Monday, June 06, 2011

Dewan Sastera Jun 2011 : Ke Nibiru dan Kembali ke Bumi

Dewan Sastera Jun 2011



Cerpen: Ke Nibiru dan Kembali ke Bumi
Oleh : Fudzail

1.      Masjid Muayyad
Paparan ruang angkasa merentas imaginasi. Bintang-bintang berkerlipan. Bersinaran memancarkan keindahan. Menambah kesyahduan dalam kedinginan Muharam.
“Ada sesuatu berligaran nun di sana! Sesuatu yang penuh misteri menjangkau sempadan lingkungan sistem solar. Menyentap gerakbalas antara Uranus dan Neptun”
Rana, teman kembara yang dikenal melalui Facebook, berasal dari Lubnan mengorak ilusi. Saya sama terpesona dalam memetik bintang-bintang, menggapai mimpi-mimpi di tengah laman luas masjid Umayyad kota Damsyik. Ramai pengunjung yang beristirehat. Menikmati kedamaian yang terserlah di wajah-wajah. Merangkai jaringan persaudaraan tanpa kenal latarbelakang. Senyuman merentas keasingan dalam menjejak destinasi minda dan jasad di bumi anbiya.
“Ada kuasa grativiti terus menganggu dua planet besar tersebut, menyebabkan pergerakan orbit menjadi tidak teratur. Kuasa graviti misteri itu menguatkan kemungkinan ada sesuatu yang jauh, tidak kelihatan, objek besar, Planet X!”
 “Maksud kamu planet ke sepuluh dalam sistem solar kita?”
Rana tersenyum. Menggambarkan keceriaan. Dia mengambil kursus bidang sastera Arab, tetapi cukup berminat dengan astrologi.
“Teorinya, matahari mempunyai pesaing, sebutir bintang gelap yang mengawal percaturan cakrawala!”
Alunan kata-kata yang bersemangat menambah perasaan ingin tahu.
Kemudian saya menyedari yang Haniyeh, di sisi masih bercerita mengenai Masjid Umayyah yang dibina sewaktu zaman pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah Kerajaan Umayyah pada tahun 86  ke 96 Hijrah, bersamaan tahun705 - 714 Masehi. Di dalamnya ada makam nabi Yahya yang turut dilawati penganut Kristian sebagai John the Baptist.
“Masjid Umayyah ini dibangunkan di atas kesan runtuhan tempat penyembahan orang-orang Rom iaitu tempat pemujaan Dewa Jupitar. Ia dibina mengikut reka bentuk Masjid Nabi dengan mempunyai tiga buah menara yang juga projek pembinaan menara yang pertama di Sham.”
Sambung Haniyeh, siswi bangsa Iran yang tidak begitu peduli tentang bintang-bintang di angkasa, masih sahaja dengan apa yang berada di muka bumi. Juga kami berkenalan melalui Facebook, dikenalkan kawan yang menuntut sama universiti di Dubai.
Kedua-duanya seakan bersaing untuk mendapatkan perhatian saya, seorang gadis Melayu yang asyik dengan misteri alam semesta. Keajaiban di angkasa, di galaksi, di muka bumi, di daratan, di lautan dan segala yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Segalanya adalah fenomena keajaiban yang melakar kehidupan. Jisim dan zarah yang menggerakkan kesementaraan. Betapa kerdilnya insan berbanding makhluk mega lain yang menjadikan kembara minda mencecah ketaksuban pada Yang Maha Mencipta. Sesungguhnya, semua yang terbentang untuk akal berfikir dan menganalisa dalam mencari siratul mustaqim. Kehidupan adalah kembara yang membawa ke syurga atau neraka. Dan kembara kami membawa persahabatan ke satu ujian untuk mengenali sejarah dan diri masing-masing.
“Planet X itu empat hingga lapan kali lebih besar saiznya dari bumi di orbit condong dan kira-kira 7 bilion batu dari matahari!”
Saya terpesona bersama alunan suara-suara mengaji dari dalam masjid. Mengurangkan ketegangan apabila Rana dan Haniyeh berentap hujah di dua dimensi berlainan. Walau berlainan dimensi, selari bergerak menuju satu destini, kemuncak kehidupan yang berliku dan penuh dengan tipu daya.
“Menurut sejarah,  tapak masjid ini asalnya sebuah kuil bagi tuhan Jupiter oleh bangsa Aramaik. Apabila kerajaan Rom mengambil alih kuasa pemerintahan di Damsyik, fungsi kuil ditukarkan kepada gereja. Sebaik kerajaan Islam Saidina Umar Al Khattab berjaya menakluki Damsyik sekitar tahun 630 masihi, sebahagian tempat ini dijadikan sebagai masjid yang kekal kekal hingga ke hari ini!”
Saya mengkagumi keindahan masjid sambil menatap angkasa yang terus menggamit. Diantaranya, ada kami bertiga menyilak perjalanan masa dan ruang.
“NASA sendiri akui tentang keujudan Planet Z, bernama Nibiru!” kata Rana.
“Lihat itu, Menara Isa yang turut di kenali sebagai Menara Putih. Ada tercatat dalam hadith Sahih Muslim bahawa Nabi Isa akan turun dia satu menara di kota Damsyik dan menara tersebut di namai dengan Menara Putih!” Sambung Haniyeh dengan pandangan ke arah makam Sultan Salahudin Al Ayubi.
“Menurut kalendar Mayan, ada sesuatu yang akan berlaku pada 21 Disember 2012. Kemusnahan dunia apabila Planet Nibiru kembali ke dalam orbit sistem solar kita, seperti yang pernah terjadi 3,600 tahun lalu!”
Tiba-tiba suasana menjadi hening. Kami berpandangan merangkai nafas seorang penganut Kristian Orthodoks, seorang penganut Islam Sunni dan seorang penganut Islam Shiah dalam satu renungan.
Rana matanya beralih diangkasa, saya terpaku dari pancaran lampu masjid menyimbah dan Haniyeh sepenuh tumpuan ke arah menara Putih yang tiba-tiba bercahaya.
Seakan ada titik pertemuan antara angkasa dan bumi di masjid Umayyah. Seperti mana penganut Kristian dan penganut Islam berkongsi sebuah tapak tempat beribadat di Damsyik!

2.       Ashabul Kahfi
Saya mula menafsir jauh ke ruang halusinasi yang terakam dalam Al Quran sebaik masuk ke dalam gua Ar Raqim di pinggiran kota Amman, Salah satu dari gua kisah Ashabul Kahfi. Kisah lagenda sekumpulan pemuda yang tidur selama tiga abad menganjak perspektif tentang perjalanan masa, tentang segala yang merentas logika. Tiada yang mustahil dalam kalam Tuhan.
Kisah yang sama dikongsi dengan Rana kerana ketika pemuda-pemuda itu bangkit dari tidur, adalah zaman pemerintahan Maharaja Theodosius II yang beragama Kristian. Lagenda yang mengisi satu kesedaran mengenai turutan perkembangan agama yang bermula dari Nabi Ibrahim.
“Apokalips akan datang dalam masa terdekat!” Sekali lagi Rana mengulang ramalan yang amat dipercayainya dalam meninjau gua. Terdapat kubur dari batu yang boleh diintai, kelihatan tulang temulang dari lubang. Membaca catatan dari dinding membawa emosi ke satu tahap penuh kekaguman.
Suara Rana sedikit menganggu perhatian. Mungkin Rana terlalu taksub dengan filem-filem Hollywood seperti ‘2012’, ‘Armageddon’ dan ‘Apocalypse.’ Atau terlalu mengikuti puak-puak yang tersebar melalui Internet dengan dakyah dunia akan kiamat dalam  tahun 2012. Pelbagai spekulasi, ramalan dan telahan dari pelbagi sumber mencemaskan jiwa Rana yang kalut kerana bimbangkan survival. Dia mahu berkahwin dalam tahun 2013, sebaik menjadi graduan. Tidak mahu mati sebagai gadis bujang.
“Kamu perlu tidur dalam gua ini dan bangkit tiga ratus tahun lagi!” Haniyeh sedikit jengkel kerana dia mahu memberi tumpuan pada gua bersejarah itu.
“Seperti ramalan bangsa Mayan ribuan tahun dahulu, 2012 adalah tahun dunia akan kiamat!”
Kata-kata Rana yang penuh keyakinan itu memang merimaskan juga. Semenjak dari pertemuan di masjid Umayyah, tidak henti membicarakan sesuatu yang absurd. Yang karut marut. Mungkin dia dihantar sebagai ujian dalam meneroka ruang yang dikongsi.
“Seperti kata abang saya, kacau bilau, huru hara boleh berlaku dengan perkara yang sedikit, seperti kekurangan makanan atau harga barang naik melonjak. Apalagi kalau tiba-tiba tiada kuasa elektrik. Semua orang panik, bayangkan betapa kehidupan kita begitu bergantung kepada elektrik!”
Kami menyusur keluar untuk meninjau kawasan sekeliling. Cuaca aman di kota Amman memberikan kesegaran.
“Bayangkan kalau terputus bekalan elektrik dan tiada satelit, tiada alat komunikasi, tiada media berfungsi, tiada radio, tiada TV, tiada Internet. Secanggih mana gajet, alat atau teknologi yang ada, tanpa elektrik kita boleh sahaja dalam kegelapan walau di siang hari. iPhones, sistem GPS, alat penggera, sistem komputer dan kemudahan moden lain tidak berfungsi!”
Saya pernah membaca yang Osama bin Laden mengajar keluarganya untuk hidup ringkas, kadang-kadang tidur dalam lumpur di padang pasir kerana yakin suatu masa, begitulah keadaan dunia, kembali kepada asas.
“Kalau ada peperangan pun, tanpa elektrik banyak yang tidak berfungsi. Huru-hara dunia!”
“Sebab itu aktiviti naik kuda, memanah itu sunnah Rasulullah, bukan sahaja menyihatkan badan, tetapi mungkin satu hari nanti kalau ada peperangan, kita kembali gunakan kuda dan anak panah!”
Tiba-tiba Haniyeh menyampuk. Kata-kata itu mengejutkan pula Rana.
“Kalau ada time machine, boleh sahaja kembara melihat masa lalu, bertemu Ashabul Kahfi dan ke masa hadapan. Boleh lihat sama ada 2012 akan kiamat, atau ada peperangan yang kembali menggunakan kuda dan panah!”
Saya menyambung dengan sinikal, memperli Rana yang menjeling dengan wajah serius. Haniyeh tersenyum sambil mengambil foto untuk kenangan di muka gua Ashabul Kahfi.

3.       Jabal Qassiyum
“Ada anjakan kawasan kutub utara dan selatan yang boleh mengubah keadaan cuaca dan membawa mala petaka ke seluruh bumi. Kutub telah beralih sejauh 1,100 kilometer sejak abad lalu, dari Artik Kanada ke Siberia!”
Tergiang suara Rana sewaktu melihat ke arah kota Damsyik dari Jabal Qassiyum. Menyusuri gua tempat Habil membunuh Qabil. Tanpa Rana yang tidak naik ke bukit dan masuk ke dalam gua, minda saya digamit pelbagai maklumat sepanjang perjalanan. Bukan sekadar dari laman WikiLeaks, malah laman-laman yang menyebar pelbagai ramalan. Rana tidak henti bercerita dari pembacaannya di Internet. Pun ada asakan menggusarkan terutama apabila diberitahu yang paksi bumi sedang berubah secara gradual.
“Pertumpahan darah dan pembunuhan pertama di muka bumi!”
Bisik Haniyeh di pintu gua yang seperti mulut ternganga, dikatakan sebegitu kerana terperanjat melihat pembunuhan. Saya membayangkan peristiwa yang menjadi sebahagian dari sejarah manusia. Dari konflik antara Habil dan Qabil, berulang pembunuhan, peperangan, penyakit dan bencana menjadi penyebab ramai manusia terkorban.
“Interaksi antara teras dan seluruh bumi membentuk sifat elektromagnetik. Pembalikan kutub yang berterusan menyebabkan polariti terbalik antara kutub utara dan kutub selatan. Teras dalaman dan teras luaran bumi melalui gangguan serius, lantas mempengaruhi litupan cairan separa likat. Hasilnya, perolakan dalam kelikatan meningkat secara substansial. Proses ini turut dipengaruhi oleh pembalikan kutub matahari. Di zaman moden kita tidak mengalami pembalikan kutub matahari dan darat serentak. Antara sekarang dan tahun 2012, gangguan ini akan terus meningkat membuat kerak bumi dan plat tektonik begitu terganggu menyebabkan gunung berapi dan gempa bumi yang teruk. Zaman Ais, polar pembalikan, aktiviti gunung berapi, gempa bumi besar, Tsunami, angin taufan - kita berada di kitaran 11,500 tahun yang bakal memusnahkan alam dan membunuh kehidupan semesta, ya, kiamat dalam tahun 2012!”
Seketika kami menikmati pemandangan ke sempadan, sebelum Rana memecahkan kebisuan perjalanan ke Beirut, ke makam Habil sebelum melintasi sempadan ke Lubnan. Kembara terakhir jejak rasul ke bumi kelahiran Rana.
“Bagaimana dengan Nibiru?”
“Nibiru juga akan kembali di waktu yang sama, bertempuran daya elektromagnetik dari langit dan bumi, itu ramalan Mayan!”
Haniyeh menggeleng-geleng.
“Dalam Islam, hanya Allah sahaja tahu bila akan kiamat. Bukan Nostradamus, bukan pendita Mayan, bukan kamu. Tetapi tanda-tanda akhir zaman sudah ada di mana-mana, malah dalam diri kita juga!”
Saya sama mengangguk walau ada gangguan dari pencerahan minda semenjak Rana menjadi jurucakap bangsa Mayan. Semenjak kembara mendekatkan jasad ke daerah-daerah yang disebut dalam Al Quran. Jauh perjalanan, luas pemandangan.
Dan terlalu banyak maklumat yang menggelirukan boleh menyesakkan jiwa!

4.       Beirut
Kami menyusur kota Beirut dalam meninjau persekitaran yang cukup berbeda. Kota yang pernah dipanggil Paris Timur Tengah sebelum perang saudara meletus dan menjadikan Lubnan dalam kekacauan. Apalagi dengan sembilan agama yang berkongsi penganut dari bangsa yang sama dan bercakap bahasa yang sama. Selepas konflik, kawasan dipisahkan mengikut agama. Segregasi yang boleh mencetuskan ketegangan. Bagai telur dihujung tanduk. Bila-bila masa dari insiden dan isu yang kecil.
“Kawasan timur Beirut bermajoriti Kristian, minoriti Muslim, manakala kawasan barat bermajoriti Muslim dengan minoriti Kristian dan Durzi. Kawasan selatan dipenuhi orang Shiah dan utara orang Protestant!”
Rana menjadi pemandu pelancung yang becok di kota kelahirannya. Dalam menyabarkan Haniyeh yang mendesak untuk ke satu tempat yang pernah mencetus tragidi, kem pelarian Shatila dan Sabra.
“Tragidi penyembelihan pelarian Palestin serta orang awam Lubnan oleh puak pelampau Kristian dan disokong oleh regim Israel, menyayat sekali. Semua ini adalah dari dendam manusia yang boleh memusnahkan, tidak perlu tunggu planet Nibiru datang kembali untuk memusnahkan bumi. Senjata nuklear yang ada di Israel sudah cukup untuk dunia kiamat!”
Sepatah kata Haniyeh apabila kami tiba berhampiran sempadan Israel. Kawasan yang dikuasai pihak Shiah dan Haniyeh cukup ceria melihat gambar-gambar ulama Shiah yang banyak tergantung. Walau kawasan itu seakan bandar koboi yang tidak teratur dan tidak begitu selamat. Beruntung kerana abang Rana, Ali sudi menjadi pemandu dan pengawal keselamatan. Sebagai seorang anggota militari yang tahu mengenai sekuriti, cukup arif mengenai jalan-jalan yang selamat untuk dilalui.
Dari pandangan, gerombolan tentera Israel berada di mana-mana. Lengkap bersenjata dengan kereta kebal. Begitu juga militari Lubnan. Bersedia untuk apa sahaja kemungkinan. Kami tidak dibenarkan lebih jauh kerana berbahaya, begitu kata Ali. Ada sahaja serangan yang berlaku hampir setiap hari. Kematian menjadi satu perkara yang tidak lagi luar biasa apabila kehidupan normal tidak sunyi dari prasangka, dendam dan kebencian sesama manusia.
Kami menjadi bisu dalam menyaksikan sempadan antara dua negara, antara yang baik dan yang jahat. Kembara kami sudah sampai ke kemuncak walau hajat mahu menyeberang untuk ke Baitulmuqadis. Tentunya tidak selamat untuk kami yang tiada muhrim dan saya yang berpaspot Malaysia. Belum lagi berani untuk berdepan dengan risiko, berdepan dengan pihak keselamatan Yahudi yang tidak kenal erti kemanusiaan apabila terasa terancam.
“Lihat di sana, bumi Palestin, tempat bermulanya sejarah dunia, para anbiya lahir, tempat konflik berpanjangan sejak Nabi Ibrahim. Konflik demi konflik menjadikan dunia tidak aman dan barangkali itulah tempat dunia akan berakhir!”
Tiba-tiba Ali melontar suara yang memecah suasana penuh debaran. Wajahnya serius dan kami berpandangan.
“Dunia tidak akan kiamat sebelum Baitulmuqadis ditawan kembali!”
Haniyeh menyusun kata-kata dengan hati-hati. Dia tahu yang Perang Salib berkurun lamanya boleh pula mencetuskan ketegangan diantara kami, terutama Rana yang kuat sekali pegangannya. Perang Salib masih berterusan walau bumi Palestin sudah dicerobohi dan dijajah Bani Israel, dengan dakwaan itulah bumi yang dijanjikan Tuhan kepada mereka. Bumi yang mesti dihuni oleh bangsa Yahudi semata-mata. Dengan melebarkan ketuanan Yahudi yang sama mencengkam dunia melalui pelbagai wadah, termasuk mempergunakan Amerika syarikat untuk berperang diatas pihak Yahudi. Malah Yahudi telah lama masuk ke dalam rumah, dalam sanubari melalui media dan Internet.
 “Tentunya tidak kena mengena dengan planet Nibiru!” Saya menyambung, menanti sekian lama untuk mematikan hujah-hujah Rana mengenai apokalips di tahun 2012, ramalan Mayan yang seakan menjadi ramalan keramat.
Rana menggeleng-geleng, cuba bersuara. Tetapi Ali lebih terdahulu bersuara.
“Nibiru? Itu mungkin dakyah dan konspirasi Yahudi semata-mata, mereka boleh memalsukan Injil, apalagi dengan pelbagai yang karut-marut, untuk mengalihkan pandangan kepada agenda besar Yahudi, membentuk sebuah negara Yahudi antara Sungai Nil dan Sungai Eufrat!”
Rana memandang wajah abangnya. Tidak percaya yang kata-kata itu muncul dari mulut Ali. Tidak percaya yang selama ini dia terpedaya dengan pelbagai dakyah bangsa yang tidak pernah sunyi dari keganasan. Mereka pernah membunuh para nabi, apalah manusia biasa yang lain seperti anak-anak Palestin yang mempertahankan tanahair sendiri.
Kami terdiam. Kembara seakan mencapai klimaks dari perburuan maya. Sama ada Sunni, Shiah atau Kristian Ortodoks, ada musuh yang sama sedang menerkam di mana-mana. Tiba-tiba ada perspektif bersepadu yang lebih mantap untuk diterokai. Ada pencerahan bersama matlamat yang kudus dalam menghadapi kembara rohaniah generasi abad ke 21 yang celik Internet dan terbuka untuk menilai imej-imej di perjalanan. Untuk menganalisa dan mencari persamaan tanpa melihat warna kulit disebalik kekalutan yang bertalu menghimpit minda dan emosi.
Petang itu, di ruang bersejarah yang terus bergolak, berdarah dan bergelora. Kami berdiri  berhampiran ‘garis biru,’  sempadan Israel dan Lubnan yang memisahkan kepercayaan sebagai pegangan walau telah bermula dari langit. Kami diserbu suara Ali yang berdentum melantun ke segenap ruang. Bergema diantara bayang-bayang kemanusian dan seribu lagenda yang datang dan pergi bersama mitos dan realiti semasa. Nada keras menutup diskusi yang menjalar ke bintang Nibiru dan berhimpun merentas suasana perang yang sureal. Kembali logika ke bumi tua yang melatar serakan prejudis dalam persepsi yang diwarnai fatamorgana.
“Percayalah, dunia tidak akan kiamat tanpa ada penyelesaian dan kedamaian abadi di Baitulmuqadis!”

 - Tamat -

Planet X, Nibiru and the Annunaki return 2012