Sunday, October 16, 2011

Dari Berita Minggu hari ini 16 oktober 2011

Sanggar Kreatif: Tawaf Widak
Oleh Fudzail

2011/10/16

pix_gal0
UDARA masih diseliputi hawa panas. Memijar. Pancaran daripada kilauan matahari membuatkan kepeluhan. Terasa sedikit kelelahan. Luqman melangkah mengharung manusia yang semakin ramai. Semuanya bergerak ke merata arah. Berpusu-pusu. Terutama menuju ke dataran Kaabah.

Dia mesti segera menghabiskan tawaf widak. Dalam masa dua jam akan berangkat ke Jeddah sebelum terbang ke KLIA, sehari lagi Aidilfitri. Setelah seminggu menghabiskan masa untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan. Seminggu yang melontar dirinya ke seribu suasana. Sesuatu yang mencorak keganjilan dalam diri. Di luar jangkaan dan di luar kebiasaan. Ini bukan kali pertama dia berada di Tanah Suci, tetapi kali pertama pada Ramadan dan segalanya seakan ke ruang yang asing sekali.
Dalam mengharung wajah-wajah dan tubuh-tubuh pelbagai saiz, rupa dan warna kulit, kedua tangannya menggenggam erat telefon Blackberry dan iPhone. Dua gajet yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Biar di mana-mana berada.
Terus saja berkomunikasi dan mengakses sosial media dan apa saja berkaitan perniagaan, kemas kini berita serta politik semasa. Fikirannya sama bergelombang dengan frekuensi yang memenuhi ruang udara. Seolah bergerak, berputar, tunggang terbalik dan kitar semula dalam nadi elektronik yang menjalar ke serata arah. Dia adalah generasi yang sentiasa memerlukan maklumat walau lebih maklumat bertaraf sampah di mana-mana, baik di Internet mahupun media konvensional. Kunyahan rohani daripada santapan maklumat yang sering kali membuatkan otaknya bekerja keras daripada biasa.

Itu belum masuk lagi kegemarannya memasuki chartrooms untuk bersembang lucah dengan manusia psiko dan mengakses bahan pornografi yang bertimbun-timbun.

Luqman agak terlewat untuk membuat tawaf widak. Dua lagi rakan yang dibawa bersamanya sedang bersantai dalam bilik hotel sambil menonton TV. Kelewatannya kerana ada pesanan daripada kedua-dua isteri yang memesan itu ini. Daripada pesanan untuk membeli beberapa helai lagi baju jubah dan abaya ke pesanan minyak wangi dan madu. Beg yang dibawanya sudah berganda, sudahlah setiap isteri mempunyai beg khas, tidak boleh bercampur, bimbang timbul iri hati dan tercetus pergaduhan.

Selain berjenis permaidani yang dihantar terus melalui kargo. Seminggu di Makkah, dia lebih banyak membeli-belah dari kunjungan ke London atau Dubai. Sememangnya Makkah, syurga untuk beribadah dan syurga untuk membeli-belah. Ribuan lebur di pusat beli-belah mega dan sejumlah kedai kota Makkah yang meriah.
“Jangan lupa ya bang!”

Suara manja isteri kedua, Sofea masih terngiang. Itu belum lagi kekasih gelapnya, Diyana.

“Itupun kalau you nak belikan, kita ini siapa, bukan isteri abang lagi kan?”

Ugutan halus Diyana boleh saja membuatkan Luqman cair. Dalam usia hampir lima puluhan itu, Luqman masih terasa kembali remaja sejak bertemu Diyana, siswi universiti Islam yang dikenali melalui Facebook. Diyana yang kembali menjadikan tenaganya, mindanya dan batinnya segar. Meremajakan dirinya bersama-sama suapan Viagra, segala ubatan herba yang menjanjikan awet muda dan kelihatan menarik.

Apa pun, Luqman tidak mengabaikan, Jawaher, yang dikahwini sejak dari tahun satu universiti, 25 tahun dulu. Kekasih awal dan akhir sebelum bertemu Sofea dan Diyana.

Memang fikirannya lebih berkecamuk daripada sebelum dia datang ke Makkah seminggu lalu. Walau datangnya, hadirnya untuk menjernihkan sebahagian, kalau tidak semua yang mengekori, membebani dan menarik-narik kewarasannya. Kekusutan dari dilema, polemik, isu dan pelbagai masalah dalaman dan luaran. Selain tentunya usia yang sudah menghampiri senja.

Kota Makkah baginya seperti kota-kota lain, yang berbeza hanyalah status sebagai Tanah Suci dan pahala berganda kalau menunaikan solat di Masjidil Haram. Baginya, solat di situ boleh menampung kekurangan dalam amalan lain. Begitulah Luqman yang percaya bahawa dia akan masuk syurga kerana banyak kali ke Makkah dan Madinah.

Luqman tiba-tiba tertolak kuat. Ada sekumpulan wanita Iran berjubah hitam mengasak. Dalam cuba mengelak, tersentuh tubuh mereka. Daripada kilasan, wajah manis wanita itu merentap seketika minda. Melucutkan sebentar segala yang bermain dalam fikiran. Jiwa mudanya mencabar, tetapi tubuh yang tidak lagi muda menarik kembali perasaan mendomba-domba.

Dia sekadar mengekori tubuh mongel yang semakin cepat bergerak.

“Sakan kau membeli-belah?” terdengar pertanyaan Harun, pegawai bahagian kelulusan projek sebuah kementerian yang dibawanya. Dia telah berjanji untuk membawa Harun dan seorang lagi pegawai, Jasni, mengerjakan umrah sekiranya menerima tawaran projek yang dibida. Menunaikan janji dengan membayar pakej yang agak mahal dalam bulan Ramadan, selain memberi duit poket untuk membeli-belah yang secukupnya. Apalah sangat membelanjakan mereka berdua berbanding dengan margin keuntungan daripada pembekalan alat komunikasi berharga jutaan ringgit. Lagipun semua itu sudah menjadi sebahagian daripada kos perniagaan. Sudah menjadi amalan terbuka yang diterima pakai sebagai budaya. Satu usaha ‘menang-menang’ dalam proses pembangunan fizikal ke arah sebuah negara maju.

Harun dan Jasni bukan saja ceria menghabiskan masa beribadah, malahan lebih ceria menghabiskan wang saku yang diberi untuk sakan membeli-belah sebaik keluar dari Masjidil Haram. Yang pastinya, masa untuk membeli-belah lebih lama dari masa untuk bersolat dan dengan pilihan yang ada, walau kekadang tersesat, selain lapar dan dahaga dalam bulan Ramadan, segalanya menyeronokkan. Berbelanja dengan wang tajaan dan tidak perlu memikirkan kalau-kalau ada pengintip SPRM mengekori.

“Biasalah. Ada dua isteri, anak perempuan enam orang, dua mak mentua, dua bapa mentua, adik-beradik sendiri, adik-beradik isteri-isteri, saudara-mara mereka, semuanya mesti diambil kira itu sebab mahu dapat berkat Tanah Suci!”

Luqman seakan memberi fatwa dalam menjawab soalan Harun yang pendek, tetapi tersirat. Sebenarnya Harun bertanya dengan agenda lain, manalah tahu kalau-kalau Luqman boleh memberi wang saku tambahan kerana dia sudah terliur untuk membeli permaidani yang diborong Luqman. Cuma tidak cukup wang setelah kehabisan memborong pakaian untuk keluarga, jiran dan kawan-kawan. Banyak lagi dalam senarai yang masih belum dilaksanakan.

Dalam melangkah dan cuba mengingat sama ada sudah sampai ke pusingan tawaf kedua atau ketiga, Luqman terlanggar seorang gadis muda yang sedang khusyuk membaca ayat-ayat doa dari sebuah buku. Gadis itu berpaling.

Luqman mengangkat tangan meminta maaf. Gadis berketurunan Arab itu menjeling marah.

Wajah marah yang membawa Luqman ke bayangan anak perempuan sulungnya. Dengan Jawaher, dia mendapat empat anak perempuan. Tiada zuriat anak lelaki dan Jawaher tidak sanggup untuk hamil dengan usia bertambah.

Lantas Luqman meminta izin untuk berkahwin dengan Sofea, sekretari sendiri yang dia terlanjur hubungan. Skandal pejabat dari sekadar suka-suka. Mahu berkahwin lagi dengan alasan mahukan anak lelaki sebagai penyambung zuriat.

Dan perkahwinan yang tidak pernah direstui Jawaher itu memberikan dua lagi anak perempuan. Maka Luqman seakan terhukum dalam pencarian mendapatkan zuriat anak lelaki yang semakin terlupus dan terluput.

