Sunday, April 07, 2013

Cerpen 'Timbuktu' Berita Harian Ahad 7 April 2013




Cerpen : Timbuktu

Oleh : Fudzail
                
(Satu)

Bangun pagi. Menjeling ke arah jam. Bergegas untuk solat subuh sebelum matahari menyiram bumi. Rutin yang tidak pernah berubah. Walau semakin berusia dan mempunyai pelbagai gajet untuk mengejutkan, termasuk jam digital yang melaungkan azan setiap masuk waktu solat.

Jarang sekali mampu untuk bangkit sebaik azan berkemundang. Kalau ada pun, hanya di minggu pertama sebaik menerima jam hadiah yang dibeli di Makkah oleh abangnya. Semangat dari air zam zam yang hilang bersama habisnya air zam zam. Balik kepada kebiasan melengahkan solat dan kekadang, hanya bangkit di waktu zohor, terutama di hujung minggu yang sentiasa sibuk dengan aktiviti.

Mejah cuba kusyuk sebaik mungkin. Dalam rukuk pertama sudah teringat sesuatu. Lantas solat subuhnya sama sahaja taraf dengan solat-solat lain. Sekadar pergerakan fizikal apabila minda dan roh berada entah di mana-mana. Tidak selari antara rohani dan jasmani.

Kekadang lupa untuk membaca qunut dan selalunya tidak membaca ayat-ayat lazim, sekadar Al Fatihah. Rengkas dan laju.Tiada zikir dan tiada doa.

Bergegas kembali untuk masuk ke dalam selimut sambil menyambar telefon pintar yang tidak pernah tidur. Segera ke laman Facebook.

Matanya tidak berkelip membaca satu demi satu status kemaskini. Seperti biasa, semakin ramai meletakkan kemaskini berbaur politik. Selain tentunya perkara remeh temeh yang kalau tiada Facebook, tiada siapa pun peduli untuk ambil tahu, apalagi untuk sibuk menghebahkan dan menghebohkan.

Ada kemas kini yang yang menyambar minda, perang di bumi Afrika mengorbankan ratusan nyawa, bukan pembunuhan ke atas orang Islam di Palestin, Syria atau Burma. Tetapi di tempat yang namanya menganggu tumpuan dalan mencuba kekusyukan solat.


Timbuktu!”

Terngiang suara Abdilla di gagang telefon. Kawan yang pernah sekuliah kursus di universiti tiba-tiba membuat panggilan dari sebuah tempat yang dia tidak pernah dengar.

“Di mana?” Tanya Mejah lagi.

Timbuktu! Mali!”

Dan percakapan terputus. Tergantung. Seakan sebabak drama swasta.

Terus tidak dapat dihubungi. Menyebabkan debaran di dada Mejah cukup kencang sehingga tidak dapat tidur lena. Dan masih terus menganggu di pagi Ahad yang dia dijadualkan untuk ke sebuah pesta rock bersama rakan-rakan sebaya dalam kelab motorsikal.

“Di mana Timbuktu?”

Soalan yang diajukan kepada enjin carian Google, itupun tersalah ejaan. Tersenarai maklumat. Memang  Mejah cukup lemah dalam Geografi. Negara-negara dalam Asean pun boleh membuat dia keliru. Nasib baik ada Google, boleh sahaja dia mendapat maklumat apa sahaja di hujung jari.

Mejah terus membaca satu demi satu maklumat yang tertera dan mula merasakan sesuatu yang meratah kesedaran. Bagai ketukan tukul memecahkan kepala.

(Dua)

Tergesa-gesa Abdilla mematikan telefon sebaik mendengar tembakan yang tiba-tiba meledak. Tidak sempat untuk meneruskan perbualan dengan Mejah. Dia berpusing mencari tempat yang selamat dalam bangunan yang semakin menjadi sasaran. Memang dalam keadaan perang antara militan tempatan dan tentera yang dibantu oleh kuasa luar, semuanya memungkinkan.

