Sunday, March 25, 2012

Cerpen: Perang Hummus (Berita Minggu Ahad 25 Mac 2012)




Cerpen: Perang Hummus
Oleh: Fudzail

“Separuh dari makanan di dunia terbuang tanpa di jamah!”
Bergema suara Hasnaa ke arah Mediterranean. Terbentang kebiruan bersama hembusan angin lembut. Apartmen di jalan Hamra menghala ke Pidgeon Rock, struktur dari formasi alam yang terkenal dan menjadi salah satu tarikan di kota Beirut yang dinamik, indah secara geografinya berlatarbelakangkan pergunungan dan perbatasan lautan membiru, kekadang menghijau.
“Kita sudah ada 7 bilion manusia dan separuh dari itu hanya hidup dengan pendapatan dibawah RM8 sehari dan 80% dari penduduk dunia hidup dengan kurang dari RM30 sehari!”
Sambung Hasnaa, seakan bergema ke seluruh ruang kota Beirut yang berpenghuni sejuta orang. Dibalikan imej-imej berselerakan, 5,000 tahun dahulu Beirut adalah kota makmur di pesisiran Kanaanit dan Phoenician. Berbangga dengan jatidiri sebagai ‘kota yang tidak akan mati” setelah melalui dekad kemusnahan, kejatuhan, huru-hara akibat perang saudara dan konflik dengan Israel.
Berterusan kemelut politik tempatan, krisis demi krisis, perbalahan, rusuhan, serangan, pergolakan antara agama mengembalikan ketegangan dari luka-luka, parut-parut tragidi yang terus mewarnai suasana. Disebalik ketenangan yang boleh mencetuskan pelbagai insiden berdarah  dari reaksi dan emosi membara yang memendam perasaan, kalau tidak dendam.
“Ada hampir satu billion manusia dalam kebuluran, sedangkan bekalan makanan mencukupi untuk setiap yang bernafas!”
Rafeah mendengar sambil kembali kepada hidangan masakan Lubnan yang menyelerakan. Terutama Hummus. Pertama kali Rafeah merasa Hummus asli yang dimasak oleh Hasnaa.
Sempat melihat bagaimana Hummus disediakan dapur kecil apartmen satu bilik. Resipi mudah sahaja. Kacang kuda, tahini, jus lemon, bawang putih dan air kacang kuda dikisar sehingga halus. Untuk hidangan, diletakkan kacang kuda yang tidak dikisar ditengahnya dan dituangkan sedikit minyak zaitun dan serbuk paprika ditaburkan sekeliling mangkuk sebagai hiasan.
“Sungguh sedap!”
Tanpa rasa bersalah dalam monolog Hasnaa mengenai kebuluran dan kemiskinan penduduk dunia, Rafeah terus mencicah roti Lubnan dengan Hummus. Mungkin juga kelaparan kerana masih jet lag.  Belum mengikut waktu tempatan yang berbeda enam jam.
Hasnaa tersenyum. Mereka berdua berkenalan sewaktu bercuti bersama keluarga di Paris, dan kebetulan menginap di hotel tempat Hasnaa bekerja sewaktu musim panas. Hasnaa, seperti mana majoriti rakyat Lubnan menguasai tiga bahasa, Arab, Perancis dan Inggeris lantas menjadi penterjemah sukarela kepada Rafeah untuk membeli belah. Rakyat Perancis yang begitu mendaulatkan bangsa sendiri memang tidak peduli meskipun dianggap biadap, biarpun ramai diantara mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, sukar melayan orang luar yang tidak boleh berbahasa Perancis di bumi Perancis.
“Kita mempunyai bekalan makanan, hasil pertanian dan laut yang mencukupi untuk semua orang di dunia, tetapi pembaziran dipihak yang mewah dan kebuluran dipihak yang lain. Begitulah kapitalis telah menjahanamkan sistem ekonomi dunia, semua ini adalah sebahagian dari strategi agenda Zionis yang terus menguasai dan mempengaruhi peredaran dunia!”
Kata-kata Hasnaa dipagi Ahad yang indah cuaca itu sedikit sebanyak kembali mengingatkan Rafeah yang Beirut bersempadan dengan negara Israel.  Sesuatu yang menyeramkan kerana konflik Timur Tengah tidak pernah tamat dan berterusan, dari perang ke perang.
Malah dibawah kawasan pusat kota Beirut yang musnah, dan sedang dibangunkan semula, tersimpan sisa-sisa penaklukan Ottoman, Mamluk, Crusader, Abbasiyah, Umayyah, Binzantin, Rom, Persia, Phoenician dan Kanaan. Kesan-kesan sejarah yang membayangkan Beirut pernah menjadi pusat penting peradaban.
Hasnaa terus sahaja berceloteh mengenai topik yang menjadi kegemarannya sebagai salah seorang penggerak pertubuhan bukan kerajaan ‘Feed the World.’ Hasnaa yang baharu sahaja pulang dari Gaza untuk misi kedamaian itu masih belum berkahwin. Masih belum tiga puluhan dan mahu menumpukan masa dan tenaga untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik, demi kemanusiaan. Tidak mengira agama, bangsa dan kerakyatan. Baginya, setiap manusia mempunyai hak untuk mendapat bekalan makanan dan kemudahan pendidikan sebagai asas kehidupan. Hak asasi yang termaktub dalam Quran.
Rafeah pula terus sesekali melihat ke arah pesisiran corniche yang indah. Terngiang-ngiang suara ibunya yang menenggelamkan keghairahan Hasnaa melontarkan wawasan untuk perjuangan suci kearah dunia yang lebih baik.
“Beiruuuuuut?” Wow, lebih baik kamu bawak sekali topi besi dan baju kalis peluru dan jangan pakai kasut tumit tinggi!” begitulah kata ibunya sebaik memberitahu yang dia mahu bercuti di Beirut, di rumah kawan baik yang selalu dihubungi melalui Facebook.
Mungkin ibunya tidak mempunyai klu dan maklumat terkini mengenai Beirut. Hasnaa selalu berkata, Beirut adalah kota untuk berparti dan bukan zon perang seperti mana persepsi ramai orang, termasuk ibu Rafeah yang disebalik berfikiran terbuka, terus mempercayai bulat-bulat propaganda yang bukan-bukan. Terutama kalau propaganda yang berbau politik.
Puas juga Rafeah cuba meyakinkan ibunya, seorang ibu tunggal yang tentunya tidak mahu apa-apa kejadian tidak baik berlaku terhadap anak perempuan tunggalnya. Hasna telah berjaya meyakinkan yang maklumat buruk mengenai Beirut dan Lubnan sebenarnya dipenuhi dengan propaganda Zionis semata-mata.
Akhirnya, melalui sebuah klip video youtube, ibu Rafidah memberi izin dan melepaskan anaknya pergi dengan syarat, tidak lebih dari lima hari. Syarat yang tidak dipenuhi oleh Rafeah kerana cuti semester pengajian dua minggu dan dia mahu habiskan sepenuhnya di Lubnan.
Rafeah tiba di lapangan terbang Beirut tengah malam dan terkejut dengan kemesraan para staf imigresen diwaktu larut malam sebegitu. Joie de vivre. Diberikan sambutan yang cukup mesra, senyuman manis dan urusan cop visa hanya dua minit. Sememangnya nama  Malaysia cukup baik kerana ada batalion askar Melayu di bumi Lubnan sebagai tentera pengaman PBB.
Sepanjang perjalanan ke apartmen, Hasnaa memandu di pesisiran laut yang dipenuhi dengan hotel-hotel mewah, kedai-kedai label pereka terkemuka dan deretan pencakar langit yang berkelipan dengan neon-neon terang benderang.
Dan pagi itu, sarapan Hummus membawa tanggapan pertama yang meyakinkan, Beirut adalah kota yang selamat untuk bercuti mahupun menetap. Romantik dan berwarna-warni buat hati anak muda.
“Wanita Beirut begitu mengambil berat mengenai kesihatan dan fesyen. Sentiasa bersenam dan menjaga bentuk badan. Itulah jati diri wanita Lubnan!”
Tiba-tiba Hasnaa menukar topik yang lebih menarik minat Rafeah. Lantas perhatian kepada monolog pun bertukar dialog.
“Wow, sebab itu Nampak ramai yang sedang berjoging di Corniche!”
“Kamu pergi tukar pakaian sukan, kalau tiada kasut, guna kasut joging saya, kita joging di Corniche.”
