Saturday, March 10, 2012

Cerpen 'Itanimulli' - Mingguan Malaysia 11 Mac 2012

Cerpen: Itanimulli
Oleh: Fudzail

Hakikatnya, Lukman mula merasa sesuatu yang memualkan. Meloyakan. Bagai terbau  lubang najis yang tersumbat dan melimpah ke jalan. Memuntahkan kebobrokan yang selama ini sekadar mitos dari cakap-cakap atas talian. Sekadar cemuhan berbaur fitnah yang tidak pernah disangkanya, adalah kisah benar. Bukan lagi sesuatu yang direka-reka sebagai teori konspirasi.
Setiap yang hebat, gah digambarkan dalam brosur promosi, seakan terlerai seperti salji yang turun ke bumi. Memutih tanpa pengertian. Kosong. Melitupi pandangan dan menutup keindahan sebenarnya. Musim dingin pun menjadikan fikiran berserabut. Walau saujana yang memutih adalah refleksi yang melebar ruang untuk cabaran penghijrahan.
Enam bulan telah berlalu. Enam bulan merentas advencer yang semakin hilang keseronokan. Kemuncak ekspektasi meluntur bersama hari-hari yang membawa realiti ke kewarasan minda. Tersungkur perasaan. Terluka emosi. Terdampar impian yang tercemar oleh asakan ganas realiti.
Di kaunter pembayaran hypermarket, tempat dia bekerja sementara untuk mencari rezeki menampung kehidupan, sementara yang seakan menjadi berpanjangan, Lukman menjadi pelajar yang tekun. Sementara mendapatkan pekerjaan yang lebih sesuai dengan kelayakan, pengalaman dan pendidikannya, Lukman tetap bekerja gigih sebagai kasyier. Bukan sahaja memerhati dan menganalisa setiap pelanggan, malah menilai setiap yang berlaku sebagai kuliah dunia realiti. Seumpama sebuah program realiti TV yang penuh dengan kejutan.
Dari kejutan budaya ke kejutan minda, kejutan persepsi dan kejutan yang meruntuhkan pertahanan jiwa sebagai pendatang yang pernah begitu semangat untuk mengubah keadaan. Mengubah nasib diri dan keluarga di sebuah negara asing yang bertaraf negara maju. Negara yang tersohor dengan kebebasan hak asasi, kebesan media, demokrasi unggul, dengan peluang pekerjaan, potensi kekayaan dan segala yang dinamakan syurga dunia.
Syurga dunia yang sekadar selapisan kilauan fatamorgana!
Enam bulan sebagai kasyier berdepan dengan ribuan manusia, pelbagai karenah, perangai dan masalah, Lukman berada dalam suasana yang penuh kekeliruan. Menganggu fikiran dan menggugat kenteteraman bekerja.
Dan seperti hari-hari yang lalu, dia terus berdepan dengan situasi yang sama.
"Bukankah lada benggala itu makanan? Kau pun makannya, bukan?"
Garang suara makcik tua apabila tanda harga di imbas, komputer tidak menyenaraikan 'lada benggala' sebagai kategori makanan, dan tidak boleh menggunakan baucer dan kad bantuan pemakanan (KBP) untuk pembayaran.
"Maaf, sistem tidak menerima lada benggala sebagai makanan dan KBP turut menolak caj ini!"
"Apakah bodoh sangat sistem canggih pasaraya besar ini?"
"Saya tidak boleh berbuat apa-apa! Makcik terpaksa bayar dengan tunai!"
Makcik itu terus sahaja mengomel. Mengeluarkan kata-kata kesat. Memaki sesiapa sahaja yang diingatnya, termasuk para pemimpin politik.
"OK! Tolak sahaja, aku tidak mahu membelinya kalau terpaksa bayar tunai, mana aku ada wang, akukan penganggur?"
Baki kredit dalam kad KBP memang cukup untuk membayar lada benggala. Tetapi sistem mengenal pasti dari kod harga. Lada benggala tiada huruf 'F" sebagai kod makanan dan tidak menerima untuk bayaran melalui kad KBP.
Makcik itu menunjukkan muka mencuka, mengambarkan kebencian meluap.
Mungkin juga kerana Lukman berkulit sawo matang dan nampak pendatang yang baharu mendiami pinggiran bandar tersebut. Loghat dan cara percakapan pun masih pelat. Ada rasis dan prejudis menampakkan wajah sebenar yang sering berselindung disebalik keramahan ‘warganegara’ menerima pendatang ke dalam komuniti.
Sebelum berlalu, memandang ke arah pelanggan lain yang beratur, makcik itu memekik, "Inilah kerajaan paling tak guna! Semuanya tak guna, termasuk pendatang yang menyibuk!"
Lelaki yang beratur dibelakang makcik itu menggeleng-geleng kepala. Wajahnya kelihatan mual dengan sikap seorang yang terus bergantung kepada bantuan polisi negara berkebajikan.
"Mereka yang mendapat bantuan kebajikan, penganggur abadi yang tidak mahu bekerja, goyang kaki, dapat kad KBP, hanya tahu menyalahgunakan bantuan yang diberikan, sombong pulak tu, tidak bersyukur langsung!"
Lelaki itu mengomel sebaik gilirannya tiba. Pelanggan lain sama mengomel kerana karenah sebegitu sudah menjadi biasa, apalagi menjelang pilihanraya. Musim untuk ahli politik kembali ke kawasan dan saling berjanji untuk mengubah keadaan yang semakin gawat oleh krisis ekonomi dunia.
Lukman mengangguk sambil tersenyum sebagai pekerja yang ramah pelanggan. Mula-mula dahulu dia boleh sahaja menjadi panik. Terpaksa memanggil penyelia. Kini sudah bersedia dengan mereka yang bodoh sombong dan cukup memahami perasaan tidak puas hati, rakyat yang bekerja, membayar cukai tinggi untuk menampung kehidupan mereka yang menganggur. Ramai menganggur bukan kerana tiada pekerjaan, tetapi kerana sudah seronok tidak bekerja, melepak siang malam dan menerima pelbagai bantuan kerajaan, dibawah perlaksanaan negara berkebajikan sejak 50 tahun lalu.
Malah dua generasi kemudiannya, masih terus mahu menganggur. Kemudahan yang memanjakan dan menjadikan generasi hilang haluan, tiada saingan dan tiada kemahuan untuk keluar dari kepompong 'pengangguran', begitulah yang Lukman rumuskan dari pemerhatian, perbincangan dan pembacaan sejak mendarat sebagai permastautin tetap.
"Inilah bahana negara berkebajikan yang dipenuhi dengan pelbagai penyelewengan, dari peringkat atas, pemimpin yang syok sendiri dengan segala slogan, ke peringkat penerima bantuan yang semakin besar jumlahnya tahun ke tahun!"
Lukman mendengar cemuhan yang semakin kerap, terutama dari pelanggan-pelanggan yang membenci, muak dan mual dengan keadaan. Malah perasaan kebencian yang terus memuncak antara dua golongan rakyat, majoriti yang bekerja kuat, terpaksa membayar cukai tinggi untuk menampung penganggur yang ramai dari mereka memang malas bekerja. ‘Pemalas’ yang berpuas hati, menikmati pelbagai kemudahan tanpa cuba mengubah nasib diri dan tidak peduli mengenai ekonomi negara yang terpaksa  terus menaikkan subsidi dan perbelanjaan tahunan untuk menampung rakyat pemalas.
Seperti selalu, waktu makan tengahari di kantin, perbincangan berlanjutan. Topik mengenai isu yang semakin lantang diperkatakan secara terbuka, biar boleh sahaja melemahkan kerajaan yang memerintah, yang tentunya mengharapkan undi dari rakyat pemalas, pengganggur yang semakin tahun, semakin meningkat jumlahnya, apalagi sejak krisis ekonomi menyebabkan ramai yang dibuat kerja. Masih belum pulih sepenuhnya, tetapi sudah semakin baik.
"Hari itu ada seorang lelaki, dengan telefon mewah dan kereta baru, datang membeli dengan menggunakan kad KBP. Tidak malu ke? Bayaran bulanan untuk khidmat jalur lebar sudah memadai untuk membeli makanan. Muka seposen sahaja menyelewengkan wang kita, wang cukai kita!"
Begitu komen Samuel, juga pendatang yang bekerja sebagai kasyier di hypermarket itu, sementara mendapat pekerjaan yang sesuai dengan ijazah ekonomi dan pengalaman bekerja di bidang perbankan. Berhijrah dari sebuah negara yang terus mundur biarpun sudah berganti pemimpin setelah kejatuhan diktator bernama Marcos. Bak kata Samuel, demokrasi dari revolusi boleh memberikan kebebasan suara tetapi tidak makanan dan kehidupan yang lebih baik, selagi kepimpinan terus bobrok dan setelah menang, melupakan segala objecktif yang menjadi asas perjuangan. Menjadi kitaran setan dan melumpuhkan negara.
"Saya tengok ada yang lebih teruk, gunakan baucer Bantuan Sementara Untuk Keluarga yang Memerlukan (BSUKM) membeli aksesori kereta, bir, mainan anak-anak, pakaian bergaya,  sebab BSUKM tidak menghadkan pembelian walaupun dasarnya hanya untuk makanan!"
Celah Lukman. Keduanya menggeleng. Sejak enam bulan, keduanya menjadi pendatang yang semakin tertekan. Lantas menjadi sahabat yang semakin rapat.
"Yang paling hebat, ada seorang lelaki yang menjual burger di kawasan lain, yang selalu ke kaunter saya, berbual mengenai burger jualannya dan menyarankan saya ke gerainya, dia boleh belanja makan percuma. Tetapi membeli barang-barang bekalan untuk jualannya dengan menggunakan kad KBP! Ternyata, secara terbuka, negara berkebajikan ini yang membiayai bisnesnya, cukup teruk sekali mentaliti!"
"Ramai penipu, pencuri yang menyeleweng bantuan kerajaan untuk kepentingan diri tanpa memikirkan  kita yang bekerja ini, membayar cukai pendapatan sekadar untuk memberikan makanan percuma kepada mereka. Kita berkorban tenaga dan waktu, cukai semakin tinggi, apalagi buat pendatang seperti kita yang masih terumbang-ambing setelah berhijrah!"
"Kau baca mengenai seorang doktor yang menyalahgunakan KBP dan BSUKM, membuat permohonan dengan maklumat palsu bertahun-tahun? Kaya raya dengan apartmen mewah di beberapa buah kota!"
"Berita pembongkaran seperti itu sudah semakin kerap, saya rasa majoriti rakyat sudah jelak dengan penyelewengan yang selama ini cuba disembunyikan untuk mempertahankan sistem yang sudah lapuk!"
"Mungkin kita berhijrah ke sini di masa dan keadaan yang salah, sewaktu ekonomi merudum dan sewaktu protes rakyat terhadap kebobrokan sistem yang didewa-dewakan terus meningkat. Pihak pemimpin pula sudah tidak mampu lagi untuk mempertahankan sistem yang menghancurkan negara!"
Perbualan serius Lukman dan Samuel sama didengari oleh mereka yang lain. Sama-sama mencelah. Majoriti mereka adalah pendatang yang berbekalkan kad hijau sebagai permastautin tetap berhijrah untuk kehidupan lebih baik. Mimpi manis menjadi mimpi ngeri. Setelah membuat permohonan, ditapis dalam proses yang ketat dan tidak murah perbelanjaan.
Jumlah pendatang juga semakin bertambah kerana ramai warganegara yang semakin berusia dan dengan jumlah kelahiran yang menurun, tenaga pekerja sama berkurang, begitulah yang dipaparkan di laman web jabatan imigresen yang memproses kemasukan pendatang. Menggamit ratusan pendatang untuk mencuba  nasib.
Statistik yang mengambarkan kemajuan fizikal dan intelektual tidak seimbang dengan keperluan dari segi jumlah penduduk, malah ramai warganegara sendiri yang berhijrah untuk mengelakkan cukai yang tinggi dan pendapatan yang tidak meningkat dengan produktivit.
"Tetapi kalau dilihat dari perspektif berbeda, keadaan semasa ini juga berlaku dari ketamakan korporat besar memonopoli pasaran dalam pelbagai industri!”
Lukman terdiam mendengar hujah teman sekerja Adeline Chang, lahir di kota itu dan seorang warganegara yang mahu memulakan kempen ‘Menduduki Kota’ seperti mana yang sedang berlaku di banyak kota-kota besar negara maju. Protes terhadap kerakusan dan ketamakan 1% dari penduduk dunia yang menguasai bisnes.
“Contohnya hypermarket ini, multi-nasional, masuk ke negara ini secara besaran. Melumpuhkan peniaga-peniaga runcit kecil dan sederhana tempatan yang dahulu memberikan ruang untuk bersaing secara adil. Siapa lagi mahu ke kedai-kedai runcit yang tidak mampu menawarkan harga seperti mana hypermarket gergasi yang dibina merata-rata. Monopoli pasaran dengan menekan pengeluar dan menentukan pasaran mengikut keuntungan yang ingin mereka capai!”
Adeline Chang anak seorang pendatang yang bisnes keluarganya turut terkorban oleh pasaran terbuka yang dicanangkan kerajaan pemerintah sebelumnya. Lukman memahami perasaan Adeline Chang yang bercampur dendam terhadap kerakusan korporat gergasi. Menakluki bisnes secara permainan yang tidak adil tanpa memperdulikan pentingnya pertumbuhan industri kecil dan sederhana dalam pembangunan negara, biarpun sudah  bertaraf negara maju.
“Bayangkan perbelanjaan untuk bantuan kebajikan para pemalas meningkat 400% semenjak 10 tahun lalu dan tiada penurunan dari segi jumlah penerima bantuan. Lantas, kita sebagai pembayar cukai menanggung kenaikan yang terus mengurangkan daya untuk berbelanja, terpaksa pula berhutang untuk menanggung kos sara hidup dari inflasi. Sebab itu ramai memilih untuk menganggur dan menerima bantuan dalam pelbagai bentuk sambil goyang kaki. Mana keadilan? Kerana itu memerlukan tenaga pendatang untuk mengisi pekerjaan yang kemudian mengetahui lubang dalam sistem yang robek untuk sama-sama menikmati kemudahan dana yang diperuntukkan setiap tahun!”
Sambung Adeline Chang dengan suara yang sedikit gementar.Ada nada kemarahan. Ada getaran kegeraman, apalagi dalam suasana menjelang pilihanraya, ramai peganggur mengambil kesempatan sebagai ‘suara ketiga’ untuk menentukan hala tuju negara. Setiap undi adalah berharga dan dalam sistem dua parti, kemunculan suara ketiga menarik minat ramai rakyat. Pilihan ketiga menjadi penentu kuasa politik di Britain dan Australia, menjalar ke banyak negara.
“Sistem negara berkebajikan ini juga melumpuhkan semangat keushawanan. Sistem yang dahulu memang baik di era generasi nenek moyang, sekarang sudah semakin dipenuhi dengan birokrasi, berkurap dan membarah, tidak efektif dan penuh dengan penyelewengan yang memerangkap ratusan ribu dalam kitaran pergantungan terhadap bantuan semata-mata. Tidak mahu berusaha kerana semuanya adalah hak asasi untuk tidak perlu bekerja, kalau hidup di negara saya yang jumlah penduduk satu bilion, tentunya ramai yang sudah mati kebuluran kerana tewas sebelum berjuang!”
Suara Maniam, pendatang yang baru tiba dari Mumbai sedikit melucukan kerana slanga Inggeris kehindian yang masih pekat. Begitupun pendapatnya memang bernas. Dia sendiri cukup kuat bekerja sebagai penjaga stor walaupun mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan dan pengalaman dalam industri kuasa nuclear. Hanya kerana masih belum memiliki ‘pengalaman tempatan’, dia terus sahaja terpaksa bekerja sementara dengan kerja-kerja yang lebih rendah kelayakan. Bersaing dengan ramai pendatang lain yang keliru dengan keadaan semasa, sama-sama membawa ijazah yang sukar untuk diiktiraf majikan walau sudah melepasi proses semakan oleh jabatan imigresen. Sesuatu yang diluar jangkaan dan menyusahkan untuk bermula dari bawah semula.
Ramai pemegang ijazah sarjana dan Phd yang terpaksa bekerja membawa teksi, buruh atau kerja bawahan kerana jurusan dan bidang kepakaran mereka tidak diperlukan. Tidak sesuai atau terlebih kelayakan.
Lukman terus menjadi pendengar kerana fikirannya jauh melayang ke tanahair sendiri. Terkenang kehidupan yang tidaklah senang tetapi masih sahaja ada kebahagian. Biar tertekan dengan keadaan, masih ada ruang untuk melepaskan keluhan.  Masih ada adik beradik, keluarga,kenalan rapat untuk mengadu. Sesuatu yang mula terasa kehilangan dalam keasingan.
Masa memang cepat berputaran. Pagi ke petang, malam ke subuh berulang di kalendar. Dalam mengejar jadual kerja sambil mencari peluang pekerjaan baharu, musim ke musim berikutnya, Lukman menerima hakikat, bukan mudah untuk menyesuaikan diri. Cabaran dalam pelbagai bentuk sedikit sebanyak menggugat kekentalan jiwa yang menganjak langkahnya selama itu.
Sebaik tamat sif kerja, Lukman terus bergegas untuk pulang ke rumah bersama keluarga. Tidak ambil over time kerana mahu berehat setelah seminggu bekerja dua syif setiap hari. Isterinya, Sarah sudah siap menghidangkan makanan Melayu. Kedua anak sibuk dengan kerja-kerja sekolah.
Sambil menonton TV, seperti biasa Lukman melayar Internet. Selain mencari kerja dan mengakseds rangkaian sosial, berkomunikasi dengan kawan-kawan, terutama kawan-kawan rapat di tanahair.
“Mungkin kalain tahu apa yang sebenarnya terjadi dalam menentukan kuasa dan penguasaan ekonomi dan kewangan, perbankan di muka bumi ini bukan? Turun naik ekonomi, memanipulasi pasaran terbuka, pasaran matawang dan segala yang berkaitan dengan riba!”
Seperti biasa, sembang  meriah di laman grup  alumni New Zealand di Facebook berligar mengenai teori konspirasi. Sesuatu yang dirasakan oleh Lukman amat berkaitan dengan krisis demi krisis dunia, termasuk merudumnya konsep negara berkebajikan yang menjadi bahana dan bala, bukan lagi rahmat.
“Semuanya mesti kena mengena dengan satu pertubuhan sulit, yang berbahaya dan menjadi tunjang dibelakang tabir pelbagai kegiatan kewangan, bisnes, sosial, malah keagamaan. Sejak ratusan tahun mengawal pergerakan. Oleh kerana Facebook ini juga sebahagian dari perangkap mereka, kita sebut sahaja nama kumpulan ini secara terbalik, Itanimulli!”
Seakan bergema kata-kata Lukman yang tertulis di dinding  Facebook grup alumni yang sering bergolak dengan isu-isu politik tanahair. Perbahasan boleh menjadi panas mengikut fahaman politik dan pendirian. Pendapat kritikal menghidupkan dinding. Hujah-hujah berdasarkan tanggapan, persepsi, bukan fakta dan selalu mencetuskan kekeliruan, penuh emosional, kalau tidak mencetuskan pertengkaran yang berpanjangan ke luar Internet.
Rentetan komen berpanjangan. Pro dan kontra. Setuju dan bantah.  Malah ada yang mengejek-ngejek kerana Lukman terlalu asyik dengan teori konspirasi.
Lukman tidak berganjak kerana dia sedang melihat sendiri apa yang sedang terjadi kepada sebuah negara yang kelihatan aman dan makmur dari luaran, tetapi mereput dari dalam. Dia yakin. demokrasi yang dicipta oleh Itanimulli semakin menunjukkan kecacatan. Bayangkan kalau majoriti pengundi adalah penggangur, mereka menentukan kerajaan dan kerajaan terpaksa akur dengan segala tuntutan mereka yang semakin melampau. Terlampau kerana membinasakan ekonomi dan struktur kewangan negara.
Dalam kehangatan perbincangan yang merentas muka bumi, merentas zon waktu dan sempadan dunia, tiba-tiba ada seorang ahli grup meletakkan video klip youtube. Sebuah lagu keroncong lama. Mengimbau nostalgia. Ingatan Lukman pun melayang jauh ke tanahair yang beribu batu jauhnya. Menggamit momen-momen sebagai anak petani yang telah melangkah jauh dibawah Dasar Ekonomi Baru. Dari berkaki ayam di kampong ke sekolah berasrama penuh, ke New Zealand sebagai mahasiswa dan jauh merantau sebagai eksptariat.
Sebelum tekad untuk berhijrah sebagai permastautin tetap dalam mengejar kehidupan terbaik di sebuah negara yang menjanjikan segalanya.
Melihat keluar tingkap, salju terus turun melitupi malam. Suhu dibawah 0 darjah Selsius. Beku. Tiada apa-apa yang boleh dilakukan. Terperangkap dalam ‘syurga’ yang sudah menjadi sebuah persinggahan tanpa kebahagian.
Lukman pun terus dalam nostalgia yang semakin memerangkap emosi dan minda. Jauh dalam hatinya, ada sesalan yang mula memamah setiap kewarasan. Meranap sedikit demi sedikit ekspektasi tinggi terhadap sebuah penghijrahan. Dan semakin percaya, dia sendiri tertipu dengan jerat Itanimulli yang terus memerangkap mereka yang ignoran. Mereka yang sepertinya, mudah percaya dengan kilauan fatamorgana seperti visual dari kerangka Hollywood yang terus melenakan warga dunia dengan hiburan.
Terbayang wajah ibunya di kampong. Teringat pesan sebelum dia berangkat. Pesan yang berligaran sepanjang penerbangan dan kembali bergema dalam sebuah ruang yang semakin terasing.
“Hujan emas di negeri orang….!”

No comments: