Sunday, July 17, 2011

Sajak: Survival

(Mingguan Malaysia 17 Julai 2011)


Survival

Ilmu pendatang dari perjalanan
membentuk kerangka kemanusiaan
berdikit akal merentas pengalaman
mendaki puncak pengetahuan sejagat
untuk menilai saujana kehidupan
diluar sempit  kotak kebiasaan
bersama acuan pelbagai
rasa dan getir
perspektif dan persepsi
pun prejudis dan kudis
hikayat himpunan peradaban
yang memungkinkan tragidi
dan bencana berganti
di muka bumi

Cetusan dari kreativiti anak-anak
yang tidak terperangkap
oleh acuan jumud semasa
membebaskan jiwa dari kongkongan
setiap yang konvensional
menjadikan perubahan dan kemajuan
bukan sekadar teori di bilik darjah
dalam mencambah kecemerlangan
juga bukan sekadar deretan abjad
peperiksaan demi peperiksaan
kepingan ijazah
tetapi kemahiran yang merentas
usia dan zaman
budi dan iman
bersama saingan globalisasi
memangkinkan survival perjuangan
di luar meriah kampungan!

Fudzail
Cambridge University
14 Julai 2011

No comments: