Monday, July 11, 2011

KETAKSUBAN

KETAKSUBAN

gas pemedih mata
yang terlempar merata
adalah satu lontaran
penderhakaan
kepada himpunan kesetiaan
anak-anak yang tidak lahir
sekadar menjadi hamba
kepada propaganda
bersama tahun-tahun kehilangan
pasca kemerdekaan
yang meruntuh tembok kesedaran
mengenai erti pembangunan tidak seimbang

semburan air kumbah
yang busuk menyimbah
menghina limpahan darah
pengorbanan
para pejuang yang tidak kenal
kegentaran menerjah penjajahan
yang terus halus diwariskan
diatas nama demokrasi terpimpin
setelah kemerdekaan
sekadar sebarisan kepimpinan
dipenuhi kebobrokan dan ketamakan

di jalanan
atau di peti-peti undi
ingatlah demokrasi
bukan sekadar pilihanraya
lima tahun sekali
dan kuasa itu
bukan harta pusaka
para elit yang semakin dimamah
ketaksuban pada diri sendiri!

Fudzail
London
11 Julai 2011