Sunday, January 20, 2013

Cerpen: 50!



Dari Berita Harian Ahad 20 Januari 2013


Cerpen : 50!
Oleh : Fudzail
                
(Satu)

“Filem ini mematuhi syariahkah?”

Tanya Sheikha di dinding Facebook Nik Yusuf yang memaparkan klip dari Youtube sebuah filem Kurdistan. 
Filem mengenai pelarian kanak-kanak di sempadan Turki dan Iraq sebelum Amerika menyerang dan menduduki Iraq.

“Apa syarat-syarat untuk sebuah filem yang patuh syariah?” Nik Yusuf menjawab dengan pertanyaan yang kalau dituturkan, bernada sinikal.

“Tiada adegan yang memaparkan seks, keganasan, terdedah aurat dan percampuran bukan muhrim yang melampau antara lelaki perempuan!”

“Adakah ujud filem-filem seumpama itu di dunia?”

“Tentunya ada, seperti beberapa filem Indonesia dan Iran!”

“Bagaimana filem-filem tempatan Malaysia?”

“Tidak pasti kerana tidak begitu mengikuti kerana terlalu banyak cerita hantu dan cerita cinta popular!” Jawab Sheikha sambil meletakkan ikon wajah tersengih dalam komen. Satu lagi ungkapan sinikal.

“Habis itu apakah kriteria penyertaan ke festival untuk filem-filem yang mematuhi syariah?”

Mereka sedang mengumpul bahan untuk sebuah Festival Filem yang patuh syariah, sebuah projek Sheikha untuk universiti. Dibantu oleh Nik Yusuf yang kebetulan meminati dunia perfileman. Mengumpulkan banyak filem-filem bukan Hollywood.

“Semua itu termasuk dalam agenda. Kami akan bentuk sebuah jawatankuasa untuk membuat kriteria dan syarat serta menilai mana-mana filem yang boleh dikategorikan sebagai mematuhi syariah!”

“Sebenarnya Iran sudah lama ada mempunyai panduan untuk filem-filem mematuhi syariah!”

“Tetapi mereka Shiah!”

“Itu perkara kedua, perkara pertama sudah ada panduan yang boleh digunakan sebagai asas, malah ada filem Iran yang sudah berjaya dengan Oskar di Anugerah Akademi!”

“OK. Itu satu usul baik!”

“Apakah jawatankuasa untuk membuat kriteria filem patuh shariah semuanya ulamak-ulamak atau juga para penggiat?”

“Kami universiti berjenama Islam, patuh shariah, tentunya diketuai oleh ulamak dalaman, para profesor dan ilmuwan yang tahu ilmu-ilmu berkaitan!”

“Dan mereka bukan berfahaman Wahabi?”

Terhenti seketika Sheikha dari terus menaip. Memandang dinding Facebook samaran Nik Yusuf yang menggunakan akaun samaran, hanya mereka berdua dapat mengakses sebagai tempat berkomunikasi paling selamat. Sama-sama menyamar untuk sekuriti!

(2)

(Seterusnya Baca di akhbar Berita Harian Ahad)

No comments: