Saturday, November 27, 2010

Perbetul persepsi salah terhadap Islam: Yusof

YUSOF memberi ceramah kepada  pelajar Universiti Islam Antarabangsa, semalam.

YUSOF memberi ceramah kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa, semalam.

Konsep keamanan, kedamaian perlu dilihat secara mendalam


KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan yang juga pendakwah antarabangsa, Dr Yusof Islam, berkata konsep keamanan dan kedamaian adalah perkara yang perlu dilihat secara mendalam dan menyeluruh kerana menjadi matlamat kesejahteraan kehidupan manusia.

Sambil merujuk dirinya, bekas penyanyi popular Britain pada 1970-an dan lebih dikenali sebagai Cat Stevens sebelum memeluk Islam, berkata demi mencari perdamaian, beliau memilih jalan dakwah kerana melaluinya persepsi yang salah terhadap Islam, khususnya yang dilemparkan Barat, dapat diperbetulkan.

“Pandangan serong itu perlu diperbetulkan. Ada lagi yang berpandangan Islam adalah musuh kepada agama lain kerana persepsi salah yang sengaja digembar-gemburkan.
“Justeru, bagi saya dakwah adalah senjata bagi menangkis tohmahan itu. Dakwah juga sebahagian daripada Islam kerana kita mengajak manusia ke arah kebaikan. Mesej Islam adalah benar dan ajarannya cukup harmoni.

“Tetapi apabila berdakwah kita perlu bercakap kepada masyarakat Islam terlebih dulu sebelum mengajak yang lain kerana itu menjadi keutamaan kerana ia akan menggalakkan perkongsian ilmu dan interaksi sesama Muslim,” katanya ketika menyampaikan tazkirah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dekat sini, semalam.

Yusof bersama isteri, Fauzia Mubarak Ali juga berkesempatan bertemu Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, kelmarin, selain turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Putrajaya, semalam.

Terdahulu ketika ditemuramah pada program Malaysia Hari Ini yang disiarkan stesen TV3 pagi semalam, Yusof turut memberikan pandangan beliau mengenai konsep hiburan mengikut perspektif dalam medium dakwah.

Katanya, muzik itu adalah sesuatu yang cukup harmoni dan ia membentuk kedamaian dan keindahan hidup di dunia ini kalau digunakan dengan cara yang betul.

“Ketika ini masyarakat dunia sudah mulai bosan dengan peperangan dan bosan dengan isu politik dan untuk itu nilai muzik yang harmoni perlu ada,” katanya.

No comments: