Cerpen: Itanimulli
Oleh: Fudzail
Hakikatnya, Lukman mula merasa sesuatu yang memualkan. Meloyakan. Bagai terbau lubang najis yang tersumbat dan melimpah ke
jalan. Memuntahkan kebobrokan yang selama ini sekadar mitos dari cakap-cakap
atas talian. Sekadar cemuhan berbaur fitnah yang tidak pernah disangkanya,
adalah kisah benar. Bukan lagi sesuatu yang direka-reka sebagai teori
konspirasi.
Setiap yang hebat, gah digambarkan dalam brosur promosi, seakan terlerai
seperti salji yang turun ke bumi. Memutih tanpa pengertian. Kosong. Melitupi
pandangan dan menutup keindahan sebenarnya. Musim dingin pun menjadikan fikiran
berserabut. Walau saujana yang memutih adalah refleksi yang melebar ruang untuk
cabaran penghijrahan.
Enam bulan telah berlalu. Enam bulan merentas advencer yang semakin hilang
keseronokan. Kemuncak ekspektasi meluntur bersama hari-hari yang membawa
realiti ke kewarasan minda. Tersungkur perasaan. Terluka emosi. Terdampar
impian yang tercemar oleh asakan ganas realiti.
Di kaunter pembayaran hypermarket, tempat dia bekerja sementara untuk
mencari rezeki menampung kehidupan, sementara yang seakan menjadi berpanjangan,
Lukman menjadi pelajar yang tekun. Sementara mendapatkan pekerjaan yang lebih
sesuai dengan kelayakan, pengalaman dan pendidikannya, Lukman tetap bekerja
gigih sebagai kasyier. Bukan sahaja memerhati dan menganalisa setiap pelanggan,
malah menilai setiap yang berlaku sebagai kuliah dunia realiti. Seumpama sebuah
program realiti TV yang penuh dengan kejutan.
Dari kejutan budaya ke kejutan minda, kejutan persepsi dan kejutan yang
meruntuhkan pertahanan jiwa sebagai pendatang yang pernah begitu semangat untuk
mengubah keadaan. Mengubah nasib diri dan keluarga di sebuah negara asing yang bertaraf
negara maju. Negara yang tersohor dengan kebebasan hak asasi, kebesan media,
demokrasi unggul, dengan peluang pekerjaan, potensi kekayaan dan segala yang
dinamakan syurga dunia.
Syurga dunia yang sekadar selapisan kilauan fatamorgana!
Enam bulan sebagai kasyier berdepan dengan ribuan manusia, pelbagai
karenah, perangai dan masalah, Lukman berada dalam suasana yang penuh
kekeliruan. Menganggu fikiran dan menggugat kenteteraman bekerja.
Dan seperti hari-hari yang lalu, dia terus berdepan dengan situasi yang
sama.
"Bukankah lada benggala itu makanan? Kau pun makannya, bukan?"
Garang suara makcik tua apabila tanda harga di imbas, komputer tidak
menyenaraikan 'lada benggala' sebagai kategori makanan, dan tidak boleh
menggunakan baucer dan kad bantuan pemakanan (KBP) untuk pembayaran.
"Maaf, sistem tidak menerima lada benggala sebagai makanan dan KBP
turut menolak caj ini!"
"Apakah bodoh sangat sistem canggih pasaraya besar ini?"
"Saya tidak boleh berbuat apa-apa! Makcik terpaksa bayar dengan
tunai!"
Makcik itu terus sahaja mengomel. Mengeluarkan kata-kata kesat. Memaki
sesiapa sahaja yang diingatnya, termasuk para pemimpin politik.
"OK! Tolak sahaja, aku tidak mahu membelinya kalau terpaksa bayar
tunai, mana aku ada wang, akukan penganggur?"
Baki kredit dalam kad KBP memang cukup untuk membayar lada benggala. Tetapi sistem mengenal pasti dari kod harga. Lada benggala tiada huruf 'F" sebagai kod makanan dan tidak menerima untuk bayaran melalui kad KBP.
Baki kredit dalam kad KBP memang cukup untuk membayar lada benggala. Tetapi sistem mengenal pasti dari kod harga. Lada benggala tiada huruf 'F" sebagai kod makanan dan tidak menerima untuk bayaran melalui kad KBP.
Makcik itu menunjukkan muka mencuka, mengambarkan kebencian meluap.
Mungkin juga kerana Lukman berkulit sawo matang dan nampak pendatang yang
baharu mendiami pinggiran bandar tersebut. Loghat dan cara percakapan pun masih
pelat. Ada rasis dan prejudis menampakkan wajah sebenar yang sering
berselindung disebalik keramahan ‘warganegara’ menerima pendatang ke dalam
komuniti.
Sebelum berlalu, memandang ke arah pelanggan lain yang beratur, makcik itu
memekik, "Inilah kerajaan paling tak guna! Semuanya tak guna, termasuk
pendatang yang menyibuk!"
Lelaki yang beratur dibelakang makcik itu menggeleng-geleng kepala.
Wajahnya kelihatan mual dengan sikap seorang yang terus bergantung kepada
bantuan polisi negara berkebajikan.
"Mereka yang mendapat bantuan kebajikan, penganggur abadi yang tidak
mahu bekerja, goyang kaki, dapat kad KBP, hanya tahu menyalahgunakan bantuan
yang diberikan, sombong pulak tu, tidak bersyukur langsung!"
Lelaki itu mengomel sebaik gilirannya tiba. Pelanggan lain sama mengomel
kerana karenah sebegitu sudah menjadi biasa, apalagi menjelang pilihanraya.
Musim untuk ahli politik kembali ke kawasan dan saling berjanji untuk mengubah
keadaan yang semakin gawat oleh krisis ekonomi dunia.
Lukman mengangguk sambil tersenyum sebagai pekerja yang ramah pelanggan. Mula-mula
dahulu dia boleh sahaja menjadi panik. Terpaksa memanggil penyelia. Kini sudah
bersedia dengan mereka yang bodoh sombong dan cukup memahami perasaan tidak
puas hati, rakyat yang bekerja, membayar cukai tinggi untuk menampung kehidupan
mereka yang menganggur. Ramai menganggur bukan kerana tiada pekerjaan, tetapi
kerana sudah seronok tidak bekerja, melepak siang malam dan menerima pelbagai
bantuan kerajaan, dibawah perlaksanaan negara berkebajikan sejak 50 tahun lalu.
Malah dua generasi kemudiannya, masih terus mahu menganggur. Kemudahan yang
memanjakan dan menjadikan generasi hilang haluan, tiada saingan dan tiada
kemahuan untuk keluar dari kepompong 'pengangguran', begitulah yang Lukman
rumuskan dari pemerhatian, perbincangan dan pembacaan sejak mendarat sebagai
permastautin tetap.
"Inilah bahana negara berkebajikan yang dipenuhi dengan pelbagai
penyelewengan, dari peringkat atas, pemimpin yang syok sendiri dengan segala
slogan, ke peringkat penerima bantuan yang semakin besar jumlahnya tahun ke
tahun!"
Lukman mendengar cemuhan yang semakin kerap, terutama dari
pelanggan-pelanggan yang membenci, muak dan mual dengan keadaan. Malah perasaan
kebencian yang terus memuncak antara dua golongan rakyat, majoriti yang bekerja
kuat, terpaksa membayar cukai tinggi untuk menampung penganggur yang ramai dari
mereka memang malas bekerja. ‘Pemalas’ yang berpuas hati, menikmati pelbagai
kemudahan tanpa cuba mengubah nasib diri dan tidak peduli mengenai ekonomi
negara yang terpaksa terus menaikkan
subsidi dan perbelanjaan tahunan untuk menampung rakyat pemalas.
Seperti selalu, waktu makan tengahari di kantin, perbincangan berlanjutan.
Topik mengenai isu yang semakin lantang diperkatakan secara terbuka, biar boleh
sahaja melemahkan kerajaan yang memerintah, yang tentunya mengharapkan undi
dari rakyat pemalas, pengganggur yang semakin tahun, semakin meningkat
jumlahnya, apalagi sejak krisis ekonomi menyebabkan ramai yang dibuat kerja.
Masih belum pulih sepenuhnya, tetapi sudah semakin baik.
"Hari itu ada seorang lelaki, dengan telefon mewah dan kereta baru,
datang membeli dengan menggunakan kad KBP. Tidak malu ke? Bayaran bulanan untuk
khidmat jalur lebar sudah memadai untuk membeli makanan. Muka seposen sahaja
menyelewengkan wang kita, wang cukai kita!"
Begitu komen Samuel, juga pendatang yang bekerja sebagai kasyier di
hypermarket itu, sementara mendapat pekerjaan yang sesuai dengan ijazah ekonomi
dan pengalaman bekerja di bidang perbankan. Berhijrah dari sebuah negara yang
terus mundur biarpun sudah berganti pemimpin setelah kejatuhan diktator bernama
Marcos. Bak kata Samuel, demokrasi dari revolusi boleh memberikan kebebasan
suara tetapi tidak makanan dan kehidupan yang lebih baik, selagi kepimpinan
terus bobrok dan setelah menang, melupakan segala objecktif yang menjadi asas
perjuangan. Menjadi kitaran setan dan melumpuhkan negara.
"Saya tengok ada yang lebih teruk, gunakan baucer Bantuan Sementara
Untuk Keluarga yang Memerlukan (BSUKM) membeli aksesori kereta, bir, mainan
anak-anak, pakaian bergaya, sebab BSUKM
tidak menghadkan pembelian walaupun dasarnya hanya untuk makanan!"
Celah Lukman. Keduanya menggeleng. Sejak enam bulan, keduanya menjadi
pendatang yang semakin tertekan. Lantas menjadi sahabat yang semakin rapat.
"Yang paling hebat, ada seorang lelaki yang menjual burger di kawasan
lain, yang selalu ke kaunter saya, berbual mengenai burger jualannya dan
menyarankan saya ke gerainya, dia boleh belanja makan percuma. Tetapi membeli
barang-barang bekalan untuk jualannya dengan menggunakan kad KBP! Ternyata,
secara terbuka, negara berkebajikan ini yang membiayai bisnesnya, cukup teruk
sekali mentaliti!"
"Ramai penipu, pencuri yang menyeleweng bantuan kerajaan untuk
kepentingan diri tanpa memikirkan kita
yang bekerja ini, membayar cukai pendapatan sekadar untuk memberikan makanan
percuma kepada mereka. Kita berkorban tenaga dan waktu, cukai semakin tinggi,
apalagi buat pendatang seperti kita yang masih terumbang-ambing setelah
berhijrah!"
"Kau baca mengenai seorang doktor yang menyalahgunakan KBP dan BSUKM,
membuat permohonan dengan maklumat palsu bertahun-tahun? Kaya raya dengan
apartmen mewah di beberapa buah kota!"
"Berita pembongkaran seperti itu sudah semakin kerap, saya rasa
majoriti rakyat sudah jelak dengan penyelewengan yang selama ini cuba
disembunyikan untuk mempertahankan sistem yang sudah lapuk!"
"Mungkin kita berhijrah ke sini di masa dan keadaan yang salah,
sewaktu ekonomi merudum dan sewaktu protes rakyat terhadap kebobrokan sistem
yang didewa-dewakan terus meningkat. Pihak pemimpin pula sudah tidak mampu lagi
untuk mempertahankan sistem yang menghancurkan negara!"
Perbualan serius Lukman dan Samuel sama didengari oleh mereka yang lain.
Sama-sama mencelah. Majoriti mereka adalah pendatang yang berbekalkan kad hijau
sebagai permastautin tetap berhijrah untuk kehidupan lebih baik. Mimpi manis
menjadi mimpi ngeri. Setelah membuat permohonan, ditapis dalam proses yang
ketat dan tidak murah perbelanjaan.
Jumlah pendatang juga semakin bertambah kerana ramai warganegara yang
semakin berusia dan dengan jumlah kelahiran yang menurun, tenaga pekerja sama
berkurang, begitulah yang dipaparkan di laman web jabatan imigresen yang
memproses kemasukan pendatang. Menggamit ratusan pendatang untuk mencuba nasib.
Statistik yang mengambarkan kemajuan fizikal dan intelektual tidak seimbang
dengan keperluan dari segi jumlah penduduk, malah ramai warganegara sendiri
yang berhijrah untuk mengelakkan cukai yang tinggi dan pendapatan yang tidak
meningkat dengan produktivit.
"Tetapi kalau dilihat dari perspektif berbeda, keadaan semasa ini juga
berlaku dari ketamakan korporat besar memonopoli pasaran dalam pelbagai
industri!”
Lukman terdiam mendengar
hujah teman sekerja Adeline Chang, lahir di kota itu dan seorang warganegara
yang mahu memulakan kempen ‘Menduduki Kota’ seperti mana yang sedang berlaku di
banyak kota-kota besar negara maju. Protes terhadap kerakusan dan ketamakan 1%
dari penduduk dunia yang menguasai bisnes.
“Contohnya hypermarket
ini, multi-nasional, masuk ke negara ini secara besaran. Melumpuhkan
peniaga-peniaga runcit kecil dan sederhana tempatan yang dahulu memberikan
ruang untuk bersaing secara adil. Siapa lagi mahu ke kedai-kedai runcit yang
tidak mampu menawarkan harga seperti mana hypermarket gergasi yang dibina
merata-rata. Monopoli pasaran dengan menekan pengeluar dan menentukan pasaran
mengikut keuntungan yang ingin mereka capai!”
Adeline Chang anak
seorang pendatang yang bisnes keluarganya turut terkorban oleh pasaran terbuka
yang dicanangkan kerajaan pemerintah sebelumnya. Lukman memahami perasaan
Adeline Chang yang bercampur dendam terhadap kerakusan korporat gergasi.
Menakluki bisnes secara permainan yang tidak adil tanpa memperdulikan
pentingnya pertumbuhan industri kecil dan sederhana dalam pembangunan negara,
biarpun sudah bertaraf negara maju.
“Bayangkan perbelanjaan
untuk bantuan kebajikan para pemalas meningkat 400% semenjak 10 tahun lalu dan
tiada penurunan dari segi jumlah penerima bantuan. Lantas, kita sebagai
pembayar cukai menanggung kenaikan yang terus mengurangkan daya untuk
berbelanja, terpaksa pula berhutang untuk menanggung kos sara hidup dari
inflasi. Sebab itu ramai memilih untuk menganggur dan menerima bantuan dalam
pelbagai bentuk sambil goyang kaki. Mana keadilan? Kerana itu memerlukan tenaga
pendatang untuk mengisi pekerjaan yang kemudian mengetahui lubang dalam sistem yang
robek untuk sama-sama menikmati kemudahan dana yang diperuntukkan setiap tahun!”
Sambung Adeline Chang
dengan suara yang sedikit gementar.Ada nada kemarahan. Ada getaran kegeraman,
apalagi dalam suasana menjelang pilihanraya, ramai peganggur mengambil
kesempatan sebagai ‘suara ketiga’ untuk menentukan hala tuju negara. Setiap undi
adalah berharga dan dalam sistem dua parti, kemunculan suara ketiga menarik
minat ramai rakyat. Pilihan ketiga menjadi penentu kuasa politik di Britain dan
Australia, menjalar ke banyak negara.
