marah. Geram. Sebab itu dia sanggup pulang, biar terbang dalam sepuluh jam dan menaiki bas selama lima jam lagi. Sangat tidak puas hati. Sanggup mengambil cuti, membayar tambang kapalterbang dari poket sendiri dan meninggalkan keluarga semata-mata untuk satu undi. Undi yang mahal harganya walau sejak merdeka, tiada parti lain yang menang di kerusi parlimen dan negeri tempat dia mengundi, sama ada dia pulang atau tidak, tidak mungkin berbeda keputusan.

Edy terus melepaskan peluru marahnya kepada Sharil yang hanya diam. Mereka berkawan semenjak kecil. Rezeki dan nasib memisahkan mereka, Edy berjaya melanjutkan pengajian di luar negara, pulang membawa ijazah kejuruteraan petroleum dan kemudian berhijrah sebagai ekspatriat.

Manakala Sharil, dengan keputusan SPM yang tidak seberapa, masuk ITM dengan diploma,  kerja kilang di bandar dan kemudian bermastautin di kampung. Mulanya berniaga kecilan dan kini menjadi kontraktor besar setelah aktif berpolitik. Sudah bertaraf  naib ketua pemuda parti peringkat bahagian, hasilnya juga bertaraf jutawan. Memiliki kereta-kereta mewah dengan banglo tersergam. Lambang kejayaan dasar ekonomi afirmatif.

“Semua keputusan telah dibuat diperingkat negeri.Tentu ada hikmahnya. Bagi aku, perjuangan demi bangsa masih belum selesai! Tidak kisah kalau tidka jadi YB!”

Sharil menjawab secara diplomasi, politically correct, seperti biasa, menampilkan watak keikhlasan. Walau bagi Edy, orang politik boleh sahaja bermain dengan pelbagai helah dan tipu daya. Tentu ada perasaan tidak puas hati dan kecewa.

Sharil memang cukup faham dengan perasaan Edy, yang juga ikhlas dalam menegur dan mengkritik. Mereka telah berkawan sejak lama, Sememangnya kawan itu ada tiga jenisnya, kawan bersebab atau berhajat, kawan bermusim, dan kawan sepanjang hayat.

“Bodoh! Bodoh kalau terus menerima orang luar menjadi wakil rakyat kampung kita. Sudah lima kali pilihanraya, orang yang sama. Dia sudah kaya raya pun. Apa lagi dia mahu? Terus memperbodohkan kita? Sepatutnya dia memberikan peluang kepada anak-anak tempatan yang sudah ramai lebih layak!”

Sharil menarik nafas. Membiarkan Edy yang sudah lima tahun tidak bersua muka. Hanya di paparan dinding Facebook. Itupun kerana Edy sering mengemaskini status dengan pelbagai komen menghentam parti yag didokongnya. Cukup kasar, kadang-kadang menghina dan menghasut.

“Aku memang mahu balik kerana sangkaanku, kau akan bertanding kali ini. Masanya telah tiba untuk orang kampung kita dicalunkan dan kau paling layak dari parti yang berkuasa. Kita perlukan pelapis dalam kepimpinan dipelbagai peringkat. Bukan orang lama yang sudah kurang upaya minda, jasmani dan batin terus jadi raja lawak di parlimen. Tidak bawak apa-apa kemajuan yang menguntungkan bangsa dan negara, apalagi agama!”

Edy mendengus. “Bodoh! Bodoh! Bodoh kalau kita terus menjadi batu loncatan semata-mata untuk mereka membolot semuanya!”

Seketika itu, desiran angin seakan terhenti.

“Kau cakap mudah, bising meneriak di dinding Facebook! Semua orang tidak betul. Yalah, kau orang bijak pandai! Intelektual. Tetapi pengecut. Kau pengecut!”

Kuat suara Sharil tiba-tiba memecahkan keheningan malam di pantai hiburan. Mengadap pesisiran laut Cina Selatan. Tempat biasa sejak kecil untuk mereka bersantai. Kali ini, dibawah malam purnama dengan deruan ombak sebagai latar belakang.

Terkasima Edy. Matanya memandang Sharil sepenuhnya, pantang dia dipanggil pengecut! Apalagi oleh seorang kawan baik yang selama ini, dianggap adik beradik dari kecil, menjadi benteng pertahanan setiap kali kalau bergaduh. Mereka berdua setia dalam persahabatan.

“Ya, kau pengecut Edy. Kau melarikan diri di perantauan. Dan kami yang tinggal di kampung terpaksa berjuang. Menghadapi pelbagai pergolakan. Apa sumbangan kau semenjak kau, hasil dari perjuangan bangsa,  menjadi siswazah, graduan berjaya, profesional hebat dan berhijrah? Hanya kutukan di Facebook? Kau ingat kau siapa? Badut? Ahli Sihir? Magician yang boleh mengubah semuanya dari dinding Facebook?”

(Tiga)

Berjalan kaki ke masjid lama, yang sudah dibina baru ditapak yang sama adalah satu deja vu buat Edy. Pernah pagi-pagi selepas subuh terpaksa ke sekolah, berjalan kaki membawa beg dan bekalan makan yang dimasak aruah ibu. Meredah kegelapan dan belukar.

Kali itu untuk solat subuh, di pagi hari pengundian, dia sama berseorangan.

Dari Kampung Pulau Lang, menyusur Sungai Kolek sebelum tiba di masjid berhampiran Kampung Tanjung Seratus. Rumah-rumah kelihatan gelap. Hanya lampu jalan yang samar. Pastinya, ramai keletihan dengan aktiviti kempen selama dua minggu dan bersedia untuk membuang undi, memangkah calun pilihan.

Masjid masih berkunci apabila Edy tiba. Dalam menanti waktu subuh, sempat Edy solat tahajud di lantai luar masjid dan sebaik memberi salam, seorang lelaki berjubah dan berserban menegur.

“Edy?”

Tergamam Edy dalam cuba mengingati siapa lelaki tersebut.

“Kau tak ingat aku? Khaidir?”

Lama minda Edy cuba meneroka jauh ke belakang. Nama itu, nama nabi dalam Quran yang memang agak unik dan memang diingatnya, Cuma wajahnya tidak serasi

“Tak apalah, mungkin kau sudah lupa, Khaidir anak nelayan yang duduk belakang kau dalam kelas!”

Segera Edy memeluk. Ingatan kembali menjamah. Tentunya Khaidir adalah sebahagian dari masa lalu yang tidak boleh dilupakan.

“Ya! Allah, bukan tak ingat, kau banyak berubah, macam Ayatollah!”

Khaidir tersenyum. Terus bertanya kabar dan bercerita. Khaidir sudah bergelar imam semenjak pulang dari belajar agama di Indonesia.

“Nampaknya si bilal belum tiba, kau mahu azan?”

Edy ketawa, pertanyaan itu sememangnya satu deja vu. Semasa kecil sering berebut-rebut mahu azan, dan selalunya Khaidir yang terpilih kerana suara yang sedap dan nyaring.

Setelah solat subuh, berkumpul beberapa jemaah di luar pintu masjid untuk bersembang. Baharulah Edy perasan dan terkejut yang Imam Khaidir adalah calun bebas yang dia tidak peduli untuk ambil tahu, dianggap pengacau semata-mata. Satu keberanian walau tentunya setaraf membunuh diri. Tiada calun bebas yang pernah menang, mahupun mendapat deposit kembali

“Itulah demokrasi. Lagipun menanti orang seperti kau untuk kembali berjuang di kampung mungkin sudah jadi mimpi sahaja. Sebab itu aku ambil risiko sebagai calun bebas, sebagai protes kerana kedua calun bukan orang kampung sini, orang luar. Terutama calun yang sudah lima kali bertanding itu!”

Edy ketawa dalam cuba meyakini yang Khaidir juga bertanding.

