Sunday, August 28, 2011

Selepas Salam



Selepas Salam

Tanah suci, tanah haram
di dataran dan di lembah
gurun yang membina kemanusiaan
setiap nafas yang terkumpul
tidak sekali sama nilainya
dengan sebuah perjuangan
yang membawa rahmah cahaya
melitupi ke muka bumi

Berhimpun para tetamu
membawa dosa dan noda
dalam ihram sekujur kapan
ke satu kiblat, satu arah berpaksi
terus ke tujuh pintu langit
bersama setiap tujuan tersendiri
ke persada Penciptaan
yang tidak pernah mungkir
dan tidak pernah berganjak
dari janji-janji azali

Bersatu dalam rukuk dan sujud
jutaan jasad yang taat dan patuh
saf fizikal mewarna satu keindahan
membawa rohani jauh ke perbatasan
keheningan yang melebar kehidupan
seandainya dalam diri dan dalam sedar
terus bernaung dengan kalimah mukjizat
yang menghampar perjalanan
satu jalan lurus ke syurga
atau terpesong ke neraka

Dan selepas salam, setiap kali
manusia tetap manusia
anak-anak Adam dan Hawa
biar berbeda bangsa dan warna kulit
menghimpun sampah sarap
yang mewajah kemanusiaan sebenar
biar di masjidil haram
atau di mana sahaja
selagi hidayah tidak menembusi
tembok waja saujana realiti
dari keimanan, ketakwaan sejati!

Fudzail
Makkah, Saudi Arabia
26 Ogos 2011

1 comment:

Pak Man laksam said...

selamat hari raya!