Tuesday, May 03, 2011

Bukan Sekadar Kebetulan

Masjid al Awwal (Owal) in Cape Town, it included the the first formal school to
be established for slaves and their descendants.


ada di perjalanan, pelajaran
yang dikutip dari pendengaran
pengamatan dan sentuhan
memungkinkan buana pengetahuan
seperti gelas yang kosong
terlalu kecil untuk diisi dengan
selautan kemanisan


ada di persimpangan, kesedaran
yang meminjam dari pengalaman
jatuh bangan perjuangan
memungkinan setiap keputusan
tanpa akibat dan kesan
walau mengharung kesesatan
saujana rimba amazon

ada di hujung, kehidupan
yang diukur dengan keikhlasan
nilai dari kerohanian
memungkinkan setiap haluan
mengharung permainan maya
bersedia untuk kalah menang
menghuni syurga atau neraka

ada di mana-mana, petunjuk
yang merangkai kefahaman
imejan dari biasan realiti
titik-titik dari noda dosa
memungkinkan zahir destini
bukan sekadar kebetulan
untuk satu perjudian akal!

Fudzail
Masjid Al Awwal
Cape Town, Afrika Selatan

Anugerah Sastera Negara Ke-11 - Kemala

Tahniah Datuk Kemala yang dihormati!

Antara komen beliau mengenai saya:-

Fudzail  kini bekerja di Dubai, waktu menuntut di New Zealand dia rajin berpuisi. Dia juga kritis, hangat dengan ide dan pembelaan untuk keadilan dan kemanusiaan. Sesekali muncul cerpen dan  eseinya. Dan dia dekat pula dengan Yusuf Islam, jadi tentulah keagamaan dan keislaman juga menjadi fokusnya, yang selalu berat dan mujarad karya-karyanya. 

Selain nama-nama ini kita sedang berhadapan dengan generasi yang lebih muda tetapi amat menjanjikan potensinya seperti S.M. Zakir,  Fudzail, Feisal Tehrani, Mawar Shafie, Marsli N.O., Shamsuddin Othman,  Muhd. Nasaruddin Dasuki, Zainal Rashid Ahmad, Rahimidin Zahari, dan Siti Jaslina.  Hashim Ismail, M. Saleeh Rahmat, Mohd Hanafi Ibrahim dan siti Aisah Murad banyak menafsirkan krativiti generasi baru ini.

photo
Penyair, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang dikenali dengan nama penanya, Kemala, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-11, yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkannya berkata anugerah itu diberikan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanahair melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Sajak Akhir Abad 20 ~ Kemala

Kami mencari wajah yang tercalar pada akar-akar sejarah.
Gema yang terungkai membawa padah dan wasangka
Berselirat dalam batin.
Gema yang kembali menghening
Di malam putih, menyurat dan menyirat syair yang
Tak pernah selesai…
Penyair kasmarannya mati terbunuh.
Dia menggenggam surat wasiat tanpa huruf tanpa ayat,
Robek-robek dan kumal kami kepingin mencari pentafsir
Salih yang pertapaan.
“Adakah kau tahu, bulan hitam telahtimbul di hujung langit selatan ?
Adakah kau maklum cucu-cucuku,
kibar-kibaran bendera ungu dilarikan sejuta kuda sambarani putih di hutan-hutan gelap tropika.
Kumbahan laut menjulang, membangkitkan birahi baru nakhoda dan kelasi.”

Rambah, rambahlah nestapa, simbahilah luka
Ngilu.
Hiris, hirislah kesunyian pedih.
Nyanyian si anak
Hilang merintihi elegi kekasih…


Kemala


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah, perpustakaan,  jabatan dan agensi kerajaan.
“Sekretariat Anugerah Sastera Negara telah menerima sebanyak 14 pencalonan iaitu lima pencalonan baru sehingga tarikh tutup pencalonan pada 31 Mei tahun lalu.
“Sembilan calon daripada pencalonan terdahulu juga telah dipertimbangkan oleh panel penilai. Panel Penilai Anugerah Sastera Negara Ke-11 dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah bermesyuarat sebanyak tiga kali,” katanya  selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Anugerah Sastera Negara Ke-11, di Kementerian Pelajaran di sini.
Muhyiddin berkata tokoh yang dilahirkan di Gombak, Selangor itu mempunyai latar belakang kegiatan sastera yang luas, mula menulis sejak di bangku sekolah rendah lagi dan kini merupakan Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia.
Katanya Kemala telah menghasilkan 11 buah buku kumpulan puisi, 25 buah antologi puisi, 10 buku kajian sastera, empat buku kumpulan cerpen, lapan buah antologi cerpen, empat buah drama, tiga buku cerita kanak-kanak dan lebih 50 esei dan kritikan sastera.
“Karya-karya tokoh ini bermutu tinggi, dalam daya renungnya, tinggi daya cipta dan daya rekanya serta mempunyai nilai estetika yang mengagumkan.
“Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara,” katanya.
Muhyiddin berkata karya-karya Kemala terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.
Muhyiddin berkata tokoh itu mendapat banyak anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah S.E.A Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand,  Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris(2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
“Tokoh ini telah mengasaskan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986).
“Gaya, sebutan dan rentak suara pembacaannya menjadi ikon dan ikutangenerasi muda.  Tokoh ini juga aktif membentangkan kertas kerja di dalam dan luar negara,” katanya.