Rafeah segera bersiap. Mereka berdua tenggelam dalam ramai lelaki dan wanita yang kebanyakannya berpakaian sukan label pereka dan jenama terkenal, beriadah sepanjang pesisiran Mediterranean.
Pembinaan bangunan-banguna baru kelihatan di mana-mana. Rekebantuk dan perhiasan apartmen, kafe dan hotel begitu moden, anggun dan eksklusif. Seakan berada di kota Paris atau pun Dubai yang pernah disinggahi Rafeah sewaktu transit.
Perbualan sambil berjoging menjurus kepada peristiwa sewaktu dan pasca perang Lubnan, atau dalam bahasa Arabnya, Harb Tammuz, perang 34 hari. Berlaku dalam bulan Julai dan Ogos tahun 2006 yang mengorbankan ribuan jiwa. Terutama dipihak orang awam Lubnan yang dibunuh dengan bom Israel tanpa ada belas kasihan, hanya kerana mendakwa demi keselamatan negara Zionis itu.
“Zionis laknat musnahkan negara kami, kami tidak beralah, berputus asa dan tidak akan tewas begitu sahaja. Kami bersihkan debu-debu, sisa-sisa kemusnahan dan bangkit untuk kembali memulakan kehidupan. Kami bukan pengecut dan kami bukan teroris seperti mereka!”
Semangat optimis Hasnaa yang menguak ruang kebebasan Beirut di satu pagi musim bunga, terus menyemarakkan sentiment Rafeah. Pertama kali dalam hidupnya, yang dibesarkan sebagai rakyat Malaysia yang mewah dengan kemudahan, tidak pernah berdepan dengan perang, Rafeah merasakan ada kehebatan yang menusuk mengenai jati diri seorang wanita Lubnan bernama Hasnaa yang kedua ibu bapanya turut terkorban dalam Harb Tammuz. Hanya tinggal sebatang kara tetapi tidak pernah merasa kesal, malah mahu membantu jutaan manusia lain yang lebih tidak bernaisb baik. Bagi Hasnaa, hidupnya lebh bererti sebagai seorang yang menyumbang ke arah dunia yang lebih baik biarpun sentiasa terancam.
Dari pemerhatian Rafeah sewaktu berjoging, kelihatan bangunan yang terkena bom, malah banyak juga pohon-pohon kurma sepanjang Corniche yang ditembusi atau dihinggapi peluru. Melihat kehadiran tentera yang memerhati, sedikit sebanyak memberikan rasa keselamatan, walau dalam detikan hati mengacah-ngacah mengenai kalau ada apa-apa kejadian yang tidak diingini boleh berlaku bila-bila masa. Dan Rafeah tidak bersedia apa-apa, terutama dari segi mental dalam menghadapi bencana.
Hasnaa ada memberitahu yang dikawasan pedalaman Lubnan, terutama berhampiran sempadan Israel, banyak sekatan jalanraya sebagai langkah-langkah berjaga-jaga dan keselamatan. Hakikatnya, kata Hasnaa Lubnan masih selamat. Hasnaa berjanji akan membawa Rafeah ke beberapa kawasan yang pernah menjadi tumpuan dunia seperti kawasan pembunuhan kejam di kemah pelarian Sabra dan Shatila. Tragedi kemanusian yang mengorbankan lebih empat ribu orang awam Lubnan dan Palestin oleh militan Kristian Phalangist Lubnan. Peristiwa yang berlaku antara 16 ke 18 September tahun 1982  sewaktu perang saudara Lubnan yang menjadikan Beirut sebagai tumpuan dunia terhadap keganasan serangan gerila Kristian yang didokong rejim Israel.
“Kita mesti sentiasa positif. Jangan mudah kecewa dan berputus asa kalau ada halangan, masalah dan musibah! Setiap sesuatu ada hikmahnya”
Hasnaa terus sahaja memberi suntikan kepada Rafeah yang baharu sahaja kecewa dalam percintaan. Sesuatu yang menyebabkan tumpuan kepada pelajarannya terganggu. Kawan lelaki yang dikenali sejak sekolah kemudian bercinta di kampus beralih arah, meninggalkannnya kerana menjalin cinta baharu, dengan seorang pelajar perempuan Iran yang sama jurusan. Lantas, percutiannya di Beirut adalah salah satu cara untuk melupakan apa yang terjadi. Tragedi yang langsung tidak setaraf dengan tragedi yang menimpa Hasnaa. Seperti langit dan bumi. Terasa memalukan, malah memualkan pula untuk Rafeah terus berduka cita dan fras menonggeng.
Apalagi apabila Hasnaa menunjukkan gambar yang terpampang di sebuah dinding bangunan.
“Kamu ingat Rachel Aliene Corrie?”
Pertanyaan yang menyentap kesedaran Rafeah mengenai tahap pengetahuan am. Malu untuk mengaku tidak kenal tetapi sememangnya dia ignoran.
“Rasanya tidak! Siapakah dia?”
Hasnaa pula yang terkejut dengan sikap ignoran Rafeah yang bergelar mahasiswi. Tidak prihatin dengan kemelut dunia dan konflik yang melibatkan kestabilan muka bumi. Lebih-lebih lagi apabila gambar besar itu tertulis, ‘Rachel Aliene Corrie, kami tidak melupakan kamu!’
Hasnaa menarik nafas. Sedikit kecewa dengan jawaban Rafeah.
“Dialah gadis Amerika yang dibunuh tentera Israel kerana bertindak sebagai pendinding keganasan Zionis sewaktu Intifada kedua dalam tahun 2003, dia dilanyak jentolak yang digunakan untuk meruntuhkan rumah-rumah warga Palestin di Gaza secara zalim!”
Sesuatu yang menyentap emosi Rafeah tiba-tiba. Keberanian dan semangat cintakan keamanan, keadilan tidak mengenal batasan. Biarpun rakyat Amerika yang masih remaja, sanggup secara sukarela, cuti pengajian setahun untuk sama membantu warga Palestin yang dianiaya dan dizalimi Zionis dan kerajaan Amerika sendiri.  Rachel memahami apa yang sebenarnya berlaku walau dihujani propaganda oleh media amerika yang dikuasai Zionis. Lantas Rachel menjadi salah seorang manusia yang disanjung Hasnaa kerana tidak buta, pekak dan bisu dengan realiti, malah gigih berjuang untuk keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Sedangkan Rafeah, mahasiwa sains politik, masih terlena dengan perkara-perkara yang remeh temeh. Mungkin terlalu banyak dipengaruhi oleh hiburan melulu. Tidak juga membaca apa yang dianggap serius, selain novel-novel picisan dan majalah hiburan popular yang tidak membawa apa-apa ilmu, kecuali emosional dengan masalah-masalah perasaan dan percintaan. Skandal dan gossip artis yang menjadi idola dan ikutan seakan-akan boleh membawa kejayaan dalam hidup dan juga ke syurga.
Dua hari kemudian, Rafeah sudah melupakan tragidi kegagalan cinta. Perspektif kehidupan lebih luas skop dan pradigma pun menganjak. Keluar dari tempurung.
“Saya nampak penduduk Beirut begitu gemar menghabiskan masa terluang di kafe dan restoran. Keluar bersiar, bertemu kawan, menghisap shisha atau bermain backgammon seakan cara hidup kalian begitu santai!”
Hasnaa teruja dengan pengamatan Rafeah.
“Orang Lubnan ini liberal. Mungkin budaya santai diserapkan oleh Perancis yang lama menjajah. Kehidupan kami juga ringkas, kalau dapat duit seratus hari ini, seratus juga dihabiskan. Kami mahu hidup yang menyeronokkan dan ramai tidak pandai menyimpan dana untuk hari esok, apalagi hari tua!”
Rafeah cuba memahami. Dari apa yang dilihatnya, secara amnya, tiada banyak bedanya antara penganut agama Islam yang dikatakan enam puluh peratus dan bakinya Kristian serta agama lain.  Sembilan puluh lima  peratus berbangsa Arab termasuk pelarian Palestin dan lima peratus berbangsa Armenia serta lain-lain. Bancian denominasi penduduk tidak lagi dibuat kerana sensitiviti. Malah perpecahan dalam agama agak ketara, sebanyak 18 agama atau mazhab, seperti Muslim dengan Sunni dan Shiah, juga Kristian dengan Maronit, Ortodoks. Ada agama lain seperti Druze. Sebelum perang saudara, mereka saling hidup dalam harmoni.
“Lubnan agak unik kerana ramainya jumlah Arab beragama kristian yang sama memegang tampuk pemerintahan, dan juga peranan Shiah dalam politik seperti Hizbollah. Begitupun, lebih ramai diaspora Lubnan di Amerika Selatan dari yang ada di tanahair. Mungkin tiga kali ganda, salah seorang bangsa Lubnan yang hebat ialah Carlos Slim HelĂș, anak imigran Lubnan yang kini manusia terkaya di dunia!”
Hasnaa bercerita sambil menjejak Ashrafieh, daerah elit Beirut. Atmosfera petang yang memberikan suasana sungguh meriah. Berduyun-duyun manusia dengan pelbagai fesyen dan warna pakaian. Musim bunga memang cukup indah. Terpancar wajah-wajah yang melontarkan kemesraan.  Pelbagai peringkat umur seakan bergerak ke satu pesta. Membawa keriangan dalam udara yang bersuhu nyaman.
Mereka mendekati satu kawasan yang mula tersusun banting dan poster di mana-mana. Semuanya gambar hummus dengan perkataan dalam bahasa Arab. Sesuatu yang membuatkan Rafeah teruja. Hasnaa tidak memberitahu apa-apa mengenai apa yang sedang berlaku.
 “Kamu bertuah hari ini!”
Rafeah terkejut. Hasnaa tersenyum. Melirik. Menyembunyikan sesuatu.
“Hari ini ada persitiwa bersejarah untuk warga Lubnan!”
“Apa yang bersejarah?”
“Kami akan mengalahkan Israel durjana!”
Berdetik jantung Rafeah. Terus sahaja tergambar sesuatu yang selalu hinggap di minda. Apalagi berada di ruang yang terus menerus dalam ketegangan, biarpun di permukaan sungguh tenang. Sejarah terus berulang-ulang dalam era berbeda. Krisis demi krisis menjadikan kehidupan sentiasa dalam pergolakan.
“Perang?”
Hasnaa ketawa. Sememangnya jawaban yang tidak mengejutkan. Rafeah terasa dalam suasana yang mendebarkan jiwa kerana selama berada di Beirut, tiada apa-apa yang berlaku, malah tiada kedegaran siren, letupan bom, tembakan, apalagi deruman jet-jet pejuang yang selalu digambarkan. Yang selalu didengari adalah bunyi hon kereta dan lagu-lagu dari kereta-kereta yang dipasang kuat.
“Jom kita raikan kemenangan!”
Rafeah keliru. Kemenangan apa?
Hasnaa terus menarik Rafeah ke satu kawasan terbuka yang gamat. Kelihatan ramai tukang masak sedang berbuat sesuatu diatas barisan meja yang teratur.
Ternganga Rafeah melihat suasana yang begitu meriah dengan sorakan. Seakan penonton yang memberi semangat padu kepada pasukan bola bertanding.
“Ada tiga ratus tukang masak sedang menyediakan hummus seberat 23,130 kilogram!”
Dalam kegamatan, Hasnaa terus bercakap, seakan membuat ulasan selari secara langsung.
“Tukang-tukang masak itu memasukkan hummus yang sudah siap ke dalam sebuah bekas besar seberat 10 tan yang dibuat khas untuk acara ini. Kami akan memastikan disahkan oleh Buku Rekod Guinness sebagai pemenang menyiapkan santapan hummus terbesar di dunia, mengalahkan Israel yang mencapai rekod terbesar di dunia enam bulan lalu, kami membuat dua kali ganda kali ini dan Israel tidak mungkin boleh mengatasi rekod ini!”
“Lubnan dan Israel saling bersaing untuk menyediakan hummus terbesar di dunia?”
“Lebih dari itu, pertempuran gastronimik ini juga sebagai mendaulatkan maruah negara. Israel mendakwa hummus dan falafel  adalah makanan tradisional Yahudi dan rasmi negara mereka dengan mendaftar paten sebagai milik mereka. Jahanam betul Zionis, semua mahu ditakluki, hatta makanan kami yang berkurun menjadi makanan tradisional!”
Kata-kata Hasnaa penuh dengan perasaan geram.
“Secara humornya, kami merasa bangga kerana Lebanon menang perang Hummus biarpun lebih berbentuk propaganda perang saraf!”
Mereka berdua ketawa dalam berebut-rebut mahu berposing dengan tukang-tukang masak muda, wira-wira hummus yang di pandangan sepasang mata sepet-Rafeah, jauh lebih kacak dari bekas kekasihnya!
-          Tamat -