Tuesday, August 03, 2010

Misi Ramadhan di Gaza 2010 (1)

(Untuk sebuah akhbar)

Rezeki datang dari Allah dalam pelbagai bentuk dan cara. Kekadang tidak tergambarkan dan terfikirkan. Ada datang bergolek dan ada datang melayang.

Sewaktu dalam percutian di tanahair akhir bulan Julai lalu, tidak semena-mena ada tawaran dari seorang kawan, kalau saya berminat untuk menyertai misi Ramadhan di Gaza dibawah anjuran Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekteriat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA). Tawaran yang terus sahaja diterima tanpa berfikir dua atau tiga kali. Itu rezeki yang tidak boleh ditolak sama sekali.

Para peserta perlu membayar sendiri kos perjalanan dan penginapan bukan satu penghalang. Masa mungkin satu penghalang bagi ramai orang, lantas saya bersedia untuk mengorbankan juga masa. Misi ini mungkin sekali seumur hidup, mungkin juga langkah pertama untuk langkah-langkah berikutnya. Yang penting, niat dan matlamat.

Tragedi misi Flotilla memberi perspektif baru terhadap misi keamanan ke Gaza. Pembunuhan kejam peserta misi dari Turki oleh tentera zionis Israel menyingkap kesedaran baru diperingkat antarabangsa mengenai penderitaan warga Palestin, sama ada di bawah kezaliman Israel, mahupun kepimpinan Mesir yang sama menutup pintu masuk sempadan.

Sememangnya tidak terfikir untuk saya pergi ke Gaza sehingga tawaran itu menjadi kenyataan, apabila nama saya tersenarai sebagai salah seorang dari 45 peserta yang terpilih.

Saya teringat sewaktu musim haji tahun 2000 lalu, saya berada di Riyadh untuk bekerja. Sewaktu saya mendarat di Saudi Arabia, pendaftaran ke haji tahun itu telah lama ditutup. Saya tidak merancang untuk mengerjakan haji, tetapi begitulah rezeki dan begitulah ketentuan Ilahi. Tiba-tiba saya teringin untuk naik haji dan hanya ada dua minggu sebelum musim haji bermula.

Saya ke pejabat Kementerian Haji Arab Saudi di Riyadh, memohon untuk mengerjakan haji walau terpampang besar notis yang pendaftaran haji telah lama ditutup. Di kaunter, saya memberitahu staf yang saya mahu membuat permohonan mengerjakan haji tahun itu.

Staf di kaunter terbungkam melihat saya. Tidak marah. Seolah-olah melihat sesuatu yang pelik dan ganjil.

“MasyaAllah, kamu tetamu Allah dan saya tidak dapat menolak permohonan kamu!”

Saya pula yang terkejut kerana semudah itu, walhal persepsi saya sebelum melangkah masuk begitu berbeda. Saya bersedia untuk menerima maki hamun dan dikecewakan dengan penolakan serta merta kerana sememangnya tarikh pendaftaran telah lama ditutup.

Diambilnya paspot saya, malangnya oleh kerana saya tiada ‘iqamah’ dan hanya ada visa lawatan bisnes, dia tidak dapat mengecop paspot saya. Lagipun jemaah haji dari Malaysia perlu ada paspot hijau, paspot haji.

Sekali lagi staf itu terbungkam melihat saya.

“Sesungguhnya kamu tetamu Allah saudaraku, aku tidak boleh menolak tetamu Allah!”

Lantas diambilnya sekeping kertas kecil, dicopkan pengesahan haji dan memasukkan ke dalam paspot saya.

“Pergilah tetamu Allah, pergilah, tiada siapa dapat menghalang kamu untuk menunaikan haji!”

Begitulah rezeki. Saya tidak perlu membayar apa-apa pun. Tidak perlu menanti dan merayu.

Dengan cop diatas sekeping kertas, saya mencari penganjur yang membawa jemaah dari Riyadh. Malangnya, semua tidak menerima ‘cop haji’ diatas sekeping kertas, bukan pada paspot. Sehingga seorang warga Indonesia sanggup membantu dan saya menyertai jemaah haji dikalangan pekerja-pekerja warga Indonesia di Riyadh, yang terdiri dari supir dan pembantu rumah.

“Kalau kamu diperiksa, kemungkinan kamu boleh ditangkap kerana tiada dokumen perjalanan haji yang sah!” begitulah peringatan diberikan.

Saya mengambil risiko itu dengan fikiran terbuka, minda bersedia menghadapi apa sahaja kerana saya percaya, saya adalah tetamu Allah yang sah. Bertawakal dan berdoa. Alhamdulilah, sepanjang perjalanan konvoi berpuluh bas, walau melalui banyak jalanraya ke Makkah, pihak berkuasa tidak langsung mengganggu ‘tetamu Allah’ ini. Saya berjaya menunaikan fardhu haji sebaiknya dibawah bimbingan seorang pensyarah Indonesia di Universiti Madinah.

Kali ini, lebih sedekad kemudian, setelah menjadi ekspatriat di bumi Timur Tengah, saya kembali mengambil satu risiko lebih besar. Tentunya perjalanan ke Gaza tidak mudah seperti yang dirancang. Kami telah diperingatkan, banyak halangan dan risiko sedang menanti. Bersedia dengan apa sahaja kemungkinan, hatta ditangkap oleh tentera Israel, mahupun terkorban. Semua itu tidak boleh ditolak dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Misi ini adalah misi keamanan. Kami bukan yang pertama dan terakhir. Kami tidak membawa senjata dan tidak mahu berperang. Sekadar mahu membawa bantuan, selain membuat penyelidikan dalam beberapa perkara. Antaranya, mengkaji keperluan pendidikan, kesihatan dan masjid.

Saya ditugaskan untuk mengetuai satu kumpulan perserta (termasuk ahli parlimen) dalam mengkaji perhubungan terus dengan pelbagai NGO yang berada di Gaza sebagai asas ‘networking.’ Dari sini, perhubungan dengan Gaza akan diteruskan untuk mereka yang lain datang kemudian hari.

Persediaan yang paling kritikal ialah persediaan minda dalam menghadapi situasi-situasi berbeda. Gaza adalah penjara terbuka yang tidak pernah sunyi dari tragedi. Para pejuang Palestin di Gaza terus sahaja diasak, ditekan dan dizalimi hanya kerana mereka dibawah pergerakan yang tidak disukai oleh Israel dan sekutunya, termasuk Mesir.

Untuk kita yang dilahirkan dan dibesarkan di sebuah negara seperti Malaysia, apalagi buat mereka yang berkesempatan untuk menetap di luar negara, di negara-negara yang aman, apa yang dihadapi oleh warga Palestin di Gaza tidak mungkin dapat digambarkan. Biarpun berita visual, dokumentari telah banyak kali ditonton, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Inilah bagi saya, kesempatan terbaik untuk terlibat dalam membawa mesej keamanan dari rakyat Malaysia, bebaskanlah Palestin dari cengkaman Israel. Kembalikanlah tanah-tanah yang dirampas, kemerdekaan, kebebasan dan keamanan buat mereka yang sudah telalu lama menjadi mangsa percaturan politik dan kuasa, sama ada sesama kabilah Palestin sendiri, mahupun bangsa Arab, penganut Islam, sehingga peringkat global.

Saya menyertai misi Ramadhan di Gaza sebagai penulis (dan ahli profesional), kerana itu bagi mengisi dana misi ini, saya menjual buku kumpulan cerpen ‘Dotkomania’ yang banyak terperap di stor Dawama melalui laman blog (1426.blogspot.com) dan facebook. Selain memberi kesedaran mengenai jenayah perang di Gaza, sama melebarkan dunia sastera kepada khalayak.

Terima kasih, sejumlah 100 ‘Dotkomania’ dan 25 set trilogi ‘Aotearoa’ telah menjadi milik mereka yang mahu sama menyumbang untuk misi Ramadhan di Gaza.

(bersambung)