Tuesday, November 20, 2012

Cerpen Ahad 18 Nov 2012: Protes Kari, Kepoh Ferrari


Protes Kari, Kepoh Ferrari



Oleh : Fudzail


(Satu)

HUJUNG minggu. Suasana santai di mana-mana. Angin segar dari laut China Selatan menyamankan suhu. Mendamaikan di persekitaran sebuah kawasan perumahan pangsa awam dua bilik. Harmoni dari permukaan pulau yang dipenuhi batu-bata dengan tompokan kehijauan menjadi gambar di poskad. Serba sempurna.

Warga pulau bersantai bersama keluarga dalam rumah. Berehat sambil menikmati ruang waktu yang terluang. Tidak perlu berkejaran untuk ke mana-mana. Tidak perlu tergesa-gesa untuk mengejar tugasan.
Begitu juga pasangan yang baharu berkahwin, Shanmugam dan isterinya Komala. Sebaik menghabiskan kerja-kerja rumah, segera menjengah ke dapur. Hanya hujung minggu mereka berdua dapat bersama. Hari-hari biasa sentiasa kesibukan dengan kerja dan hanya bertemu waktu malam.

"Hari ini kita masak kari kepala ikan!"

Komala mula bersiap menyediakan bahan dan peralatan memasak. Shanmugan dengan iPadnya. Sambil melayari Internet, cuba meneruskan tugasan yang perlu disiapkan. Sementara Komala sesekali menjengah skrin TV, saling berganti program-program hiburan. Tiada yang menarik minat.

Mereka antara lima juta orang warga sebuah negara pulau yang dikatakan negara ketiga terkaya di dunia dari segi pendapatan per kapita. Walau ironinya, majoriti pekerja tempatan menerima gaji hanya dua ribu dolar sebulan! Ironi sekali. Statistik yang seakan dipenuhi dengan fakta-fakta tunggang terbalik dan kabur. Malah rakyat biasa seperti Shanmugam dan Komala tidak mengerti mengapa kehidupan mereka tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh media tempatan dan asing. Seakan kehidupan mereka tidak kena mengena dengan statistik, walau memang secara amnya, kehidupan mereka lebih baik dari rakyat negara-negara jiran.
"Semakin ramai imigran baharu dari Tanah Besar China berpindah masuk ke perumahan pangsa kita nampaknya!"

Shanmugan bercakap sambil membaca laman Facebook yang kerap diaksesnya. Laman suara alternatif yang memaparkan pelbagai kisah sebenar, kisah di sebalik tabir dan kisah yang tidak mungkin muncul dalam mana-mana media perdana pulau.

"Bukankah jumlah mereka sudah melebihi 1 juta orang? Mereka berada di mana-mana dan seakan mengisi setiap ruang!"

"Dan semakin bertambah kerana polisi imigrasi kerajaan. Kerajaan mahu memudakan usia warganegara dan juga mahu mengambil kesempatan mengumpul dana kerana ramai mereka yang imigrasi adalah jutawan. Sebab itu secara purata pendapatan per kapita negara kita dianggap tertinggi di dunia!"

Perbualan yang mengulang sembang di mana-mana. Terutama atas talian. Internet. Facebook. Blog. Laman Web. Twitter. Kerana media massa kepunyaan kerajaan tidak langsung menyentuh fenomena kebanjiran warga imigran dari Tanah Besar China yang mula menjadi fenomena di sebuah pulau nusantara. Seakan tidak wujud.

Biarpun majoriti rakyat tempatan juga berbangsa Cina, perbedaan ketara oleh peradaban dan ruang sememangnya menjadi isu yang terus menyergah emosi majoriti warga yang mula merasakan perubahan membawa kesan negatif, bukan positif. Menimbulkan ketegangan yang merangkai titik-titik prasangka, prejudis, dendam dan kebencian dalam degupan jantung. Kerana itu parti yang memerintah kerajaan sejak merdeka menerima kejutan, banyak kerusi hilang dan peratusan undi merudum dalam pilihan raya lalu.

"Yang payahnya, imigran itu terasa mereka istimewa, tidak perlu masuk Khidmat Negara. Tidak perlu fasih berbahasa Inggeris kerana mereka diperlukan untuk terus meningkatkan ekonomi negara. Mereka sebenarnya mempunyai hak-hak keistimewaan yang kita, sebagai rakyat kelompok minoriti walau generasi ketiga ke empat, tidak pernah diberikan oleh kerajaan yang kita setia mengundi!"

"Kita yang sedia minoriti, terus terpinggir dengan jumlah semakin mengurang. Tidak heran ramai rakyat sendiri yang berhijrah saban tahun. Pulau ini tidak lagi sebuah syurga untuk semua, syurga hanya untuk mereka yang sebangsa, sebahasa dan separti dengan keluarga pemerintah. Syurga untuk bilionair, jutawan, hartawan yang mahu mengelak dari bayar cukai!"

Tiba-tiba ada ketukan di pintu. Bergegar daun pintu. Walau ada loceng. Tidak digunakan. Pelik.
Shanmugam dan Komala berpandangan. Tiada tetamu yang dijangka datang. Malah mereka memang hanya mahu berduaan sahaja.

Apabila pintu dibuka, muncul seorang lelaki berbangsa Cina dengan wajah menampakkan kemarahan. Wajah bengis.

"Busuk apa bau?" Terus bertanya. Nada kasar dan angkuh.

"Kenapa?" Shanmugam terasa tercabar. Jiran baharu, seorang imigran Tanah Besar Cina yang bahasa Inggeris pun lintang pukang datang untuk menyergah dan komplen mengenai bau masakan dari rumahnya.
Bukan lagi cerita-cerita di Facebook dan sembang gosip. Realiti telah menyerbu ke dalam rumahnya sendiri sebaik lelaki itu menjawab dengan nada tinggi. Menyergah.
"Busuk! Busuk! Bodoh!"

(Dua)

Berita mengenai kemalangan jalan raya di satu simpang kawasan perumahan segera menjalar ke setiap ruang realiti dan Internet. Klip video kemalangan yang terakam oleh sebuah teksi lain juga menjadi viral. Bukan kerana dua nyawa terkorban. Bukan juga kerana kemalangan disebabkan perlanggaran lampu isyarat merah oleh pemandu mabuk yang memandu dengan kelajuan 200 km sejam.

Meletup kerana menjamah sensitiviti dengan terburainya api kemarahan dari bara sekam yang lama terpendam. Membakar semangat rakyat tanpa mengenal ras dan agama. Sama tercabar oleh satu ancaman terhadap survival komuniti yang telah membangunkan segalanya.

Faktanya, seorang warga tempatan, pemandu teksi berbangsa Cina mati di tempat kejadian. Teksinya dilanggar oleh sebuah kereta mewah Ferrari yang dipandu oleh seorang imigran muda dari Tanah Besar China. Dan membawa seorang pelacur berbangsa Cina dari Vietnam dalam kemabukan awal pagi Ahad.

"Memang imigran dari sana membawa banyak musibah. Kejadian rompakan, jenayah dan kemalangan jalan raya terus meningkat. Sekaligus pengangguran, pembuangan kerja rakyat tempatan bukan lagi berita kaki, tempat di universiti juga semakin terhad untuk warga tempatan. Kos sara hidup menepati stigma negara terkaya di dunia, hanya mampu untuk mereka yang kaya raya!"

Komala tidak dapat menahan geram, marah dan sakit hati. Terus membara perasaan dengan insiden seorang jiran imigran datang memaki hamun kerana bau kari. Kata jiran imigran itu, rumahnya dicemarkan bau kari yang busuk. Memberi amaran supaya tidak memasak kari selagi mereka berjiran.

Dari kemas kini status sepasang suami isteri itu juga menjadi viral sehari sebelum insiden Ferrari menjadikan lebih kepoh. Apa lagi pemandu Ferrari itu hanya tiba seminggu dan terus diberikan kerakyatan. Hanya kerana membawa jutaan dolar sebagai pelaburan.

"Insiden kari membangkitkan satu revolusi di kalangan warga tempatan. Dan kemalangan maut yang melibatkan Ferrari, terus mencetus demonstrasi terbesar, dan kita menjadi penggerak revolusi!"

Sepatah kata Karno, yang menjadi peguam Shanmugam dan Komala. Mewakili keduanya dalam perbalahan busuk kari yang membawa kes saman menyaman ke mahkamah. Pagi Ahad itu, dalam kemeriahan pesta perlumbaan F1, mereka bersama ratusan ribu rakyat tempatan mula memenuhi setiap ruang di jalan utama pusat bandaraya.

Pergerakan 'Protes Kari, Kepoh Ferrari' atas talian melalui Facebook menyatukan hampir sejuta warga tempatan. Serentak mereka menggerakkan protes marhaen yang memarakkan sentimen patriotik dan nasionalistik. Bersatu dan bersepakat dengan protes terhadap polisi imigrasi yang kian menjadi barah dan memamah kedamaian.

"Kita ajar cukup-cukup dinasti Li yang kian terpinggir dan kian menjadi Firaun!"

Sampuk Mei Mei, nenek tua yang datang bersama keluarga besarnya sambil menunjuk tanda slogan protes ke arah Shanmugam dan Komala. Sepasang suami isteri yang tiba-tiba menjadi ikon perjuangan, terutama di kalangan anak-anak muda tempatan yang semakin ramai menganggur dan kehilangan kerja.

Gamat suasana dan para demonstran menyanyikan lagu kebangsaan bersama pihak FRU dan tentera mula kelihatan tiba mengawal keadaan. Seakan mahu ke medan perang dengan segala kelengkapan dan peralatan. Imej-imej yang hanya kelihatan di dada akhbar dan skrin TV mengenai negara lain!

(Tiga)

Mahu sahaja Shanmugam melontar gelas ke skrin TV sebaik mendengar kata-kata bernada angkuh dari seorang menteri senior yang mengulas mengenai demonstrasi.

"Kita masih mempunyai taraf pendidikan, khidmat kesihatan, kebajikan sosial, perundangan terbaik di dunia. Dianggap negara terbaik di dunia untuk urusan bisnes, magnet untuk mereka yang kaya dan terkenal berhijrah. Demonstrasi jalanan haram bukan budaya kita dan kita tidak akan kompromi dengan minoriti rakyat yang terpengaruh dengan hasutan pihak luar. Toleransi, muafakat dan muhibah adalah budaya dan tradisi tempatan yang mesti dipertahankan!"

Wajah menteri itu kelihatan serius.

"Bodoh sombong! Apakah dia ini bercakap dengan orang-orang bodoh atau memang mereka syok sendiri dengan statistik yang mereka sendiri buat? Sudahlah mereka menerima gaji jutaan dolar, hanya untuk berbohong?"
Jerkah Komala yang memakai sari batik.

"Tahu apa lagi yang lagi lagi pelik?" Tanya Jonathan, seorang lagi jiran yang datang untuk mengatur beberapa aktiviti 'Protes Kari, Kepoh Ferrari' dengan komuniti lain sekitar pulau.

"Kita ada dua buah kasino dan keduanya mengaut keuntungan lebih besar dari 42 buah kasino di Las vegas! Bayangkan dua gerai char kuey teow membuat lebih banyak jualan dari 42 gerai char kuey teow sekali gus?"
Shanmugam dan Komala yang menghidangkan char keoy teow tertawa.

"Macau memerlukan 33 buah kasino untuk menewaskan 42 buah kasino Las Vegas dan kita, sebuah pulau kecil kita ini hanya perlukan dua buah kasino! Magis sekali!"

"Memang pelik. Tentunya ada sesuatu yang tersirat. Banyak perkara yang dikanunkan sebagai Rahsia Rasmi untuk disorok dari pengetahuan umum!"

"Kemakmuran yang mahu dipertahankan dengan membina kasino adalah kosmetik sahaja, hiasan dipermukaan untuk menghalalkan cara. Di bawahnya, berselirat lubang untuk orang luar datang membersihkan wang panas, wang haram. Perundangan yang ada pun licik dalam mengaburkan kegiatan penyeludupan. Tidak heran harga rumah pun melambung dengan kemasukan besar imigran dan tidak lagi mampu untuk anak-anak muda kita!"

"Bukan sahaja seludup wang panas, seludup orang secara haram juga. Lapangan terbang kita sudah menjadi transit utama, sebagai pusat penyeludupan manusia. Itu kata PBB. Ini juga membawa keuntungan. Sebab itu pulau kecil ini juga semakin dipenuhi pelbagai wajah dan warga imigran Afrika yang kemudian menjadi beban!"

(Empat)

"LGBT?"

Karno bertanya kembali.

"Satu lagi musibah dan petaka!"

Jawab Komala yang segera menelefon Karno sebaik masuk ke rumah. Dia terserempak dengan jirannya bersama sekumpulan mak nyah Filipino dan sekumpulan lelaki Barat yang kelihatan gay. Kebetulan, mereka naik satu lif. Seakan mahu berparti di dalam flet.

Dan jirannya hanya mencemuh kepada Komala.

Perbualan itu berterusan mengenai cerita yang tersebar secara viral melalui Facebook. Insiden seorang rakyat tempatan berbangsa Melayu yang hampir bertumbuk dengan seorang imigran Tanah Besar China.
"Bila lelaki Melayu itu naik bas, duduk sebelah seorang imigran yang terus menutup hidung. Seakan tidak selesa. Mulanya tidaklah lelaki Melayu itu anggap serius. Sekadar diam dan bila mahu turun, lelaki imigran itu membuka hidungnya sambil berkata, hilang bau, lega!"

Komala mendengar dengan penuh perhatian. Sambil matanya ke arah skrin TV dengan berita banjir yang semakin kerap di kawasan-kawasan tertentu. Semakin teruk dengan musim tengkujuh sehingga banyak kesesakan trafik dan gangguan khidmat keretapi. Menambahkan keributan dan kekalutan petang Jumaat. Dia sendiri terlambat tiba di rumah dan terpaksa mengambil teksi.

"Lelaki Melayu itu terasa terhina dan bertanya. Apakah dia busuk atau tidak setaraf? Lelaki imigran itu menjawab, sebab busuk dan bodoh! Lantas lelaki Melayu itu mahu menumbuk, nasib ramai lain dapat menahan dan mereka menghalau lelaki imigran itu sebelum dibelasah ramai-ramai!"

Ketika itu, terdengar suara Shanmugam yang baharu sampai. Kelihatan basah terkena hujan. Komala menunjukkan bungkusan makanan yang dibeli untuk makan malam. Masakan dari sebuah restoran makanan Cina yang semuanya pekerja imigran dari Tanah Besar dan semakin sukar untuk berkomunikasi. Bahasa Mandarin semakin menjadi bahasa rasmi.

"Nampaknya fenomena imigran semakin menampakkan kekalutan. Bayangkan, adik kawan saya yang dapat semua A dalam peringkat 'O' hanya dapat masuk politeknik saat terakhir. Dan apabila masuk, semua dalam kelasnya anak-anak imigran yang bukan sahaja tidak boleh bercakap Inggeris dengan fasih, malah tidak diperlukan untuk menduduki ujian kefasihan Bahasa Inggeris!"

Sekali lagi, Komala menggeleng sendiri. Lebih menambahkan kegeraman apabila di kawasan perumahan pangsanya, semakin ramai jiran baharu, imigran yang mula menjadikan persekitaran seakan Hong Kong atau Shanghai. Dan mereka tidak langsung mahu mematuhi peraturan seperti tidak boleh berbasikal di laluan jalan kaki dan meletak kereta ikut suka hati. Pihak Polis pun menjadi patung kerana tidak dapat bertindak lebih daripada memberi amaran.

"Kerana itu gerakan Protes Kari, Kepoh Ferrari sudah mencapai dua juta ahli melalui Facebook! Lebih ramai dari ahli parti pemerintah sendiri. Dan jangan lupa, Ahad ini, kita ramai-ramai serentak masak kari satu pulau! Demonstrasi aman untuk protes imigrasi, protes imigran bodoh dan menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan negara!"

(Lima)

Perbicaraan pertama ditangguhkan atas permintaan Tuan Hakim sendiri. Sebelum sempat bermula.
Karno segera mengajak Shanmugam dan Komala ke kamar peguam untk berbincang. Ramai yang hadir memenuhi ruang mahkamah dan luar bangunan mahkamah. Semuanya memakai baju berwarna hitam sebagai tanda berkabung.

Sebagai ikon protes, begitu ramai mengikuti perkembangan kes saman pasangan selebriti yang dianggap hero baharu demokrasi. Pebicaraan menjadi peristiwa penting yang boleh mengubah landskap politik sebuah pulau. Keduanya juga dibawa dengan sebuah Ferrari sebagai lambang kemuncak deretan peristiwa. Diikuti konvoi pemandu teksi warga tempatan.

Semuanya dimangkinkan oleh masakan lauk kari. Simbol dan identiti yang mencerminkan integrasi melalui makanan sudah lama menjadi sinonim dengan komuniti pelbagai bangsa. Tidak perlu ciptaan baharu yang bombastik untuk identiti kebanggaan. Tidak perlu deretan mercu menara, kasino, taman tema dan pelbagai akronim melambangkan perubahan. Segala yang superfisial dan komikal, selain membazirkan wang dan masa.
Karno menarik nafas dalam dalam. Wajahnya menunjukkan sesuatu yang tidak kena.

"Ada permintaan segera pihak kerajaan untuk selesaikan saman ini di luar mahkamah!"

"Kerajaan?"

Karno mengangguk pertanyaan Shanmugam sambil menunjukkan kiriman SMS dari perdana menteri.

Terpampang, "Tiada syarat dan had ganti rugi!"

Dan ketiga mereka berpandangan. Di luar, suara nyanyian gempita protes semakin kuat.

No comments: