Monday, October 18, 2010

Bagus Punya Melayu

Cerpen: Bagus Punya Rawa
(Dari majalah WANITA November 2010)

Oleh: Fudzail


1) Hotel Jutaan Bintang
“Inilah hotel tujuh bintang!” Marwan Al Baduii memecah suasana dalam menghirup udara Rub-Al-Khali, ruang kosong seluas 650,000 km persegi yang merangkai Saudi Arabia, Yemen, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
“Bukan, inilah hotel jutaan bintang!” Sahut Ben yang masih memandang jauh ke angkasa. Kegelapan malam yang mendamba jiwa sentimental. Ben melagukan irama, ‘Ku Petik Bintang-Bintang’. Tiba-tiba menjadi lagu penata. Sayup merentas ruang. Seakan dalam sebuah babak ‘Star Wars’.
“Kami memanggilnya tabiri. Tempat tanpa jalan, tanpa bangunan dan tanpa manusia! Kosong sekosongnya menjalar ke angkasa, ke bintang-bintang!” Marwan berkata perlahan.
Kami tidak pasti di mana lokasi sebenar di saujana padang pasir sebaik tiba dari Lapangan Terbang Abu Dhabi. Sebenarnya masih keletihan bukan sahaja perjalanan tiga jam tanpa jalanraya bertar yang kekadang menggerikan, malah keletihan dari penerbangan tujuh jam dari London sebelumnya.
Kemah ringkas untuk kami bertiga sudah disediakan Marwan. Angin seakan mati dalam suhu dan humiditi yang sedikit turun. Fana sekali dalam dihinggap kesegaran. Teringat kembara Wilfred Thesiger sekitar tahun 1945 dan 1950. Mungkin tiada banyak perubahan. Tentunya tiada sesiapa yang tinggal dan berkampung di Rub-Al-Khali, walau kini satelit perisik Amerika akan tetap mengawasi setiap pergerakan.
Sememangnya terasa kelainan berada dalam ruang kosong. Tiada gemerlapan neon-neon, deruan kenderaan, pokok-pokok, bau kemodenan, keriuhan manusia yang terus mengejar waktu dan warna-warna superfisial kota kosmopolitan.
Kosong yang indah.
Bukan mudah untuk sesekali melarikan diri dari London, Kuala Lumpur, Paris dan San Francisco. Walau selalu transit di Abu Dhabi dan Dubai, inilah kali pertama untuk keluar menjadi Arab Badui. Tanpa Internet, tanpa blogsfera, tanpa Blackberry, tanpa TV satelit, tanpa akhbar dan tanpa politik. Yang ada hanyalah waktu, waktu untuk mengimbas dan bernafas sebagai manusia kerdil di ruang kosong.
Seperti kata Marwan dia selalu ke Rub-Al-Khali untuk berehat, tidur dan memburu, kekadang berminggu tanpa gangguan. Kembali menjadi penggembala kabilah Badui seperti nenek moyang. Satu eskapisme yang amat diperlukan.
Tetapi Marwan mampu berbuat demikian sebagai jutawan muda awal tiga puluhan. Anak muda Emirati yang lahir dengan dulang emas. Manakala saya masih dalam pencarian untuk masa depan, masa depan yang masih jauh dari genggaman dan terus jauh dari realiti. Masih belum cukup dana untuk menjadi seperti Marwan yang mempunyai banyak masa untuk bersantai. Duit bekerja untuknya setiap saat, saya pula masih bekerja untuk duit. Masih hamba pada tarikan materialisme dan kedudukan. Masih bergayut pada dunia yang semakin diancam pemanasan global. Dengan pelbagai krisis dan sengketa.
Saya mengenal Marwan melalui Ben, seorang sahabat perjuangan parti yang kami dukung. Dia juga jutawan muda sebagai broker dan penganalisa kewangan. Kedua mereka sama menuntut di Cambridge. Sama masih belum berkahwin. Sama mempunyai idealisme mengenai kehidupan. Sama gah dengan nasionalisme.
