Friday, March 04, 2011

Dari Kumpulan Cerpen 'Ekspatriat'


 Adelaide

(1)
Suasana di pejabat tiba-tiba menjadi agak hening. Tidak kesibukan seperti biasa. Tiada kedengaran suara-suara meninggi atau hilaian ketawa. Seakan suasana berkabung. Mungkin kerana musim panas telah tiba dan ramai yang tiada mood untuk bekerja. Suhu mencapai 40 darjah dengan humiditi yang tinggi. Sesak nafas dibuatnya dan seakan masuk dalam dapur oven.
Ramai juga para staf yang sedang bercuti. Yang lain pula merancang untuk bercuti.
Dari tingkap yang menghala ke pulau palma Jumeirah, teluk Arabia juga kelihatan tenang. Burung-burung berterbangan bersama deruan ombak menghiasi jalur-jalur panorama. Bagai lukisan tergantung di ruang tamu.
Sambil menghela nafas, dia cuba melupakan kerancakan pembinaan pelbagai skruktur di pulau Palma. Kesibukan yang menambahkan warna-warna realiti. Kesibukan yang selama ini mengisi sebahagian dari kehidupan perantauan.
Matanya kembali menatap piksel-piksel di layar komputer. Kembali ke dunia digital. Ke dunia emosi elektronik. Gaya kehidupan yang sedikit kontras. Ada tiga skrin di layar monitor LCD. Di sebelah kiri, skrin yang menyenaraikan emel. Di tengah emel yang sedang ditulis. Paling kanan, tapak web yang dilayari.
Dia cuba menyambung emel, urusan kerja yang perlu dijawab segera. Tetapi matanya masih di skrin kanan. Masih pada sebuah blog yang mengisi benak fikiran. Siri catatan seorang anak gadis yang meratah hati.
Setiap catatan memberikan ruang yang semakin luas dengan perasaan, impian, harapan, realiti, innocent dan seribu kemungkinan. Dia tahu masanya telah tiba. Dia telah lama bersedia. Mindanya telah lama dipersiapkan untuk menerima hakikat. Hakikat yang mesti dilalui dengan minda terbuka dan kewarasan.
Begitu cepat juga masa berlalu. 10 tahun pergi begitu cepat. Anak gadis yang dulu 8 tahun, sudah berusia 18 tahun. Sudah lengkap sebagai seorang anak gadis remaja.
Sudah juga bersedia untuk mengharung ranjau realiti dalam belantara kehidupan. Keluar dari kepompong dan tabir yang semakin robek di tarah musim.
Dia tersenyum menatap catatan yang begitu berterus-terang. Tidak berselindung. Dia tahu, anak gadisnya sengaja tidak menutup PC di bilik rujukan rumahnya sewaktu dia pulang. Membiarkannya terpasang.
Mulanya dia sekadar menoleh, tetapi sebaik terpandang blog ‘Catatan Adelaide’, dia terus membaca kesemua catatan. Termasuk arkib. Blog itu masih baru kelahirannya, sempena ulang tahun hari kelahiran ke lapan belas.
Airmatanya menitis. Airmata seorang ayah yang masih menanggung sesuatu. Tetapi dalan hatinya ada sesuatu yang tidak mampu dizahirkan. Dibiarkn bersama jejak-jejak perjalanan usia.
Dia bangga. Terhibur.
Ya, Adelaide sudah dewasa. Adelaide mewarisi kecantikan ibunya. Saling tidak tumpah. Seakan kembar dua. Atau klon. Bagaimanakah dia boleh melupakan segalanya begitu sahaja? Zuriat yang dikongsi terus menghidupkan setiap yang pernah menjadi sebahagian dari nafasnya.
(2)
Adelaide masih ingat. Walau mungkin banyak yang samar-samar. Ayah datang ke rumah ibu di Perth dan mengambilnya untuk bersiar. Tetapi sebaliknya mereka naik kapalterbang ke Pulau Krismas. Sebaik tiba Ayah terus membawa dia berlayar dengan bot kepunyaan kawan.
Dia memang keseronokan kerana tidak pernah menaiki bot. Masa itu usianya baru 8 tahun. Dia agak mabuk di tengah laut dan tidur. Apabila tersedar, mereka sudah tiba di tempat lain. Kemudian mereka menaiki kereta dan berhari-hari dalam perjalanan. Pemandangan yang berbeda. Wajah-wajah dan persekitaran yang juga berbeda.
Dia menangis teringat ibu tetapi ayah memujuk. Berjanji untuk pulang segera ke Perth. Tiba di sebuah kota, ayah bercakap mengenai paspot. Pergi ke beberapa pejabat. Tinggal di hotel. Ketika itu dia terasa amat letih. Terlalu rindu pada ibu. Begitupun dia seronok melihat kota yang gawat itu dengan manusia yang padat.
Beberapa hari kemudian, mereka naik kapalterbang. Tetapi destinasi bukan Perth.
Kata ayah dalam pesawat, “Sudah sampai di Kuala Lumpur!”
Selama ini dia mendengar cerita dari ayah tentang Kuala Lumpur. Tiba-tiba dia berada di situ. Keliru. Mengapa Kuala Lumpur?
Yang pasti dia dapat melihat wajah ayah dan dirinya di akhbar-akhbar dan skrin TV. Ramai orang yang mahu datang berjumpa. Tetapi dia mahukan ibunya. Ramai yang memujuk dan ayah sentiasa berada disisinya.
Adelaide hanya memahami apa yang berlaku beberapa tahun kemudian. Ketika itu ayah memperkenalkan seorang wanita. Bertudung dan berbeda dari wajah ibunya.
“Ini ibu barumu!”
(3)

Baca seterusnya dalam  kumpulan cerpen 'Ekspatriat' yang bakal di terbitkan oleh DBP

No comments: