Friday, July 30, 2010

Tamparan Dotkomania


Oleh Nazmi Yaakub

Berita Harian 2010/07/30

Jati diri, nilai kemanusiaan di sebalik teknologi maklumat

DOTKOMANIA kumpulan cerpen Fudzail menyentap pembaca untuk melihat jati diri dan nilai kemanusiaan yang terkambus dan ada kalanya kelemasan di sebalik kekaguman terhadap gelombang besar teknologi maklumat yang melanda serta mengubah pantai kehidupan dunia global kini.


Memang atas sifatnya sebagai karya sastera, kumpulan 42 cerpen ini boleh diibaratkan sebagai pelampung kecil yang berusaha menarik dan menyelamatkan jiwa yang terkapai-kapai dalam arus deras serta ombak tinggi teknologi maklumat itu.

Pada masa sama, persoalan jati diri dan nilai kemanusiaan juga disorot dalam konteks manusia yang terlontar ke pantai lain yang asing tetapi sebenarnya turut terkait dengan gelombang besar teknologi maklumat itu. Cerpen awal Fudzail memang sarat dengan idea, konsep dan istilah teknologi maklumat yang merempuh landskap pemikiran pembaca seiring dengan gelombang internet dan arus multimedia, tetapi ia dibaurkan dengan unsur kemanusiaan yang kental.

Fudzail tidak hanya berbicara mengenai perisian dan perkakasan, telekomunikasi serta elektronik dagangan, malahan dunia siber dalam bahasa yang mendatar, sebaliknya menyorot manusia yang mencari-cari jati diri, juga nilai kemanusiaan di sebalik asakan material itu.

Pengarang merenung, mencari dan mempersoalkan jati diri serta nilai kemanusiaan itu dalam tiga bentuk nostalgia, iaitu pengalaman kolektif budaya bangsanya yang semakin jauh hanyut, perkembangan teknologi maklumat yang sangat cepat sehingga menjadikan sesuatu yang baru hari ini sebagai nostalgia dalam tempoh singkat di samping kemelut kehidupan kini yang bakal disorot sebagai nostalgia yang mengelirukan pada masa depan.

Cerpen Kitul yang membuka kumpulan cerpen ini, mengasak salah satu persoalan penting jati diri, iaitu agama, di sebalik penciptaan perisian komputer dengan mempertentangkan dua watak yang mempunyai matlamat berbeza terhadap kemajuan teknologi maklumat.
Hijrah di Waikato dan 11A, Old Farm Road yang sarat dengan pengalaman kolektif budaya bangsa yang semakin terasing daripada watak yang mengejar kemajuan atau menjadi mangsa kemajuan, menggabungkan agama dan budaya dalam persoalan jati diri.

Persoalan jati diri di sebalik gelombang teknologi maklumat sangat terasa dalam cerpen Revolusi Java apabila watak Rabain dihadirkan dalam latar persidangan antarabangsa perisian Java dengan isu rendah diri dan kehilangan identiti bangsa.

Cerpen seperti Agenda, Siberkologi, Pepijat Alaf dan Realiti Maya pula menyelongkar nilai kemanusiaan yang berubah secara drastik kesan daripada keghairahan terhadap dunia teknologi maklumat sehingga menjungkirbalikkan norma masyarakat dan budaya.

Agenda menyorot hubungan cinta siber terlarang antara pasangan yang masing-masing sudah berkahwin dengan orang lain, manakala Siberkologi pula mengingatkan pembaca bahawa masa silam yang hitam boleh menghantui mereka apabila internet menjadi arkib memori yang memusnahkan.

Pepijat Alaf pula menyorot igauan ngeri ibu bapa apabila anak mereka terdedah dengan bahan pornografi di internet dan Realiti Maya menggigit pembaca yang terperangkap dalam dunia siber yang sebenarnya jauh daripada hakikat.

Sesuai dengan latar pengarang sebagai ekspatriat di Asia Barat, pengalaman masyarakat ‘nomad moden’ yang bergelut dengan budaya asing itu turut dirakamkan dalam cerpen Dubai Pun Terus Berdenyut, Keropok Linux, Don Ladghaire, Mongoloid, Rahsia Hitam, Mentua Sultan dan Paha Mak Datin.

Fudzail juga tidak dapat menyembunyikan sinikalnya terhadap dunia politik seperti yang terlihat pada cerpen Penoda + Penggodam + Konspirasi = Intertekstualiti! yang menggambarkan kekecohan akibat kegagalan sistem tercanggih di lapangan terbang, manakala Joeblog dan Satu Kematian pula melambangkan kuasa media blog terhadap politik tanah air.

Kumpulan cerpen Dotkomania ini boleh dianggap sebagai karya sastera pertama yang mengungkapkan dunia teknologi maklumat dalam bentuk kreatif yang bersepadu dengan persoalan jati diri dan nilai kemanusiaan yang dipercikkan daripada pengalaman budaya dan kehidupan ekspatriat pengarang.

Sentuhan pakar sistem maklumat

MOHD Fudzail Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Fudzail, dilahirkan di Mersing, Johor, tetapi dibesarkan di Chenor dan Kuala Rompin, Pahang serta mendapat pendidikan di Kuala Rompin, Kuantan, sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer dan Matematik di Universiti Waikato, New Zealand.

Fudzail yang menulis sejak tahun pertama di universiti itu, menghasilkan cerpen yang tersiar di Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Gila-gila, selain majalah universiti dan majalah tempatan New Zealand.

Beliau pernah menerbitkan majalah Media sebagai wadah berkarya dan menyampaikan berita kepada pelajar Malaysia di New Zealand, selain turut menjadi perantaraan komunikasi antara pelajar dengan Jabatan Pelajar Malaysia.

Pengarang ini kembali ke tanah air ketika kemelesetan ekonomi yang menyaksikannya bertukar profesion sebagai jurutera sistem, wartawan, guru kelas malam, pengurus jualan komputer, usahawan sebelum menyertai TV3 dan menubuhkan Jabatan IT.

Selepas tujuh tahun berkhidmat sebagai Pengurus IT di TV3, beliau berhijrah ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2000 dan bertugas sebagai Pengurus Strategi Perniagaan dan Penggabungan, Dubai Internet City.

Beliau turut berpengalaman dalam merekabentuk keperluan telekomunikasi negara itu dalam 25 projek mega termasuk Palm Islands yang dianggap salah satu binaan menakjubkan di dunia ketika berkhidmat dengan anak syarikat kerajaan Dubai, Nakheel Corporation.

Fudzail yang berumahtangga dengan Dr Azma Abdul Malek, dikurniakan tiga anak lelaki itu, kini menjadi pakar runding di UAE.

Dalam dunia sastera, Fudzail pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Johor dan Hadiah Karya Sastera, selain menghasilkan kumpulan puisi Waikato yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2001.

Trilogi 'Aotearoa' terbita Oasisbuku, kini di pasaran.