Saturday, July 30, 2011

Seandainya Ramadan ini Yang Terakhir



(Mingguan Malaysia Ahad 7 Ogos 2011)

dalam perjalanan yang mengulang
musim ke ruang
ramadan demi ramadan
sebagai siri sebuah kehidupan
seakan setiap kedatangan
dan kepulangan
menjadi sekadar sebahagian
kalendar tanpa perubahan
tiada apa-apa kesan
ke penghujung usia dan zaman

amalan dari kebiasaan
ibadat sebagai kebudayaan
menterjemah dengan kedangkalan
bahagia kita dalam ignoran
tahun demi tahun berpanjangan
jejak pun semakin kependekan
kerana dalam kemeriahan
hujungnya satu perayaan
pahala pun berdebuan
tiada apa yang menjadi bekalan
dari setiap ramadan
sekadar catatan kenangan
kelaparan dan kedahagaan

Sendainya Ramadan ini yang Terakhir
apakah masih sahaja mungkir
bermain dengan kejahilan diri
membakar sisa rohani
tenggelam dalam suasana
untuk menginsafi seketika
dan terlupa dalam leka
menghitung harga dunia
bahawa esok lusa
kita hanya tinggal sekujur nama!

Fudzail

1 comment:

Umihoney said...

Salam sejahtera
Selamat bersahur dan menjalani ibadah puasa.