“Sistem negara berkebajikan
ini juga melumpuhkan semangat keushawanan. Sistem yang dahulu memang baik di
era generasi nenek moyang, sekarang sudah semakin dipenuhi dengan birokrasi,
berkurap dan membarah, tidak efektif dan penuh dengan penyelewengan yang
memerangkap ratusan ribu dalam kitaran pergantungan terhadap bantuan
semata-mata. Tidak mahu berusaha kerana semuanya adalah hak asasi untuk tidak
perlu bekerja, kalau hidup di negara saya yang jumlah penduduk satu bilion, tentunya
ramai yang sudah mati kebuluran kerana tewas sebelum berjuang!”
Suara Maniam, pendatang
yang baru tiba dari Mumbai sedikit melucukan kerana slanga Inggeris kehindian
yang masih pekat. Begitupun pendapatnya memang bernas. Dia sendiri cukup kuat
bekerja sebagai penjaga stor walaupun mempunyai ijazah dalam bidang
kejuruteraan dan pengalaman dalam industri kuasa nuclear. Hanya kerana masih
belum memiliki ‘pengalaman tempatan’, dia terus sahaja terpaksa bekerja
sementara dengan kerja-kerja yang lebih rendah kelayakan. Bersaing dengan ramai
pendatang lain yang keliru dengan keadaan semasa, sama-sama membawa ijazah yang
sukar untuk diiktiraf majikan walau sudah melepasi proses semakan oleh jabatan
imigresen. Sesuatu yang diluar jangkaan dan menyusahkan untuk bermula dari
bawah semula.
Ramai pemegang ijazah
sarjana dan Phd yang terpaksa bekerja membawa teksi, buruh atau kerja bawahan
kerana jurusan dan bidang kepakaran mereka tidak diperlukan. Tidak sesuai atau
terlebih kelayakan.
Lukman terus menjadi
pendengar kerana fikirannya jauh melayang ke tanahair sendiri. Terkenang kehidupan
yang tidaklah senang tetapi masih sahaja ada kebahagian. Biar tertekan dengan
keadaan, masih ada ruang untuk melepaskan keluhan. Masih ada adik beradik, keluarga,kenalan
rapat untuk mengadu. Sesuatu yang mula terasa kehilangan dalam keasingan.
Masa memang cepat
berputaran. Pagi ke petang, malam ke subuh berulang di kalendar. Dalam mengejar
jadual kerja sambil mencari peluang pekerjaan baharu, musim ke musim
berikutnya, Lukman menerima hakikat, bukan mudah untuk menyesuaikan diri.
Cabaran dalam pelbagai bentuk sedikit sebanyak menggugat kekentalan jiwa yang
menganjak langkahnya selama itu.
Sebaik tamat sif kerja, Lukman
terus bergegas untuk pulang ke rumah bersama keluarga. Tidak ambil over time
kerana mahu berehat setelah seminggu bekerja dua syif setiap hari. Isterinya,
Sarah sudah siap menghidangkan makanan Melayu. Kedua anak sibuk dengan
kerja-kerja sekolah.
Sambil menonton TV,
seperti biasa Lukman melayar Internet. Selain mencari kerja dan mengakseds rangkaian
sosial, berkomunikasi dengan kawan-kawan, terutama kawan-kawan rapat di
tanahair.
“Mungkin kalain tahu apa
yang sebenarnya terjadi dalam menentukan kuasa dan penguasaan ekonomi dan
kewangan, perbankan di muka bumi ini bukan? Turun naik ekonomi, memanipulasi
pasaran terbuka, pasaran matawang dan segala yang berkaitan dengan riba!”
Seperti biasa, sembang meriah di laman grup alumni New Zealand di Facebook berligar
mengenai teori konspirasi. Sesuatu yang dirasakan oleh Lukman amat berkaitan
dengan krisis demi krisis dunia, termasuk merudumnya konsep negara berkebajikan
yang menjadi bahana dan bala, bukan lagi rahmat.
“Semuanya mesti kena
mengena dengan satu pertubuhan sulit, yang berbahaya dan menjadi tunjang dibelakang
tabir pelbagai kegiatan kewangan, bisnes, sosial, malah keagamaan. Sejak
ratusan tahun mengawal pergerakan. Oleh kerana Facebook ini juga sebahagian
dari perangkap mereka, kita sebut sahaja nama kumpulan ini secara terbalik, Itanimulli!”
Seakan bergema kata-kata Lukman yang tertulis di
dinding Facebook grup alumni yang sering bergolak dengan isu-isu
politik tanahair. Perbahasan boleh menjadi panas mengikut fahaman politik dan
pendirian. Pendapat kritikal menghidupkan dinding. Hujah-hujah berdasarkan
tanggapan, persepsi, bukan fakta dan selalu mencetuskan kekeliruan, penuh
emosional, kalau tidak mencetuskan pertengkaran yang berpanjangan ke luar
Internet.
Rentetan komen
berpanjangan. Pro dan kontra. Setuju dan bantah. Malah ada yang mengejek-ngejek kerana Lukman
terlalu asyik dengan teori konspirasi.
Lukman tidak berganjak
kerana dia sedang melihat sendiri apa yang sedang terjadi kepada sebuah negara
yang kelihatan aman dan makmur dari luaran, tetapi mereput dari dalam. Dia
yakin. demokrasi yang dicipta oleh Itanimulli semakin menunjukkan kecacatan.
Bayangkan kalau majoriti pengundi adalah penggangur, mereka menentukan kerajaan
dan kerajaan terpaksa akur dengan segala tuntutan mereka yang semakin melampau.
Terlampau kerana membinasakan ekonomi dan struktur kewangan negara.
Dalam kehangatan
perbincangan yang merentas muka bumi, merentas zon waktu dan sempadan dunia,
tiba-tiba ada seorang ahli grup meletakkan video klip youtube. Sebuah lagu
keroncong lama. Mengimbau nostalgia. Ingatan Lukman pun melayang jauh ke
tanahair yang beribu batu jauhnya. Menggamit momen-momen sebagai anak petani
yang telah melangkah jauh dibawah Dasar Ekonomi Baru. Dari berkaki ayam di kampong
ke sekolah berasrama penuh, ke New Zealand sebagai mahasiswa dan jauh merantau
sebagai eksptariat.
Sebelum tekad untuk berhijrah
sebagai permastautin tetap dalam mengejar kehidupan terbaik di sebuah negara
yang menjanjikan segalanya.
Melihat keluar tingkap,
salju terus turun melitupi malam. Suhu dibawah 0 darjah Selsius. Beku. Tiada
apa-apa yang boleh dilakukan. Terperangkap dalam ‘syurga’ yang sudah menjadi
sebuah persinggahan tanpa kebahagian.
Lukman pun terus dalam
nostalgia yang semakin memerangkap emosi dan minda. Jauh dalam hatinya, ada
sesalan yang mula memamah setiap kewarasan. Meranap sedikit demi sedikit
ekspektasi tinggi terhadap sebuah penghijrahan. Dan semakin percaya, dia
sendiri tertipu dengan jerat Itanimulli yang terus memerangkap mereka yang
ignoran. Mereka yang sepertinya, mudah percaya dengan kilauan fatamorgana
seperti visual dari kerangka Hollywood yang terus melenakan warga dunia dengan
hiburan.
Terbayang wajah ibunya di
kampong. Teringat pesan sebelum dia berangkat. Pesan yang berligaran sepanjang
penerbangan dan kembali bergema dalam sebuah ruang yang semakin terasing.
“Hujan emas di negeri
orang….!”