Pagi itu dalam perjalanan pulang ke rumah bapa saudaranya, Edy semakin terasa terasing dalam realiti semasa, mungkin benarlah kata-kata Sharil terhadapnya, pengecut untuk bertarung sebagai jantan, dan hanya berani di depan skrin. Konon-konon sebagai pihak bebas dan memainkan peranan sebagai pengkritik politik di Facebook!

(Empat)

Selepas selesai membuang undi di saluran tiga, seperti dijanjikan, mereka berkumpul di kantin sekolah. ‘Reunion’ kecil seramai enam orang. Enam kawan yang pernah digelar enam jahanam. Kumpulan pelajar nakal yang sering mencetus insiden. Juga hebat kerana  mewakili sekolah dalam bolasepak.

Hari bersejarah, bukan sahaja hari pengundian, tetapi juga Edy, Sharil, Khaidir, Lee, Guna dan Yasa  keluar dari dinding Facebook. Keluar dari tempurung siber.

Kebetulan pusat pengundian diadakan di alma mater, tempat mereka sama-sama membesar dalam suasana kekurangan dan penuh cabaran. Suasana meriah dengan pelbagai peristiwa pahit manis dan insiden yang mendewasakan. Semua kisah nostalgik yang membawa ketawa dalam kemanisan jiwa. Semuanya terasa indah bila dikenang kembali. Masa jauh berlalu dan tidak mungkin kembali ke era persekolahan.

Begitulah ketawa terus merentas masa, imaginasi remaja juga merentas usia, dan mimpi anak kampung tiada akhirnya, lantas persahabatan yang merentas ruang tetap menjadi akar pada sebatang pohon dalam kehidupan. Boleh sahaja mereka kembali menjenguk ke satu permulaan, sebagai asas yang merangkaikan jiwa dari percambahan fizikal oleh keadaan dan kehidupan.

Ironi, ‘reunion’ di hari pengundian selepas sakan berkempen dengan ideologi berbeda. Selepas semuanya terkeluar, maki hamun dan hina menghina sesama sendiri. Ada timbul perbalahan, tetapi tidak begitu parah untuk mencetuskan pergaduhan secara fizikal. Apa lagi buat kumpulan enam jahanam yang pernah berjanji, mereka mahu sehidup semati yang ditandatangani dengan darah.

Selepas ketawa dengan kisah-kisah lama, Edy segera memulakan sesi serius. Sesuatu yang tercetus dari kepulangannya dan pertembungan ideologi yang kian merugikan. Perbedaan sepatutnya diraikan, bukan membawa kemusnahan. Membazirkan waktu, tenaga dan otak apabila berpolitik tanpa henti, sehingga tidak banyak kerja yang boleh dilakukan.

“Kita lupakan ideologi dan agenda politik masing-masing. Semua itu sekadar rencah untuk menyedapkan makanan. Yang pentingnya kita mesti bersedia dari sekarang untuk menghadapi pilihanraya akan datang. Dari statistik pengundi baharu, belia yang bakal layak mengundi akan bertambah dan menguasai jumlah pengundi. Perlu lebih dekat dengan mereka, apalagi suasana pasti jauh berbeda apabila mereka sudah layak mengundi dan kita juga mesti bersedia dengan segala kemungkinan apabila generasi Y menguasai perjalanan demokrasi!”

Semua melihat kertas kerja Sharil dengan angka-angka dalam tabulasi dan rajah-rajah.
“Jumlah pengundi Orang Asli juga meningkat! Yasa boleh jadi calun Adun nampaknya!”
Lee menepuk belakang Yasa yang ketawa. Keduanya juga bergelar usahawan, Lee dalam usaha menternak udang galah. Yasa sudah menajdi kontraktor pembinaan jalan di kampung-kampun dan kawasan perladangan, selain mengubah suai rumah.

“Kita buat NGO kecil untuk menrealisasikan matlamat perjuangan berdasarkan kemampuan dan pengalaman yang kita ada, sebelum usia kita ke separuh abad. Masa untuk memberi, memulangkan budi dan berkongsi dengan anak-anak generasi Y!”

Sharil mencelah, dia dengan jawatan berpengaruh dalam partinya, dilantik sebulat suara sebagai koordinator dan bendahari. Imam Khaidir ditugaskan untuk aktiviti kerohanian dan motivasi, Lee untuk keushawanan, Yasa yang pernah mewakili pasukan bola peringkat negeri, ditugaskan untuk sukan dan rekreasi. Manakala Guna, masih menyeringai dengan wajah awet muda,  menjadi setiausaha merangkap ketua promosi.

Edy tersenyum puas, dia menjadi ketua untuk media sosial, sesuatu yang memang sesuai dengan hobinya. Melengkapkan peranan ahli kumplan enam jahanam yang dua puluh lima tahun kemudian, sudah bertaraf orang lama untuk mengundi di saluran dua.

Suasana terasa berlainan, seperti fizikal mereka juga.

“Kita tidak perlukan alasan atau ganjaran untuk membantu orang lain. Semua ini adalah untuk bersama masyarakat, mereka yang kita sama-sama membesar, maka kita akan jemput kawan-kawan yang lain yang sudi bersama. Jangan lupa, setiap perjuangan memerlukan komitmen, dedikasi dan penumpuan. Usia kita pun semakin pendek, maka bila lagi.Ini kalilah!”

(Lima)

Edy melangkah perlahan keluar dari tanah perkuburan. Menjengah pusara ayah dan ibunya buat kali terakhir sebelum menaiki bas ekspres. Seterusnya terpaksa ke lapangan terbang untuk kembali ke tanah berhujan emas, tanah yang memberikan rezeki sebagai ekspatriat.

Kawan-kawan kumpulan enam jahanam yang sudah bertukar sebuah NGO, sama mengiringi. Memahami perasaan Edy yang tinggal sebatang kara. Salah satu sebab dia jarang pulang ke kampung dan jauh berhijrah.

Dalam keadaan yang terasa sentimental, tetapi tidak melankolik, Edy seakan dalam ruang berbeda. Semangatnya tidak lagi sekadar kata-kata dan kritikan di dinding Facebook.

“Kali ini aku sangka akan buat perubahan sempena pilihanraya. Mahu mengubah kerajaan. Rupa-rupanya pilihanraya kali ini mengubah perspektif aku dari segi perjuangan. Yang tidak berubah, kita berenam masih bertaraf jahanam!”

Mereka ketawa sambil berhenti dibawah sebatang pokok rendang.

“Ada hikmah disetiap yang berlaku, hikmah dari kata-kata pengecut yang dilontarkan Sharil menghumban aku dalam realiti, memang keberanian sebenar adalah mengambil risiko secara bergelumang dalam perjuangan secara realiti, bukan maya semata-mata!”

Sharil ketawa. Memang sudah lama dia mahu melemparkan kata-kata itu secara berdepan, ternyata tindakan secara spontan itu memberi kesan sepenuhnya.

“Sempat tak kita pergi mandi laut?” Tanya Guna yang sejak kecil memang cukup hebat berenang. Sentiasa bangga dengan kehebatan semulajadi, boleh menyelam lama tanpa bantuan bekalan oksijen. Sesuatu yang sering mahu dielakkan oleh yang lain semenjak dahulu lagi.

Semua ketawa apabila Yasa yang tidak begitu pandai berenang,  segera menempelak, “Lain kalilah!”

(Tamat)


Biodata:
Fudzail berkelulusan sains komputer & matematik dari New Zealand, pernah menjadi pengurus IT di TV3 dan ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak tahun 2000. Terlibat dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan pengurus Yusuf Islam. Kini beliau menjadi pengarah beberapa syarikat antarabangsa , selain sukarelawan yang pernah ke Gaza, Palestin.
Pernah memenangi hadiah sastera Utusan,  Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Antologi puisi "Waikato' (DBP 2001) kumpulan cerpen 'Dotkomania' (DBP 2009) dan trilogi ‘Aotearoa’ (Karangkraf 2010)
Beliau boleh dihubungi melalui emel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com

No comments: