Sunday, May 01, 2011

Teaser: Kumpulan cerpen 'Ekspatriat' - Fudzail





Waikiki, Salina, Viagra & Juita

(Mingguan Malaysia 21 Jun 1998)

Odamas masih ingat lagi semua itu. Seolah-olah tayangan kembali video yang terus bermain dalam benak pemikirannya. Dalam pemandangan yang terlempar jauh ke laut terbuka. Walau itu semua telah berlaku sepuluh tahun dahulu.
Dia masih ingat melalui jalan Kalakua dari Sheraton yang menjadi medan hiburan Honolulu. Sehingga tengah malam tidak putus manusia membanjiri kota pelancungan terkenal itu. Dengan pelbagai rupa wajah dan fesyen. Melambangkan globalisasi.
Odamas akan berhenti duduk atas batu-batu jalan sambil mendengar muzik dari dentuman dram sebelum di ambil alih oleh seorang lain yang bermain gitar bila tepat tengah malam.
Dia amat terhibur dengan nyanyian lelaki berambut panjang dengan baju lusuh dan seluar pendek Hawaii. Suaranya agak merdu bila mendendangkan lagu-lagu Beatles dan yang paling istimewa, lagu ‘Yesterday’. Seakan menggamit seribu memori luka dalam deru ombak yang terburai di persisiran Waikiki.
Ketika itu juga kupu-kupu malam yang bebas berterbangan mencari rezeki pasti akan perlahan-lahan menghampiri sesiapa saja yang bergelar pelancung. Yang mungkin perlukan hiburan.
“Wanna date?”
“Perlukan seorang teman?”
Odamas dalam sesekali mengerling setiap pelawaan itu dapat melihat anika variasi kupu-kupu malam. Pelbagai bentuk, saiz, warna kulit dan harga. Sejak tiba di Honolulu tiga hari sebelumnya, dia telah menjalari kawasan-kawasan lampu merah. Mencari sesuatu yang sejak lama bermain dalam perasaan.
Malah dia sama menjalari persimpangan Pauahi dan Smith, River dan Beretania serta hotel-hotel sekitarnya, antara King, Maunakea dan Bethel. Termasuk menjejaki persimpangan antara jalan-jalan Kukui, Aala, Nuuanu, Merchant dan Bishop. Yang dikatakan lebih ‘sibuk’ dari Waikiki.
“Hello Tuan, perlukan teman?”
Tiba-tiba suara menegur dalam bahasa Inggeris dengan slanga yang amat berlainan. Bukan telo Jepun atau Korea yang terlalu biasa didengarnya. Yang seakan menjadi bahasa kedua di Hawaii. Malah mungkin lebih ramai orang Jepun di Honolulu dari lain tempat di luar Jepun.
Odamas segera menoleh.
Seorang wanita yang paling manis pernah dilihatnya tersenyum. Odamas memandang tanpa mata berkelip. Seakan segalanya tidak bergerak.
Wajah itulah yang mengembalikan dia ke Honolulu kini. Ke pantai Waikiki. Mencari Salina. 


Tunggu buku kumpulan cerpen 'Ekspatriat' di pasaran!