Saturday, July 31, 2010

Sedutan dari 'Wainuiomata', buku pertama trilogi 'Aotearoa'

Dapatkan trilogi ini di pasaran. Sesuatu yang lain dari yang lain.

Sekarang di gedung-gedung buku atau dapatkan yang berautograf dari penulis, dengan menghantar pesanan kepada fudzail@gmail.com


Sedutan dari Bab 31- Lady Diana

Aku tidak begitu berminat untuk menyertai perbualan mengenai seseorang yang tidak mempunyai apa-apa sangkut paut dengan kehidupanku. Fikiranku pada mendiang Anne, yang mungkin akan sama berdiri dan menanti kehadiran pewaris monarki Britain. Tentunya akan bercerita sejarah monarki Britain yang bermula dari raja-raja Angles, bermula dari sebelum tahun Masihi. Mengenai urutan peristiwa sehingga terbentuknya Monarki United Kingdom di tahun 1603. Keluarga diraja berganti-ganti, dari keluarga Stuarts, Hanoverians, Saxe-Coburg-Gotha, dan The House of Windsor dari tahun 1917 selepas pengistiharan Raja George V. Anne juga akan bercerita biografi Ratu Elizabeth II yang menjadi ketua monarki sejak berusia 25 tahun dari tahun 1952.

Begitupun, Anne tiada di mana-mana di jalan Queen, hanya dalam pemikiranku di satu pagi bulan April tahun 1983, diwaktu pewaris monarki Britain menjejak kaki ke Wainuiomata.

Saat yang dinantikan Raewyn tiba juga, Putera dan Puteri Wales menghampiri kawasan kami berdiri, dibalik tali penghalang untuk tujuan keselamatan.
“Helo!” Tegur Putera Charles kepada Raewyn yang menghulur tangan.

“Haere Mai!” Jawab Raewyn dengan penuh ceria.

“Ya! Kia Ora!”

Aku segera mengangkap momen bersejarah untuk Raewyn dari jarak paling dekat. Datang Puteri Diana. Wow! Rambut perang dengan stail rambut yang elegan. Panjang ke bahu dan ikal ke belakang. Aku terpesona dan teruja. Wanita yang paling popular di dunia berada di depanku. Tersenyum. Matanya merenungku, si budak Melayu Felda Keratong. Aku sudah jatuh cinta pandangan pertama dengan seorang Puteri!

“Helo!” Aku menegur sebelum sempat Raewyn menegur. Menghulur tangan.

“Kamu semua dari sekolah di sini?” Tanya Puteri Diana yang hanya tiga tahun berbeda umur. Cis! Dan aku masih sahaja bersekolah.

“Ya!” jawabku, memintas Raewyn yang terkejut dengan semangat yang tiba-tiba memanaskan ‘kedinginan’ku. Aku memberi kamera kepada Raewyn, meminta mengambil gambarku dan Puteri Diana. Berduaan sahaja, menyebabkan terkejut Putera Charles, isteri jelita kesayangannya sedang diculik.

“Saya dari Malaysia!” Aku bersalam dan berdiri di sisi Puteri Diana yang sungguh-sungguh anggun dan jelita, walaupun baru melahirkan anak pertama.

“Malaysia?” Balas Putera Charles. Menyampuk perbualan sedangkan menghala tumpuan hanya kepada Puteri Diana. “Ya! Saya tahu Malaysia, berapa ramai pelajar Malaysia di Wainuiomata?”

“Saya seorang sahaja!"

Putera Charles perasan yang aku tidak mengendahkannya. Ya! Budak Melayu Felda Keratong tidak memperdulikan bakal Raja England, bakal Raja United Kingdom, bakal Raja Australia dan bakal Raja New Zealand, selain bakal ketua pertubuhan negara-negara komanwel.

dapatkan satu set trilogi sekarang!