Thursday, September 15, 2011

Idea 'gila' pecahkan 'tembok' maklumat

Idea 'gila' pecahkan 'tembok' maklumat
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2011/09/15

Gambar kecil, Michael Stern Hart.
Gambar kecil, Michael Stern Hart.
Gutenberg dan Hart pelopori E-buku dan projek persuratan dalam talian

PENCIPTA buku elektronik, Michael Stern Hart, tidak dapat menyaksikan kesudahan polemik kematian buku yang 'dibunuh' oleh e-buku apabila meninggal dunia di Urbana, Illinois, Amerika Syarikat (AS), pada 6 September lalu, ketika berusia 64 akibat serangan sakit jantung.
Bagaimanapun, pengasas Projek Gutenberg itu sempat menyaksikan ramalannya tentang ‘gizmo’ atau gajet bersaiz poket yang mengandungi pelbagai perkara termasuk buku menjadi kenyataan.
Penciptaan e-buku bukanlah semata-mata inovasi teknologi atau perintis kepada suasana maklumat moden, sebaliknya kita perlu memahaminya sebagai cara paling berkesan dan ketara untuk mengedarkan karya persuratan secara percuma. - Dr Gregory B Newby, CEO Yayasan Arkib Persuratan Projek Gutenberg
Pada 1998, beliau berkongsi ramalannya dengan majalah Wired bahawa: “Dalam 20 atau 30 tahun akan datang, kita akan melihat generasi depan membawa ‘gizmo’ di poket belakang mereka yang mempunyai semua benda termasuk buku kita sekiranya mereka mahu.”

E-buku, Projek Gutenberg dan Hart sangat sinonim kerana beliau bukan saja mencipta e-buku, bahkan mengasaskan projek persuratan dalam talian yang diiktiraf paling awal dan paling lama bertahan sehingga kini.

Projek Gutenberg meminjam nama Johannes Gutenberg yang mencipta mesin pencetak dan mencetuskan revolusi percetakan sehingga menyebabkan Eropah dan dunia tidak lagi sama selepas abad ke-15.

Hart memulakan Projek Gutenberg secara spontan apabila mendapat kebenaran untuk menggunakan komputer kerangka utama Xerox Sigma V di Universiti Illionois pada 1971.
Pada 4 Julai tahun itu, Hart menaip semula Deklarasi Kemerdekaan AS apabila mendapat idea besar selepas menemui salinannya dalam beg sandang ketika mencari bekalan makanan.

“Saya berfikir sejenak tentang agenda yang lebih penting daripada menaip kembali Deklarasi Kemerdekaan yang pastinya masih kekal dalam tempoh seabad akan datang.

“Bagaimanapun, saya tidak menemui usaha yang lebih murni daripada itu, lantas lahirlah Projek Gutenberg,” Hart dipetik berkata dalam wawancara pada 2002.

Idea melangkau masa itu boleh dianggap sangat mengagumkan kerana teknologi internet baru saja melintas benua, manakala komputer yang digunakan oleh Hart juga adalah daripada generasi terawal.

Memetik pandangan Mikhail Lermontov dalam The Red Shoes, ‘Ahli silap mata terhebat di dunia pun tidak mungkin dapat mengeluarkan arnab daripada topi, sekiranya haiwan itu tidak berada di dalamnya’, Hart menganggap idea itu muncul pada tempat yang betul, masa yang tepat dan latar belakang yang benar.

Bagaimanapun, idea Hart itu tidak diterima dengan baik pada peringkat awal sehingga tidak hairanlah ada yang mengejeknya sebagai ‘lelaki gila yang mahu memasukkan Shakespeare ke dalam komputer.’

Bermula dengan 100 naskhah karya agung dari Barat yang diimbas dan dimuat naik di laman web pada 1993, jumlah itu semakin meningkat kepada 1,600 pada 1998 dan 10,000 (2003).

Kini pengguna internet boleh mencapai kira-kira 36,000 e-buku secara percuma dalam 60 bahasa yang meliputi pelbagai format untuk memudahkan mereka.

Daripada kerja yang dianggap sebagai aneh kira-kira dua dekad pertamanya, Projek Gutenberg kini diiktiraf sebagai usaha perintis dan paling besar dalam memulihara hak cipta awam dalam era digital.

Menariknya, Projek Gutenberg digerakkan sukarelawan yang dipantau oleh Lembaga Pengarah Produksinya membabitkan pelbagai proses termasuk pemindahan format, penghantaran fail, kajian terhadap hak cipta dan pemilihan program pembaca aksara optik (OCR) untuk membuat imbasan terhadap salinan asal bagi memudahkan penyuntingan.

Sumbangan Hart itu diperakui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Arkib Persuratan Projek Gutenberg (PGLAF), Dr Gregory B Newby yang menganggap mendiang meninggalkan kesan besar terhadap dunia.

“Penciptaan e-buku bukanlah semata-mata inovasi teknologi atau perintis kepada suasana maklumat moden, sebaliknya kita perlu memahaminya sebagai cara paling berkesan dan ketara untuk mengedarkan karya persuratan secara percuma.

“Capaian kepada e-buku menyediakan peluang untuk meningkatkan kadar celik huruf dan memungkinkan idea dengan kandungan kesusasteraan lebih mudah serta luas digapai, selain mewujudkan peluang untuk maju,” katanya dalam belasungkawa pada laman web Projek Gutenberg.

Sementara itu, pengarang karya berunsurkan teknologi maklumat, Mohd Fudzail Mohd Nor, menganggap sumbangan Hart yang paling signifikan ialah menjadi pelopor kepada industri peruncitan buku secara dalam talian.

“Sumbangan Hart sebenarnya memberi laluan kepada usahawan tekno generasi kini seperti Jeff Bezos yang berjaya membina empayar Amazon.

“Hart juga mengajar bahawa wawasan yang melangkaui zaman memang memerlukan banyak pengorbanan dan masa untuk berhasil,” katanya yang berpengalaman dalam merekabentuk keperluan telekomunikasi di Dubai dalam 25 projek mega termasuk Palm Islands.

Mohd Fudzail berkata, usaha gigih Hart berjaya menyebarkan magnus opus peradaban Barat secara meluas, percuma dan dapat diakses pada bila-bila masa saja.

“Lebih daripada itu, kewujudan e-buku membuka ruang seluasnya untuk literasi dan idea segar dalam kesusasteraan, sekali gus mencipta peluang dan ruang kreativiti tanpa sempadan dan batasan fizikal buat generasi penulis baru walau di mana saja,” katanya yang turut menghasilkan kumpulan cerpen Dotkomania.

Hart dilahirkan di Tacoma, Washington, AS pada 8 Mac 1947 daripada keluarga intelektual, iaitu ayahnya sebagai akauntan manakala ibunya pula penganalisa kod rahsia semasa Perang Dunia Kedua.

Ibu bapa Hart kemudian berpindah ke Illinois untuk berkhidmat sebagai profesor sastera dan matematik, sekali gus memberi peluang kepadanya untuk mengikuti kuliah di universiti walaupun masih di bangku sekolah sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Illinois.