Sunday, February 12, 2012

Kisah haji mabrur tanpa ke Mekah

Setiap individu yang pernah mengerjakan haji mempunyai pengalaman tersendiri.



(Tulisan dibawah dari Mingguan Malaysia hari ini)

MEMBACA laporan eksklusif Utusan Malaysia yang mendedahkan kegiatan 'haji ekspres', teringat hamba cerita pengalaman seorang rakan ketika hendak menunaikan ibadat hajinya pada tahun 1993, penghujung era mudah ke Mekah sekalipun mendaftar pada tahun yang sama.
Rakan hamba yang bertugas sebagai wartawan akhbar itu telah mendaftar untuk menunaikan haji bersama isterinya. Pada mulanya beliau menempah pakej muasasah yang kosnya ketika itu kurang kira-kira RM2,000 daripada pakej khas yang disediakan Tabung Haji.
Bagaimanapun, beliau kemudian menukar kepada pakej khas apabila mendapati isterinya hamil enam bulan pada tarikh pemergian. Beliau berharap untuk mendapat keselesaan bagi isterinya yang sarat mengandung kerana pada kebiasaannya jemaah pakej khas di tempatkan di apartmen yang lebih dekat dengan Masjidil Haram berbanding jemaah muasasah.
Selepas sebulan mendaftar bagi pakej khas, tidak lama sebelum tarikh keberangkatan, hatinya tergerak untuk pergi ke ibu pejabat Tabung Haji bagi mengesahkan sama ada namanya dan isteri berada dalam senarai pakej khas. Terkejut besar rakan hamba itu apabila kerani di kaunter pendaftaran memberitahu bahawa namanya dan isteri tiada dalam senarai pakej khas. Tidak puas hati, beliau berkeras meminta penjelasan lanjut.
''Saya minta penjelasan atas dua kapasiti. Pertama, sebagai bakal jemaah haji yang telah mendaftar pakej khas dan kedua, sebagai wartawan saya ingin tahu kenapa boleh jadi begini! '' tegas rakan hamba itu kepada kerani kaunter. ''Jika encik tidak boleh memberikan penjelasan, beritahu saya di tingkat mana pejabat pengarah urusan (Tabung Haji) kerana saya mahu penjelasan lanjut daripadanya."
Dengan isyarat badan yang gelisah dan keluh-kesah, kerani kaunter itu memohon supaya rakan hamba itu bersabar. Dia meminta sahabat saya pulang ke pejabat dan berjanji akan memberikan jawapan melalui telefon pada hari yang sama.
''Jika tiada jawapan daripada saya, bolehlah encik bertindak lanjut," jelas si kerani itu.
Memendekkan cerita, rakan hamba itu terus pulang ke pejabat. Tidak sampai sejam kemudian, dia menerima panggilan daripada kerani kaunter Tabung Haji itu yang memaklumkan bahawa namanya dan isterinya 'sudah ditemui semula' dalam senarai.
Oleh kerana fokusnya hanya untuk menunaikan ibadat haji pada tahun tersebut, sahabat hamba itu tidak memburu cerita susulan daripada kejadian yang dilaluinya. Sepulangnya dari Mekah, beliau terus melupai segala yang berlaku selepas menceritakannya kepada hamba. Tanpa buruk sangka, hamba juga beranggapan bahawa apa yang berlaku adalah satu kes terpencil. Bagaimanapun, apabila membaca laporan Utusan Malaysia, terfikir hamba bahawa ada kemungkinan aktiviti haram itu sudah berlaku sejak lama dahulu.
Pasti kes ini memalukan Tabung Haji, sebagaimana aibnya institusi penyimpanan deposit dan pengurusan ibadat haji itu suatu masa dulu apabila berlaku kes pengeluaran secara tipu sejumlah besar duit simpanan jemaah haji. Selepas Tabung Haji mengemaskan sistem dan mengetatkan syarat pengeluaran, Alhamdulillah nampaknya kes seumpama itu tidak berulang lagi.
Selain kes tersebut, juga pernah berlaku kes pecah amanah pelaburan dalam pasaran mata wang asing. Kini berlaku pula 'haji ekspres.' Tidak perlulah kita bersyarah panjang kepada pihak pengurusan Tabung Haji. Pandai-pandailah mereka mengambil tindakan supaya keaiban tidak berulang lagi dalam apa bentuk sekalipun.
Ketahuilah bahawa antara rungutan orang ramai sekarang adalah peluang untuk menunaikan ibadat haji dengan pakej muasasah semakin sempit kerana terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Peliknya, peluang untuk ke Mekah melalui pakej khas yang ongkosnya hanya dimampui orang kaya semakin terbuka dan boleh dapat segera.
Kepada mereka yang hendak menunaikan ibadat haji melalui pakej muasasah atau pakej khas termurah, bersabarlah. Berserahlah kepada Allah setelah anda mendaftar dengan secukup ongkos. Janganlah tidak sabar sehingga tergamak melakukan perbuatan yang haram. Dalam Islam, bukan sahaja niat dan tujuan mesti betul, tetapi pelaksanaan mestilah dengan cara yang dibenarkan syariat.
Berikut ini, renungilah satu kisah yang popular mengenai ibadat haji.
Al kisah, pada suatu ketika dahulu, seorang wali Allah pergi ke Mekah untuk menunaikan sekali lagi (entah kali yang ke berapa) ibadat haji. Selesai ibadat haji musim itu dan ketika semua jemaah bersiap sedia untuk berangkat pulang ke kampung halaman masing-masing, wali Allah itu telah bermimpi.
Dalam mimpinya, dia diberitahu bahawa amat sedikit jemaah yang mendapat haji mabrur pada musim itu. Antara mereka yang sedikit itu termasuklah seorang lelaki yang bukan sahaja namanya diberitahu kepada wali Allah itu, tetapi juga dinyatakan nama kampung halamannya.
Mimpi tersebut mendorong wali Allah itu untuk menemui lelaki berkenaan. Tanpa pulang ke kampung halamannya, wali Allah itu meneruskan perjalanan mencari lelaki yang mendapat haji mabrur itu. Memendekkan cerita, wali Allah itu akhirnya sampai ke kampung lelaki itu. Di sana dia bertemu dengan seorang ibu tunggal kematian suami yang terpaksa menyara beberapa orang anak kecil dalam keadaan daif serba kemiskinan.
Si ibu tunggal itu berjiran dengan seorang lelaki yang merancang untuk menunaikan ibadat haji pada tahun berkenaan. Bagaimanapun, disebabkan sangat kasihan melihat nasib si ibu tunggal itu, dia menyedekahkan wang ongkos hajinya kepada jirannya itu dan menangguhkan hajat untuk ke Mekah pada tahun berkenaan. Rupa-rupanya itulah lelaki yang dicari oleh wali Allah itu. Dia mendapat haji mabrur tanpa menjejakkan kakinya ke tanah haram Mekah. Subhanallah!
Ada satu lagi cerita daripada mulut seorang bekas diplomat kanan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi. Ceritanya begini:
Rimas dengan gelagat orang Malaysia yang menemuinya dengan berlagak sebagai VIP dan meminta pelbagai macam bantuan semasa berada di Arab Saudi, si diplomat itu sering menceritakan kepada mereka tentang empat kategori manusia yang datang ke Mekah.
Katanya, kategori pertama ialah orang yang benar-benar mahu beribadat; kedua, orang yang datang untuk berniaga atau bekerja; ketiga, orang yang datang hanya untuk melancong dan keempat, orang yang datang untuk mengemis atau menyusahkan orang lain dengan kerja-kerja jahat termasuk menipu dan seluk poket.
Kemudian si diplomat itu bertanya kepada mereka yang berlagak VIP, ''tuan (atau Datuk) dalam kategori mana?''
Nah, kepada mereka yang mahu ke Mekah, sila jawab soalan si diplomat itu. Diharap anda berada dalam kategori pertama. Jika begitu, lakukan ibadat dengan mematuhi syariat dan dengan jiwa yang penuh tawaduk kepada Allah SWT. Mudah-mudahan amalan anda akan diterima sebagaimana lelaki yang mendapat haji mabrur tanpa menjejakkan kaki ke Mekah.