Sunday, May 22, 2011

Mingguan Malaysia 12 Jun 2011 - Musim Bunga di Frankfurt



Musim Bunga di Frankfurt

Anjakan arus yang melintang
hamparan ilusi perjalanan hayat
ada bayangan merentas siang
tempias  warna-warna imaginasi
dan merangkai dedaun masa
ke serata taman
ke saujana laman
kehidupan perantauan jasad

ketukan yang menjerut ceria
suasana kelabu kembara rohani
ada kilauan menyambar malam
imbasan dari kilasan rindu
dan menyusun imej-imej hari
ke batasan langkah
ke sempadan mimpi
realiti permainan emosi

di sini, semanis musim bunga
tidak mungkin mengulang jejak
tidak pernah mengundang kejutan
sekadar memetik kata-kata
yang tunggang terbalik
dari skrin yang menjalari
langit dan bumi
sebagai cendera hati
memori kasih di kejauhan!

Fudzail
Frankfurt, Jerman