Friday, October 01, 2010

Dari kumpulan Cerpen 'Ekspatriat'




Muna Gersang

Sedikit remeh temeh. Seperti sitcom Seinfeld yang dipenuhi cerita pasal entah apa-apa. Humor dari suasana yang kadang-kadang monotonous. Watak-watak yang memaparkan kehidupan tanpa arah. Tetapi ini cerita serius. Drama kehidupan peringkat kelas menengah. Macam siri ‘Dallas’ tetapi bukan setaraf soap opera, ‘Days of Our Lives!’

“Jangan panggil saya doktor!” Dr. Muna Al Tehrani memandang dengan serius. Wajahnya sedikit merah dengan rambut ala Ally McBeal. Tidak memakai abaya hitam. Tidak bertudung. Tidak juga bermekap. Janggal sekali tetapi nampak menyegarkan mata.


“O.K.lah bos!”


“Bos pun jangan, panggil saja Muna! Tiada perbedaan darjat! Tiada perbezaan seks, ini dunia ekonomi baru!” Dia nampak sedikit terganggu emosi. “Yang penting mesti ada rasa hormat antara satu sama lain! Dan saling membantu!”


“Maaf, bos…opps Muna!”


Kami berempat cuba untuk berwatak serius dalam mesyuarat pertama untuk projek pembinaan pusat integrasi data. Mungkin Muna masih belum biasa dengan humor pejabat. Atau jenis humor saya. Dia baru pulang dari Amerika. Keluar dari dunia akademik. Phd dalam matematik. Mahu masuk dunia korporat. Mahu menjadi sebahagian dari tenaga profesional.
Tentu tidak mengherankan dengan meriah buzzword terkini.


“Emiratisasi!” Sepatah pengakuannya kemudian. Defensif. Tetapi tidak mengejutkan.


Menjawab gosip pejabat, bagaimana seorang wanita semuda dia, bawah 30 tahun dan tidak pernah mempunyai pengalaman bekerja di luar pagar akademik boleh jadi bos kepada projek sepenting ini. Tak masuk akal. Ironi. Sadis. Diskriminasi gender.


Dia masih hingusan untuk duduk dalam bilik besar berpangkat pengarah. Saya sendiri sudah bekerja 15 tahun dalam industri komunikasi data termasuk peringkat pengurusan. Dulu pernah menjadi pengurus kanan dengan puluhan staf. Kini sekadar dilantik sebagai pengurus projek. Dapat bos muda, perempuan dan bekas orang akademik. Membosankan. Tanggapan pertama, dia kekurangan satu ciri karisma dalam pemimpin, iaitu sense of humor.


Ini satu penghinaan moral dan kredibiliti, adu saya kepada isteri, yang dulu pernah jadi pensyarah. Sebelum berhenti jadi isteri sepenuh masa. Muna menulis surat rasmi pun tidak pandai, apalagi buat spesifikasi untuk tender. Saya jugalah yang membuat segalanya termasuk membuat keputusan penting. Memang tidak adil. Gaji pun lebih rendah dari perunding yang dikontrak dari Amerika. Mentang-mentang kulit kita tak putih!


Dengan umur pun sudah masuk 40 tahun, terasa macam si Fonzie, karektor sitcom 70han Happy Days yang terpaksa berkawan dengan budak-budak. Mempopularkan trademark, ‘Ayyyy!” Klik jari semuanya menjadi. Tetapi tidak begitu dalam realiti. Saya bukan Fonzie. Mungkin macam Jerry dalam Seinfeld. Bertaraf ‘loser’.


Memang Emiratisasi perkataan magik, satu inisiatif untuk meramaikan tenaga anak Arab tempatan dalam sektor swasta. Mengurangkan jumlah ekspatriat dari bumi Dubai. Walau masih ramai tanpa pengalaman. Hampir semua graduan Emarati bukan sahaja cepat naik pangkat sebagai pengurus, tetapi juga bergaji besar dengan pelbagai faedah sampingan. Kahwin pun dapat duit dari kerajaan. Bertuah sekali.


“Emiratisasi bukan satu dosa atau diskriminasi terhadap ekspatriat….!.” Dia menyambung sewaktu kami bersantai di tepi tasek kampus Kota Bestari Dubai. Ambil angin waktu petang selepas tamat mesyuarat. Sambil menghisap rokok. Musim sejuk dengan suhu nyaman mengizinkan untuk merokok di bawah matahari.


Belilah kumpulan cerpen 'Ekspatriat' tidak lama lagi!