Monday, August 16, 2010

Cerpen: Jihad

Oleh Fudzail

2010/08/14

(1)

KUNTAY bersuara tinggi. Kedengaran memaki-maki. Kelihatan mimik mukanya merah padam. Saya membiarkan sahaja dia melepaskan kegeramannya. Tidak dapat memahami sepenuhnya kerana bercakap dalam bahasa Turki dengan laju. Bahasa Turki, seperti bahasa Melayu. Mempunyai banyak bahasa Arab, sesuatu yang sedikit memudahkan saya mengagak butiran percakapan.

Kebetulan kami tiba di stesen petrol berhampiran Shahama, penempatan warga Emirati di luar kota raya Abu Dhabi, di lebuh raya menuju ke Dubai. Setiap keluarga Emirati yang ditempatkan di Shahama diberi ‘rumah rakyat’ yang bernilai RM1 juta. Ribuan rumah rakyat dengan 12 bilik memenuhi Shahama. Begitu bertuah menjadi warga marhaen Emiriyah Arab Bersatu. Boleh dikatakan setiap warga adalah jutawan, ditatang sepenuhnya daripada kekayaan hasil negara. “Kiat berhenti, saya mahu solat dahulu!”

Saya memberhentikan kereta di depan surau. Kuntay mengangguk. Meneruskan percakapan bernada keras. Saya tersenyum dan keluar dari kereta. Sepanjang seminggu bersama Kuntay, saya sememangnya sudah tahu reaksi daripada Kuntay.

Tetapi terus sahaja mengajak setiap kali mahu bersolat, setiap kali itu juga, Kuntay sekadar mengangguk. Kuntay dihantar oleh sebuah syarikat berpangkalan di Istanbul untuk meneroka pasaran UAE dan saya dilantik sebagai konsultan.
Setelah selesai solat jamak dan qasar, saya kembali ke kereta. Kuntay terus menekan paparan kekunci iPhonenya dengan wajah serius. Seserius setiap kali dia menatap KRA dan KPI untuk dirinya.

“Kenapa?” Tanya saya untuk mengetahui apa yang sebenarnya telah terjadi.
“Saya kekadang hairan. Ramai yang bersolat setiap waktu tanpa ponteng, tidak seperti saya, kekadang solat, kekadang tidak, tetapi yang solat tunggang terbalik itu jugalah yang banyak terlibat dengan rasuah!”

Saya mengangguk. Bersetuju kerana memang sebegitu.

“Apakah perempuan Turki yang bekerja dengan syarikat konsultan itu minta wang?”

“Itulah yang buat saya sakit hati. Dia warga Turki, kami syarikat Turki, di bumi Emiriyah ini sepatutnya saling membantu. Rupa-rupanya ada udang sebalik batu apabila menawarkan kontrak terus, mahu komisen, persen tertentu, bayar dahulu. Melampau, kami boleh sahaja rugi kerana harga tawaran tidak termasuk memberi duit rasuah!”

“Apa kata kamu kepadanya, dengar seperti memaki!”

“Saya beritahu dia, kalau dia mahu duit komisen, duit rasuah, saya boleh bagi dalam kain kapan dia. Langkah mayat saya dulu. Sebab kalau saya beri apa yang dia minta, saya kena bunuh oleh bos!”

Saya ketawa. Fenomena rasuah memang berleluasa di tanah Emiriyah, walau tidak ketara di permukaan. Terutama di kalangan ekspatriat yang menjadi penggerak ekonomi dan majoriti pekerja. Semua datang untuk buat duit. Ramai yang tidak kisah sama ada haram atau halal. Selagi ‘masyuk’, peduli apa. Walau pendapatan jauh tinggi, tetap tamak dan bernafsu syaitan, tidak kira beragama Islam atau tidak. Duit menjadikan mereka hilang kewarasan, harga diri dan nilai-nilai mulia.

“Bagaimana dengan gejala rasuah di Turki sendiri?”

“Tidak begitu berleluasa. Pasaran begitu kompetitif kerana semua mahu kurangkan kos. Bukan tidak ada, tetapi dengan memfokuskan kepada kos, rasuah amat kurang. Rasuah menyebabkan kos menjadi tinggi, yang membayar kos itu adalah rakyat.
Bagaimana pula dengan rasuah di negara kamu Malaysia?”

Pertanyaan itu membuatkan saya tersentak. Tergamam sambil mata memfokus kepada lebuh raya lapan lorong yang tarnya padat dan kuat, tidak perlu penyelenggaraan atau turapan semula setiap tahun. Tidak seperti lebuh raya di tanah air. Itu sahaja boleh menjadi ukuran tentang rasuah dan penyelewengan.

Saya tidak pasti untuk memberi jawapan. Pastinya indeks rasuah dunia boleh menjadi penunjuk.

“Rasanya, orang Islam di Malaysia lebih alim dari kami di Turki, lebih patuh bersolat!”

Kata-kata itu sungguh menusuk. Dalam hati pun menambah, Melayu itu juga Islam dalam perlembagaan!

(2)

BERITA penangkapan ramai peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Emiriah Dubai menggemparkan. Begitu sensasi. Apalagi mereka adalah CEO dan pengarah syarikat daripada kalangan warga Emirati sendiri yang bergaji jutaan Dirham setahun.

Saya terkedu mendengar berita dari radio kereta.

“Adel Shirawi?”

Mengulang nama seorang kawan lama yang sama disebut telah ditangkap kerana memberi bonus kepada diri sendiri sebanyak 200 juta dirham.

“Kamu kenal dia?” Tanya Kuntay.

“Kami sama-sama di jabatan IT sebuah GLC, dia seorang anak Emirati yang hebat, dedikasi, komited, alim, selalu menjadi imam solat di pejabat. Oleh kerana dia hebat, cepat sekali naik pangkat kerana itu Sheikh Mohamed, Emir Dubai memberi dia peluang untuk terajui sebuah GLC dalam industri kewangan Islam!”
Kuntay ketawa.

“Kamu kata dia selalu menjadi imam solat?”

“Ya! Kami agak rapat dan secara peribadi, saya tidak percaya yang beliau melakukan penyelewengan sedemikian. Dia orang baik-baik, keluarga baik-baik. Dua tahun kami bersama dan saya cukup kenal siapa Adel!”

Kuntay terus ketawa. Menyakitkan hati pula. Gelak si anak Turki yang boleh berbahasa Itali, Perancis dan Sepanyol kerana belajar dan bekerja di Eropah.

“Kalau ada kuasa dan peluang di depan mata untuk menyelewengkan dana syarikat, orang boleh berubah!”

“Tidak mungkin. Kami selalu berbincang mengenai inti pati al-Quran dan hadis Nabi. Banyak yang saya belajar daripada beliau. Mungkin ada konspirasi untuk menjatuhkan orang yang hebat seperti Adel!”

Terasa nostalgik sekali mengenangkan tahun-tahun awal kebangkitan Dubai. Kami bekerja keras untuk memenuhi impian seorang Sheikh. Puas apabila projek menjadi realiti dan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat Dubai sebelum krisis ekonomi hampir menenggelamkan semuanya.

Dalam berfikir, terdengar ulasan daripada pemanggil di siaran radio yang memperkatakan isu panas tersebut.

“Secara amnya, semua yang ditangkap dan dipenjarakan golongan muda dan terpelajar. Mereka ini menjadi pemimpin masa depan, nampaknya kecundang bersama kejayaan yang dicipta.”

Ketawa Kuntay semakin kuat mendengar komen yang datang daripada seorang ekspatriat India.

“Saya tidak solat lima waktu seperti kamu atau Adel, tetapi saya benci rasuah. Benci penyelewengan. Negara akan muflis kerana rasuah, bangsa akan terhina kerana rasuah, terjual warisan kerana rasuah. Apakah orang yang rasuah, menyeleweng, tetapi terus solat tahu yang solat mereka sekadar sia-sia? Solat tidak membaiki mereka dan mereka merosakkan solat!”

Pertanyaan Kuntay mengisi perjalanan pagi ke Abu Dhabi dan saya berhenti di sebuah surau stesen petrol untuk solat sunat Dhuha. Sesuatu yang saya amalkan sejak krisis ekonomi melanda.

Kali ini, Kuntay sama ke surau.

Bukan untuk solat sunat Dhuha, tetapi solat qada’ Subuh. Memandangkan sudah bulan Syaaban, bermakna bulan Ramadan bakal tiba. Kuntay berniat untuk cukup sebulan berpuasa di bumi Arab, bumi yang pernah berada di bawah naungan empayar Othmaniah Turki.

“Konsistensi kamu dalam menjaga ibadah solat membuatkan saya termalu sendiri.”
Perlahan Kuntay bercakap sebaik memberi salam.

“Dan saya harap, dengan bersolat, tidak pula mengubah kebencian saya terhadap rasuah, malah jihad saya menentang rasuah, menentang para perasuah adalah jitu!”
Saya tersenyum. Kuntay mahu bersolat sudah cukup menggembirakan. Jihad saya secara diam agar dia bersolat mencapai hasil.

“Ingat, akan ada ujian sebab kalau kita dapat projek besar di Abu Dhabi, kamu ditugaskan untuk memberi subkontrak. Para subkontraktor akan kejar kamu dan menawarkan pelbagai umpan. Waktu itu, seperti kata kamu, dengan ada kuasa dan peluang di depan mata, kamu boleh berubah dan jihad yang lebih besar ialah jihad menentang nafsu sendiri!”

(3)

TIBA-TIBA kereta sewa kami dilanggar dari belakang. Agak kuat hentakan. Kuntay segera memberhentikan kereta di tepi lebuh raya. Kami keluar untuk melihat kesan hentakan, manakala kereta yang melanggar kami juga berhenti.

Pemandunya seorang wanita Emirati. Keluar dengan wajah garang. Sama memeriksa kereta mewahnya yang tidak ada apa-apa kesan seperti kereta kami yang sedikit kemek di bahagian belakang.

“Ini boleh menjadi masalah. Yang melanggar adalah seorang wanita Emirati!” Aku berbisik perlahan. Bersedia untuk berjihad melawan ketidakadilan.

“Kenapa?” Kuntay bertanya dengan wajah berkerut.

“Mereka boleh menukar laporan polis mengikut alasan warga Emirati, kita hanya penumpang di negara ini, kekadang tidak ada suara, apalagi kalau tidak tahu berbahasa Arab!”

Wanita itu seperti dijangka bercakap dalam bahasa Arab. Satu taktik biasa untuk mengelakkan kesalahan, walau tahu berbahasa Inggeris. Seolah-olah juga mempamerkan ketuanan, siapa tuan di tanah Emirati.

“Kami akan panggil polis, ini kereta sewa, kami perlukan laporan polis untuk tuntutan insuran.”

Kataku dalam bahasa Arab pasar.

Wanita itu menggeleng.

“Tidak perlu, kereta saya tidak ada kemek apa-apa. Saya bayar kerosakan kereta kamu!”

“Terima kasih tawaran itu. Kami tetap akan panggil polis. Itu adalah undang-undang!”

Wanita itu terus membuat panggilan. Juga satu taktik biasa. Helah dan strategi untuk yang pertama menghubungi polis, seolah-olah tidak bersalah, kononnya berani kerana benar.

“Kamu menghubungi polis?”

Wanita itu mengangguk. Polis mesti datang ke tempat kejadian untuk memeriksa dan membuat laporan.

Untuk memastikan dia bercakap benar, saya sama menelefon polis. Sudah kenal perangai ramai Emirati, bukan semua boleh dipercayai.

Seperti biasa, trafik mula bergerak perlahan di kedua arah apabila melihat kereta kami parkir di tepi jalan. Menyebabkan pula kesesakan kerana ramai yang menyibuk untuk ambil tahu apa yang berlaku. Cuma tiada siapa ambil nombor untuk empat nombor ekor.

Tidak berapa lama, muncul kenderaan peronda polis.

Wanita itu terus menerpa kepada polis yang kebanyakan berpangkat rendah dan bukan warga asal Emiriah. Dari negara Arab lain, menjadi warga Emirati kerana menjadi polis. Dikatakan taraf atau kasta mereka lebih rendah dari Emiriah asal, sebab itu ramai anggota polis di UAE takut dengan warga Emiriah asal atau Bumiputera.

Dari percakapan yang saya dengar, wanita itu mempertahankan diri dengan menyalahkan kami, kononnya kami memandu secara berbahaya, cilok sana, cilok sini sehingga dia ‘terlanggar’ kami dalam keadaan cuba mengelak.

“Itu tidak betul!”

Terkejut wanita dan polis itu apabila saya bersuara tinggi.

“Dia melanggar kami dari belakang kerana memandu terlalu laju sambil menelefon. Tidak dapat mengawal kenderaan dan tidak sempat membrek. Kami memandu di lorong perlahan, bukan lorong laju!”

Tiba-tiba wanita itu menjadi garang. Pertengkaran meletus. Memang pembohong wanita ber’abaya’ hitam. Beriya-iya menegakkan benang basah. Bersungguh-sungguh menyatakan kami sebagai pendatang memang banyak membawa masalah kepada negara dan penduduk UAE. Walhal kami memang diperlukan kerana kepakaran dan pengalaman kami.

Polis itu menenangkan kami. Meminta lesen kedua-dua kami dan mengeluarkan surat laporan. Kertas salinan warna merah untuk saya.

Saya segera membantah.

“Kenapa saya salah? Bukankah dia melanggar saya dari belakang?”

“Kamu memandu berbahaya!”

Jawab polis tidak menghiraukan bantahan.

Saya terdiam. Wanita itu tersenyum.

“Tuan polis!” Saya meninggikan suara.

Polis itu berpaling.

“Kamu sepatutnya bersikap adil dan saksama sebagai polis yang berkuasa. Bukan mendengar cerita bohong dan percaya hanya kerana dia seorang Emirati. Kalau kamu melaporkan yang saya bersalah, ingatlah di hari akhirat nanti, saya akan menuntut di depan Allah dan kamu boleh sahaja masuk neraka!”

Polis itu terhenti dan terdiam. Memandang saya. Tangannya mula menggeletar.

“Ya! Ingatlah hari akhirat, kamu solat lima waktu, tetapi tidak adil dalam membuat keputusan!”

Polis itu menarik saya, agak jauh dari Kuntay dan wanita yang sama terkasima. Jihad di tepi lebuh raya dengan seorang polis dan seorang wanita Emirati yang menggunakan undang-undang untuk menyalahkan orang yang tidak bersalah.

“Kamu tahu yang wanita itu adalah Emirati, ada pertalian dengan Sheikh. Saya boleh dibuang kerja, harap kamu faham kenapa saya terpaksa melakukan sebegini!”

“Itu kamu jawablah di depan Allah nanti!”

Berpeluh wajah polis yang memandang ke arah wanita itu.

Dari reaksi polis berpangkat rendah itu, saya tahu yang dia mempunyai keimanan yang tinggi kerana menggigil apabila diperingatkan tentang akhirat.

Timbul rasa kasihan, tetapi saya tidak mahu kehilangan point trafik yang boleh menyebabkan lesen memandu ditarik balik. Saya tidak bersalah dan tidak mahu mengaku bersalah hanya kerana kasihankan seorang polis yang sepatutnya membuat keputusan adil.

Perlahan polis itu berjalan ke arah wanita Emirati yang belum apa-apa, terus sahaja kecoh dengan makian apabila kertas salinan merah diserahkan kepadanya. Polis itu sedang berjihad dengan suasana yang sudah menjadi budaya tidak tertulis, orang Emirati sebagai tuan dan sentiasa betul dalam apa sahaja keadaan.

Saya memandang Kuntay, berbisik perlahan, “Alhamdulillah, solat polis ini menguatkan imannya, takutkan hari pengadilan di padang mahsyar, tidak takut hadapi risiko walau boleh dibuang kerja kerana melakukan keadilan!”

(4)

KAMI teruja menyambut berita kejayaan terpilih sebagai kontraktor pemasangan sistem sekuriti di sebuah projek besar Abu Dhabi. Bersama kesyukuran.
Berpelukan. Kuntay mengesat air mata, kontrak pertama setelah tiga bulan berhempas pulas untuk mencari justifikasi kenapa dia perlu ada di UAE.
Bertambah manis pada bulan Ramadan walau akan terpaksa bekerja lebih kuat lagi.

Memang cukup manis sekali. Tidak perlu merasuah sesiapa. Tidak perlu kerana produk yang kami tawarkan memang menepati keperluan dan lebih canggih dari produk lain. Terbukti dengan rekod hebat pemasangan di seluruh Turki.

Lebih dari itu, bagi kami, kejayaan kami kerana gabungan kepakaran Turki dan Malaysia. Sebagai dua buah negara Islam yang dianggap maju dan berwibawa. Produk Turki dengan pengurusan teknikal projek Malaysia. Kombinasi dan kolaborasi hebat bertaraf antarabangsa.

“Kamu mesti berterima kasih kepada Erdogan kerana berani melawan Israel dan menjadi hero baru dunia Islam!”

Marwan, ketua pegawai operasi syarikat konsultan, di bawah pemaju sebuah GLC, yang memberi projek bernilai 5 juta dirham itu bercakap dengan mesra. Dengan serban corak kotak hitam putih kecil Palestin di bahu. Dia menandatangani surat tawaran dan menyerahkan dengan penuh klimaks.

“Kami orang Palestin terhutang budi dengan orang Turki dan Malaysia yang lebih hebat daripada orang Arab dalam membantu dan menyokong pembebasan Palestin. Berdiri teguh bersama kami walau pemimpin kami pun saling bertelagah. Bantuan kemanusiaan kalian memang sentiasa kami kenang.”

Saya dan Kuntay berpandangan. Ternyata, kami tersalah sangka. Urusan bisnes boleh sahaja berhasil sebab-sebab lain. Termasuk sebab-sebab kemanusiaan dan keprihatinan. Bisnes juga salah satu jihad. Islam telah turut berkembang kerana perdagangan dan ekonomi.

Lebih dari itu, rezeki daripada Allah datang dalam pelbagai cara. Berusaha dengan tawakal dan sentiasa yakin dengan keadilan. Tidak sia-sia berjihad melawan rasuah. Walau penuh kesukaran dan ganjil untuk melakukan sesuatu yang baik, Tuhan pasti memberi ruang.

Marwan adalah antara warga Palestin yang diaspora, berpasport Amerika walau katanya sentiasa pasti untuk kembali ke tanah air sendiri. Bila-bila masa sahaja.

Marwan pun memeluk kami dengan penuh mesra.

“Sebab itu pembidaan kamu diberi pilihan utama walau lebih mahal daripada yang lain. Ini juga satu jihad!”

PROFIL

FUDZAIL berkelulusan sains komputer dan matematik dari New Zealand, pernah menjadi pengurus IT di TV3 dan kini ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Eemiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah. Kini menjadi pakar runding kepada syarikat dari China, Turki, Hungary dan Perancis di UAE. Pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Antologi puisi Waikato diterbitkan oleh DBP pada 2001 dan antologi cerpen Dotkomania (DBP - 2009). Trilogi Aotearoa diterbitkan pada Julai 2010 oleh Oasisbuku. Pada Ramadan ini, beliau menyertai misi kemanusiaan di Gaza. Beliau boleh dihubungi melalui emel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com

‘Terjah lingkaran lapuk, teater setempat’

2010/08/12

KETIKA umat Islam seluruh dunia menyambut 1 Ramadan semalam, penulis kembang hati apabila melihat ada juga pengarang kreatif rakyat Malaysia yang sanggup mengorbankan masa, diri dan wang ringgit untuk menyumbang kepada masyarakat Palestin di Gaza.

Mohd Fudzail Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Fudzail yang kini bermastautin di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjayakan Misi Ramadan di Gaza anjuran Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA).

Beliau dipertanggungjawabkan MAPIM dan SHURA untuk membentuk rangkaian hubungan dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan misi akan datang melaksanakan program yang bakal dirangka.

Lebih mengharukan apabila Fudzail menanggung sendiri segala kos perjalanan dan penginapan melalui jualan Kumpulan Cerpen Dotkamania dan Travelog Aotearoa untuk menyertai misi yang pasti penuh cabaran memandangkan ia berlangsung pada Ramadan.

Pemergiaan Fudzail secara tidak langsung memaparkan betapa beliau berjaya meleraikan diri daripada belitan lingkaran lapuk yang membelenggu sebahagian besar pengarang kreatif sehingga gagal berfikir dan bertindak di luar kebiasaan.

Pakar sistem maklumat ini juga seolah-olah menyahut cabaran yang penulis lemparkan dalam tulisan, Ramadan disambut, kemelut media, akal budi merdeka, bertarikh 27 Ogos tahun lalu dalam ruang pojok ini.

Dalam terbitan terbabit, penulis lontarkan pandangan bahawa sastera tidak boleh kekal dengan kegiatan yang hanya bertumpu pada wacana dan kajian semata, penulisan karya kreatif dan esei kritikan, tetapi perlu membuka jendelanya dengan pemikiran mahupun cara di luar kebiasaan!
Dengan cara ini kehadiran sastera akan tampak relevan dan boleh terus menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira latar waktu mahupun tempat, bukannya seperti hari ini yang kerap dipenuhi dengan keluh-kesah segala macam kemelutnya, tanpa melihat jalan keluar!

Pengarang kreatif ini tidak bernaung di bawah persatuan penulis dan memastikan keputusannya membabitkan diri dalam dunia sastera bukan suatu kesilapan, sebaliknya mampu meletakkan dirinya untuk sama menyumbang kepada masyarakat antarabangsa, hatta dalam kerangka jihad!

Alangkah moleknya jika semua pengarang kreatif, persatuan penulis peringkat negeri mahupun kebangsaan, apalagi Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), turut mengambil sikap dan pendirian serupa dalam memberi nilai demi memartabatkan sastera negara.

Jika tidak mampu bergerak sendirian, setidak-tidaknya boleh bergabung dengan badan lain dan tidaklah orang sastera hanya menjadi pemerhati segala macam kegiatan yang mampu diadakan orang lain, tetapi tidak mereka!

Bagi yang menganggap lontaran idea ini terkeluar daripada kerangka sastera, setidak-tidaknya ‘pahala’ kemanusiaan dan jihad Islam, jauh lebih bermakna daripada sekadar mengembangkan sayap mendakap Melayu diaspora yang menjadi kebanggaan satu badan gabungan persatuan penulis!

Aspek sastera pendekatan Fudzail tetap ada kerana yang terbabit pengarang kreatif dan karyanya dimanfaatkan bagi menjana dana diperlukan untuk misi terbabit, serentak itu menyelesaikan masalah teks terperap di gudang Dawama.

Penulis akui benar sastera dipinggirkan, tetapi gerakan sastera tanah air tidak boleh bersifat sekadar sastera per se dan orang sastera boleh membuktikan bahawa mereka tetap relevan dalam era mana sekalipun dengan syarat berani menerjah keluar daripada lingkaran lapuk mereka.

Seperkara lagi, pengarang kreatif dan persatuan penulis peringkat negeri dan kebangsaan umpamanya boleh melihat kemungkinan menghidupkan semula teater keliling dengan membabitkan sama penyertaan remaja di lokasi sasaran, sambil mengadaptasi teks sastera ke pentas.

“Masih ada kelompok yang berminat kepada sastera di pentas, tetapi tiada kesempatan untuk menunjukkan bakat masing-masing kerana batasan lokasi, kewangan dan kesempatan. Pendekatan teater keliling boleh dijadikan model untuk bergerak dan mengasah bakat,” kata seorang teman diskusi.

Ini juga satu daripada cara memasyarakatkan semula sastera agar tidak hanya berlegar kepada satu kelompok, peringkat umur mahupun individu saja yang perlu diberi perhatian dan program seperti ini wajar mendapatkan pembabitan daripada beberapa kementerian.

Mengapa tidak dikemukakan kertas cadangan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bagi mendapat dana untuk membiayai program.

Jika teater keliling tidak mampu dilaksanakan kerana masalah masa dan tanggungjawab yang menghalang pergerakan keluar daerah, mengapa tidak diberi jenama baru sebagai teater setempat dengan kisah serupa dipentaskan berulang kali.

Program ini boleh dijadikan produk pelancongan dengan menjadikannya sebagai sebahagian daripada pengisian program enap desa yang sudah pun dihidupkan pada masa ini di bawah Kementerian Pelancongan.

Mengapa tidak lontaran idea ini diambil dan dipindahkan dalam bentuk kertas kerja bagi meyakinkan semua kementerian berkenaan kesesuaian program yang wajar dikongsi tiga kementerian terbabit, malahan Kementerian Pelancongan bagi membolehkan ia dilaksanakan.