Monday, January 18, 2010

Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18 - Jerebu Dalam Blog Mak Andeh

Pada hari ini diadakan penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18, di Hotel Legend Kuala Lumpur.

Pemenang yang karya mereka diterbitkan pada 2004, 2005, 2006 dan 2007 dalam bentuk buku, karya eceran dalam akhbar, majalah, jurnal dan antologi serta skrip drama yang dipentaskan akan menerima hadiah masing-masing daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ku Seman dalam Utusan hari ini, HSPM adalah satu-satunya anugerah berprestij bertaraf nasional bagi bidang kesusasteraan negara ini. HSPM menjadi pengukur turun dan naik mutu pengkaryaan dalam kesusasteraan, khususnya sastera Melayu.

Dari segi pandangan umum, HSPM tidak sehebat Juara Lagu, Akademi Fantasia, Anugerah Skrin dsbnya yang meletakkan para artis seumpama bintang-bintang berkelipan dengan menawarkan hadiah-hadiah hebat.

Bukan sahaja tiada siaran langsung, malah berita dalam akhbar pun sekadar berita kaki.

Begitupun, buat karyawan, pengiktirafan seperti HSPM, walau sekadar dua tahun sekali, sudah cukup memberi sesuatu yang bermakna. Sastera adalah sebahagian dari tamadun yang perlu diteruskan. Para pejuang sastera merupakan kesinambungan warisan untuk generasi akan datang menilai kehidupan masa kini.

Tahniah dari saya buat semua pemenang malam ini, nama-nama hebat dunia sastera yang menjadikan saya amat kerdil. Alhamdulillah, saya mewakilkan anak sulung, Saifullah dan ibu untuk menerima sijil dari TPM.

Karya saya yang terpilih ialah cerpen , 'Jerebu dalam Blog Mak Andeh' yang tersiar dalam Berita Minggu 14 Mei 2006.

Dibawah adalah sebahagian dari cerpen tersebut. Cerpen ini juga terdapat dalam antologi, 'Dotkomania'.

Jerebu dalam Blog Mak Andeh


(Ahad)

Dalam banyak percakapan atau perbualan atau dialog biasa dengan mereka yang biasa, kekadang ada perkara yang mungkin terkeluar dari norma. Sememangnya kebiasaanya, manusia terlalu banyak mengambil tidak endah dengan banyak perkara. Kesibukan, prioriti berlainan dan kekalutan mengejar impian menjadikan banyak perkara sekadar catatan nota kaki.
Seperti dalam keadaan berjerebu yang begitu teruk, saya terperangkap di hujung minggu. Tidak dapat bermain golf seperti biasa. Isteri, Rohaya dan kakak ipar yang bergelar ibu tunggal, mengambil kesempatan untuk pergi ke majlis reunion kelas sekolah berasrama penuh mereka.
Begitu gembira keduanya untuk bertemu kawan-kawan sekelas tahun 75-80 setelah 25 tahun meninggalkan sekolah. Old girls network yang semuanya sudah menjadi makcik-makcik, kalau tidak bertaraf datin-datin.
Meninggalkan anak-anak dibawah jagaan saya. Lima anak perempuan dan empat anak lelaki di sebuah rumah teres empat bilik. Paling tua dalam tingkatan lima dan paling muda dalam darjah satu. Biarkan saja mereka dengan aktiviti masing-masing.
Ada menonton TV, ada bermain dengan Gameboy, playstation, membaca novel terbaru Harry Potter, membaca novel cinta Melayu, mendengar muzik, bermain catur, ada yang asyik menghantar sms dan ada yang sibuk melayar Internet.
"Pak Ngah tak ada blog?" Pertanyaan itu memecah kebekuan bila saya menjenguk ke arah skrin PC. Suara Daniel yang berusia 12 tahun itu sudah pecah. Sudah akil baligh rupanya budak tembam dan sihat itu.
Saya hanya tersenyum sambil menggeleng. Ramai kawan-kawan yang sebaya, empat puluhan begini turut menyusur arus blog. Selalu juga sekiranya kebosanan di pejabat, saya melayari blog mereka yang mempunyai pelbagai variasi. Dari humor, politik, merapu ke taraf jurnal profesional.
"Tak happening lah Pak Ngah...mak kita pun ada blog...!"
Kata-kata itu menyambar imaginasi. Kak Fidah ada blog sendiri? Sejak bila dia menjadi Internet-savvy?
Saya memandang ke arah skrin. Terpampang dalam warna-warna ceria.
"Blog Mak Andeh"

(Isnin)
Banyak perkara yang bermain di fikiran sepanjang mesyuarat mingguan korporat. Bukan sekadar urusan kerja yang semakin bertimbun. Tetapi juga beberapa perkara peribadi yang menyentuh emosi. Sedikit keliru. Macam hari yang terus berjerebu dan dalam paras indeks yang masih meningkat.
Terutama sebaik membaca blog Mak Andeh sebelum mesyuarat. Sejak lama saya memang kurang menyenangi Kak Fidah. Sejak dulu, dia tidak ubah seorang queen control. Mentang-mentang bertaraf profesor madya dengan ijazah berjela, dia menganggap bekas suaminya, abang Fuad lebih rendah statusnya.
Karektor dan cara dia melayan abang Fuad memang menyerlahkan sikap Kak Fidah, walau di depan adik-beradik dan keluarga yang lain. Begitupun sempat juga mempunyai lima anak dalam perang dingin yang berlarutan.
Abang Fuad memang hanya pegawai biasa bahagian pentadbiran di sebuah GLC. Abang Fuad baik orangnya, cuma dia tidak punya rezeki untuk mempunyai kedudukan lebih baik walau seorang yang kuat bekerja. Mungkin kerana dia bukan kaki bodek dan kaki ampu. Lurus dan sentiasa mengutamakan etika dalam menjalankan tugas.
Persepsi mengenai Kak Fidah selama ini bukan satu keanehan. Tetapi membaca catatan blog Mak Andeh memberikan perspektif baru mengenai kak Fidah, bukan sahaja sebagai ibu tunggal, tetapi kakak ipar. Dia meluahkan segalanya dan cukup menarik untuk mengikuti blog Mak Andeh.
Mungkin perceraiannya dengan abang Fuad mengubah sikap dan minda Kak Fidah. Atau selama ini kami mempunyai persepsi yang salah mengenai Kak Fidah.
Sempat saya membaca catatan Kak Fidah mengenai suasana sukar yang dilalui sebaik memilih untuk mencari haluan sendiri. Dengan status profesor madya dan jawatan dalam beberapa pertubuhan sukarela, tentunya perceraian akan memberikan impak yang negatif. Walau dia bukan seorang artis atau ahli politik, mulut orang tidak boleh ditutup dari memperkatakan segala yang berdasarkan kabar angin, spekulasi dan gosip liar.
Apalagi kesan pada anak-anaknya yang lima orang. Bukan mudah setelah berkongsi kehidupan, perasaan, impian, zuriat dan turun naik diatas nama perkahwinan.
Tanpa tidak disedari saya mula menilai semula persepsi selama ini dan cuba memamahi apa yang sebenarnya berlaku. Kini melihat Kak Fidah sebagai ibu tunggal yang terpaksa mengharung tohmahan. Saya cuba juga melupakan persepsi streotaip sebelum ini. Realitinya, seperti mana ribuan ibu tunggal lain, kak Fidah tidak terasing dalam masyarakat. Suka atau tidak, sudah menjadi sebahagian dari pembangunan semasa.

(Rabu)
Jerebu sudah banyak berkurang. Saya berjumpa abang Fuad di kelab golf. Kami memang rapat sejak menjadi bisan. Tetapi entah mengapa saya terasa kejanggalan kali ini. Mungkin terlalu banyak membaca Blog Mak Andeh dan sudah terpengaruh dengan catatan seorang ibu tunggal.
Abang Fuad kini tinggal seorang diri dengan menyewa bilik dengan budak-budak bujang. Katanya mahu berjimat untuk simpanan hari tua dan pendidikan anak-anak. Pakai Kancil sahaja.
Seperti biasa, perbualan biasa mengenai anak-anak dan kerja. Sehingga saya tersebut mengenai blog Mak Andeh.
"Jadi kau ada ikut juga blog Mak Andeh?" tanya abang Fuad sambil ketawa. Saya pula terkejut dengan pertanyaan itu. Sekadar mengangguk.
Masing-masing diam dan perbualan mati di situ. Mungkin dia tidak mahu menyelam lebih dalam pada sesuatu yang sensitif dan cuba dielakkan. Saya sebenarnya mahu saja meneruskan topik Mak Andeh. Ada beberapa perkara yang mahu saya bertanya lebih lanjut. Terutama mengenai sebab sebenar yang menyebabkan perceraian secara mendadak.
Talak tiga sekaligus.
"Abang Fuad ikut juga ke blog Mak Andeh?" Saya kembali kepada topik setelah abang Fuad habis bercerita mengenai persktruktran semula GLC. Dia terkejut.
"Ada juga...untuk tahu perkembangan anak-anak!"
"Blog Mak Andeh dah masuk senarai teratas blog paling banyak hits. Tak sangka kak Fidah ada bakat menulis dan kini punya ramai peminat dan pengikut setia!"
Abang Fuad menghembus rokok. Saya mengambil sebatang lagi rokok. Kami memang banyak merokok walaupun tahu pelbagai kesan merokok. Sudah cuba untuk berhenti tetapi masih belum berhasil. Mungkin bulan ramadhan nanti, seperti mana resolusi setiap ramadhan untuk terus berhenti merokok sekadar resolusi tahunan.
"Dia bebas untuk mencatat apa saja terutama kehidupan sebagai ibu tunggal. Apa yang berlalu, biarkan berlalu, dia tidak juga menyentuh sejarah lama!"
"Tetapi membaca blog Mak Andeh banyak menyedarkan saya perkara tentang persepsi dan emosi. Saya juga banyak mengambil mudah banyak perkara dalam perkahwinan. Mengambil mudah mengenai peranan isteri...!"

"Khamis malam Jumaat"
Teringat aruah mak pernah berkata pada satu hari yang seorang lelaki mesti mengawal keluarganya dan bertindak sebagai pemimpin. Pada zaman itu, 70han-80han, ianya bermakna mengikut arahan mak bapak selagi berada dinaungan mereka..
Anak-anak saya terbalik pula, mula menunjukkan petanda yang ibubapa hidup untuk menrealisasikan apa saja impian mereka, dari barang mainan hingga universiti. Bagaimana dengan apa yang kita mahukan sebagai ibubapa? Ok. 1990 memang dekad kami sebagai ibu bapa, tetapi zaman telah berlalu.
Siapakah sebenarnya yang menjadi bos dalam keluarga waktu ini, di zaman awal 2000?

(Ikuti selanjutnya dalam kumpulan cerpen saya... 'Dotkomania')