Saturday, October 23, 2010

Gaza, Kasih Sayang Tidak Terpenjara

Berita Harian Sabtu 23 Oktober 2010

Kasih sayang terus semarak
meruntuh tembok penindasan
zalim mengelilingi realiti semasa
dan kami datang, ikhlas
membina kemanusiaan
dari runtuhan peradaban
kukuh sebagai satu jambatan
ke puncak matlamat perjuangan
kebebasan untuk kembali
bernafas di ruang kelahiran

Kasih sayang tidak terpenjara
menguntum dan wangi
di mana-mana, di bumi anbia ini
kerana bukan permusuhan
atau kebencian dendam
memagar kehidupan generasi
sekadar menuntut keadilan
hak-hak yang dirampas
dengan kekejaman
dan dilupakan
sebagai teroris abad ini

Kasih sayang, itulah yang merentas
dan tidak akan tercantas
dilanyak pembohongan kapitalis
kerana doa terus berpanjangan
harapan tidak pernah padam
selagi Al Aqsa
berada di dalam pagar zionis
selagi ada yang peduli
dan tidak gentar untuk bangkit
sebagai syuhada!

Fudzail
Bandar Gaza, Palestin
9 Ogos 2010

No comments: