Cerpen: Perang Hummus
Oleh: Fudzail
“Separuh dari makanan di
dunia terbuang tanpa di jamah!”
Bergema suara Hasnaa ke arah
Mediterranean. Terbentang kebiruan bersama hembusan angin lembut. Apartmen di jalan Hamra menghala ke Pidgeon Rock, struktur dari formasi alam yang terkenal
dan menjadi salah satu tarikan di kota Beirut yang dinamik, indah secara
geografinya berlatarbelakangkan pergunungan dan perbatasan lautan membiru,
kekadang menghijau.
“Kita sudah ada 7 bilion
manusia dan separuh dari itu hanya hidup dengan pendapatan dibawah RM8 sehari
dan 80% dari penduduk dunia hidup dengan kurang dari RM30 sehari!”
Sambung Hasnaa, seakan
bergema ke seluruh ruang kota Beirut yang berpenghuni sejuta orang. Dibalikan
imej-imej berselerakan, 5,000 tahun dahulu Beirut adalah kota makmur di
pesisiran Kanaanit dan Phoenician. Berbangga dengan jatidiri sebagai ‘kota yang
tidak akan mati” setelah melalui dekad kemusnahan, kejatuhan, huru-hara akibat
perang saudara dan konflik dengan Israel.
Berterusan kemelut
politik tempatan, krisis demi krisis, perbalahan, rusuhan, serangan, pergolakan
antara agama mengembalikan ketegangan dari luka-luka, parut-parut tragidi yang
terus mewarnai suasana. Disebalik ketenangan yang boleh mencetuskan pelbagai
insiden berdarah dari reaksi dan emosi
membara yang memendam perasaan, kalau tidak dendam.
“Ada hampir satu billion manusia
dalam kebuluran, sedangkan bekalan makanan mencukupi untuk setiap yang
bernafas!”
Rafeah mendengar sambil
kembali kepada hidangan masakan Lubnan yang menyelerakan. Terutama Hummus.
Pertama kali Rafeah merasa Hummus asli yang dimasak oleh Hasnaa.
Sempat melihat bagaimana
Hummus disediakan dapur kecil apartmen satu bilik. Resipi mudah sahaja. Kacang
kuda, tahini, jus lemon, bawang putih dan air kacang kuda dikisar sehingga
halus. Untuk hidangan, diletakkan kacang kuda yang tidak dikisar ditengahnya
dan dituangkan sedikit minyak zaitun dan serbuk paprika ditaburkan sekeliling
mangkuk sebagai hiasan.
“Sungguh sedap!”
Tanpa rasa bersalah dalam
monolog Hasnaa mengenai kebuluran dan kemiskinan penduduk dunia, Rafeah terus
mencicah roti Lubnan dengan Hummus. Mungkin juga kelaparan kerana masih jet lag.
Belum mengikut waktu tempatan yang
berbeda enam jam.
Hasnaa tersenyum. Mereka
berdua berkenalan sewaktu bercuti bersama keluarga di Paris, dan kebetulan
menginap di hotel tempat Hasnaa bekerja sewaktu musim panas. Hasnaa, seperti
mana majoriti rakyat Lubnan menguasai tiga bahasa, Arab, Perancis dan Inggeris
lantas menjadi penterjemah sukarela kepada Rafeah untuk membeli belah. Rakyat Perancis
yang begitu mendaulatkan bangsa sendiri memang tidak peduli meskipun dianggap
biadap, biarpun ramai diantara mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris,
sukar melayan orang luar yang tidak boleh berbahasa Perancis di bumi Perancis.
“Kita mempunyai bekalan
makanan, hasil pertanian dan laut yang mencukupi untuk semua orang di dunia, tetapi
pembaziran dipihak yang mewah dan kebuluran dipihak yang lain. Begitulah
kapitalis telah menjahanamkan sistem ekonomi dunia, semua ini adalah sebahagian
dari strategi agenda Zionis yang terus menguasai dan mempengaruhi peredaran
dunia!”
Kata-kata Hasnaa dipagi
Ahad yang indah cuaca itu sedikit sebanyak kembali mengingatkan Rafeah yang
Beirut bersempadan dengan negara Israel. Sesuatu yang menyeramkan kerana konflik Timur
Tengah tidak pernah tamat dan berterusan, dari perang ke perang.
Malah dibawah kawasan
pusat kota Beirut yang musnah, dan sedang dibangunkan semula, tersimpan
sisa-sisa penaklukan Ottoman, Mamluk, Crusader, Abbasiyah, Umayyah, Binzantin,
Rom, Persia, Phoenician dan Kanaan. Kesan-kesan sejarah yang membayangkan
Beirut pernah menjadi pusat penting peradaban.
Hasnaa terus sahaja
berceloteh mengenai topik yang menjadi kegemarannya sebagai salah seorang
penggerak pertubuhan bukan kerajaan ‘Feed the World.’ Hasnaa yang baharu sahaja
pulang dari Gaza untuk misi kedamaian itu masih belum berkahwin. Masih belum
tiga puluhan dan mahu menumpukan masa dan tenaga untuk membantu mereka yang
tidak bernasib baik, demi kemanusiaan. Tidak mengira agama, bangsa dan
kerakyatan. Baginya, setiap manusia mempunyai hak untuk mendapat bekalan
makanan dan kemudahan pendidikan sebagai asas kehidupan. Hak asasi yang
termaktub dalam Quran.
Rafeah pula terus
sesekali melihat ke arah pesisiran corniche yang indah. Terngiang-ngiang suara
ibunya yang menenggelamkan keghairahan Hasnaa melontarkan wawasan untuk
perjuangan suci kearah dunia yang lebih baik.
“Beiruuuuuut?” Wow, lebih
baik kamu bawak sekali topi besi dan baju kalis peluru dan jangan pakai kasut
tumit tinggi!” begitulah kata ibunya sebaik memberitahu yang dia mahu bercuti
di Beirut, di rumah kawan baik yang selalu dihubungi melalui Facebook.
Mungkin ibunya tidak
mempunyai klu dan maklumat terkini mengenai Beirut. Hasnaa selalu berkata, Beirut
adalah kota untuk berparti dan bukan zon perang seperti mana persepsi ramai
orang, termasuk ibu Rafeah yang disebalik berfikiran terbuka, terus mempercayai
bulat-bulat propaganda yang bukan-bukan. Terutama kalau propaganda yang berbau
politik.
Puas juga Rafeah cuba meyakinkan
ibunya, seorang ibu tunggal yang tentunya tidak mahu apa-apa kejadian tidak
baik berlaku terhadap anak perempuan tunggalnya. Hasna telah berjaya meyakinkan
yang maklumat buruk mengenai Beirut dan Lubnan sebenarnya dipenuhi dengan
propaganda Zionis semata-mata.
Akhirnya, melalui sebuah
klip video youtube, ibu Rafidah memberi izin dan melepaskan anaknya pergi dengan
syarat, tidak lebih dari lima hari. Syarat yang tidak dipenuhi oleh Rafeah
kerana cuti semester pengajian dua minggu dan dia mahu habiskan sepenuhnya di
Lubnan.
Rafeah tiba di lapangan
terbang Beirut tengah malam dan terkejut dengan kemesraan para staf imigresen
diwaktu larut malam sebegitu. Joie de vivre. Diberikan
sambutan yang cukup mesra, senyuman manis dan urusan cop visa hanya dua minit.
Sememangnya nama Malaysia cukup baik
kerana ada batalion askar Melayu di bumi Lubnan sebagai tentera pengaman PBB.
Sepanjang perjalanan ke
apartmen, Hasnaa memandu di pesisiran laut yang dipenuhi dengan hotel-hotel
mewah, kedai-kedai label pereka terkemuka dan deretan pencakar langit yang
berkelipan dengan neon-neon terang benderang.
Dan pagi itu, sarapan
Hummus membawa tanggapan pertama yang meyakinkan, Beirut adalah kota yang
selamat untuk bercuti mahupun menetap. Romantik dan berwarna-warni buat hati
anak muda.
“Wanita Beirut begitu
mengambil berat mengenai kesihatan dan fesyen. Sentiasa bersenam dan menjaga
bentuk badan. Itulah jati diri wanita Lubnan!”
Tiba-tiba Hasnaa menukar topik
yang lebih menarik minat Rafeah. Lantas perhatian kepada monolog pun bertukar
dialog.
“Wow, sebab itu Nampak ramai
yang sedang berjoging di Corniche!”
“Kamu pergi tukar pakaian
sukan, kalau tiada kasut, guna kasut joging saya, kita joging di Corniche.”
Rafeah segera bersiap.
Mereka berdua tenggelam dalam ramai lelaki dan wanita yang kebanyakannya
berpakaian sukan label pereka dan jenama terkenal, beriadah sepanjang pesisiran
Mediterranean.
Pembinaan
bangunan-banguna baru kelihatan di mana-mana. Rekebantuk dan perhiasan
apartmen, kafe dan hotel begitu moden, anggun dan eksklusif. Seakan berada di
kota Paris atau pun Dubai yang pernah disinggahi Rafeah sewaktu transit.
Perbualan sambil
berjoging menjurus kepada peristiwa sewaktu dan pasca perang Lubnan, atau dalam
bahasa Arabnya, Harb Tammuz, perang 34 hari. Berlaku dalam bulan Julai dan Ogos
tahun 2006 yang mengorbankan ribuan jiwa. Terutama dipihak orang awam Lubnan
yang dibunuh dengan bom Israel tanpa ada belas kasihan, hanya kerana mendakwa
demi keselamatan negara Zionis itu.
“Zionis laknat musnahkan
negara kami, kami tidak beralah, berputus asa dan tidak akan tewas begitu
sahaja. Kami bersihkan debu-debu, sisa-sisa kemusnahan dan bangkit untuk
kembali memulakan kehidupan. Kami bukan pengecut dan kami bukan teroris seperti
mereka!”
Semangat optimis Hasnaa
yang menguak ruang kebebasan Beirut di satu pagi musim bunga, terus
menyemarakkan sentiment Rafeah. Pertama kali dalam hidupnya, yang dibesarkan
sebagai rakyat Malaysia yang mewah dengan kemudahan, tidak pernah berdepan
dengan perang, Rafeah merasakan ada kehebatan yang menusuk mengenai jati diri
seorang wanita Lubnan bernama Hasnaa yang kedua ibu bapanya turut terkorban
dalam Harb Tammuz. Hanya tinggal sebatang kara tetapi tidak pernah merasa
kesal, malah mahu membantu jutaan manusia lain yang lebih tidak bernaisb baik. Bagi
Hasnaa, hidupnya lebh bererti sebagai seorang yang menyumbang ke arah dunia
yang lebih baik biarpun sentiasa terancam.
Dari pemerhatian Rafeah sewaktu
berjoging, kelihatan bangunan yang terkena bom, malah banyak juga pohon-pohon
kurma sepanjang Corniche yang ditembusi atau dihinggapi peluru. Melihat
kehadiran tentera yang memerhati, sedikit sebanyak memberikan rasa keselamatan,
walau dalam detikan hati mengacah-ngacah mengenai kalau ada apa-apa kejadian
yang tidak diingini boleh berlaku bila-bila masa. Dan Rafeah tidak bersedia
apa-apa, terutama dari segi mental dalam menghadapi bencana.
Hasnaa ada memberitahu
yang dikawasan pedalaman Lubnan, terutama berhampiran sempadan Israel, banyak
sekatan jalanraya sebagai langkah-langkah berjaga-jaga dan keselamatan.
Hakikatnya, kata Hasnaa Lubnan masih selamat. Hasnaa berjanji akan membawa
Rafeah ke beberapa kawasan yang pernah menjadi tumpuan dunia seperti kawasan
pembunuhan kejam di kemah pelarian Sabra dan Shatila. Tragedi kemanusian yang
mengorbankan lebih empat ribu orang awam Lubnan dan Palestin oleh militan
Kristian Phalangist Lubnan. Peristiwa yang berlaku antara 16 ke 18 September
tahun 1982 sewaktu perang saudara Lubnan
yang menjadikan Beirut sebagai tumpuan dunia terhadap keganasan serangan gerila
Kristian yang didokong rejim Israel.
“Kita mesti sentiasa
positif. Jangan mudah kecewa dan berputus asa kalau ada halangan, masalah dan
musibah! Setiap sesuatu ada hikmahnya”
Hasnaa terus sahaja
memberi suntikan kepada Rafeah yang baharu sahaja kecewa dalam percintaan.
Sesuatu yang menyebabkan tumpuan kepada pelajarannya terganggu. Kawan lelaki
yang dikenali sejak sekolah kemudian bercinta di kampus beralih arah,
meninggalkannnya kerana menjalin cinta baharu, dengan seorang pelajar perempuan
Iran yang sama jurusan. Lantas, percutiannya di Beirut adalah salah satu cara
untuk melupakan apa yang terjadi. Tragedi yang langsung tidak setaraf dengan tragedi
yang menimpa Hasnaa. Seperti langit dan bumi. Terasa memalukan, malah memualkan
pula untuk Rafeah terus berduka cita dan fras menonggeng.
Apalagi apabila Hasnaa
menunjukkan gambar yang terpampang di sebuah dinding bangunan.
“Kamu ingat Rachel Aliene
Corrie?”
Pertanyaan yang menyentap
kesedaran Rafeah mengenai tahap pengetahuan am. Malu untuk mengaku tidak kenal
tetapi sememangnya dia ignoran.
“Rasanya tidak! Siapakah dia?”
Hasnaa pula yang terkejut
dengan sikap ignoran Rafeah yang bergelar mahasiswi. Tidak prihatin dengan
kemelut dunia dan konflik yang melibatkan kestabilan muka bumi. Lebih-lebih
lagi apabila gambar besar itu tertulis, ‘Rachel Aliene Corrie, kami tidak
melupakan kamu!’
Hasnaa menarik nafas.
Sedikit kecewa dengan jawaban Rafeah.
“Dialah gadis Amerika
yang dibunuh tentera Israel kerana bertindak sebagai pendinding keganasan Zionis
sewaktu Intifada kedua dalam tahun 2003, dia dilanyak jentolak yang digunakan
untuk meruntuhkan rumah-rumah warga Palestin di Gaza secara zalim!”
Sesuatu yang menyentap
emosi Rafeah tiba-tiba. Keberanian dan semangat cintakan keamanan, keadilan
tidak mengenal batasan. Biarpun rakyat Amerika yang masih remaja, sanggup
secara sukarela, cuti pengajian setahun untuk sama membantu warga Palestin yang
dianiaya dan dizalimi Zionis dan kerajaan Amerika sendiri. Rachel memahami apa yang sebenarnya berlaku
walau dihujani propaganda oleh media amerika yang dikuasai Zionis. Lantas
Rachel menjadi salah seorang manusia yang disanjung Hasnaa kerana tidak buta,
pekak dan bisu dengan realiti, malah gigih berjuang untuk keamanan, keadilan
dan kemanusiaan sejagat.
Sedangkan Rafeah,
mahasiwa sains politik, masih terlena dengan perkara-perkara yang remeh temeh.
Mungkin terlalu banyak dipengaruhi oleh hiburan melulu. Tidak juga membaca apa
yang dianggap serius, selain novel-novel picisan dan majalah hiburan popular
yang tidak membawa apa-apa ilmu, kecuali emosional dengan masalah-masalah
perasaan dan percintaan. Skandal dan gossip artis yang menjadi idola dan ikutan
seakan-akan boleh membawa kejayaan dalam hidup dan juga ke syurga.
Dua hari kemudian, Rafeah
sudah melupakan tragidi kegagalan cinta. Perspektif kehidupan lebih luas skop
dan pradigma pun menganjak. Keluar dari tempurung.
“Saya nampak penduduk Beirut
begitu gemar menghabiskan masa terluang di kafe dan restoran. Keluar bersiar,
bertemu kawan, menghisap shisha atau bermain backgammon seakan cara hidup
kalian begitu santai!”
Hasnaa teruja dengan
pengamatan Rafeah.
“Orang Lubnan ini liberal.
Mungkin budaya santai diserapkan oleh Perancis yang lama menjajah. Kehidupan
kami juga ringkas, kalau dapat duit seratus hari ini, seratus juga dihabiskan.
Kami mahu hidup yang menyeronokkan dan ramai tidak pandai menyimpan dana untuk
hari esok, apalagi hari tua!”
Rafeah cuba memahami.
Dari apa yang dilihatnya, secara amnya, tiada banyak bedanya antara penganut
agama Islam yang dikatakan enam puluh peratus dan bakinya Kristian serta agama
lain. Sembilan puluh lima peratus berbangsa Arab termasuk pelarian
Palestin dan lima peratus berbangsa Armenia serta lain-lain. Bancian denominasi
penduduk tidak lagi dibuat kerana sensitiviti. Malah perpecahan dalam agama
agak ketara, sebanyak 18 agama atau mazhab, seperti Muslim dengan Sunni dan
Shiah, juga Kristian dengan Maronit, Ortodoks. Ada agama lain seperti Druze.
Sebelum perang saudara, mereka saling hidup dalam harmoni.
“Lubnan agak unik kerana
ramainya jumlah Arab beragama kristian yang sama memegang tampuk pemerintahan,
dan juga peranan Shiah dalam politik seperti Hizbollah. Begitupun, lebih ramai
diaspora Lubnan di Amerika Selatan dari yang ada di tanahair. Mungkin tiga kali
ganda, salah seorang bangsa Lubnan yang hebat ialah Carlos Slim HelĂș,
anak imigran Lubnan yang kini manusia terkaya di dunia!”
Hasnaa bercerita sambil
menjejak Ashrafieh, daerah elit Beirut. Atmosfera petang yang memberikan
suasana sungguh meriah. Berduyun-duyun manusia dengan pelbagai fesyen dan warna
pakaian. Musim bunga memang cukup indah. Terpancar wajah-wajah yang melontarkan
kemesraan. Pelbagai peringkat umur
seakan bergerak ke satu pesta. Membawa keriangan dalam udara yang bersuhu
nyaman.
Mereka mendekati satu
kawasan yang mula tersusun banting dan poster di mana-mana. Semuanya gambar
hummus dengan perkataan dalam bahasa Arab. Sesuatu yang membuatkan Rafeah
teruja. Hasnaa tidak memberitahu apa-apa mengenai apa yang sedang berlaku.
“Kamu bertuah hari ini!”
Rafeah terkejut. Hasnaa
tersenyum. Melirik. Menyembunyikan sesuatu.
“Hari ini ada persitiwa
bersejarah untuk warga Lubnan!”
“Apa yang bersejarah?”
“Kami akan mengalahkan
Israel durjana!”
Berdetik jantung Rafeah. Terus
sahaja tergambar sesuatu yang selalu hinggap di minda. Apalagi berada di ruang yang
terus menerus dalam ketegangan, biarpun di permukaan sungguh tenang. Sejarah
terus berulang-ulang dalam era berbeda. Krisis demi krisis menjadikan kehidupan
sentiasa dalam pergolakan.
“Perang?”
Hasnaa ketawa. Sememangnya
jawaban yang tidak mengejutkan. Rafeah terasa dalam suasana yang mendebarkan
jiwa kerana selama berada di Beirut, tiada apa-apa yang berlaku, malah tiada
kedegaran siren, letupan bom, tembakan, apalagi deruman jet-jet pejuang yang
selalu digambarkan. Yang selalu didengari adalah bunyi hon kereta dan lagu-lagu
dari kereta-kereta yang dipasang kuat.
“Jom kita raikan kemenangan!”
Rafeah keliru. Kemenangan
apa?
Hasnaa terus menarik
Rafeah ke satu kawasan terbuka yang gamat. Kelihatan ramai tukang masak sedang
berbuat sesuatu diatas barisan meja yang teratur.
Ternganga Rafeah melihat
suasana yang begitu meriah dengan sorakan. Seakan penonton yang memberi
semangat padu kepada pasukan bola bertanding.
“Ada tiga ratus tukang
masak sedang menyediakan hummus seberat 23,130 kilogram!”
Dalam kegamatan, Hasnaa
terus bercakap, seakan membuat ulasan selari secara langsung.
“Tukang-tukang masak itu
memasukkan hummus yang sudah siap ke dalam sebuah bekas besar seberat 10 tan
yang dibuat khas untuk acara ini. Kami akan memastikan disahkan oleh Buku Rekod
Guinness sebagai pemenang menyiapkan santapan hummus terbesar di dunia,
mengalahkan Israel yang mencapai rekod terbesar di dunia enam bulan lalu, kami
membuat dua kali ganda kali ini dan Israel tidak mungkin boleh mengatasi rekod
ini!”
“Lubnan dan Israel saling
bersaing untuk menyediakan hummus terbesar di dunia?”
“Lebih dari itu, pertempuran
gastronimik ini juga sebagai mendaulatkan maruah negara. Israel mendakwa hummus
dan falafel adalah makanan tradisional
Yahudi dan rasmi negara mereka dengan mendaftar paten sebagai milik mereka.
Jahanam betul Zionis, semua mahu ditakluki, hatta makanan kami yang berkurun
menjadi makanan tradisional!”
Kata-kata Hasnaa penuh dengan perasaan geram.
“Secara humornya, kami merasa bangga kerana Lebanon menang
perang Hummus biarpun lebih berbentuk propaganda perang saraf!”
Mereka berdua ketawa dalam berebut-rebut mahu berposing
dengan tukang-tukang masak muda, wira-wira hummus yang di pandangan sepasang mata
sepet-Rafeah, jauh lebih kacak dari bekas kekasihnya!
-
Tamat
-

No comments:
Post a Comment