Saturday, March 19, 2011

Dari 'Media' Waikato ke Mountain of Light secara global

Salah satu ucapan yang memberi aspirasi dalam perjalanan hidup saya adalah ucapan Steve Jobs, 'Stay Foolish, Stay Hungry.' Saya sejak bersekolah menengah di Wainuiomata meminati Steve Jobs dan Steve Wozniak, dua lelaki yang melahirkan jenama 'Apple.' Saya sedut sedikit kisah itu dalam trilogi 'Aotearoa.'

Saya pernah bertemu dengan Steve Jobs di pejabat Apple di Cupertino, selain di Apple World San Francisco dan Kodak Theater Los Angeles, dan dia masih lagi menjadi salah seorang idola.



Melihat kebelakang, saya pernah bersama rakan-rakan dalam Gabungan Pelajar Malaysia Waikato New Zealand dalam tahun 1985 menerbitkan newsletter bernama 'Media.' Newsletter itu menjadi hit dan pernah kontraversial.

Sebaik pulang dari New Zealand, saya bekerja sambilan di majalah Gila-Gila, New Straits Times, Berita Harian dan sekejap di Utusan Melayu sebelum kemudiannya menyertai stesen TV3 dalam tahun 1992.

Tahun 1997 juga membawa saya kembali ke dunia penulisan dengan karya-karya yang antaranya memenangi hadiah sastera Utusan dan Malaysia. Kumpulan puisi pertama saya, Waikato diterbitkan oleh DBP dalam tahun 2000, kumpulan cerpen 'dotkomania' (DBP) tahun 2009 dan Trilogi 'Aotearoa' (Karangkraf) tahun 2010.



Dalam tahun 2000, saya berhijrah ke Saudi Arabia, kemudian Dubai dan terlibat secara langsung dengan penubuhan Dubai Media City. Diantaranya membawa Middle East Broadcasting Corp (MBC) dari London ke Dubai, penubuhan CNBC Arabia, Al Majd TV, pemindahan Reuters, CNN dan penubuhan stesen bumi atau teleport 'samacom.'

Pada waktu itu juga, dalam tahun 2001, saya bertemu dengan Sheikh Dr Yusuf Islam, atau Cat Stevens dan membantu beliau menubuhkan dan mengembangkan syarikat 'Mountain of Light' sebagai pengurus besar pertama.

Usaha dakwah berterusan Yusuf memberi banyak inspirasi, aspirasi dan semangat. Dia adalah seorang insan luhur yang rendah hati dan penuh dengan stamina untuk menyampaikan dakwah.

Kami berpisah sementara kerana saya terlibat secara langsung dengan pembinaan Pulau Palm Jumeirah serta lain-lain projek lain dibawah Nakheel.

Dalam tahun 2010, ditakdirkan Allah untuk saya kembali bekerjasama dengan Yusuf Islam dengan membawa beliau untuk ke Malaysia. Kami bertemu dengan DYMM DYP Agung Sultan Mizan, PM Najib dan Tun Mahathir.

Lawatan itu membawa kepada perbincangan lanjut dan lawatan kedua dalam bulan ini, Mac 2011.

Sejarah panjang saya dalam media, dari 'Media di Waikato, membawa ke satu permulaan baru kerana ditakdirkan kini saya menjadi rakan kongsi Yusuf dalam Mountain of Light. Berpengkalan di Malaysia untuk usaha secara global dalam beberapa bidang tertentu, antara fokus utama ialah pendidikan dan multi-media.

Kami sedang dalam peringkat kedua, InshaAllah, sekiranya diizinkan Allah, akan mengumumkan pelbagai projek bersama di peringkat Malaysia dan antarabangsa sedikit masa lagi.

1 comment:

Nora Fuad said...

as salam,

encik Fudzail, Saya sudah lama membaca ketiga-tiga buku tuan. Buat pertama kalinya saya dapat menghabiskan novel tanpa rasa bosan, kerana teknik travellog dan pengetahuan yg ditulis bersama di dalamnya. Saya sebagai penulis yang baru sahaja berkarya, (baru 3 buah) saya anggap karya tuan sebagai antara contoh terbaik!