Friday, May 06, 2011

Dari Kumpulan Cerpen Ekspatriat: Radio Ga Ga





(Sultanpur)
“Kamu dari Malaysia?”
Kumar mengangguk. Agak panas cuaca walau masih belum musim panas. Ratusan kenderaan diletakkan sepanjang jalan. Gerai-gerai kecil muncul macam cendawan untuk menjual minuman dan makanan. Pesta sudah bermula. Meraikan sarkis demokrasi terbesar dunia. Pilihanraya India. Ratusan juta akan turun mengundi selama sebulan.
“Bukan Non-Permastautin India di seberang laut?” Sememangnya ramai warga India seberang laut yang dikenali sebagai NRI (Non-Resident Indian) yang pulang untuk mengundi dan bersama dalam kemeriahan, walaupun mereka boleh mengundi secara pos. Dengan jumlah jutaan merata dunia, terutama di negara-negara Arab Teluk, para NRI ini menjadi salah satu sumber pelabuan luar negara untuk India.
“Saya rakyat Malaysia, lahir dan dibesarkan di Malaysia. Hanya datuk dan nenek berasal dari Uttar Pradesh.”
Lelaki pengawal keselamatan yang masih membelek kad pengenalan Kumar sebagai pemerhati bebas pilihanraya itu nampak curiga tetapi kemudian mengangguk.
“Bertuah kamu untuk hidup di sana. Negara makmur dan aman!”
Kumar tersenyum. Hatinya diusik kebanggaan. Apalagi setelah pulang ke daerah nenek moyang, dia tiba-tiba terasa amat bertuah. Terlalu bertuah kerana apa yang disaksikan tidak lagi sekadar program TV National Geoghraphy. Realiti yang menusuk. Realiti yang menampar kesedaran terhadap satu perjuangan selama ini.
“Di sana juga ada yang beragama Hindu?”
“Ya, tetapi Islam adalah majoriti!” Kumar tahu lelaki tersebut seorang Muslim. Puak minoriti di Uttar Pradesh yang bermajoritikan penganut Hindu. Seperti dia, menjadi minoriti di hampir semua kawasan pilihanraya di Malaysia.
“Apakah mereka menjaga hak-hak minoriti di sana, tidak seperti di sini?”
Lelaki tersebut nampak teruja, Sultanpur pernah dikuasai Muslim ratusan tahun lalu. Taj Mahal, salah satu ikon India dan antara yang ajaib di dunia juga terletak di Agra dalam Uttar Pradesh.
Suara lelaki itu agak keras dan Kumar yang menyimpan sentimen Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (BBHH) terasa diperli.
(Lucknow)
Puluhan ribu manusia sudah menanti. Kumar terasa dirinya kecil dalam hingar bingar. Bergema satu korus menjerit nama keluarga Gandhi. Nama keluarga yang terus menjadi jenama, ikonik dan lagenda. Tetapi bukan Rahul Gandhi yang mewarisi Sanjay Gandhi, Sonia Gandhi dan Indra Gandhi.
Mereka menjerit dan memanggil nama Varun Gandhi. Lelaki muda yang muncul bergaya dengan SUV merah. Khalayak mula bersorak. Varun yang berpakaian kurta safron ke paras lutut terus meluru ke pentas. Gamat suasana dengan jeritan dan sahutan memanggil nama Varun.
“Inilah Hindu Samarat!” Pekik seorang pemimpin parti BJP, bermaksud “Raja Hindu.”
Varun mengangkat penumbuk ke udara dengan gaya bongkak. Semakin gamat atmosfera yang seakan festival muzik rock. Varun seakan bintang filem Hollywood. Lebih hebat dari Shah Rukh Khan atau mana-mana pelakun cilik filem ‘Slumdog Millionaires.’
Sebaik suasana agak reda, Varun duduk di kerusi VVIP dan calun tempatan parti BJP menyambung kempen. Tidak begitu bersemangat. Hanya berjanji untuk menjadikan Uttar Pradesh sebagai pusat pendidikan besar dengan mendirikan banyak universiti. Selain tentunya mahu mereformasikan politik India yang dikatakannya perlukan perubahan kerana dakwaannya, kepimpinan Manmohan Singh telah gagal.
Kumar dapat melihat Varun bermain-main, mungkin dengan Blackberry dan iPhonenya. Seakan teruja dengan dua ‘alat permainan’ canggih. Sesekali mengusik para pembantu dan peminpin lain di sekelilingnya. Sesekali mengambil foto dan melambai-lambai. 


Baca selanjutnya dengan membeli kumpulan cerpen 'Ekspatriat' yang bakal terbit!

No comments: