Saturday, June 26, 2010

Kasut Tutankhamun

Hadiah Utama -Hadiah Sastera Utusan-Exxon 2009

A reconstruction of an open toe sandal found in King Tut's tomb elaborately decorated in gold, red and green leathers.


(Mingguan Malaysia 19 April 2009 dan kumpulan cerpen 'Dotkomania))

Sebaik membayar tiket, kami bergegas ke dalam dewan mumia diraja. Terletak disebelah kanan atas Muzium Kaherah. Terlentang dua belas jasad mumia dari keluarga Firaun. Usia pengawetan yang mencecah ribuan tahun.

Muhaimin kelihatan teragak-agak. Gementar buat seorang anak kecil yang baru berusia 10 tahun untuk berdepan sendiri dengan mumia. Bukan lagi dalam adegan sebuah filem, siri kartun atau pembacaan yang menguasai imaginasi.

Mumia dalam balutan asal terlentang di depan mata. Menakutkan buat yang lemah semangat. Masih lengkap semua anggota badan yang zahir.

Manakala dua abangnya, Saifullah, 16 tahun dan Faidhi, 15 tahun terus sahaja meluru memerhati rapi mumia dalam cermin. Membaca setiap catatan. Penuh minat.
Muhaimin bergerak ke arah ibunya. Berbisik.
“Mana mumia Tutankhamun?”
Ibu tersenyum. Muhaimin terus teruja dengan kehebatan Raja Tut, yang menjadi Firaun diusia sebaya Muhaimin dan mati dalam usia sebaya Saifullah. Sesuatu yang mungkin menarik minat ketiga mereka. Firaun berusia belasan tahun.
Sejak tiba di Kaherah, Muhaimin suka mendengar cerita Saifullah dan Faidhi tentang kehebatan dan kekayaan Firaun muda itu. Mungkin fikiran Muhaimin tidak henti membayangkan Raja Tut sejak pulang dari melawat dan masuk dalam piramid. Yang kosong tanpa mumia. Menghampakan biar terpaksa menaiki tangga dan lorong sempit untuk ke puncak piramid.
“Mumia Raja Tut tiada di sini. Masih berada di Lembah Raja-Raja di Luxor. Nanti kita pergi ke sana. Di muzium ini hanya ada khazanah peninggalan Raja Tut, kita melawat selepas ini!”
Mumia para keluarga Firaun yang pernah dianggap tuhan itu memaparkan sejarah kuno Mesir. Keagungan dari keangkuhan yang tersisa sebagai peringatan kepada para manusia ribuan tahun kemudian. Manusia moden yang terus datang untuk melawat mumia Firaun dan sisa kegemilangan. Para pelancung terus terpaksa tunduk untuk sekadar masuk ke makam dalam piramid. Seakan tunduk menghormati firaun secara simbolik.
Jutaan pelancung datang ke Mesir kerana firaun. Rezeki anak cucu cicit firaun melimpah dengan peninggalan makam dan sisa-sisa peradaban. Sehingga banyak tempat-tempat sejarah aulia yang dilupakan. Walhal, Mesir bukan sekadar firaun. Mesir juga mempunyai nabi dan sejarah kegemilangan Islam.
Kami beredar ke bahagian pameran harta karun Tutankhamun. Semuanya masih lengkap sewaktu ditemui dalam tahun 1922, tidak berubah seperti mana ditinggalkan ribuan tahun dahulu. Tidak dicuri oleh pencari harta karun atau dibawa keluar dari bumi Mesir.
“Berapa agaknya nilai harta Raja Tut waktu ini?” Tanya Saifullah kepada saya. Sememangnya khazanah dalam muzium Kaherah itu sendiri terlalu tinggi nilai sejarah dan nilai wang ringgit.
“Billion hingga trillion ringgit!” Saya menjawab dalam kekaguman. Kagum dengan peradaban firaun. Kagum walau terkilan kerana Mesir dan rakyatnya pada hari ini jauh ketinggalan dalam serba serbi berbanding nenek moyang mereka. Ada sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang boleh dibuat pengajaran.
Datang dan pergi peradaban dan empayar hebat di muka bumi. Hari ini Amerika berkuasa, tetapi dengan kegawatan ekonomi, Amerika mungkin akan jatuh dan diganti dengan kuasa besar baru. Mungkin China, mungkin India. Mungkin juga, Israel yang memperkudakan Amerika. Atau mungkin salah satu negara Islam. Tetapi saya tidak dapat mencari negara mana dalam situasi semasa.
Tentu tidak Mesir. Bangunan-bangunan baru yang tidak sehebat piramid dan kuil-kuil kuno. Kemiskinan yang menjadi sebahagian dari wajah mesir moden. Budaya temberang yang mewarnai kehidupan. Orang-orang Mesir sudah dimakan sumpah Firaun. Mereka tidak akan bangkit lagi. Terutama selagi menjadikan Israel sebagai sahabat dan mengenepikan Palestin.
“Abah, tengok kasut Raja Tut!”
Muhaimin menarik saya. Faidhi sama mengikut. Manakala Saifullah dan ibu masih dalam dewan yang dipenuhi barang-barang kemas kepunyaan Raja Tut. Bersama kilauan emas, perak dan berlian mengerlip.
Saya sama kekaguman melihat kasut bersalut emas bertatah berlian yang pernah dipakai oleh Firaun itu.
“Pada masa orang-orang Mesir sudah memakai kasut dan membina ratusan piramid, sebahagian besar dari Eropah, Amerika dan Asia masih tinggal dalam gua-gua berbogel, masih makan orang!” Saya berkata perlahan. Pada diri sendiri.
Peradaban kuno Mesir memang hebat. Tetapi kufur dan penuh kezaliman. Keadilan mengikut selera firaun. Tiada hak untuk rakyat selain sebagai hamba. Sesuatu yang terus berulang walau dibawah payung demokrasi yang dipenuhi autokrasi seorang diktator, nama lain untuk firaun moden.
Semuanya menjadi pengajaran buat mereka yang mahu berfikir. Malah bumi Mesir juga telah dihadirkan dengan para Nabi serta aulia. Terus subur diairi sungai Nil yang terus mengalir songsang ke utara.
“Kenapa Raja Tut mati dalam usia muda?” Muhaimin tiba-tiba bertanya. Matanya masih pada kasut Tutankhamun dalam cermin di dinding.
“Mungkin dibunuh. Ramai yang mahu menjadi raja dikalangan bapa saudaranya!” Jawab Saifullah yang tiba-tiba juga muncul bersama ibu.
‘Pembunuhan kerana kuasa dan tamak berlaku sejak Habil dan Nabil. Bergaduh sehingga berbunuhan sesama adik beradik kerana harta juga!” Ibu bersuara, biar sedikit lari dari topik perbincangan. Mungkin untuk memberi ingatan kepada ketiga-tiga anak lelaki yang selalu juga bergaduh kerana perkara-perkara kecil.
“Itu salah satu teori yang dikemukakan. Penemuan terbaru mengatakan Raja Tut mati kerana luka oleh gangren, bukan dibunuh!” Sampuk Faidhi yang bercita-cita mahu menjadi seorang doktor. Membetulkan cermin mata untuk meneliti kasut Tutankhamun.
Keduanya banyak mendapatkan pelbagai maklumat melalui enjin carian Google dan Wikipedia.
Kami membiarkan perbincangan mereka yang merangkumi sejarah yang sebenarnya turut diselitkan dalam Quran. Sesuatu yang mengambarkan relevannya Quran sepanjang zaman sebagai mukjizat.
“Walau apapun, apa sahaja teori mengenai kematian Raja Tut tidak penting lagi. Hari ini, Raja Tut menjadi legasi dan dia salah seorang Firaun yang terus dikenali. Sehingga kita masih sempat melihat kasutnya!” Saya cuba mengalih pandangan kepada satu perkara kecil dalam kehebatan khazanah Raja Tut.
Sepasang kasut.
Muhaimin mengangguk, memang dia cukup teruja dengan kasut Tutankhamun. Untuk seorang anak lelaki yang terpengaruh dengan kasut-kasut jenama sukan yang dipakai oleh bintang-bintang bolasepak dunia, selera Muhaimin pada kasut sama seperti Saifullah dan Faidhi. Kilauan kasut-kasut yang mengambarkan status dan kadang-kala nilai harga diri manusia.
Kasut-kasut mereka lebih mahal dari kasut saya sendiri, seorang ayah yang tidak pernah berkasut jenama terkenal. Yang masih sahaja diulit memori tentang zaman anak-anak dahulu tidak berkasut ke sekolah. Kemiskinan yang menyuntik semangat buat pemilik sepasang kaki ayam untuk lebih jauh melangkah dari generasi terdahulu. Duri dan batu-batu jalanan telah mengeraskan semangat untuk perubahan, untuk keluar dari kemiskinan.
“Kasut abah yang paling mahal pernah dibeli sewaktu berusia Tutankhamun, waktu itu berharga RM30 berjenama ‘Power’, sebaik dapat masuk ke tingkatan empat sekolah berasrama penuh!” Saya kembali bernostalgia didepan kasut Tutankhamun yang mungkin sudah bernilai puluhan jutaan ringgit.
Tidak mungkin saya boleh melupakan sepasang kasut hadiah dari aruah ayah. Yang dibeli dengan berhutang. Dibeli kerana aruah tahu saya cukup inginkan kasut itu. Masuk sekolah berasrama tanpa kasut ‘mahal’ tentu memalukan bagi aruah. Saya tidak memaksa aruah dan berpuas hati dengan kasut RM5 yang dibeli. Kasut tanpa jenama dibeli di pasar minggu.
“Kasut itu tidak sempat dipakai, kerana dicuri senior!” Saya menyambung cerita yang berkali diulang pada anak-anak. Kali ini bercerita pada sepsang kasut Tutankhamun. Bercerita penuh emosional.
Kenangan pahit yang menghantui sehingga kini. Terhiris perasaan dengan seorang senior yang sanggup mencuri sepasang kasut seorang anak miskin hanya sebagai satu penderaan di minggu suaikenal. Budaya Ragging yang diturunkan oleh penjajah. Kalau makin teruk mendera, makin hebat sang senior. Memukul dan mengarahkan apa sahaja, kekadang berpanjangan selama setahun.
Kejam sekali kerana sipencuri kasut saya itu anak seorang ahli politik yang kaya raya. Yang masuk sekolah tersebut bukan kerana kecemerlangan SRPnya, tetapi kuasa dan pengaruh yang ada pada ayahnya, seperti yang ceritakan dengan angkuh. Angkuh kerana dia anak seorang bergelar datuk dan saya hanya anak petani yang menyewa bendang dari orang kaya seperti keluarganya. Perbedaan darjat menambahkan dendam saya pada keadaan. Tidak berdendam pada senior tersebut. Tetapi dendam itu bertukar sebagai perangsang untuk belajar lebih kuat dan cemerlang.
Ayahnya bukan Tutankhamun. Senior nakal itu juga bukan Tutankhamun. Bukan keturunan firaun. Kekayaan mereka terlalu kecil berbanding dengan Tutankhamun dan firauan lain. Tetapi kekayaan sedikit itu menjadikan mereka berkelakuan seperti firaun kecil. Kekayaan dari merampas hak orang lain dan mempergunakan kelebihan yang sebenarnya rezeki untuk dikongsi bersama. Bukan untuk menzalimi sesama manusia.
Dia mendera saya kerana terasa berkuasa, biar sekadar senior yang kemudiannya gagal SPM. Yang kini bergelar datuk kerana diwariskan kekayaan. Datuk yang masih berkelakuan firaun dalam perjuangan politik ketuanan sempitnya.
“Memang cantik kasut Tutankhamun!” Suara isteri menerpa dan mengejutkan saya dari ilusi dan imaginasi. Saya cepat-cepat mengesat airmata. Tanpa disedari isteri.
“Kita tidak tahu siapa pereka dan pembuat kasut ini, kreatif sekali, dan tiada pula produk kasut terkini dengan fesyen Tutankhamun!” Jawab saya perlahan. Masih terbayang kasut RM30 yang dicuri senior dan mengubah persepsi saya terhadap nilai kasut selamanya. Mengerling kasut buatan negeri China yang saya pakai. Memang sengaja membeli dan berbaloi memakai kasut murah kerana bimbang kalau hilang di Mesir.
Sebenarnya harga semua kasut saya yang ada dalam empat pasang itu, termasuk kasut kerja tidak lebih dari RM100 sepasang. Harga yang mungkin sekadar untuk sebelah kasut anak-anak dan isteri sahaja.
“Kasut buatan negeri China tanpa jenama yang abah pakai ini mungkin boleh berharga jutaan ringgit, walau tidak boleh menandingi nilai harga kasut Tutankhamun....!” Saya berkata pada isteri dan anak-anak sebaik melangkah keluar dari muzium.
Kelihatan ramai orang-orang Mesir yang sedang menanti untuk masuk percuma sebelum muzium ditutup. Harga tiket masuk muzium memang jauh mahal untuk pelancung berbanding dengan harga tiket untuk rakyat Mesir. Begitupun, masih ramai mahu masuk secara percuma untuk melihat khazanah dan harta karun para Firaun. Warisan Mesir yang membawa masuk bilion ringgit ke dalam kantung Presiden Mubarak. Billion ringgit yang tidak sampai ke majoriti rakyat yang hidup dibawah paras kemiskinan.
“Bagaimana?” Tanya Muhaimin yang nampak keliru. Kasut yang dipakainya juga berharga RM600. Jenama terkenal dan dipakai oleh Ronaldinho
“Kalau abah jadi Muntadher al-Zaidi yang berani melontar kasut kepada Presiden Bush!”
Ya, Muntadher, wartawan stesen TV berpengkalan di Kaherah yang menjadi hero baru orang-orang Arab dan memberi inspirasi kepada majoriti penentang kezaliman Amerika. Membaling kasut pada seorang presiden angkuh dan kurang cerdik yang bertaraf firaun moden di hari-hari terakhir pemerintahan. Presiden yang mempunyai imuniti walau telah membunuh ribuan manusia atas nama peperangan menentang teroris, walhal diri sendiri adalah teroris bertaraf dunia. Presiden yang menjadi proksi zionis sebagai polis, pendakwa dan hakim seluruh planet bumi.
“Kalau balingan itu kena tepat pada kepala Presiden Bush, tentu kasut Muntadher lebih mahal dari kasut Tutankhamun untuk ribuan tahun nanti!”
Muhaimin berkata dengan penuh perasaan. Ternyata ‘lawatan sekali seumur hidup’ ke muzium Kaherah dan piramid menambahkan pengalaman dan pengetahun realistik pada anak-anak yang membesar dalam bercampur nilai antara sirah dan playstation, google, facebook, serta bintang-bintang bolasepak bertaraf jutawan sebagai idola.
Muhaimin tidak berjenaka tetapi kami serentak ketawa.
Ketawa pada diri sendiri dalam kembali menghirup hirok pikok kesesakan trafik, kesesakan manusia bertarung untuk hidup dalam udara tercemar Kaherah. Kota kontradiksi yang terus dipenuhi tapak-tapak kasut dan kaki ayam seramai 26 juta orang penghuni yang terus memanjangkan langkah para firaun!