Sunday, November 18, 2012

Cerpen Berita Harian Ahad: Sepandir Gajet Pintar


Get Smar Poster with Weapons

Cerpen : Sepandir Gajet Pintar
Oleh : Fudzail

(Satu)
 “Gunakan Peta Google!” Ujar saya kepada anak sulung, Herman.
Kami perlu ke sebuah pejabat syarikat multi-nasional di kota Singapura untuk temuduga pekerjaannya. Masih awal pagi dan masa yang banyak untuk dihabiskan lantas mengambil keputusan untuk menaiki bas sahaja. Bukan besar mana pun negara pulau itu.
Pada mulanya Herman enggan tetapi akur dengan seorang ayah yang berbangga dengan kecanggihan gajet baharu, sebuah telefon pintar dengan pelbagai aplikasi.
Kami segera menaiki bas dan duduk di kerusi yang mengadap ke belakang.
Menurut Peta Google, kami hanya enam hentian untuk ke destinasi dan berjalan selama lima minit ke bangunan pejabat. Tidak jauh dari hotel kami.
Sambil melihat kota yang semakin ketara dipenuhi imigran Tanah Besar Cina itu, saya sempat mengemaskini status di Facebook. Kebiasaan sebegitu dan menerima banyak komen yang melucukan. Setelah hampir 15 minit dalam bas, telefon pintar menunjukkan kami 12 hentian dari destinasi.
“Peliknya!” Herman bercakap sedikit cemas. “Bukankah kita sepatutnya lebih dekat dan bukan lebih jauh?”
Saya terdiam.
“Abah pastikah memberi maklumat betul?” Sebaik bas berhenti di sebuah lagi hentian, hentian ketujuh dan kami sepatutnya telah lama tiba.
Saya memasukkan alamat destinasi sekali lagi. Kali ini menunjukkan ada 12 hentian lagi.
“Mungkinkah sebab kita mengadap ke belakang bas sebab itu telefon ini menunjukkan arah yang salah, berlawanan!” Ujar saya seolah-olah kitaran alam sejagat berada dalam paksi berbeda.
Sesuatu yang memang tidak kena mengena. Koordinasi tidak berubah walau kami berdiri dengan kepala dibawah,  telefon pintar dalam seluar dalam, gajet itu sepastinya memberi arah yang betul dan tepat. Tetapi Herman sopan untuk tidak membuatkan saya terasa bersalah dan pandir.
Lantas saya berpindah langkau tiga kerusi dengan mengadap ke arah hadapan. Herman mengikut walau wajahnya semakin menunjukkan kecemasan, tentunya bimbang kalau terlambat untuk temuduga. Saya terasa dijeling Herman, bagaikan berkata, “Menyesal tidak ambil teksi sahaja”,  memancar dari wajahnya. Kami meniliti lagi skrin telefon pintar itu. Arghhh! Lagi 16 hentian pula! Rasa malu untuk bertanya penumpang lain atau pemandu bas, ternyata kami telah sesat walaupun menggunakan panduan Peta Google dari sebuah gajet pintar!
Tanpa berlengah, kami turun di hentian berikut dan  menaiki teksi.
 (Dua)
Saya mula memikirkan sesuatu di luar kotak, walau sebenarnya saya telah meletakkan kotak kosong dalam minda. Sesuatu yang boleh mengejutkan ramai kawan-kawan sama ada di pejabat atau Facebook.
Bukan kerana usia dan bukan kerana otak semakin lembab. Bukan juga kerana takut kepada kecanggihan. Jauh sekali bukan kerana terasa rendah diri atau sudah semakin ketinggalan dalam mengejar langkah kawan-kawan dan anak-anak yang semakin dirasuk oleh gajet-gajet pintar.
Hakikatnya, saya sudah bosan, muak dan mungkin juga benci.
Ya, dalam dunia masa kini, kehidupan dengan gajet seperti telefon pintar adalah kemestian yang tidak lagi melambangkan status. Ramai orang mampu seperti mana ramai yang mampu membuang duit untuk menghantar SMS membuat undian artis popular. Atau bertukar ganti telefon mengikut model terkini, tercanggih sehingga sanggup tidak tidur dua tiga malam untuk beratur menanti pelancaran awal pagi.
“Saya mahu bertukar telefon,  menggunakan semula telefon mudah alih model lama yang masih kita simpan sebagai kenangan itu!”
Percakapan dengan isteri di satu pagi selepas Herman berpindah ke Singapura. Ketika hujan lebat mencurah-curah. Tentunya ada kesesakan di mana-mana. Tentu juga ada banjir dan ada kemalangan. Malas pula untuk pergi ke pejabat dan kalau ada waktu bekerja secara waktu fleksibel, mahu bekerja dari rumah sahaja.
Malangnya, walau kecanggihan telekomunikasi dan kepintaran sistem, masih juga terpaksa bersesak-sesak ke pejabat dan membuang masa berebut-rebut di lebuhraya yang semakin lebar, tetapi semakin sesak dan semakin membebankan. Jarak tetap sama jauh dan kos semakin tinggi saban tahun untuk ke sana sini.
“Mahu dibuang ke telefon pintar yang canggih dan mahal itu? Mahu kembali ke zaman batu?”
Sudah diduga pertanyaan yang tentunya membawa maksud lebih sinis kerana kami berdua memang saling menjadi pengikut tegar teknologi. Semenjak mengenal Facebook dan telefon pintar. Semakin meriah terasa kehidupan setelah empat orang anak kesemuanya meninggalkan rumah untuk bekerja,  ke universiti dan sekolah asrama penuh. Melalui keduanya, semakin mempunyai rangkaian kawan-kawan yang bertambah, biar sekadar atas talian. Tetapi jarang berkomunikasi suami isteri atau jiran walau di depan mata.
 (Tiga)
Petang lain,dalam kesesakan dan terperangkap di lebuhraya, telefon pintar tidak henti berbunyi. Mujur juga ada telefon pintar sebagai teman. Sekurangnya masa tidak terbuang sekadar mengekor belakang kenderaan lain dan mulut memaki hamun.
Boleh mengakses melayari Facebook dan menggunakan aplikasi yang beribu banyaknya. Hanya  anak-anak enggan pula berkomunikasi melalui Facebook dan saya juga kadang-kadang sukar memahami bahasa mereka, terutama SMS yang menggunakan akronim dan ejaan tidak cukup yang tergantung.
“Mahu membuang gajet ini kerana waktu peribadi bukan lagi milik saya, sudah menjadi milik awam!” Begitu saya menghantar mesej kepada seorang rakan Facebook di Moscow yang saya tidak pernah bertemu secara fizikal.
Sambil mendengar lagu tahun lapan puluhan yang beralun dari corong radio kereta, terasa pula nostalgia dengan memori lama yang semakin manis dianjakan usia. Terutama ketika zaman tanpa telefon mudah alih dalam dua dekad lalu.
“Tidak perlu mengekori kalian dengan troli.” Selalu saya memberitahu isteri dan anak-anak. “Saya akan mencari kalian dalam masa sejam,” dengan harapan menghabiskan hujung minggu lebih berfaedah.
Selalunya juga itulah kali terakhir bertemu mereka dalam pasaraya, dan apabila saya kembali mencari tentunya tidak bertemu. Mereka kerap kali menanti di tempat parkir dengan wajah mencuka, terutama isteri. Saya selalu lewat kerana terleka kusyuk membaca majalah atau buku.
Begitulah dengan pasaraya semakin besar, seperti kotak-kotak gergasi bernama hypermarket, semakin sukar untuk menghilang sekejap dan mencari semula dalam masa sejam. Lantas kehadiran telefon mudah alih yang menjadi trend dan vogue,  boleh berkomunikasi seperti kanak-kanak bermain walkie-talkies.
Isteri saya membeli sebuah telefon mudah alih kecil comel.  Saya pula menggunakan sebuah telefon mudah alih bergaya yang mempunyai kantung, boleh diletak pada tali pinggang yang saya bawa ke mana-mana. Lagak sperti koboi berpistol. Masalahnya, telefon itu tersorok sedikit dalam keboroian yang menonjol hasil dari kalori terhimpun dan menyubur, oleh pemakanan tidak seimbang dengan kemalasan untuk bersenam.
“Mana awak?” Saya menjerit kepada telefon kecil itu, sekadar menarik perhatian mereka yang disekeliling, menunjuk-nunjuk yang saya sudah menyertai perlumbaan dunia teknologi canggih dan terkini.
“Belakang awaklah,” Isteri menjerit dari belakang, bagai menjerkah dan menakutkan pula. Melucukan dan kini semuanya boleh diikuti melalui Facebook sahaja.
(Empat)
“Memang secara perlahan dibawah sedar, saya mula membenci telefon pintar!”
Komen seorang rakan di dinding Facebooknya. Kemas kini statusnya mengenai isu gajet pintar memudaratkan, fenomena yang rupa-rupanya bukan saya seorang mula berhajat untuk kembali ke zaman batu.
“Model baharu semakin besar saiz, bukan seperti jenis model lama yang macam bata dengan antena di awal telefon mudah alih. Tetap membusung dalam poket seluar dan saya terpaksa sentiasa mengetatkan tali pingang bagi memastikan tidak terlucut!”
Seorang lain menyambung sembang. Melucukan dan ramai klik ‘like.’
Sambil membaca satu demi satu komen, saya teringat kes-kes panggilan yang sering menganggu.
“Saya berharap saya tidak menganggu awak,” kata seorang pemanggil di satu malam. “Saya dapat nombor awak dari si fulan...”
Mendengar nama si fulan itu, hati mahu sahaja membunuh si fulan atau sesiapa lain yang memberikan nombor saya kepada para neurotik. Perbualan jam 11 malam dan nampaknya warga kota masih menganggap jam 11 malam masih awal untuk berborak kosong atau menjual apa-apa produk ‘terbaik’ dari bisnes MLM mereka. Seakan dunia tidak tidur sama seperti dunia atas talian. Lebih banyak membuang masa bersembang, berceloteh dari ibadah untuk persediaan mati yang boleh datang setiap saat. Tentunya aktiviti itu terus menguntungkan syarikat telekomunikasi.
Sememangnya saya dan isteri telah mempelajari bagaimana untuk menangani panggilan sedemikian. “Jangan jawab, biarkan berdering,” saya bersuara malas dari sofa atau katil untuk bersantai atau menyambung tidur awal pagi. Sebelum pergi joging atau berkebun.
Masalahnya ramai mereka yang neurotik itu tegar cara mereka menganggu. Lantas saya memuat turun suara seorang ahli politik menyanyi lagu karaoke yang sumbang sebagai nada dering. Memang menjengkelkan buat pemanggil, untuk dibiarkan menyanyi nada sumbang sehingga beberapa panggilan tidak berjawab. Ramai kemudiannya berputus asa.
Saya juga belajar satu helah dari seorang pemimpin yang menggunakan Twitter. Saya jawab telefon dan apabila terasa cuak dengan pemanggil, saya secara sengaja menutup telefon.
“Maaf, bateri telefon mati!” sebagai sebabnya!
(Lima)
Hujung minggu musim cuti. Anak-anak menunjukkan wajah kehairanan sebaik melihat satu objek yang mungkin pertama kali mereka lihat. Seakan bertemu gergasi bermata satu atau alien. Saya dan isteri hanya tersenyum dengan meletakkan telefon ‘pandir’ kami atas meja. Skrin hijau monokrom dan pad ringkas. Nampak keras dan bodoh.
Sebelum mereka bertanya lanjut, saya menunjukan sesuatu di skrin komputer riba. Status terakhir saya di Facebook, menandakan satu lagu penghijrahan, yang mungkin kelihatan melangkah ke belakang. Ke zaman batu buat mereka generasi Y di abad ke 21.
“Kita mendiami era telefon pintar untuk kegunaan orang pandir!”
Bermaksud sinis, saya dan isteri mahu jadi orang pintar yang menggunakan gajet pandir!
-          Tamat – 

Fudzail berkelulusan sains komputer & matematik dari New Zealand, pernah menjadi pengurus IT di TV3 dan ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak tahun 2000. Terlibat dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan pengurus Yusuf Islam. Kini beliau menjadi pengarah beberapa syarikat antarabangsa , selain sukarelawan yang pernah ke Gaza, Palestin.
Pernah memenangi hadiah sastera Utusan,  Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Antologi puisi "Waikato' (DBP 2001) kumpulan cerpen 'Dotkomania' (DBP 2009) dan trilogi ‘Aotearoa’ (Karangkraf 2010)

1 comment:

Abdul Lait said...

Dah baca kat berita harian..menarik..teruja ngan bahasa yg di gunakan..lau tackle aweks confirm cair...