Friday, July 16, 2010

Trilogi Aoetorea - Bakal di lancarkan serentak


Sedikit sedutan:

BAB 1 – Keratong

Januari 1985

Ibu masih di perbaringan. Demam panas. Sudah ke klinik. Diberi ubat oleh pembantu hospital, yang kami panggil HA, iaitu Hospital Assistant. Mukanya pucat. Sugul. Lemah sekali. Nampak semakin berusia. Kedutan di muka semakin bertambah dan rambut semakin jarang.

Aku dudukkan ibu, suapkan sup ayam. Ibu menelannya perlahan.

“Pandai kamu memasak!”

Sepatah kata ibu sebelum menelan pil. Kemudian berbaring semula. Matanya memandang kepadaku. Pandangan yang menusuk sekali. Itulah kali pertama aku menjaga ibu. Tidak dapat kugambarkan perasaan. Berbesar hati.

Sudah dua hari aku menjadi tukang masak, tukang basuh, jemur kain, lipat baju dan jururawat kepada ibu. Dua hari yang penuh bermakna. Dua hari yang memberi keinsafan kepada seorang budak Melayu Felda Keratong. Menambahkan kasih kepada seorang ibu.

Dalam keadaan ibu sebegitu, aku tidak pergi ke program re-orentasi yang dianjurkan oleh Biro Tata negara di Kuala Lumpur. Lebih baik menjaga ibu yang sakit. Aku telah menelefon dan menghantar surat meminta maaf tidak dapat hadir. Program selama tiga hari itu diwajibkan hadir untuk semua pelajar tajaan. Aku sebenarnya cuba mencari alasan semenjak menerima surat penaja untuk tidak pergi kerana tidak mahu keluar dari kampung. Mahu menghabiskan setiap kesempatan yang ada dengan keluarga, terutama ibu. Tiba-tiba, ditakdirkan Tuhan, ibu jatuh sakit.

“Kamu belajar memasak dari siapa?” Tanya ibu lagi.

“Dari kawan-kawan.”

“Ada kawan perempuan?”

“Ada.”

“Ada yang istimewa?”

Aku hanya tersenyum. Melepaskan pandangan jauh ke arah perbukitan. Walau tidak seindah New Zealand, itulah keindahan yang menjadi sebahagian dari kehidupan. Ladang-ladang kelapa sawit menghijau saujana mata memandang. Di celah-celah pokok kelapa sawit, ayah bersama peneroka lain sedang bekerja. Masih makan gaji dengan Felda. Mencurahkan keringat pada tanah warisan, pada sebuah projek gagasan Tun Abdul Razak. Gagasan dari Dasar Ekonomi Baru yang dilahirkan untuk membasmi kemiskinan, untuk memberi peluang kepada kaum bumiputera bersaing dengan bangsa lain, untuk sama-sama menikmati kek ekonomi dari kemerdekaan negara.