Duit bukan segalanya bagi mereka. Mudah bagi mereka yang sudah memiliki segalanya, kecuali ketika ini masih belum beristeri dan berkeluarga sendiri. Masih bebas untuk bergerak.
Malam terus memanjang dengan kekosongan dan kesunyian. Dengan beralaskan tikar dan sebiji bantal, fikiran pada isteri. Yang mungkin sedang sibuk membeli belah di Oxford Street. Hobi masa lapang.
“Sesiapa masih belum tidur?” Tiba-tiba Marwan menyapa dari kemahnya di tengah-tengah.
“Belum!” Sahut Ben.
“Juga belum!” Saya menyambung. Memang agak sukar untuk tidur apabila berubah tempat.
“Jom naik unta ke destinasi tanpa haluan!”

2) Bukit-Bukau Pasir Memukau
Kami terus tidur selepas subuh. Badan memang keletihan apalagi menunggang unta di pagi buta dalam kesamaran. Menyeronokkan. Sebaik bangun, matahari sudah terik. Bukit-bukau pasir memancar fatamorgana. Seakan lautan pasir yang berombak. Warna-warni pasir beralun. Memukau imaginasi. Lukisan yang tidak ternilai harganya. Indahnya ciptaan Allah.
Ben dan Marwan sudah lama bangun rupanya.
“Apa kalian tidak bimbang sebagai minoriti di tanahair sendiri? Dalam keadaan sekarang, pembangunan mungkin memberi kesan buruk dalam jangka panjang untuk mempertahankan ketuanan! Apalagi dengan inisiatif mega untuk projek pelancungan, sama ada pelancungan-eko atau komersil yang boleh menenggelamkan budaya Badui sendiri. Padang pasir ini juga akan jadi taman tema mega seperti Disneyland atau Dubailand yang sedang dibangunkan itu, tiada lagi warisan untuk dipertahankan selain berbentuk kosmetik untuk pelancungan!”
Terdengar Ben melemparkan hujah. Beberapa rakan Marwan sudah tiba mengelilingi beliau yang memang cukup petah berpidato. Nampak kekaguman. Tentunya Ben menyambung diskusi di atas unta semalam mengenai ketuanan Emirati yang hanya 20 peratus dari penduduk UAE.
Ben begitu kuat dengan nasionalisme dan patriotisme. Ben bukan sahaja berbadan besar tetapi ada karisma dan aura sebagai pemimpin besar. Boleh bercakap dalam banyak bahasa utama, termasuk sedikit Arab. Otaknya cukup geliga sehingga bertaraf antara graduan yang terbaik pernah dihasilkan Cambridge, setaraf dengan aruah Tun Razak yang juga dari MCKK.
“Dalam budaya Badui, selalunya akan ada penyelesaian. Kami sentiasa cuba mengelakkan persengketaan. Umpamanya kalau ada kawan yang bercakap sesuatu yang saya tidak suka, saya akan cuba mengelak untuk jadi marah. Kalau ada kesilapan apa-apa, kami akan berusaha menyelesaikan masalah bersama. Kami cukup memahami yang padang pasir seperti ini lebih baik dari rumah besar berharga jutaan. Kami datang untuk buat unggun api, bersantai sambil minum teh dan kopi serta berkemah dengan kawan-kawan. Biarpun bandar di sana semakin membesar dan moden, kami adalah sebahagian dari padang pasir dan tidak boleh hidup tanpanya!”
Saya memandang ke arah anak muda Arab yang berseluar pendek dan berbaju-T dengan gambar Osama bin Laden. Lain sekali Marwan tanpa jubah putih. Tidak sekacak berjubah.
Kelihatan dari kawasan berdekatan, beberapa kemah baru diantara kenderaan pacuan empat roda yang baru tiba. Sekumpulan dari mereka turun membuat bulatan dengan spontan juga membuat muzik dan menari tradisional.
Visual secara langsung itu mendekatkan pada catatan Wilfred Thesiger dalam buku ‘Arabian Sands’. Walau Wilfred begitu sensitif dengan budaya dan lanskap Badui, ternyata dia membuat tanggapan salah mengenai karektor dan masa depan kaum Badui. Malah dalam tulisan berikutnya, Wilfred mengatakan buku tersebut sebagai memorial kehidupan silam dan kegemilangan kaum Badui di muka bumi.
Mungkin ada benarnya keluhan Wilfred mengenai nasib bangsa ‘angkat’nya itu. Padang pasir sudah bertukar menjadi emas dengan harga hartanah yang terus meningkat di UAE. Badui sudah menghuni banglo dan apartment mewah. Berkenderaan mewah, bukan lagi unta. Tidak lagi bergerak dari satu wadi ke wadi lain mencari makanan. Kini bergerak dari satu kota ke kota dunia lain untuk membuat pelaburan hartanah.
Menyedarkan saya kepada beberapa persoalan mengenai nasib untung bangsa sendiri di era globalisasi. Lantas teringat anak-anak sendiri, lahir di merata negara yang tidak pernah membesar di tanah kelahiran ayah dan ibunya. Menjadi imigran, ekspatriat dan perantau. Mereka tentunya tidak mempunyai ikatan apa-apa mengenai patriotisme. Atau mungkin saya yang tersilap, seperti Wilfred dalam meramalkan masa depan Badui?
Mungkin mereka lebih patriotik dengan sentimen nasionalisme, kalau tidak agama yang lebih kukuh. Dunia siber yang terbuka yang menjadi nadi kehidupan ada kalanya menjadikan manusia lebih bersikap kedaerahan untuk menonjolkan identiti sendiri disebalik nama samaran.
Tiba-tiba Marwan menepuk bahu. Menghentikan lamunan yang merentas benua dan maya.
“Pergi sarapan, hari ini kita konvoi dengan SUV ke wadi di selatan, bukan lagi naik unta liar macam semalam!”

3) Banglo Kristal
Di ruang ‘majlis’ atau bilik tetamu yang terbuka, kelihatan ramai orang Badui bersantai atas kusyen sambil berkongsi juadah serta saling menyapa secara tradisional sesama sendiri. Agak meriah suasana dan hingar bingar dengan perbualan. Nampak kemesraan pada warga kota yang kembali ke padang pasir sebagai orang Badui asal.
Seperti Ben, saya cukup terkasima dan teruja. Terbayang imej Putera Walid, lelaki Arab terkaya yang banyak menghabiskan masa di padang pasir untuk membuat urusan bisnes dalam suasana tradisional.
Kelihatan antara mereka, seorang lelaki muda di apungkan ke udara.
“Itu Ahmad, yang untanya menang, unta tercantik seluruh negara Teluk tahun ini!”
“Diakah yang dapat hadiah empat juta Dirham itu dari Sheikh Dubai?” Tanya Ben. Marwan mengangguk.
“Empat juta dirham bagi dia macam empat ribu sahaja, dia baru beli nombor plet kereta 11 yang berharga lima belas juta dirham. Malah dia mahu membina banglo kristal di sini, bukan untuk tinggal tetapi sebagai destinasi pelancungan Rub-Al-Khali!”
Ben berpaling pada saya. Saya tersenyum memahami ucapan mata Ben. Kemewahan dan pembaziran. Bumi arabia yang kaya dengan minyak melimpahkan rahmat kepada umat Nabi Muhammad SAW. Padang pasir yang kontang bertukar menjadi kehijauan dan kota-kota yang kini kaum Badui berlumba-lumba membina pencakar langit. Akhir zaman sudah terlalu dekat. Bukan sahaja kerana pemanasan global yang mengubah ekologi alam, tetapi manusia Badui mengubah lanskap padang pasir dengan pencakar langit.
“Jangan terkejut, disebalik semua kebendaan itu, dia masih kerja untuk hidup dan untuk unta. Masih sahaja seorang Badui, dulu, kini dan selamanya!”
Marwan seakan tahu apa yang kami fikirkan, mungkin dari perbualan sepanjang konvoi terutama mengenai bangsa Emirati, tidak kira dari puak Badui atau lainnya sebenarnya dalam satu persimpangan. Pilihan dengan jalan terbuka luas. Ada papan-papan tanda dan peringatan di mana-mana. Tetapi segalanya boleh menyesatkan dan tidak pasti selamat tiba di destinasi, walau apapun destinasi dalam destini mereka. Seperti juga Melayu di tanahair sendiri. Terus dipersimpangan sejak 50 tahun lalu.
“Jangan juga terkejut yang kami masih berbangga untuk meneruskan tradisi seperti kata aruah Sheikh Zayed, seseorang yang tidak mempunyai masa silam tidak mempunyai yang semasa dan tiada masa depan. Dengan sokongan kuat keluarga diraja, kami meneruskan permainan tradisi sehingga hari ini dan penyertaan tidak pernah berkurang. Terutama permainan masa lapang kami seperti bermain dengan burung helang, tarian dan memancing!”
Bau dari juadah memang menyelerakan. Kambing panggang menerkam nafsu. Kelaparan di tengah padang pasir yang mewah sama menyambar imej-imej manusia lapar dalam krisis makanan dunia. Bersyukur dengan apa yang ada.
Kelihatan juga wanita dalam abaya dan purdah hitam di satu kawasan lain. Mereka kelihatan gembira dalam suasana meriah. Berposing dengan kamera video dan anak-anak kecil menari sambil menghuraikan rambut.
Saya segera bertanya kepada Marwan yang mendail Blackberrynya. Sesuatu yang menjadi objektif utama kami menjadi Badui di Rub-Al-Khali. Sesuatu yang juga saya nantikan dalam perasaan ingin tahu.
“Mana adik perempuan kamu yang mahu dikenalkan pada Ben?”

4) Perlembagaan
“Banyak sumbangan bangsa Arab dalam tamadun manusia!” Saya cuba membawa topik dalam perbualan yang sedikit janggal. Keluarga Marwan memang nampak tahap keintelektualan dan pengetahuan. Ayahnya, Abdullah begitu pendiam dan sentiasa bertasbih. Bekas pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai empayar bisnes besar di tanah arabia.
Sementara dua abangnya dari ibu yang sama terus kesibukan dengan telefon Blackberry. Mereka mengambil alih sebahagian dari perniagaan dan dalam proses penyeneraian salah satu anak syarikat keluarga di Bursa Dubai.
“Bukan Arab, tetapi sumbangan Islam!” Jawab Marwan sinis. “Ada beza antara Arab dan Islam. Arab tidak semestinya Islam dan Islam itu bukan sekali Arab!”
Ben tersenyum sebelum mencelah. “Di Malaysia, tersebut dalam perlembagaan, Melayu itu semestinya orang Islam!”
Abdullah berpaling. Keheranan.
“Itulah uniknya bangsa Melayu di Malaysia!” Jawab saya. “Melayu itu pula sebenarnya ada pelbagai suku, puak dan negeri juga. Ada teori mengatakan Melayu itu berasal dari negara China. Tetapi apabila disebut Melayu pada zaman moden ini, bermakna orang Islam!”
Abdullah mengangguk-angguk. Bahasa Inggerisnya tidak sebaik anak-anaknya. Bercakap sesuatu dalam bahasa Arab kepada Marwan.
“Bapa saya bertanya, kalian bangsa Melayu dari suku apa?”
Pertanyaan itu bagai pucuk di cita, ulam mendatang, Satu perkara yang menjadi topik kegemaran. Satu perkara yang sentiasa cuba dielakkan oleh Ben dari berbahas. Bagi Ben dalam dunia moden itu, definisi bangsa Melayu sudah sepatutnya tidak lagi berpecah kepada sukuan. Hanya Melayu seperti dalam perlembagaan. Terutama buat mereka yang lahir setelah merdeka.
Mungkin ada rahsia yang Ben tidak mahu saya ketahui mengenai latar belakang sukuan keluarganya. Dia menggunakan nama Ben sejak pihak sekolah asramanya di London tersalah menulis ‘Bin’ sebagai ‘Ben’ sahaja sebagai nama keluarga. Lagipun, waktu itu sangat teruja untuk menjadi orang putih, walau nama Ben berbaur Yahudi.
Nasionalismenya berkisar pada Melayu yang sejarah bermula dari kemerdekaan negara. Alasannya, apa yang berlaku sebelum itu tidak boleh diubah dan hanya generasi hari ini yang mampu dan boleh mengubah status ketuanan Melayu. Bagi saya hanya satu mitos untuk survival politik. Sesuatu yang membedakan kami. Tetapi perbedaan bukan permusuhan. Kematangan mengatasi emosional dan prasangka.
“Bapa saya suku Bugis dari Sulawesi, nenek moyang berhijrah ke negeri Pahang di Tanah Melayu ratusan tahun dahulu. Manakala nenek moyang sebelah ibu berhijrah dari negara China. Tetapi hari ini saya adalah Melayu!” Saya segera menjawab.
Memandang ke arah Ben yang kelihatan serba salah. Kali ini Ben nampak terperangkap.
Tanpa berpaling kepada saya, Ben bercakap dalam bahasa Arab perlahan-lahan. Dia tidak mahu saya memahaminya.
Tetapi saya cuba juga memahami. Terkial-kial. Hanya dapat menangkap beberapa patah perkataan. Itupun sekadar meneka dalam kesamaran perbendaharaan kata Arab yang terhad.

6) Bahasa Jiwa Bangsa
“Kami akan tetap berjubah dan berserban sebagai identiti nasional. Supaya tidak nanti hanya dikenali dari patung-patung atau model orang Badui buatan negara China yang dijual untuk pelancung!” Marwan ketawa besar. “Malah sudah ada bekas lada hitam dan garam dalam bentuk sheikh dan sheikha!”
Perubahan lanskap dari padang pasir ke gemerlapan neon begitu ketara. Kembali ke peradaban. Kembali menjadi pemburu waktu yang tidak pernah cukup.
Perjalanan menghala ke lapangan terbang Abu Dhabi masih dipenuhi dengan isu ketuanan dan masa depan suku Badui dan Melayu. Dua puluh empat jam di bumi semenanjung Arab seakan melontar diri ke gaung dilema yang luas. Dilema seorang Melayu dalam globalisasi.
“Ada lapuran mengatakan ramai Arab sudah tidak berbangga dengan bahasa sendiri, lebih selesa dengan bahasa Inggeris, terutama menulis secara SMS! Ini menakutkan kerana bahasa Quran itu bahasa Arab, kalau Arab sendiri tidak mahu berbahasa Arab, maknanya ada yang tidak kena!” Ben memberi komen sambil menulis emel di Blackberrynya. Kembali kesibukan sebaik Blackberry ‘hidup’ semula.
Saya tergelak besar mendengar cetusan Ben. Tidak sia-sia kembara di Rub-Al-Khali, Ben mengaku berkenan dengan adik Marwan, Aminah, graduan MBA dari London School of Economics. Tidak pasti di pihak Aminah yang nampak biasa sahaja. Mungkin Ben bertepuk sebelah tangan dalam cinta pertama. Cinta antara benua. Antara dua kabilah Islam.
Ada perkara yang lebih melucukan. Masih teringat Ben cuba mengelakkan dari bercakap mengenai asal usul keluarganya. Sehingga Marwan yang memberitahu butiran perbualan mereka semalam. Percakapan yang merungkai rahsia Ben yang selama ini menjadi misteri.
Ben berpaling dan saya segera menyemburkan apa yang tersimpan. Sesuatu yang memuaskan hati kerana identiti Ben, lelaki Melayu tulen terakhir itu telah terbongkar di Rub-Al-Khali.
“Cis! Bagus punya Rawa!”