Anak perempuan sulungnya, Zara sudah hampir menamatkan pengajian di universiti. Anak keduanya di tahun kedua dan yang ketiga akan masuk ke universiti. Yang lain masih di bangku sekolah. Kesemua anaknya masuk universiti swasta dengan perbelanjaan sendiri. Wang bukan masalah apabila perniagaan semakin maju biar dalam kegawatan ekonomi kerana Luqman cukup licik dan bijak dalam strategi ‘menang-menang’ sejak kenal dunia perniagaan.

“Abah tahu tak, di universiti tempatan sekarang, peratusan pelajar perempuan jauh lebih tinggi daripada pelajar lelaki?”

Anak perempuan ketiganya, Sara memberitahu dalam perjalanan ke KLIA dengan suara yang membayangkan kegusaran. Mahu melanjutkan pengajian dalam bidang pengiklanan.

Luqman mengangguk. Fikirannya merawang-rawang.

“Apa masalahnya?” Jawaher mencelah.

Luqman ketawa sambil berkata, “Masalahnya, kuranglah pilihan untuk berboy friend kan? Terpaksa bersaing dengan lebih ramai untuk sebuah cinta?”

Jenaka yang sebenarnya menikam diri sendiri apabila Jawaher tidak ketawa. Dalam suasana yang tiba-tiba ganjil, tiba-tiba radio memainkan lagu ‘Kekasih Gelap.’ Terpanah dan terobek lagi hati Luqman dalam cuba menenangkan situasi. Semakin terhimpit.

“Betul abang tidak bawa isteri muda abang itu?” Sekali lagi Jawaher melontarkan soalan yang berulang ditanyakan.
Soalan yang merimaskan kerana niat asal Luqman memang mahu membawa Sofea, sehingga Jawaher bertalu-talu menyoal walau berkali-kali Luqman menidakkannya. Akhirnya, terpaksa Luqman membatalkan saja perancangan dan membuatkan Sofea pula merajuk. Bukan senang untuk beristeri dua, kata P Ramlee, mesti pandai pembohong, mesti pandai temberang, tetapi jangan sampai pecah tembelang.

Dan oleh kerana mahu ke Makkah, ada juga takutnya Luqman untuk temberang dan berbohong kepada kedua-dua isterinya yang perangai pun lebih kurang sama saja, bercirikan queen control dan cemburu tidak tentu pasal. Sentiasa mengugut dan ada kala berbomohan. Kata ramai orang, apa saja boleh berlaku di Makkah. Jangan salah cakap di Tanah Suci. Ramai juga yang menerima ‘bayaran tunai’ daripada perbuatan masa lalu.

“Abah tahu, kakak Zara sudah mempunyai seorang kawan lelaki yang intim dan sedang asyik masyuk bercintaan!”

Anak keduanya, Hannah memecahkan berita menyebabkan Zara tertunduk malu sambil cuba mencubit Hannah. Manakala Jawaher dan Zara ketawa. Ada sedikit getaran kebahagiaan yang meresap ke dalam MPV mewah yang meluncur laju.

Luqman terkesima dalam cuba memproses berita yang bercampur-baur. Sememanganya kesibukan Luqman dengan urusan perniagaan, selain kegiatan sosial seperti main golf, berkaraoke dengan pelanggan, selain membawa pelanggan berlibur di tempat hiburan merata tempat, menyebabkan tidak banyak masa untuk bersama anak-anak sendiri. Kalau berkomunikasi pun melalui SMS dan Facebook.

Lontaran suara Hannah itu seakan dentuman dari guruh yang menggegarkan. Luqman terus terkaku dan fana seketika.
Membawa dia jauh ke ruang-ruang berlalu. Begitu pantas masa berlalu. Begitu jauh perjalanan hidup dan kembara dunia yang terus dikejarnya. Begitu bersimpang-siur kehidupannya dan penuh dengan pelbagai peristiwa. Ketika itu juga dia disambar sesuatu yang hinggap ke benak fikiran.

Ah! Zara sebaya dengan Diyana, kekasih gelapnya yang sudah beberapa kali ditidurinya! Yang berkali-kali dia berjanji untuk kahwin di selatan Thailand. Apakah Zara termasuk dalam golongan perempuan muda seperti Diyana? Apakah Zara mempunyai kekasih yang sebaya dengan usia ayahnya? Apakah Zara memilih bakal suami seorang lelaki seperti dia, seperti Luqman yang masih belum mahu untuk berubah perangai.

Luqman hampir tersasar pemanduannya seperti mana tiba-tiba dalam melepasi garisan tanda pusingan tawaf, dia terhuyung-hayang dengan gema dan pekikan. Asakan dari pelbagai tubuh yang menghempap.

Sekilas itu juga Luqman tersedar seketika, dia telah jatuh tersungkur ke lantai dataran Kaabah. Dilanggar tubuh-tubuh jemaah yang disedarinya, kesemua perempuan. Luqman kehairanan, tiada jemaah lelaki. Dalam fana dan berdebaran, dia tetap memastikan Blackberry dan Iphonenya terus dalam genggaman.

Luqman terasa kepalanya berdenyut-denyut. Berpinaran dan daripada kilauan panahan matahari, Luqman terpandang wajah setiap perempuan yang pernah menjadi sebahagian daripada kemeriahan kehidupan materialistik dan dunia keseronokannya.
Dunia tanpa sempadan nafsu dan dunia wang yang menggerakkan nadi dalam tubuhnya. Bertukar perempuan yang menjadikan dia lelaki buas bertaraf romeo jalang. Ada wang semua boleh jadi, hulur sana sini dan jalan ke neraka tetap terbuka, seperti mana gelaran datuk yang dibelinya.

Wajah berserabut itu mengasak dan melempar caci nesta. Wajah yang mengancam dengan pandangan menusuk dan mengejek. Terdengar suara memanggil-manggil. Menjerit-jerit dan di antara wajah itu, muncul wajah Zara yang seakan berlapis-lapis, bertindih-tindih.

“Zara akan menjadi mangsa lelaki buas. Mangsa nafsu serakah kamu seperti kami. Jangan lupa pembalasan Tuhan daripada doa mereka yang teraniaya!”

Luqman meronta-ronta cuba melepaskan diri daripada cengkaman yang dia sendiri tidak pasti. Tubuhnya tidak dapat bergerak. Tercungap-cungap. Nafasnya semakin sukar.

Datang pula bayang-bayang dirinya. Imej dari usia muda, sejak dia mengenal keseronokan dan perempuan. Sejak berfungsi sebagai lelaki dan jantan yang mahu mencari keseronokan. Menikmati kemanisan daripada permainan kata-kata dan segala yang berputarkan kepada nafsu. Dosa, halal, haram dan neraka jarang muncul dalam perbendaharaan katanya. Kalau munculnya hanyalah sebagai ungkapan yang tiada kesan apa-apa dalam jiwanya.

Pandangan menjadi gelap. Luqman menjerit sekuat hati. Hanya suara perempuan yang mengasak pendengaran.

“Darah daging kamu dan keluarga daripada rezeki tidak halal, bercampur baur. Kekayaan yang kau kumpulkan itu, walau kau bayar zakat, kau bersedekah, kau solat, pergi haji, selalu ke umrah, boleh membawa kau ke neraka!”

Bergema suara daripada seorang perempuan tua. Suara yang dulu biasa didengar dan amat dibencinya. Suara seorang ustazah yang sering menegur sikapnya. Ustazah Halimah yang telah lama meninggal dunia dan dia tidak pernah memaaafkan ustazah yang mahu dia berubah sikap.

Luqman terasa dilapah. Seseorang merenjis air. Air yang berbau cukup busuk dan hanyir. Terasa mahu muntah, tetapi pandangannya kembali pulih. Dia menoleh ke sekeliling. Manusia di mana-mana. Tetapi matanya terus mencari. Sesuatu yang selama ini sekadar jasmaninya mengadap setiap kali solat. Mengadap tanpa hati yang fokus, fikiran sentiasa berlegar mengenai dunia.

Dan Luqman menjadi kaku. Tercampak Balackberry dan iPhone. Sekilas itu cuba untuk mengucap. Pun dia lupa, seperti mana kaabah yang tersergam dan yang ditawafnya berkali-kali itu, tiba-tiba hilang dari pandangannya!

INFO: Fudzail

Nama pena bagi Mohd Fudzail Mohd Nor, berkelulusan Sains Komputer dan Matematik dari New Zealand. Pernah menjadi pengurus Teknologi Maklumat (IT) di TV3, juga ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah.

Kini pengarah beberapa syarikat antarabangsa dan pengurus Yusuf Islam, selain sukarelawan yang pernah ke Gaza, Palestin. Pernah memenangi hadiah sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/7. Antologi puisi Waikato diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP 2001), Kumpulan Cerpen Dotkomania (DBP 2009) dan Trilogi Aotearoa (Karangkraf 2010). Boleh dihubungi melalui e-mel fudzail@ gmail.com dan blog 1426.Blogspot.com.