Apalagi buat seorang luar yang datang tanpa mengetahui akan berlaku pertempuran. Datang sebagai pelancung yang terpikat dengan sejarah peradaban sebuah empayar lama dan tidak semena-mena terperangkap dalam tragedi kemanusiaan di kota purba yang terletak antara Sungai Niger dan Gurun Sahara.

Keadaan kembali tenang beberapa minit kemudian. Lantas perbincangan yang dijadualkan terus dimulakan.
“Kita perlu selamatkan segera manuskrip purba yang ratusan ribu jumlah ini!”

Begitu kata Mohamed, ketua pusat Institut Penyelidikan untuk Pengajian Islam Ahmad Baba (IPPIAB) yang mempunyai perpustakaan dengan lebih 20,000 manuskrip purba.

Pesanan yang terus membuatkan Abdilla nekad untuk berada di Timbuktu biar nyawa terancam. Sebagai sukarelawan yang tiba-tiba terasa mempunyai misi dan matlamat dalam kehidupan. Misi pertama dan penuh risiko, untuk menyelamatkan manuskrip yang menjadi bahan ilmu dan sejarah sebuah keagungan silam Islam bumi Afrika.

“Manuskrip yang kita ada sebahagian kecil dari 500,000 manuskrip Timbuktu yang berusia ratusan tahun, dari abad ke 14 ke abad 16. Semuanya ditulis tangan dan mengandungi pelbagai ilmu sains, matematik, Islam, 
sastera, perubatan, perundangan, falak, falsafah yang nilainya tiada bandingan dan tiada ganti di dunia. Pelbagai muzium dan perpustakaan serta pusat penyelidikan dan arkib di Timbuktu menyimpan secara sukarela!”

Bersungguh Mohamed bercakap dan bersungguh juga Abdilla mendengar. Mereka bersama kakitangan institut segera merancang untuk misi besar dalam suasana tegang.

Sebagai anak kelahiran Sudan, Abdilla memang kagum dengan apa yang dilihat di Timbuktu yang pernah mempunyai sebuah universiti, Universiti Sankore diwaktu eropah, amerika, asia masih dalam kegelapan.

Berbangga Abdilla sebagai anak Afrika untuk mengentahui, bumi Afrika tidak segelap, sejahil dan semundur yang selama ini menjadi persepsi. Barat sebagai penjajah telah menggelapkan sejarah Afrika setelah merompak kekayaan hasil bumi. Dan sejarah ditulis oleh pemenang yang tentunya beragenda sendiri. Sejarah bukan fakta kebenaran sepenuhnya.

“Mujahidin yang mendakwa sebagai pejuang jihad Islam itu mahu membakar semua manuskrip?”

Tanya Abdilla dalam keraguan. Baginya, tidak mungkin mereka yang memperjuangkan negara Islam mahu membakar manuskrip ilmu Islam. Satu kebodohan terlampau. Tidak islamik dan beradab tinggi.

“Ini bukan kali pertama, abad ke 16 tentera Maghribi, pengembara Eropah di abad ke 18, penjajahan Perancis di abad ke 19 dan kini abad ke 21, mujahidin yang dikatakan dibawah Al Qaeda,  ratusan manuskrip ini tetap selamat walau cuba dimusnahkan, itulah kuasa Allah!”

Mohamed bercakap dengan penuh ketenangan seperti wajahnya yang sama memaparkan ketenangan. Dia yang masih muda nampak cukup pengetahuan dan berkemampuan.

“Seperti keadaan yang lalu, kita mesti sembunyikan manuskrip dan bergerak secara rahsia. Strategi berhemah untuk menyimpan dibawah lantai lumpur, dalam almari, kotak-kotak, bungkusan-bungkusan dan bilik-bilik rahsia, selain gua-gua di gurun atau bahagian hulu bandar Mopti dan Bamako!”

Abdilla sudah bersedia dan terus teringat kepada Mejah, kawan baik di sebuah universiti di Malaysia. Mejah yang tentu berminat dengan manuskrip sebagai seorang pustakawan. Mejah yang diharapkan Abdilla, menjadi sukarelawan bidan terjun seperti dia.

(Tiga)

“Kau tahu, Mali mempunyai simpanan emas, minyak dan mineral yang besar! Sebab itu kerajaan Perancis campurtangan dan menghantar tentera. Kau ingat pihak Barat saja-saja mahu menolong? Semuanya ada agenda dan kepentingan sendiri!”

Adenan bercakap dengan memamah laksam Trengganu di mulutnya. Memandang skrin. Berkomunikasi secara skype dengan Mejah.

“Aku pun baru tahu, orang paling kaya dalam sejarah dunia ialah Raja Mali, Mansa Musa yang hidup dari tahun 1280 ke tahun 1337. Dia dikatakan mempunyai kekayaan sebanyak USD400 bilion. Seorang yang alim, pernah ke Makkah dalam tahun1324 dengan membawa 60,000 rakyat dan bertan-tan  jongkong emas, sehingga harga emas jatuh selama dua dekad dan dia memberi emas kepada fakir miskin yang dia jumpa dalam perjalanan. Dia juga membina banyak masjid di mana-mana beliau singgah!”

Mejah menyambung perbualan dari pejabatnya. Semakin menumpukan perhatian kepada berita dan maklumat mengenai Mali. Ada gambar masjid Djenne yang dibina dari lumpur apabila sultan Kunburu memeluk Islam, dari istana yang diruntuhkan.

Adenan hanya ketawa. Seperti biasa, santai di Kuala Trengganu. Tidak seperti Mejah yang sentiasa terkejar-kejar dengan kerja dan aktiviti anak muda.

“Semua itu kita tidak belajar di sekolah. Pengetahuan sejarah kita terhad kepada sejarah sendiri dan sejarah Barat. Begitu malang, sekarang dengan wikipedia dan Google, banyak maklumat berguna yang tersingkap!”
“Itulah. Bila dah besar panjang, baharu aku tahu mengenai Timbuktu, Mensa Musa dan sebuah negara bernama Mali! Memalukan. Kalau tidak kerana Abdilla yang sanggup mengorbankan nyawa sekarang, terus aku tidak tahu, betapa ignorannya kita!”

“Aku pun sama, hanya tahu apa yang berlaku di Palestin, Syria da Myanmar. Umat Islam yang disembelih di tempat lain, kita tak tahu!”

“Jom kita ke Timbuktu!”

Tiba-tiba Adenan tersentak mendengar saranan serius Mejah.

“Apa kau gila? Mana selamat? Kalau nak mati cepat, kau pergilah!’

“Mati kat mana-mana dan bila-bila. Kawan kita si Sam itu pun mati lemas walau pandai berenang. Aku pergi mahu selamatkan manuskrip Timbuktu, itupun jihad!”

Adenan terus sahaja ketawa. Baginya, lebih baik berjihad di Kemboja yang penduduk Islam masih ramai miskin dan buta huruf. Lagipun dekat dan lebih selamat.

“Kau solat dah regular ke belum? Subuh pun selalu qadha, tengoklah tentera Saladin yang menakluk Baitulmuqadis, solat tahajud tidak pernah tinggal!”

“Itu untuk tawan Baitulmuqadis! Ini untuk menyelamatkan manuskrip Timbuktu!”

Mejah sama ketawa walau jauh dalam dirinya, terasa jantungnya terkena panah bisa dari kata-kata Adenan yang sejak lama mahu menghamburkan peringatan itu.

Seketika, memuncak azam dan semangat. Dia mesti berubah dan perubahan bermula dari membetulkan solat dan menjaga solat, bukan sekadar menghabiskan masa di depan skrin dengan Facebook dan berpelisiran dengan aktiviti tanpa pahala!

(Empat)

“Kalau enam bulan lalu, saya tidak mungkin pasang bendera Perancis di teksi! Sekarang, semuanya kembali aman di Mali dan terima kasih kepada tentera Perancis serta sekutunya!”

Pemandu teksi bernama Gicko itu bercakap dengan bangga. Abdilla dan Mejah terkejut.

“Kamu sokong pihak kafir memerangi mujahidin?”

Gicko mengangguk. Matanya fokus kepada jalan kota Bamako. Memandu dari lapangan terbang ke hotel penginapan Abdilla dan Mejah. Sebelum mereka ke Timbuktu melalui Sungai Niger.

“Saya juga berfikiran sedemikian dahulu sehingga anak dan isteri dibunuh oleh mujahidin, yang rupa-rupanya militan ganas! Tidak peduli kepada kemusnahan, malah mahu membakar manuskrip Timbuktu!”

Sekali lagi Mejah dan Mejah nampak terkejut. Pemberontakan Mali bermula dari etnik Tuareg yang mahu negara sendiri, Azawad yang bermula semenjak tahun 1963. Orang-orang Azawad terdiri dari Toureg, Songhoi, Arab dan Paul dan mahu tiga daerah Mali utara, Gao, Kidal dan Timbuktu sebagai negara baru, Azawad.

“Bukankah mereka mahukan sebuah negara Islam yang mengamalkan shariah sepenuhnya? Dan bukankah Perancis mahu menjaga kepentingan syarikat yang banyak melabur di sini? Termasuk menjaga bekalan minyak, emas dan mineral terutama uranium?”

Pertanyaan Mejah yang sebelum datang ke Bamako, sempat mendalami maklumat dari Google. Mali mempunyai 90% penduduk Islam dan 72% peratus warganya berpendapatan kurang dari RM3 sehari. Lombong emas di Mali hampir semuanya milik keluarga Rothschild yang mengikut rekod, kedua terkaya selepas Mansa Musa. Ironi sekali. Kekayaan bumi umat Islam terus dimilik zionis, termasuk minyak dan mineral.
Gicko terdiam. Dia menarik nafas sambil memasang puting rokok.

“Di mana-mana umat Islam yang semakin seperti buih-buih di lautan jumlahnya terus menjadi mangsa. Seperti di Mali ini, kalau memilih mujahidin, apakah semuanya akan aman dan terjaga? Lihat Mesir, Tunisa, Libya masih belum tamat sengketa dari revolusi!”

Sepatah kata dari Gicko yang menerojah kesedaran Mejah. Memang benarlah, jauh perjalanan, luas pemandangan. Dan tidak semua maklumat, berita, imejan yang terpapar di skrin Internet itu tepat dan sahih.

“Semua ini kerana kita terlalu bersengketa, tidak bersatu dan terlalu taksub dengan politik serta berprasangka sesama sendiri. Sudan juga berpecah dua!”

Abdilla menyampuk, teringat tanahair dan Mejah juga segera teringat tanahair yang baharu ditinggalkan.
Dalam berharap, manuskrip Timbuktu memberi jawaban, terutama dalam politik yang terus memualkan!

Tamat -

1 comment:

Kump. Pemuda, Puteri UMNO BERSARA Dari UMNO said...


Pastikan adik2 semua keluar mengundi nanti.. Keluar mengundi PAS, PKR @ DAP walaupun adik2 mendapat saguhati atau duit daripada UMNO dan Barisan Nasional... Walaupun adik2 terpaksa berada di kem Barisan Nasional, pastikan adik2 mengundi PAS, PKR @ DAP... Asalkan Bukan UMNO.... OK!!! :-)

Adik2 semua jgn bersangka buruk kpd kawan2 yg berada di kem Barisan Nasional.... Mereka mungkin terpaksa menurut desakan mak ayah atau sapa2... Tapi takpa.. Jangan risau, mereka tetap akan undi Pakatan Rakyat ( Pesan awal2 kat mereka. Kita tiada pilihan )... Undi adalah rahsia.. Kita tentukan..


Tolong bantu kawan2 kita yang sedang berkempen di laman2 di bawah....
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=Forums&file=viewforum&f=18
http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=Forums&file=viewforum&f=1
http://www.selatanonline.net/modules.php?name=Forums&file=viewforum&f=1
http://www.sabahforum.com/forum/sabah-malaysia-international-politics
http://www.utaraonline.net/v4/modules.php?name=Forums&file=viewforum&f=6